Sunday, November 18, 2012

Kerepek Pisang Tanduk di Toronto


 

Jika saya katakan kepada orang Parit Raja Johor rasanya sukar mereka hendak percaya. Orang Sabak Bernam mungkin juga tidak percaya. Kedua-dua tempat ini sinonim dengan orang keturunan Jawanya. Kebetulan mereka ramai yang mengusahakan kerepak ubi, keladi, pisang dan sukun. Kerepek Sabak Bernam tidak terbang jauh. Kerepek Parit Raja tidak menyeberang lautan dan benua. Berita mengenai kerepek nampak meluas. Pameran kerepek banyak di sana sini. Cerita mengenai kerepek penuh di dada akhbar. Kita terlalu gahkan diri sendiri hingga terlupa gahnya orang lain di sekeliling kita. Di seberang jalan rumah yang saya duduki di Toronto terdapat sebuah pasaraya. Kali pertama saya mengunjunginya ialah pada hari kedua saya berada di bumi Toronto, Ontario, Canada. Setelah melintas jalan saya memandang ke arah pasaraya itu. Jantung saya terhenti sebentar. Berdegup dengan kencang. Saya terpandang bungkusan kerepek yang dipamerkan di dalam cermin pasaraya itu. Hati saya berkata, “Sampai juga kerepek Parit Raja ke Toronto!” Kita bersyukur kerana produk kita menjejak dunia.

Saya semakin mendekati bungkusan kerepek pisang yang terpamer. Longlai saya seketika. Kegembiraan saya hanya seketika. Berita baik untuk pembaca sebenarnya hanya ilusi. Tidak benar. Memang itu kerepek pisang. Pisang tanduk. Hendak tahu dari mana? Made in the Phillipine! Terlalu ironis. Itu tahun 1990. Perasaan sama yang saya alami sewaktu di US pada tahun 1985-86 dahulu. Barangan Malaysia yang ada hanya sagu rendang. Produced in Penang, Malaysia. Walhal sagu itu dari Sarawak. Ada pisang tanduk tetapi dari Amerika Tengah. Walhal barangan negara-negara jiran terlalu banyak untuk hidup jadi tidak rindu kepada  tanahair. Tanahair mengiringi mereka di negara orang. Cili api dari Filipina. Belacan dari Thailand. Ikan beku dari Thailand. Nangka muda dari Thailand. Dan banyak lagi. Mana barangan Malaysia?

Media kita sibuk dengan berita mengenai barangan kita. Gahnya seperti kita menguasai dunia. Kerepek pisang tanduk di Toronto itu memberi input kesedaran yang  bukan kepalang besarnya. Kita masih kekal menjadi jaguh kampung. Ladang kita sekangkang kera. Dusun kita sekadar sepelaung. Ada faktor ekonomi yang selalu terlepas pandang. Kita jarang memikirkan tentang tukaran wang asing. Ekonomi kita hanya memikirkan yang muluk-muluk. Yang besar-besar. Eksport kita terlalu tradisi.  Saya banyak membeli baju kemeja di US dahulu. Jenama besar seperti Pierre Cardin, Arrow dan sebagainya. Kesemuanya bukan dibuat di US. Negara-negara Asia menjadi dominan. Pada aspek lain negara membangun. Baju-baju kemeja itu datang dari negara Cina, Macau, Korea, Taiwan, Hong Kong, Vietnam, Thailand, Philippine, Indonesia, Bagladesh, India, Sri Lanka dan Pakistan. Tidak dari Malaysia. Pembaca boleh fikir barangkali. Ya. Kos pekerja kita mahal. Pelabur lari ke negara yang menawarkan buruh yang lebih murah.

