Suatu pagi penulis ke Pekan Rengit, di selatan Batu
Pahat. Singgah di sebuah minimarket milik etnik Cina. Kesemua pekerjanya dari
Indonesia. Pada hari yang lain penulis ke sebuah pasraya di Bandar Penggaram,
Batu Pahat. Hampir kesemua pekerjanya dari Nepal. Di pasaraya yang lain,
pekerjanya dari Bangladesh. Kerana demam, penulis ke sebuah klinik swasta.
Antara pelanggannya adalah mereka yang datang dari Vietnam, Nepal, Indonesia
dan Bangladesh. Penulis berkesempatan menziarahi seorang sahabat berhampiran
Kuala Lumpur. Taman perumahannya dikawal oleh warga Nepal. Diizinkan pula
memegang kad pengenalan atau lesen memandau warga tempatan. Bagaimana hal ini
boleh terjadi bahawa warga tempatan dikawal oleh warga asing. Apa perundangan
dan statutnya yang berkaitan. Tanah ini namanya Tanah Melayu. Sebahagian dari
Malaysia. Apakah seperti dalam Bahasa Cina, Malaysia bermakna Melayu mati.
Benar Tanah Melayu masih ada. Bangsa Melayu masih ada. Bahasa Melayu masih ada.
Baju Melayu masih ada. Kuih Melayu masih ada. Budaya Melayu masih ada. Keretapi
Tanah Melayu masih ada. Cuba lihat kembali. Yang namanya Melayu sudah tidak
segar seperti zaman gemilangnya. Melayu hilang seri. Melayu hilang integritinya
sendiri. Setelah menjadi tuan, sekarang hanya layak menjadi ilusi dan
fatamorgana zaman. Melayu kehilangan substance kemelayuannya. Hilang
kerana mereka yang berperanan menjadi tuan melupakan Melayu yang rendah di
bawah kedudukannya. Tidak diangkat wajar menjadi tuan yang hakiki. Sama-sama
naik dan sama-sama mengecap nikmat kemerdekaan.
Belum enam dekad kita menikmati kemerdekaan tetapi
sudah banyak yang tergadai. Khususnya pekerjaan. Malah pekerjaan yang paling
rendah tarafnya sekalipun sudah bukan milik orang Melayu. Suatu ketika dahulu
orang Melayu layak menjadi jaga. Layak menjaga tandas awam. Layak menyapu
sampah. Layak membersihkan kawasan. Namun masa merubah kesemua senerio itu. Jaga
bukan lagi Melayu. Tandas tidak dijaga oleh pekerja Melayu. Sampah tidak disapu
makcik Melayu. Melayu tinggal menggerutu mengenangkan nasib yang tidak menentu.
Yang saban waktu hanya menunggu janji tanpa usaha jitu mengejar waktu. Tiada
jadual waktu yang perlu untuk memperbaiki diri. Melayu terus tertunggu turunya
rezeki terpijak tanpa usaha produktif. Ikan yang didatangkan tanpa joran. Beras
tanpa sawah padi. Keenakan yang hanya menipu sementara. Hilang kenyang
hilanglah harapan. Menunggu lagi episod ikan dan beras mendatang. Janji dari siapa.
Janji dari siapa yang perlu ditunggu. Masih wajarkah menunggu tanpa usaha.
Membina kehidupan bererncana di tanah sendiri. Hanya menadah tangan menerima
turunnya kepingan-kepingan wang kertas dari mereka yang ada upaya.
Kehidupan di tanahair tercinta ini sudah semakin
payah. Berada di luar negara seperti lebih mudah. Mengurus ekonomi seperti
sangat membebankan. Terlalu banyak barangan yang meingkat tinggi. Ironisnya
kita memiliki kekayaan yang bukan kepalang. Minyak kita untuk kenderaan dikira
mahal walaupun dibeli dengan menggunakan dengan minyak Petronas yang mahal juga
di pasaran dunia. Gas kita mahal walaupun kita mengeksportnya. Seperti cerita malang sepanjang zaman. Kita
tidak menikmati kemewahan di tanahair yang mewah. Minggu ini harga barangan
mendadak naik lagi. GST menjadi kambing hitamnya. Akhirnya tiada siapa yang
tahu apa sebenarnya yang berlaku.
Adakah pihak yang berwajib lebih banyak berpolitik
dari memastikan good governance dalam semua hal terutamanya aspek
ekonomi yang berkait lansung dengan rakyat. Dengan kebajikan rakyat. Dengan
kesejahtaraan rakyat. Bagaimana dalam negara yang fundamentalnya mewah menjadi
sukar untuk hidup di dalamnya. Suhu dan cuacanya semakin panas kerana hati di
dalam sudah semakin tidak tenteram. Walaupun kesejahteranan rohani adalah
relatif penting tetapi ekonomi dan kesejahteran perut menjadi besar keutamaannya
sejak akhir-akhir ini. Apabila harga barangan meningkat maka nilai wang
merosot. Barangan yang dibawa pulang semakin sedikit walaupun amaun wang untuk
membayarnya tidak berkurangan. Mereka yang berpendapatan tinggi tiada masalah.
Rakyat biasa yang terhimpit sakit untuk hidup seharian.
Seperti andaian awal GST melonjakkan harga barangan.
Mungkin bukan GST yang sebenarnya salah. Ada kesilapan pada peringkat awalnya.
Persediaan yang begitu lama seperti tidak dilandaskan mengikut teori dan
empiriknya. Memang benar GST dilaksanakan di kebanyakan negara. Namun begitu
GST di negara lain seperti di US tidak mengakibatkan harga barangan meningkat.
Harga masih dapat dikawal mengikut teori pasaran dan amalannya. Penulis ingin
memberikan pengiraan seperti penulis fahami.
Andaian harga barang RM10. SST yang lama ialah 10%
bernilai RM1. GST pula 6%.
Sewajarnya sebelum GST dilaksanakan, SST ditolak
dahulu. Maksudnya
Harga RM10 ditolak RM1 = RM9.
GST 6% ke atas RM9 ialah RM0.54.
Peaksanaan GST menurunkan harga dari RM10 menjadi
RM9.54.
GST 6% bukan atas harga RM10 tetapi atas harga RM9.
Jika GST atas RM10 bermakna SST tidak dihapuskan. Bukan itu sahaja ditambah
lagi dengan GST. GST yang sepatutnya hanya 6% bertambah menjadi 16%. Harga baru
yang dibayar Pengguna menjadi RM10.60.
Perbezaan RM10.60 ditolak RM9.54 ialah sebanyak RM1.06.
Pengguna juga yang kerugian sebanyak RM1.06.
Dasar baru ini menjadikan rakyat berhati-hati apabila
berbelanja. Kecenderungan ini melemahkan kerancakan ekonomi. Banyak industri
yang terjejas. Pekerja ramai dilayoff. Berlakulah spiral effect
yang menakutkan. Inflasi meningkat dan pada masa yang sama pengangguran juga
meningkat. Pengangguran menjadi beban kepada kerajaan dan kepada
keluarga-keluarga yang terlibat. Hidup semakin mahal di negara yang asalnya
mewah. Perlu difikirkan kepincangan salahurus, kecenderungan tidak berfikir
pada aras tinggi dan tidak mewawaskan masa hadapan. Di mana sebenarnya Melayu
berada pada ketika ini?