Wednesday, December 19, 2012

Make Hay While The Sun Shines


Beginilah bentuk hay yang sudah siap digulung. Saiz sebesar itu tidak mungkin dapat diangkat dengan tangan kasar. Forklift atau traktor digunakan untuk mengangkat, menyimpan dan menyusun dalam barn.
 

Hay adalah rerumput kering. Digelung atau digulung-gulung atau berbentuk bale. Makanan ruji lembu ternakan di negara beriklim sederhana adalah rumput. Lazimnya rumput alfalfa. Pada musim summer lembu dilepaskan di padang ragut. Makan setiap masa. Rumput menghijau jauh luas bak laut. Mengufuk di sekeliling. Langit bertemu bumi. Rumput dan padang ragut terus menghijau. Kawasasn yang laus itu dizonkan supaya lembu berada di kawasan yang rumputnya sesuai panjangnya untuk diragut. Bila musim winter segala-galanya hilang diliputi salji yang memutih. Terhampar luas bak permaidani.  Ketika itu rumput sudah tiada. Mati. Mengeram untuk menghijau semula di akhir musim bunga. Spring yang selalu indah. Warna warninya menghiasi alam. Pada waktu fall rumput perlu dipotong menjadi gulungan rumput yang besar. Disimpan di barn (bangsal) untuk makanan lembu semasa winter. Rumput kering? Benar? Jika tidak melihat sendiri sukar memahami bagaimana lembu makan rumput kering. Ya, rumput memang kering tetapi tidak liat bila dimakan. Seolah-olahnya rumput itu bila bercampur dengan enzyme air liur lembu rumput yang pada zahirnya kering itu menjadi seperti rumput segar. Dikunyah dan ditelan hingga ke perut. Lembu hidup segar sepanjang winter yang beku, sejuk, kaku. Tetap berisi. Banyak daging.

Saya mempelajari peribahasa Inggeris ini sewaktu saya di tingkatan dua pada tahun 1962 dahulu. Ianya membawa maksud ambillah peluang yang ada di depan mata. Jangan tunggu hingga waktu berlalu. Tidak akan ada kesempatan yang berulang lagi. Tahun hadapan cerita lain. Kitaran lain. Kesempatan yang berbeza tempat dan ketika. Sebab itu orang putih membuat hay ketika masih ada panas matahari. Ketika itu rumput masih menghijau segar. Boleh dikeringkan. Rumput alfalfa yang tahan menyimpan air dipilih sebagai hay yang baik. Sebuah syarikat makanan sihat Amway menggunakan rumput alfalfa untuk dijadikan makanan sihat. Jika lembu masih kekal sihat semasa winter kerana makan hay tentulah khasiatnya boleh dipindahkan kepada manusia. Malah sekarang ada pula minuman yang berasaskan alfalfa. Minuman kesihatan.

Sesungguhnya dalam banyak keadaan manusia berhadapan dengan situasi survival. Untuk dirinya. Keluarganya. Komunitinya. Malah jangan lupa untuk bangsa dan agamanya. Jika tidak difikir dan diusahakan tentulah tahap mati hidup manusia menjadi tersangat membawa mudarat. Mungkin pupus kerana hanya berserah kepada keadaan tanpa menjari jalan keluar yang seperlunya mengikut iklim, mengikut keadaan, mengikut suhu, mengikut keperluan. Berdoa dan menyerah kepada Allah semata-mata tentulah menyalahi tuntutan berusaha. Usaha dahulu barulah tawakal.  Setengah orang sukar mempercayai bahawa tangan yang berada di atas adalah lebih baik dari tangan yang berada di bawah. Bagaimana hendak meletakkan tangan di atas jika kita tidak memahami proses dan prosedur untuk  melakukannya. Secara akademik tentulah banyak teori dan petua yang perlu dibuat. Secara pengalaman dan praktikalnya ianya hanyalah  manifestasi interaksi manusia dengan persekitarannya. Ia dituntut memanfaatkan apa yang ada. Yang dilihat. Yang dihidu. Yang didengar. Yang dirasa. Yang dijangka dan diramal. Yang dikaji dan diteroka manfaat seterusnya.

Mungkin kerana desakan iklim dan suhu tersebut membuatkan mereka yang berada di negara beriklim sederhana membangunkan diri mereka ke tahap cemerlang. Maju dan terus ke hadapan. Kita tidak bincangkan dari aspek akhlak dan haq. Kita hanya melihat yang fizikal. Yang maujud secara material. Bila penilaian kita kepada yang hak dan beragama masih banyak yang perlu dibuat supaya kita kembali kepada Yang Khaliq. Yang paling memberi manfaat ialah mengambil hawa inisiatif bahawa semua yang Allah ciptakan pasti ada manfaatnya. Tidak ada yang sia-sia. Racun yang selalu membawa mudarat masih tetap ada gunanya. Api yang membakar tetap juga member manfaat. Kita harus selalu sedar akan manfaat yang perlu dipilih. Yang perlu dicari. Yang perlu diperkembangkan.

Panas atau sejuk adalah musim yang berganti. Pada peredaran itu ada tahap-tahap kebaikan dan kesukaran yang perlu ditangani. Yang baik tidak boleh diambil mudah. Taken for granted. Takut-takut tersilap pilih. Tersalah  menjadikannya input yang bukan hak. Yang sukar tidak boleh dihindar. Manfaatnya besar. Rahsianya besar. Melihat kepada sistem pengurusan Barat kita selalu dihidangkan dengan teori SWOT.  Strength, Weaknesses, Opportunities and Threats. Jika kita negatif maka W dan T menjadi halangan. Kekangan. Ancaman. Membantutkan arah untyk maju ke hadapan. Semua dianggap menyusahkan. Menyukarkan. Namun apabila kita bersikap positif tiada apapun yang boleh menghalang kecuali halangan itu memang datangnya dari Allah. Manusia masih boleh berusaha keras, berdoa dan tawakal. Keizinan Allah membolehkan segala-galanya. Kepada Allah hanya  kun fayakun sahaja.

 Saat saya berada di sebuah ladang ternakan itu datanglah keinsafan. Manusia dituntut memanfaat keadaan dan persekitarannya. Untuk faedah dirinya dan komuniti setempat. Tidak boleh langsung meratapi kesukaran. Menangisi kepayahan. Memurungkan diri kerana yang mudah tidak di depan mata. Mudah digapai tangan. Kesemuanya perlu diusahakan. Manakan dapat sagunya jika tidak dipecahkan ruyung. Manusia merupakan makhluk yang mudah menyesuaikan diri. Di gurun atau di kutub mereka boleh hidup. Di hutan dan di laut mereka boleh hidup. Letak di mana sekalipun manusia pasti mencari akal untuk mengambil kesempatan yang ada di depan mata. Seluruh alam ini Allah ciptakan untuk manusia. Akal budi kita yang meletakkan kita di landasan yang diredhai Allah. 



Hay Bales in a Field
 
Bergelung-gelung hay yang sudah siap untuk disimpan.



 
Selain lembu haiwan lain yang memerlukan hay ialah kuda.
 
 
 
Gelungan hay yang sedang untuk diangkut ke barn.


Hay dalam bentuk bale. Disusun berlapis-lapis. Bukan sedikit tetapi membukit tingginya. 

 
Mesin yang digunakan untuk menggulung hay.

 
Hay yang tinggi kulitinya berwarna hijau dan tidak kasar mengandungi ranting, dedaun dan sampah lain. Gambar di atas adalah hay dari rumput alfalfa.
.

 
Hay yang rendah kualitinya. Kering dan pudar warnanya. Tidak hijau seeprti hay yang baik.