Negara Cina mengeksport barangan yang dibuat dari barangan murah. Kadang-kadang bakul bunga hiasan hanya dari rerumput yang melata  di mana-mana. Kuantitinya besar. Dihantar ke seluruh pelosok alam. Dapatan pertukaran asing besar jumlahnya. Kita sepatutnya berfikir begitu. Memang kerepek kita tidak cukup untuk pasaran tempatan. Bekalan pisang hanya dari orang kampung yang menanam  pisang untuk subsistence living. Pada musim perayaan permintaan jauh melebihi penawaran pisang. Harga kerepek melambung. Kita sepatutnya berfikiran begitu. Sebahagian dari kerepek kita dieksport. Buat penyelilikan akan ketahanannya tanpa pengawet. Ketahanan dari segi masa. Dari segi perbezaan iklim. Dari segi citarasa. Jika kerepek pisang dari Filipina boleh dijual di negara maju, tiada halangan untuk memasarkan kerepek kita ke negara yang sama. Yang diperlukan ialah wawasan jauh. Ke hadapan. Merentasi pemikiran setempat. Melampaui pemikiran yang terlalu local.

Perlu ada revolusi tentang industri kerepek. Ladang-ladang yang lebih besar dan lestari dibangunkan. Ladang komersil dan professional. Jangan ketawa. Usah sengeh. Banyak negara di Amerika Tengah hidup dengan pisang. Hidup dengan tebu. Eksport mereka ke Eropah, Amerika  Utara, Korea dan Jepun. Maaflah. Pisang kita berada di tepi jalan. Gerai pisang goreng yang melata. Bila agaknya pemilik gerai itu boleh menjadi jutawan dengan pisang. Pisangnya merentas lautan. Pernah diusahakan pisang montel. Tidak saya dengar lagi ceritanya. Dulu ada cerita pisang emas. Hilang juga beritanya. Orang kita tidak melihat pisang sebagai sumber kekayaan. Sumber perniagaan. Sumber kehidupan yang lebih mewah. Lebih meringankan negara dan rakyatnya. Pisang orang mengkayakan. Pisang kita kekal di kampung.

Ada cerita lain mengenai buah. Bila berada di negara orang kita dapat menoleh ke belakang untuk melihat negara sendiri. Di sini kita selalu dimomokkan dengan kejayaan. Dengan kehebatan. Dengan keunggulan. Segala-galanya indah di mata. Sedap di dengar. Mengulit perasaan bangga. Bila di negara orang kita disedarkan bahawa ulitan kebanggaan kita hanya sesuatu yang terlalu kecil. Orang tidak kenal kita. Tidak tahu siapa kita. Tidak kisah kehadiran kita. Kita tidak punya nama besar. Belum mencapai tahap berjenama. Selagi eksport kita terlalu tradisi selagi itulah nama kita tidak gah. Kita jadi syok sendiri. Negara lain mengutip kekayaan dari barangan yang kelihatan tiada mutunya. Jika kita tumpukan kepada yang besar-besar sahaja sedangkan kuantitinya tidak seberapa maka tukaran asing menjadi terbatas. Kepelbagaian dan ragaman barangan boleh mengatasi hal itu. Sumber asli kita banyak. Yet to be tapped. To be exploited.

Walau di mana sekalipun pisang tanduk tetap begitu. Tetap pisang tanduk. Kerepeknya juga begitu. Ada yang tipis memanjang. Ada yang serong. Ada yang bulat. Setiap satunya perlukan inovasi. Kebiasaan kita membungkus kerepek dengan plastik lutsinar. Tiada jenama. Tiada pengilang. Taida label yang menunjukkan bahan ramuannya. Tarik luputnya. Khasiatnya. Banyak lagi yang perlu difikirkan. Tidak perlu? Jangan. Ia keperluan industri. Pembungkusan memberi kesan psikologi. Keselamatan dari pencemaran. Kesegaran sewaktu dimakan. Positioning dalam pasaran yang tidak terfikirkan oleh pengusaha. Kombinasi teks, literature, warna, saiz dan bahan memberi impak. Kerepek bukan sekadar kerepek. Perlu ada eksesori pada aspek pembungkusannya. Umpamanya jika dibungkus dalam kotak, kuranglah kerosakan yang mungkin berlaku. Memanglah kosnya meningkat. Pasaran dan pengguna akan tahu. Sesuatu yang diberi nilai pasti tinggi kosnya. Dari segi psikologi akan tinggi persepsi kualitinya.

