Sewaktu saya
membina rumah dahulu saya kontrakkan kepada seorang Melayu. Dalam senarainya
banyak rumah yang telah dibina. Saya tidak pula menyiasat penuh setakat mana
kejayaannya membina rumah. Standard yang dicapainya dan sebagainya. Rumah saya yang dikontraknya mengambil masa
20 bulan. Selalunya 8 bulan sudah siap. Tetapi rumah saya 20 bulan. Hampir
setiap hari saya memantau apa yang dikerjakan ke atas rumah itu. Dari meratakan
tanah hinggalah siap. Kemajuan hariannya sangatlah perlahan. Kadang-kadang no progress. Tidak ada tanda kerja.
Tiada barang untuk dikerjakan. Membina bangunan di kalangan kontraktor Melayau
seperti juga menjual pisang goreng. Asal laku. Asal buat. Asal jadi. Asal siap.
Kita yang hendak duduk sakit jiwa dibuatnya. Rumah lama siap. Kita terus
menyewa rumah. 20 bulan tolak 8 bulan bermakna 12 bulan saya menanggung sewa
rumah. Beribu juga habisnya.
Selepas membina
rumah saya dapati ada beberapa hal lagi yang perlu penambahbaikan. Kontrakkan
kepada kontraktor Melayu. Sama juga. Banyak songelnya. Banyak dalehnya. Lisan
bicaranya seperti yang terbaik dalam dunia. Hasil kerjanya tidak juga seberapa.
Ada bahagian bumbung rumah saya yang bocor. Berbagai orang yang datang. Berbagai
idea. Semuanya tidak menjadi. Bocor tetap bocor. Akhirnya ambil juga kontraktor
Cina. Pakar bumbung. Kerjanya hanya berkaitan dengan membetulkan bumbung. Tiada
kerja lain. Dipanjatnyalah bumbung. Naik hanya sekali sahaja. Apabila turun
dibentangkan kosnya kira-kira RM18,000. Saya senyap sebentar. Kira terduduk
jugalah. Tawar punya tawar. Kurang RM500. Bincang punya bincang boleh bayar
ansur. Alhamdulillah. Memang bumbung yang perlu dibaiki tetapi untuk itu:
1
Datang
kontraktor elektrik. Kipas dan lampu perlu ditanggalkan. Akan dipasang semula
kemudian.
2
Datang
kontraktor siling. Ditanggalkan yang lama. Akan diganti kemudian.
3
Setelah
siap bumbung diperbetulkan siling dibuat semula. Kipas dan lampu dipasang
semula. Datang pula kontraktor cat. Siling dicat.
4
RM17,500
bukan untuk bumbung sahaja tetapi untuk semua kerja yang berkaitan.
5
Saya
betulkan juga bilik air. Datang kontraktor lain.
6
Bertulan
paip air. Datang kontraktor lain.
7
Buat
pintu gelongsor (sliding door). Datang kontraktor lain.
8
Kesemua
mereka dirangkaikan kepada kontraktor bumbung.
Kesemua mereka
tidak bekerja dengan kontraktor bumbung tetapi semua bayaran melalui kontraktor
bumbung. Yang menakjubkan ialah, kontraktor yang berbagai-bagai itu hampir
serupa peribadinya. Banyak kerja dan tidak banyak cakap. Bersedia mendengar dan
melayani kehendak kami yang membayar mereka. Tidak banyak cerita. Tidak ada
yang merungut. Tidak ada yang masam muka bila diajak berunding. Hati pelanggan
dipuaskan. Saya tidak menghubungi setiap seorang daripada mereka. Semuanya
diuruskan oleh kontraktor bumbung. Sebenarnya ada juga kerja-kerja tambahan
yang tidak dikira. Mungkin terlalu kecil untuk dikira. Atau juga dijadikan tarikan
pelanggan. Tidak terlalu berkira. Walaupun bukan Islam konsep sedekah
diamalkannya. Ada lebih dan kurangnya. Tidak melahap apa sahaja yang ada. Berkira
apabila mengambikira upah dan belanja. Tetapi tidak menekan. Ahlamdulillah setelah
beberapa tahun masalah bocor dapat diatasi.
Saya ingin kembali
kepada masalah kontraktor Melayu. Kebanyakan mereka memiliki keberanian untuk
mengambil kerja-kerja kontrak. Maafkan saya. Ramai antara mereka pengalamannya cetek.
Tidak mahu belajar untuk memperbaiki diri.
1
Bajet
selalu diabaikan.
2
Jadual
kerja tidak ada. Tiada matematik. Apatah lagi simplex method, critical path
method (CPM), program evaluation and
review technique (PERT), decision
tree, stock management dan banyak
lagi yang diamalkan dalam kejuruteraan.
3
Tidak
ada waktu mula kerja dan tamat kerja yang standard.
4
Tidak
ada jadual hari kerja yang standard.
