Tuesday, November 18, 2014

Bingkisan Dari Kaherah: Mengapa Lihat Orang Lain?



Kita selalu terperangkap dengan pendapat orang lain. Dengan pandangan orang lain. Takut, apa pula kata orang nanti. Betapa kita kadang-kadang tidak memiliki pendirian kita sendiri. Kita bersandar kepada orang lain. Kenapa tidak berdiri sendiri. Bahawa ini adalah pilihan kita yang terbaik. Adakah bangsa kita tidak memiliki sifat dan sikap mandiri. Perlukan pendapat orang lain. Yang kita lihat begitulah. Yang kita dengar begitulah. Yang kita baca begitulah. Kita seperti ketagih untuk bersandar kepada orang lain. Hampir dalam semua hal kita bersikap begitu. Paling mengecewakan ialah apabila kita melakukan yang hak tetap dipersoalkan. Malah dipersalahkan. Aduhai! Seorang yang solat kerana Allah dipersalahkan kerana tidak solat di ruang yang khusus seperti rumah, surau atau masjid. Solat berjamaah memanglah di tempat sebegitu tetapi apabila solat bersendirian di mana-mana sahaja adalah bumi Allah. Sah solatnya. Mungkin di ruang yang paing sempit sekalipun. Asalkan bersih dari najis. Diyakini suci. Memenuhi syarat dan rukun solat itu sendiri. Heboh seorang artis solat di parkir kereta. Tidak pula orang sibuk dengan mereka yang tidak solat. Bak kata seseorang kenapa yang hak selalu dipersoal. Yang batil dinyahfikir.

Seorang pemimpin mengatakan bahawa harga barang di negara kita masih rendah berbanding dengan harga barang di negara lain. Suatu perbandingan yang simplistik. Kita perlu melihat KNK. Produktiviti. Stok yang ada. Usaha mengurangkan kos. Dan banyak lagi indek ekonomi. Bukan angka semata-mata. Kita mempelajari ekonomi dari negara maju tetapi implimentasinya lebih banyak atas pertimbangan politik dan bukan pertimbangan ilmu dan ekonomi itu sendiri. Pembangunan dan pelaburan apa sahaja sekalipun bukan dengan sengaja untuk membebankan. Bukan pula dikatakan tidak disangka. Pakar-pakar yang terlibat mengerti risiko dan unjuran-unjuran yang terlibat. Jika sesuatu dasar dilaksanakan memang kesemua aspek telah dilihat dengan saksama. Sekiranya beban dan risiko diambil juga maka ilmu dan ilmiahnya telah diketepikan. Manusia menjadi rakus dengan pertimbangannya sendiri.

Penulis pernah di USA pada tahun 1985 dahulu. Suatu ketika sebuah syarkat yang membekalkan telur ingin menaikkan harga telur sebanyak USD 0.01. Satu sen sahaja. Bukan banyakpun. Bukan hingga berpuluh sen. Syarikat tersebut telah membeli center page (dua muka tengah) akhbar untuk menerangkan rasional mengapa harga telur terpaksa dinaikkan. Penulis ulang. Istilahnya terpaksa kerana kenaikan kos yang tidak dapat dihalang. Bukan atas dasar syarikat lain menaikkan harga maka syarkat yang lain turut menaikkan harga. Penulis pernah menulis tentang hal setesen minyak yang berbeza harga minyaknya. Yang membezakan antara mereka ialah usaha mengurgkan kos. Segala-gala kos diakaunkan. Mana-mana kos yang boleh dikurangkan perlu dikurangkan. Pengurangan itu dikembalikan kepada pengguna. Walaupun hanya satu sen. It goes a long way. Bayangkan setesen minyak yang bersebelahan harga minyaknya berbeza sedangkan grednya sama.

Kawalan harga bukan penyelesaian masalah yang utama. Malah ianya menjadi pelindung kepada “kemalasan” industri untuk mengurangkan kos. Untuk menambah kecekapan. Untuk menambah produktiviti. Yang lebih penting ialah pengguna. Mereka yang sewajarnya benar-benar dididik untuk mengerti indek-indek ekonomi. Mengetahui kitarannya. Tahu peranannya. Pengguna di negara membangun hanya menurut apa yang disajikan. Menu yang disediakan. Percaya kepada apa sahaja yang dihidangkan. Tidak di negara maju. Pengguna adalah raja. Supreme. Atau sovereign.

1                   Wang di tangan mereka.
2                   Pilihan pada mereka.
3                   Kuasa beli pada mereka.
4                   Kehendak dan keperluan pada mereka.
5                   Bilangan mereka menenggelamkan usahawan.
6                   Bila-bila masa pengguna dan persatuan pengguna bertindak ke atas sesuatu barang yang dinaikkan harganya boleh melumpuhkan usahawan yang terlibat.