Kerepek pisang bukan lagi barangan remeh. Bukan lagi barangan tepian jalan. Bukan untuk jualan di gerai-gerai kecil. Ia harus diangkat ke persada dunia. Diangkat dengan segala hal yang mengiringnya. Kita, kita yang perlu mengusahakannya. Melibatkan semua warganegara. Sudah 22 tahun kerepek pisang tanduk saya tinggalkan di Toronto. Rasanya Filipina sudah mengorak langkah lebih awal dan lebih jauh. Bukan bercakap lagi. Cukup dengan cakap yang sudah-sudah. Buktikan barangan kita dihambur ke seluruh dunia. Itu doa saya akan kejayaannya.

Musim Buah Yang Tidak Bermusim





 Ada sesiapa nak petik sendiri? Buah pear yang sedang ranum begitu sangat meriangkan hati. Bersemangat saya memetiknya. Tangga jiran yang jadi mangsa. Lihatlah betapa besarnya buah itu. Setiap sebiji tidak dapat digenggam penuh. Percuma, dua pokok yang lebat buahnya. Jenuh memakannya. Buahnya pula bergayutan rendah. Ada yang boleh dipetik dari tanah. Andainya ada di sini. Alahai! Hanya kenangan abadi. Gambar itu menceritakan segala-galanya. Suatu masa, di suatu tempat pengalaman kita bercambah.
 