Apabila kesemua yang
tersebut diabaikan maka tiada jangkamasa yang dapat ditetapkan. Apabila tuan
rumah daif dalam hal perundangan maka kontraktor bebas membuat ta’rifannya sendiri
tentang masa dan kualiti. Sebagai contoh tentang ta’rif lewat. Jenis-jenis
kelewatan. Kesemua ini memerlukan suatu kefahaman yang mendalam. Hanya mereka
yang faham dan berpengalaman sahaja dapat membuat kontrak yang adil. Seorang sahabat
saya di Kluang menerima bayaran kembali sebanyak RM11,00 kerana kontraktor
lewat menyiapkan rumahnya. Rumah saya yang lewat sehingga 20 bulan tidak
memberikan apa-apa kepada saya. Berbagai-bagai masalah yang cuba saya bantu. Hasil
kerjanya kurang memuaskan mengikut standard saya. Saya terima juga ketentuan
yang ada. Antara masalah pekerja Melayu
pula ialah:
1
Lewat
memulakan kerja. Datang pukul 8.30 pagi baru hendak sarapan. Merokok dahulu. Sembang
sekejap. Pukul 9.30 pagi baru hendak memulakan kerja. Setengah jam atau satu
jam berhenti pula untuk merokok. Pukul 12.00 tengahari sudah berhenti untuk
makan tengahari.
Sebagai perbandingan, pekerja Cina memulakan kerja tepat pada pukul 8.00
pagi. Tidak berhenti untuk minum atau merokok. Pekerja di Jordan memulakan
kerja pada pukul 7.00 pagi. Kira cerah matahari. Bukan kira waktu.
2
Pekerja
Melayu menyambung kerja pada pukul 2.30 petang atau lebih lewat.
Pekerja Cina memulakan kerja tepat pada pukul 2.00
petang. Dari Ipoh hingga ke Batu Pahat itulah amalam mereka yang saya lihat. Rehat selama dua jam meeka
habiskan untuk makan, merokok dan tidur. Sempat tidur.
3
Pekerja
Melayu berhenti kerja pada waktu petang mungkin pada pukul 4.30 petang. Masing-masing
berkejar hendak balik.
Pekerja Cina berhenti kerja pada pukul 5.00 petang. Sebelum balik mereka
kemas dan sapu tempat mereka bekerja. Tidak ada sepah selepas kerja. Saya belum
jumpa pekerja Melayu yang berkemas atau menyapu bekas kerja mereka sebelum
meninggalkan tempat kerja.
4
Pekerja
Melayu cuti hujung minggu. Kadang-kadang cuti juga apabila ada kenduri kendara.
Komitmen terhadap kerja tidak ada.
Pekerja Cina cuti hanya pada hari Ahad sahaja. Tidak ada cuti lain kerana
orang Cuna biasanya mengadakan kenduri kendara pada waktu malam.
5
Kontraktor
Melayu sangat berharap kepada bayaran pendahuluan dan bayaran progress. Tanpa keduanya kewangan mereka
sesak dan mereka tidak boleh bernafas. Maknanya kontraktor Melayu kekurangan
modal.
Kontraktor Cina tidak berharap sangat kepada bayaran-bayaran tersebut. Yang
penting bayar. Kontraktor Cina memiliki sumber modal.
6
Kontraktor
Melayu cukup dengan satu kontrak pada satu-satu ketika. Bayangkan selama 20
bulan berapa keuntungan yang boleh diperolehi. Pekerja tidak ada masalah. Kontraktor
yang menanggung kos masa. Bukankah masa itu emas? Tidak diterjemahkan dalam
bentuk ringgit. Masalah besar jika tahap kearifan tidak tinggi.
7
Kontraktor
Melayu tidak memiliki pekerja mahir yang berbagai. Semua pekerja dianggap boleh
buat semua kerja.
Pekerja Cina berbeza. Setiap seorang memiliki kemahiran
yang berbeza. yang membuat pintu dan tingkap berbeza dengan yang memasang
kunci. Yang menyimin dan yang mengecat berbeza. Yang membuat tingkap kayu
berbeza dengan yang membuat tingkap besi dan sebagainya. Pekerja Cina membuat
pengkhususan. Pekerja Melayu banyak jack
of all trades. Kualiti tidak difikirkan dengan mendalam.
8
Kontraktor
Melayu tidak memiliki pekerja yang memahami seni atau yang berkaitan dengan
seni. Sakit jiwa apabila pekerja mengetuk kekisi kayu yang berseni sesuka hati.
Atau tiang tangga diketuk bagai hendak pecah.
Banyak yang perlu
diperbaiki oleh kontraktor Melayu. Slogan-slogan sahaja tidak memadai. Tidak menjanjikan
kepuasan kepada pelanggan. Membina rumah adalah sesuatu yang penuh nilai dalam
kehidupan seseorang. Apabila siap rumah itu ingin dihuni dan dinikmati fizikal dan
seninya. Ia seharusnya mendamaikan. Saya sarankan supaya kontraktor Melayu:
1
Pelajari
the latest technique. The state of the
art.
2
Bina
rangkaian rakan kontraktor yang berbagai.
3
Tumpu
kepada satu bidang sahaja untuk membina kemahiran. Rangkaian membantu
memperluaskan kerja. Peranan sub-kontraktor.
4
Latih
seberapa ramai pekerja mahir. Tangkap seberapa banyak kerja kontrak.
5
Jadualkan
kerja supaya setiap kontrak disusun mengikut susunan kerjanya. Jangan bercampur
aduk.
6
Sediakan
bajet yang menasabah. Kontraktor hendaklah makan gaji kepada dirinya sendiri. Wang
yang berada dalam poket bukan haknya. Wang itu hendaklah disimpan. Ia harus
menguatkan semangat untuk mengambil elaun bulanannya sahaja. Jangan makan wang
yang melebihi elaun bulanan. Perniagaan nanti menjadi tunggang langgang.
Kembalikan kepercayaan
bangsamu kepada dirimu. Ubah sikap. Ubah kemahiran. Berniaga mesti diurus secara
berniaga.