Kita tidak ada kekuatan peribadi. Tidak ada kekuatan persatuan. Teori ekonomi sejagat seperti tidak relevan di Malaysia. Harga sepatutnya ditentukan oleh penawaran dan permintaan tetapi ianya seperti tidak berlaku. Harga yang naik tidak mengurangkan permintaan. Pertimbangannya senang sahaja. Jika tidak dibeli barang itu susahlah kita. Yang ironisnya harga mahal dikatakan menyusahkan. Membeli seolah-olah tiada pilihan. Kerana itu pengguna di Malaysia mudah diancam dan mudah terancam. Akhirnya mereka menurut apa sahaja kehendak pasaran. Ramai orang lain yang perihatin dengan kesusahan orang lain tetapi daya untuk membantu terbatas. Kadang-kadang usahawan dan industrialis di negara kita tidak meningkat dan menunaikan tanggungjawab sosial mereka kecuali yang menguntungkan dengan segera.

Soalnya, mengapa pengguna di negara terlalu malas untuk menjadi perihatin. Bestari dalam ekonomi. Berupaya mendidik usahawan dan industrialis yang terlalu mengejar keuntungan. Mengapa keuntungan itu tidak dikembalikan kepada pengguna. Suatu contoh klasik ialah apabila sebuah korporat yang untung tahunannya berbilion-bilion ringgit masih mengatakan harga perkhidmatannya perlu dinaikkan untuk membiayai pembangunannya. Bukankah keuntungan dipermodalkan semula untuk menjana keuntungan lain yang dirancang dan dijangka. Apabila khalayak tidak arif tentang ekonomi maka usahawan lebih senang mendesak harga melambung ke atas. Apabila khalayak tidak arif tentang mainan hidup bernegara maka mereka terus-terusan dimangsakan. Tiada pembelaan. Tiada pembetulan. Tiada siapa mendengar suara pengguna kerana mereka lemah. Di USA umpamanya pengguna menyokong antara satu sama lain untuk mendapatkan faedah yang sama. Kos diturunkan. Harga diturunkan. Keuntungan syarikat tidak terjejas walau sedikitpun. Masih dalam unjuran yang sama. Bila kita bercakap tentang ekonomi hendaklah dalam konteks yang melingkari teori dan amalan ekonomi. Walaupun politik mempengaruhi ekonomi tetapi bukan penentu sebenar ekonomi dalam negara demokrasi atau laissez-faire economy. Politik menjadi regulator bukan pemain utama.

Samalah apabila simbol penerbangan kita yang menghidangkan minuman terlarang dalam penerbangannya. Yang dihidangkan menikmatinya. Sementara yang tidak memerlukan hidangan didapati telah membayarnya secara percuma. Alasannya cukup dangkal:

1                   Penerbangan ini antarabangsa,
2                   Kita ambil kira penumpang bukan Islam.
3                   Semua penerbangan dasarnaya serupa.

Yang membayar penumpang. Yang rugi penumpang. Rasionalnya tiada. Hanya kerana bersandar kepada amalan orang lain. Ikut trend. Kebiasaan. Sudah sampai masanya kita berdiri atas kapasiti kita sendiri. Membina pendirian sendiri. Untuk itu banyak yang perlu dilakukan. Antaranya:

1                   Rakyat kebanyakan hendaklah meningkatkan diri dari segi pendidikan. Dari segi ilmiah. Dari segi maklumat. Dari segi kepedulian tentang persekitaran mereka. Khususnya tentang agama.
2                   Ilmu peringkat tinggi hendaklah dipelajari supaya  kita dapat berfikir peringkat tinggi. Melihat agama pada paras tinggi. Melihat politik pada tahap tinggi. Berfikir pada aras yang melebihi kebiasaan sahaja. Bukan lagi biasa-biasa sahaja.
3                   Mengambil tahu hal-hal di sekeliling. Memahaminya. Menggarap natijah atau konsekuennya.
4                   Merancang masa hadapan yang lebih efektif dari segi agama, politik, ekonomi, pendidikan, teknologi dan lain-lain yang berkaitan dengan kehidupan pada masa hadapan.


Kita tidak boleh ikut-ikutan terus-terusan dalam persekitaran yang terlalu laju pergerakannya. Setiap dari kita perlu berfikir di luar kotak kehidupan kita sekarang. Di luar kepompong lama yang menjadikan kita terlalu selesa. Semoga ilmu membezakan kita dengan mereka yang terlalu bersandar kepada keadaan. Kita bina harapan melalui ilmu, maklumat dan pemikiran peringkat tinggi. Insyaallah kita akan berjaya dengan izin Allah.

