Tuesday, June 29, 2010

Temuduga: Bertemu dan Diduga

Menghadiri temuduga atau temubual adalah perkara normal. Tidak ada yang luarbiasa. Panel yang menemuduga ingin melihat calon yang sesuai. Sesuai dengan keperluan organisasi. Sesuai dengan staf organisasi. Ada potensi untuk membantu organisasi mengembangkan aktiviti atau operasinya. Calon itu memiliki ciri-ciri yang lain dari calon lain tetapi bukan yang tidak selari dengan keperluan organisasi. Panel penemuduga mewakili organisasi. Bila kita melihat mereka, mendengar mereka bertanya dan berbicara, tingkah laku mereka, cara mereka berpakaian, suara mereka dan lain-lain hal yang berkaitan dengan diri mereka, itulah lambang organisasi yang mereka wakili. Sama ada anda sesuai atau tidak dengan organisasi lihatlah apa yang mereka perlihatkan.


Mereka pula ingin mencari orang-orang yang menyerupai mereka. Calon yang memiliki ciri-ciri klon mereka akan mudah mendapat jawatan yang ditawarkan. Walau bagaimanapun ada masanya mereka banyak menduga calon sehingga ada calon yang lupa bahawa mereka sedang ditemuduga. Ada panel yang sangat friendly. Ada pula yang keras kaku. Ada yang suka bergurau. Bermacam-macam lagi karenah mereka. Sebagai calon anda hendaklah sentiasa menjaga batas-batas diri. Anda sedang ditemuduga. Walaupun suasananya mungkin santai tetapi tidak bermakna anda boleh over semasa ditemuduga. Ketawa mereka, senyum mereka dan lawak mereka hendaklah diikuti dengan rasa berhati-hati dan profesional. Ketawalah secara profesional. Caranya hanya membuka mulut seperti orang ketawa tetapi tidak mengeluarkan suara. Jangan ketawa terlalu lama. Mungkin sesaat atau dua sahaja. Belajar mengawal emosi. Senyumlah seadanya tetapi dengan rasa ikhlas dan pancarkan muka yang santai - relaxed. Lawak mereka untuk menghibur bukan untuk dilayan atau disambung-sambung. Jika ditanya, jawab. Selain daripada pertanyaan seperti melawak, tidak perlu komen. Tidak perlu ada ulasan.

Jika mereka komen, mungkin tidak perlukan jawapan. Jika diminta komen barulah beri komen. Itupun tidak boleh bias, condong kepada mana-mana pihak. Cukup sekadar berkecuali sahaja. Setiap jawapan atau ulasan atau komen beri pro dan konnya. Lepas itu harmonikan pendapat. Buat rumusan. Dalam temuduga panel ingin melihat calon yang agak neutral (berkecuali). Tidak hitam atau putih. Tidak suka atau benci. Tidak ya atau tidak. Mereka mahukan orang yang natural dan profesional. Mereka yang seimbang dari segi personaliti, sahsiah, psikologi, temperament 9perawakan) dan adab sopan, budi bicara serta petah tetapi tidak menegakkan benang basah sahaja.

Pakaian tiada kompromi. Itulah ciri-ciri fizikal yang pertama dilihat dari jauh hingga dekat. Cara berjalan, lenggang tangan, langkah, kedudukan bahu dan cara meletakkan kepala adalah bahagian kedua yang dilihat. Ketiganya raut muka, mimik muka dan hal-hal yang berkaitan dengan muka. Keempat cara membawa beg tangan dan dokumen. Kelima suara. Keenam sopan santun, pemilihan kata-kata, istilah, bentuk ayat yang dibina. Ketujuh cara bersosial. Kelapan cara berhujjah, mengeluarkan pendapat, cara mempertahankan pendapat. Kesembilan pengetahuan am, semasa malah yang futuristik. Kesepuluh cara menamat dan meninggalkan sesi temuduga.

Jika jawatan yang dipohon adalah pegawai, maka selain berbaju kurung selengkapnya, pakailah blazer. Yang lain seperti biasa. Kasut yang menutup tumit dan jari kaki (bukan sandal atau selipar) dan setokin, tudung, beg tangan, kacamata, pen, briefcase, barang kemas dan solekan ala kadar. Bagi lelaki pakailah talileher dan blazer. Panduan berpakaian telah saya sebut dalam entri yang terdahulu.