 
Antara banyak makanan, saya tidak menolak jika dihidangkan dengan buah-buahan. Rasanya tidak ada buah yang terlepas pandang. Jika boleh dimakan saya pasti mencubanya. Apatah lagi bila berada di dunia orang putih. Buah-buahan mereka ranum, rangup, manis, masak dan melebihi jangkaan. Di Malaysia kebanyakan buah-buahan yang diimport belum mencapai tahap matang. Sekadar dijangka ianya masak terpaksa dalam perjalanan. Sebab itu oren dirasa masam. Epal dirasa kelat. Sukar mencari anggur yang manis. Perjalanan jauh dari negara asalnya tidak memungkinkan buah-buahan tersebut dipetik sewaktu sedang masak. Tentu rosak dalam perjalanan. Jika ada sistem penyejuk yang canggih sekalipun, iklim di Malaysia boleh merosakkannya apabila dikeluarkan dari  sistem penyejukannya. Suhu yang tinggi, lembab dan melekit cepat memudaratkan buah-buahan import. Di negara asalnya semua buah-buahan enak dimakan. Ada yang lazat. Semuanya masak. Matang. Ranum. Rangup. Di kedai buah-buahan pilih apa sahaja buah yang mengecurkan air liur. Pasti enak dimakan. Harganya padan dengan kesegarannya.
Di kawasan rumah yang saya duduki di Toronto Canada dahulu terdapat dua pokok pear. Sepohon peach dan beberapa pokok anggur. Ada beberapa kategori anggur. Ada yang manis dan ada yang masam. Yang manis tentunya untuk dimakan, dibuat kismis, jus dan bahan makanan seperti kuih dan sebagainya. Yang masam pula dibuat arak, cuka dan sebagainya. Pergi ke negara yang menanam anggur, pesta membuat arak air anggur adalah yang paling meriah. Portugal, Sepanyol, Perancis, Germany, Italy, Greece. Ini sesuatu yang menghairankan. Pelik bin ajaib. Anggur yang berlori-lori diletakkan di dalam suatu pelantar besar. Sesiapa sahaja boleh masuk ke dalam pelantar itu. Lebih ramai gadis yang turut sama lebih ramai lagi jejaka yang melompat gembira mengiringi gadis-gadis jelita tadi. Untuk apa ya? Untuk memijak-mijak buah anggur bagi mengeluarkan airnya. Ditadah di bahagian bawah. Air itulah yang disimpan peram untuk menjadi minuman yang memabukkan. Sangat sinonim hubungan antara anggur, kaki, mulut, tekak, peparu, perut dan tubuh badan. Untuk adat yang berzaman. Minuman ala kampong. Yang komersil tentu sahaja menggunakan alat-alat canggih ciptaan manusai yang lupakan Allah. Minuman terlarang yang prosesnya sahaja cukup menjijikkan. Apabila syaitan mengunci diri dan hati semuanya dilihat indah belaka. Hanya yang beriman melihatnya kekejiannya.   
Bagi orang seperti saya buah-buahan ada ceritanya sendiri. Pokok pear di belakang rumah cukup lebat buahnya. Saya memetik dengan tangan saya sendiri buah yang besar, segar, manis dan rangup itu. Saya pinjam tangga dari jiran sebelah. Bagi dahan yang tinggi saya pinjam galah jiran tadi. Banyaklah yang saya gugurkan. Buah yang melambak tadi diagihkan kepada sahabat-sahabat yang lain. Juga untuk sahabat-sahabat yang bertugas di Malaysian Students Department di Toronto. Ramai juga yang datang memetik sendiri buah-buah itu. Saya berenam dengan rakan serumah tentu sahaja tidak mampu menghabiskan kesemua buah-buah itu. Terlalu lebat dan besar-besar belaka. Biasanya saya membeli. Tetapi kali itu saya memetik dari tangkainya secara live. Bukan yang dikedai. Malah orang putih dari Sececa College of Applied Technology ada juga yang datang untuk menikmatinya. Mereka bungkus bawa balik untuk anak dan isteri.
Buah-buahan lain saya dan teman serumah beli di tempat lain. Lazimnya di kawasan masjid selepas solat Jumaat. Ramai jemaah yang menjual buah selepas solat. Anggur yang masak, segar dan menyelerakan hanya 6 Canadian Dollar. Kira-kira RM15 waktu itu. Beratnya kira-kira 10 kg. Di sini pastinya anggur seperti itu mencecah RM20/kg. Begitu juga oren, epal dan buah-buahan yang lain. Sekotak anggur kadang-kadang menjadi telalu berat untuk dibawa oleh dua orang. Yang istimewanya ialah di sana buah-buahan kesemuanya masak dan enak dimakan. Tidak ada yang terasa tidak enak. Barangkali iklimnya. Suhunya. Suasananya. Makanan jadi enak. Sesudah kembali ke tanah air rasa payah hendak membeli buah import. Harganya mahal. Rasanya tidak sama seperti di negara asalnya. Ketika mengidam sahaja terpaksa dibeli juga. Tekak dan perut teringin merasanya.
Sebenarnya musim buah tetap bermusim. Di hemispiar utara ada buah. Di hemispiar selatan ada buah yang sama. Kedua-dua kawasan beriklim sederhana in lengkap melengkapi dari segi bekalan buah-buahannya. Ada masanya buah import datang dari USA, Sepanyol, Italy. Pada waktu yag lain buah-buahan itu datang dari New Zealand, Australia, Afrika Selatan. Argentina, Chile dan Peru mungkin teralu jauh. Ini kerana apabila winter di utara bekalan buah tentu tiada. Perlu diimport dari selatan. Begitu juga sebaliknya apabila winter di selatan, buah-buahan diimport dari utara. Kita yang berada d Khatulistiwa beryukur kerana buah-buahan import kita tiada halangan musim. Sentiasa ada.  Anugerah Allah kepada penduduk yang tidak diazab dengan perubahan dan pergantian musiam yang drastik. Manusia yang mensyukuri nikmatnya sentiasa berusaha memanfaatkan apa sahaja ciptaan Allah. Difikirkan manfaatnya kepada seluruh manusia. Di sampingnya mereka mendapat ganjaran keuntungan. Berniaga dengan Allah tidak pernah ruginya. Untung dunia dan akhirat.
Cerita buah ini ada sekuennya nanti. Untuk renungan yang lebih tajam. Bahawa kita masih jauh dari berjaya. Usaha kita masih terlalu rendah. InsyaAllah ada ceritanya yang tersendiri.