Bingkisan Dari Kaherah: Bahasa Cerminan Bangsa



Bahasa adalah alat komunikasi. Ianya dalam bentuk perkataan, ungkapan, istilah, simbol, warna, bunyi, isyarat atau apa sahaja yang menjadi medium komunikasi. Hijau jalan, kuning sedia berhenti dan merah berhenti. Warna-warna lampu isyarat. Dua pihak seharusnya faham-memahami kerana mereka dalam kelompok budaya yang sama. Mereka yang terlibat dengan Matematik, bahasanya istilah-istilah Matematik. Ahli komputer menggunakan istilah komputer. Begitu juga dengan profesional yang lain. Mereka menggunakan istilah-istilah yang sinonim dengan bidang tugas mereka. Orang tua-tua selalu menyebut bahasa menunjukkan bangsa. Sekilas kata ia bermakna bahawa setiap bangsa memiliki bahasanya yang tersendiri. Mungkin ada persamaan dengan bahasa lain. Mungkin juga tiada kaitan langsung.

Untuk kali ini marilah kita tatap bahasa kita. Mengapa dihubungkan bahasa dengan bangsa. Apa makna bangsa dalam hubungan ini. Dalam istilah orang Melayu bangsa bukan bermakna penduduk sesuatu kawasan atau warganegara sesebuah negara berdaulat. Dalam bahasa Inggeris disebut nationality (bangsa). Anak watan sesebuah negara. Namun begitu bangsa memberikan konotasi yang berbeza dari konteks bangsa yang kita maklumi. Bangsa dikaitkan dengan keturunan atau keluarga. Pada zaman klasik, bangsa ada kaitannya dengan bangsawan. Maksudnya berdarah “putih”. Untuk bacaan kali ini bangsa dihadkan kepada keluarga dan keturunan sahaja. Lazimnya bahasa dikaitkan dengan pendidikan. Anak golongan bangsawan pada suatu waktu dahulu lebih terdidik. Lebih tinggi sekolahnya. Natijahnya:

1                    Bahasa yang mereka gunakan berstatus tinggi. Cantik berseni.
Yang kurik itu kundi,
Yang merah itu saga;
Yang baik itu budi,
Yang indah itu bahasa.

2                    Semakin tinggi pendidikan semakin berseni bahasanya. Pantun, sajak, gurindam, seloka, syair dan sebagainya adalah menifestasi keindahan berbahasa itu.
(Ingin memetik/menyunting kembang di taman bermaksud ingin meminang gadis anak tuan rumah.)

3                    Lantunan suara yang lunak. Intonasi yang lembut. Lontaran kata-kata yang menusuk.
(Sepekan sudah terlalu lama inikan pula tiga purnama.) Sepekan bermakna seminggu. Purnama pula adalah bulan.

4                    Diolah dengan anyaman kata-kata yang penuh kias.
(Di mana saya boleh ke sungai besar? Maksudnya di mana bilik air?)
5                    Mereka yang status sosialnya lebih tinggi dianggap bahsanya lebih tinggi.
(Di mana boleh saya basuh muka? Dimaksudkan di mana bilik air?)

Barangkali bahasa dan bangsa masih relevan hingga bila-bila masa sekalipun. Selagi ianya alat komunikasi. Namun begitu kadang-kadang kita berhadapan dengan situasi yang menjadikan kita kurang selesa. Contohnya:

1                    Orang muda yang lancang mulutnya sewaktu berbicara dengan orang tua. Perkataan yang keluar tidak enak didengar. Intonasi suaranya terlalu tinggi. Terungkap kata-kata menghina. Berbaur bongkak, riak dan takabbur. Tentulah tidak wajar seorang muda mengatakan mereka yang jauh lebih tua dengan ‘bodoh’ kerana mereka tidak maklum. Sangat-sangat tidak wajar. Dirinya akan tua. Suatu ketika nanti ungkapan sebegitu mungkin Allah kembalikan kepadanya.
2                    Seorang ketua tidak berhak menggunakan perkataan yang menghina atau lucah terhadap mereka yang di bawahnya. Penghinaan itu kembali kepadanya kerana mereka yang di bawah adalah cermin kepada seorang ketua. Penulis teringat kata-kata almarhum Habib Ali:
2.1                   Anak-anak jangan dipanggil bodoh. Tanggungjawab yang lebih tua untuk memandaikannya.
2.2                   Mereka yang miskin jangan dipanggil bodoh. Tanggungjawab yang kaya dan pandai untuk menaiktaraf kehidupan mereka.
2.3                   Yang tidak tahu jangan dikata bodoh. Tanggungjawab yang tahu untuk memaklumkan apa yang diketahui.
3                    Jagalah bahasa kita kerana ianya sangat berkaitan dengan keturunan dan keluarga kita, taraf pendidikan kita, jawatan kita, organisasi yang kita wakili dan kelayakan akademik yang kita miliki.