Ketuk pintu sebelum masuk. Buka dengan perlahan-lahan. Tutup kembali dengan pelahan juga. Beri salam secara umum. Berjalan hendaklah dengan langkah yang tetap, santai dan bersahaja. Kemas tetapi tidak terlalu laju. Nanti dianggap kepoh. Jangan terlalu perlahan. Nanti dianggap lemban atau malas. Slow kata orang. Jangan hentak-hentakkan kaki menunjukkan rasa tidak senang. Santai, santai dan santai. Abaikan apa yang beraku di rumah, di dalam kenderaan, diruang menunggu. Fokus untk temuduga itu. Walaupun semua mata penemuduga memandang setiap langkah anda, abaikan. Anggap mereka sedang mengira langkah anda. Biar mereka penat mengira. Sama ada mereka membuat pandangan sayang atau suka atau profesional, itu bukan masanya untuk membuat penilaian. Hayun tangan selayaknya. Jangan kaku seperti robot. Pastikan bahu rata dan tidak senget. Banyak berlatih di hadapan cermin. Kepala tidak mendongak dan tidak menunduk. Pandang ke hadapan. Pandang penemuduga. Perhatikan berapa ramai, tua atau muda, lelaki atau perempuan, ada atau tidak yang anda kenal.

Berjalanlah dalam keadaan santai. Kendurkan otot di bahagian muka. Lembutkan raut muka. Macam nak senyum tak jadi. Tidak boleh sama sekali menunjukkan muka masam atau kelat atau keras. Sebelum duduk anda sudah dikira gagal. Tidak perlu menghadiri temuduga lagi. Pamerkan muka paling manis. Itulah yang termanis pernah anda lakukan dalam hidup anda. Ini bukan melawak. This is serious stuff. (Semasa mengisi borang tulislah dengan secantik dan sebersihnya. Lekatkan gambar terbaru yang paling bersahaja dan paling manis). Dalam keadaan tertentu tulisan dan gambar itu menentukan sama ada berjaya atau gagal. Tanya diri anda sendiri. Tentu anda tidak suka orang yang tulisannya comot, tidak teratur, tidak boleh dibaca dan langsung tidak ada seninya. Begitu juga anda tidak suka melihat gambar yang tidak cantik dan manis. Biasalah, anda akan mengulang lihat gambar yang cantik dan manis. Penemuduga adalah manusia seperti anda sendiri. Tiada bezanya.

Brief case, beg tangan dan dokumen mungkin anda bawa ke bilik temuduga. Bawa beg brief dengan menjinjingnya dengan tangan kanan atau tangan kiri. Beg tangan di tangan yang sebelah lagi. fail dokumen telah disediakan selengkapnya dari rumah. Muka pertama diisi dengan surat panggilan temuduga dan kad pengenalan. Bahagian kedua diisi dengan kelayakan akademuk yang tertinggi hingga yang paling rendah. Bahagia ketiga masukkan dokumen yang berkaitan dengan testimonial, surat berhenti sekolah atau apa-apa surat penghargaan sekolah serta surat-surat sokongan jika ada. Bahagian keempat isi dengan dokumen-dokumen kokurikulum yang lain. Pegang fail dokumen dengan tangan kanan dan pegang lekat ke dada. Apabila sampai ke meja penemuduga terus serahkan fail domumen kepada penemuduga yang duduk di tengah-tengah kerana dia pengerusinya. Unjukkan fail dengan kedua-dua tangan sambil berkata, "Silakan Tan Sri/Datuk/Tuan."

