Seorang tokoh usahawan berkata bahawa sewaktu dia
belum menceburkan diri dalam bidang keusahawanan dahulu dia tidak nampak apa-apa
peluang dalam bisnes. Sesudah menceburkan diri dia mendapati bahawa dunia
keusahawanan adalah bak lautan yang tiada tepinya. Terlalu banyak air dan
daratannya pula terlalu jauh. Usahawan terpaksa mencari pelabuhan. Ia berhenti dari satu pelabuhan ke
pelabuhan yang lain. Melepas lelah dan mencari peluang yang lain di
pelabuhan-pelabuhan itu. Benua dilintas. Lautan direntas. Masa pula bukan
penghalang besar. Mata dan mata hati sentiasa dibuka. Yang mendengar bukan
telinga tetapi firasat. Yang melihat bukan mata tetapi hati yang seni. Tamak bukan
prinsip. Usaha yang tidak mengenal penat. Yang lain serahkan kepada Allah. Segala-galanya
datang dari Allah. Izin Allah sahaja yang menentukan segala-galanya. Tanyalah usahawan.
Tiada noktah dalam hidupnya. Apatah lagi jika usahanya itu kerana Allah. Kesemuanya seperti mudah digapai tangan dengan
izinNya.
Begitu juga apabila kita mula melangkah. Sebelum melangkah
kita selalu tersekat dengan fikiran negatif.
1
Bila hendak mula.
2
Langkah kanan atau kiri.
3
Langkah panjang atau pendek.
4
Arah mana hendak dituju.
5
Jauh atau dekat.
6
Besarkah belanjanya.
7
Adakah manfaatnya.
8
Susah atau senang.
9
Hendak buat apa lagi melangkah jauh atau
dekat.
10
Elokkah masanya.
11
Apa kata orang nanti.
Jika terlalu banyak yang difikirkan maka langkah
kita terhenti. Terlalu banyak penilaian. Yang kita perlukan hanya satu atau dua
soalan sahaja. Langkahkanlah kaki ke hadapan. Walaupun barakahnya kaki kanan
dahulu, apabila hendak melangkah jangan terlalu terikat dengan apa-apa. Cuma elakkan
yang haram. Yang terlarang. Jika tiada halangan ambillah barakah kaki kanan. Apabila
kita melangkah pastikan ke hadapan. Pandang ke kanan dan ke kiri. Pandang ke
atas dan ke bawah. Pandang jauh dan dekat. Pandang ke hadapan dan sesekali
menoleh ke belakang. Di hadapan ada tarikan. Namun jangan terlepas pandang
bahawa di belakang mungkin ada bahaya menyusul. Maknanya langkah kita bukan lanhkah
tanpa arah. Bila mula melangkah betulkan arah. Yang dipandang ada gunanya. Yang
didengar ada manfaatnya. Yang terhidu ada natijahnya. Yang disentuh ada
labanya. Malah debu dan pasir yang dilangkahi tetap ada gunanya.
Selalunya apabila kita menghentikan langkah, hayunan
langkah berikutnya menjadi sukar. Apatah lagi apabila kita berhenti terlalu
lama. Apatah lagi jika kita selalu
teringin untuk berehat. Berehat kerana Allah lain impaknya. Berhenti kerana penat
lain pula kesannya. Orang yang berjaya tidak berehat kerana penat tetapi
berehat kerana mengambil bafas baru yang lebih segar. Nafas untuk memulihkan
tenaga. Untuk lebih gagah terus melangkah ke hadapan. Dalam hidup ini banyak
yang menghalang kita. Apabila kita terlalu terikat dengan kerja makan gaji maka
tergambar tarikh bersara. Tarikh pencen. Tarikh tamat usia guna. Kerana dirasakan
sewaktu bekerja terlalu penat maka persaraan adalah waktu rehat yang
berpanjangan. Memang betul jangkaan menjadi kenyataan. Tamat usia guna. Tidak lagi
berguna. Tamat baki usia yang masih produktif. Usia yang masih banyak
manfaatnya. Untuk menjadi bermanfaat kita tidak perlu lagi dibayar upah. Tidak perlu
gaji. Tidak perlu ganjaran. Banyak keindahan hidup selepas bersara. Yang Bersara.