Seharusnya intelek dan bahasa beriringan. Intelektual bahasanya tepat dengan istilah, profesional, beradab dan berakhlak mulia. Ramai antara kita yang mempelajari psikologi dalam berbagai bentuk. Mungkin kaunseling. Mungkin dakwah. Mungkin motivasi. Mungkin dakyah. Mungkin perang saraf. Mungkin iklan. Mungkin promosi. Mungkin propaganda. Mungkin juga politik. Kalimah, istilah, ungkapan yang dilontarkan, intonasinya yang sesuai dengan keadaan dituntut teramat sangat. Audien kita adalah insan yang memiliki perasaan. Yang sensitif perasaannya apabila tersentuh. Goresan yang sedikit panjang kesan negatifnya.

1                    Tidak ada kewajaran langsung seseorang melontarkan kata-kata kesat atau celupar. Imej dirinya hilang ranap sekelip mata.
2                    Mereka yang berlatarbelakangkan agama seharusnya lebih teliti ketika berbahasa. Sebarang kesilapan mencacatkan kelayakan akademik yang dimiliki. Mereka yang memiliki latar belakang agama dinisbahkan kepada sopan santun, berbudi luhur, hormat kepada orang lain. Atau diperlukan berakhlak mulia. Sesuai dengan pendidikannya.
3                    Mereka yang berkedudukan tinggi dijangka lebih merendah diri. Tawadhuk. Malangnya ada juga yang berlaku sebaliknya.

Apabila kita berupaya menggunakan bahasa yang indah, kesannya lebih menusuk. Lebih menghiris. Lebih mengesankan. Marahnya dengan suara bersahaja tetapi mengandungi maksud yang dalam. Yang mendengar tidak marah kerana marahnya bukan dengan nada marah. Komunikasinya untuk membetulkan kesilapan bukan mencari kesalahan. Disampaikan dengan nada nasihat dan tunjuk ajar. Lembut tetapi bisa. Imej mereka yang marah tidak hilang. Yang dimarahi tidak berdendam. Tidak membenci. Malah lebih hormat. Lebih segan. Yang berilmu sewajarnya dihormati ilmunya. Yang kaya diraikan kebaikannya. Yang berkedudukan tinggi selalu menurunkan dirinya untuk bersama orang lain yang berada di bawah. Semakin kaya semakin dermawan. Semakin berilmu semakin banyak mendidiknya. Semakin tinggi semakin banyak idea membangunkan mereka yang di bawahnya.

Umar Abdul Aziz meninggalkan istana kerana rakyatnya tidak memiliki istana. Tidak adil jika ia duduk di istana sedangkan rakyatnya tiada memiliki rumah. Apatah lagi istana sepertinya. Ia menanggalkan pakaian mewahnya kerana segan dengan rakyatnya yang pakaiannya bak mereka yang miskin dan fakir. Tugasnya menjadi khadam untuk membantu rakyatnya memiliki istana. Memiliki pakaian cantik. Memiliki makanan yang mengenyang dan menyihatkan. Meningkatkan produktiviti dalam bentuk zakat dan baitulmal, hasilkerja, kualiti kerja dan berusaha memberi bukan meminta. Menjauhi sifat pentingkan diri. Bahasa Umar menunjukkan bahawa ianya merasa sangat rendah hati, sangat takut jika tidak mendapat redha Allah. Pemerintahannya yang singkat memakmurkan kerajaan Ma’awiyah. Yang memberi lebih ramai dari yang meminta. Serigala tidak memakan kambing. Pemerintah yang adil disegani manusia dan haiwan. Juga makhluk yang lain.

Bahasa adalah alat komunikasi antara penyampai dengan audiennya. Maka pada ketika-ketikanya penyampai menggunakan bahasa yang mudah dan tidak mengandungi maksud lain. Pada audien yang lain mungkin perlukan istilah-istilah spesifik. Penyampai yang baik mengambil tahu siapa audiennya. Profesion mereka. Kelayakan mereka. Jawatan mereka. Agama mereka. Kebiasaan mereka. Dan banyak lagi aspek yang perlu diketahui. Walau bagaimanapun penulis berpendapat kita perlu menjaga bahasa untuk:

1                    Menghormati bahasa itu sendiri.
2                    Memanifestasikan diri kita di hadapan audien.
3                    Menghormati audien, situasi dan suasana.
4                    Menyampaikan mesej yang difahami sebagaimana maksud mesej itu disampaikan.


Kejayaan menggunakan bahasa yang betul menunjukkan bangsa. Menunjukkan siapa kita yang selayaknya. Berautoriti tetapi menghormati audien. Semakin baik bahasa yang kita gunakan semakin meningkat imej diri kita. Insyaalllah.