Bukan Yang Berhormat. YB tanpa Dun dan tanpa Parlimen. Dunia menjadi pentas
luas dan segar.
Ruang di sekeliling kita menjanjikan berbagai
manfaat. Pilihan terlalu banyak. Kita sahaja yang perlu berada dalam suasana
itu. Orang lain tidak perlu menentukan apa yang terbaik untuk diri kita. Kita mengetahui
banyaknya keinginan kita. Kita maklum taraf kemampuan kita dalam berbagai hal. Jika
tidak mampu banyak, dapatkan yang sedikit. Jika tidak pergi jauh, pergi ke
destinasi yang dekat. Jika tidak lama cukuplah sekadar dalam jangka waktu yang
sesuai. Sesudah bersara, dunia keusahawanan mungkin bukan bersesuaian lagi. Berkebun
dan bertani mungkin bukan lagi masanya kerana tenaga sudah luntur menyusut. Makan
dan minum rasanya melebihi dari cukup. Elaun pencen banyak juga bagi yang pernah
menjawat jawatan tinggi. Mungkin sudah menimbunkan harta benda yang produktif
untuk menambah kemampuan kewangan. Ketika dalam persaraan kelekaan dunia sudah
tidak lagi memberi erti. Bukan lagi gelanggang terpilih.
Sewaktu muda banyak yang kita tinggalkan. Hal-hal
yang fardhu ‘ain dan mungkin fardhu kifayah. Dalam usia yang masih berbaki elok
dihabiskan dalam menuntut ilmu. Alangkah indahnya mati dalam menuntut ilmu. Ilmu
yang bermanfaat. Menyempurnakan sesuatu yang mencacatkan hidup kita dahulu. Mencari
semula yang terabai dahulu. Yang kita tinggalkan. Yang kita pinggirkan. Dahulu penulis
berjinak-jinak dengan ilmu agama. Maklum serba sedikit perbincangan
mengenainya. Namun masih selalu takut tersalah tafsir. Kerana setiap pada diri
kita ada nilainya.
1
Lisan kita ada pahala dan dosanya.
Bercakap yang hak mendapat pahala. Jika tidak dosa yang tertanggung.
2
Perbuatan kita ada pahala dan dosa. Yang
baik tentulah pahala. Yang sebaliknya tentu pula berdosa.
3
Pancaindera kita mungkin mendapatkan
pahala atau sebaliknya. Memandang yang hak adalah pahala. Mendengar yang hak
juga pahala.
4
Malah yang tersirat dalam hati kita ada
pahala dan dosanya.
Penulis mencari kesempatan bersama isteri untuk
mengembara. Rentasan masa dari kembara kami yang pertama pada tahun 1985 dahulu
belum ada penamatnya. Masih banyak yang perlu digarap di hadapan mata dan di
hadapan masa. Berada di bumi anbia lebih banyak ruang ilmu yang terlihat. Hari ini
kami memulakan kembara al-Quran. Di Malaysia kita biasa membaca al-Quran
Riwayat Hafs dengan Toriq al-Syatibiyyah. Teringin pula membaca dengan Toriq Toyyibah
atau di Malaysia dikenali sebagai Toriq al-Jazari. Di Kaherah sebenarnya lubuk
ilmu. Penulis mencuba satu demi satu dengan izin Allah jua. Mudah-mudahan
banyak manfaatnya untuk diri sendiri dan orang-orang yang ada di sekeliling
penulis. Kembara kami jauh dan lama. Tanpa
kembara kami tidak keluar dari kotak masa. Kotak keselesaan yang kadang-kadang
membelenggu usaha. Lagipun di luar kotak kebiasaan kami menemui sesuatu yang
sentiasa baru dan segar. Kelainan yang mengindahkan hidup dalam usia yang
berbaki. Berniaga di dunia ada pasang dan surutnya. Ada masanya mendapat laba
yang banyak. Ada masa yang lain tidak mendapat apa-apa. Malah rugi sahaja. Kesemuanya
fizikal yang maujud. Berniaga dengan Allah sentiasa mendapat laba. Laba di
dunia dan laba di akhirat. Maujud dalam pemikiran. InsyaAllah.