Jangan duduk sehingga dipersilakan duduk. Sebelum duduk ucapkan terima kasih dahulu. Letakkan beirf case dan beg tangan di atas lantai d sebelah kerusi sama ada di kanan atau di kiri serusi. Letakkan tangan di atas paha hampir ke kepala lutut. Seperti pengantin sedang bersanding. Jangan bersilang kaki. Jangan kangkang tetapi rapatkan kaki. Jangan naikkan kaki. Jangan goyang-goyangkan kaki. Bagi calon wanita rapatkan kaki tetapi disengetkan sedikit sama ada ke kanan atau ke kiri. Duduk santai, tegakkan bentuk tubuh, sandarkan ke kerusi, pandang ke hadapan dengan tenang, manis dan sopan. Banyakkan senyum di mulut dan di mata. Pancarkan kekhlasan dan kerbersahajaan. Jangan berpeluk tubuh. Jangan sentuh kepala, muka atau bahagian tubuh yang lain. Jika perlu sekali sekala sahaja. Pada waktu yang lain biarkan rasa merayap atau gatal. Sakit atau sensasi.

Berlatih untuk bercakap dengan intonasi suara yang power. Tidak terlalu tinggi hingga terasa menjerit. Tidak terlalu perlahan hingga tidak boleh didengar. Pastikan kesemua ahli panel mendengar suara anda. Keluarkan butiran suara dan perkataan sebiji, sebiji. Jangan terlalu laju, sukar orang hendak menangkapnya biji butirnya. Jangan pula terlalu perlahan hingga hilang keseronokan temuduga itu. Temuduga itu sepatutnya rancak tetapi terkawal.

Gunakan istilah dan bahasa yang sesuai. Semang terpakai dan semua penemuduga memahaminya. Jika tidak jelas minta ulang lagi. Jangan sekali-kali mengatakan, "hah?" Atau, "apa?" Calon hendaklah mendengar dengan teliti setiap yang diungkapkan oleh penemuduga. Konsentrasi penuh. Kemahiran mendengar juga diperhatikan kerena peranan ketua hendaklah banyak mendengar sungutan dan rungutan orang-orang di bawah. Belajarlah menjadi pendengar aktif.

Orang Melayu tidak menggunakan perkataan "You" dan "I". Jika ada gelaran panggil ikut protokolnya. Mungkin Tan Sri, Datuk, Tuan Haji/Hajjah, tuan/puan, dan sebagainya". Penemuduga tentulah tidak seronok jika tidak diberi penghormatan yang selayaknya. Bahasakan diri sebagai saya dan bukan I.

Sekiranya anda diajukan soalan atau isu yang kontroversil, anda hendaklah membincangkannya secara berkecuali. Walaupun anda tahu dan yakin anda berada di sebelah pihak tertentu, dalam memberikan hujjah anda hendaklah profesional dan berkecuali. Beri ualasan tentang kelebihannya. Berikan pula keburukannya. Rumus dengan mengharmonikan kedua-dua pendapat yang bertentangan itu. Jangan bertegang urat atau bertengkar semasa berhujjah. Jadikan pendapat anda sebagai bahan akademik.

Calon yang ditemuduga di Malaysia selalu sahaja tidak memiliki pengetahuan am yang meluas. Semasa masih mencari kerja, surat khabar hendaklah dibaca setiap perkataan, setiap topik. Setiap mukasurat. Setiap ulasan. Semua ruangan berita dan apa sahaja yang termuat dalam akhbar. Apa sahaja yang melintas di hadapan mata hendaklah dibaca. Berita radio dan TV hendaklah dibiasakan telinga mendengarnya. Berita pagi itu dan akhbar perdana pagi itu hendaklah dibaca.

Aapabila temuduga ditamatkan. Ucapkan terima kasih kepada penemuduga. Tinggalkan kerusi dengan perlahan. Jangan sampai kerusi tumbang. Maju ke hadapan, ambil dengan kedua-dua tangan fail dokumen yang terletak di meja penemuduga. Berhati-hati supaya tidak terambil kertas atau apa-apa dokumen yang terletak di bawah fail anda. Kadang-kadang itu juga merupakan sebagai ujian mengenai ketelitian calon dan cara calon itu mengawal dirinya.

Sebelum menghadiri temuduga, banyakkan minum air suam. Kosongkan perut dan nyahkan masalah perut pada hari temuduga. Banyak berzikir, berdoa. Santaikan diri dengan berbual, melawak atau berbual-bual santai. Jika membawa kenderaan pastikan kupon parkirnya mencukupi dan diletak di tempat yang sepatutnya.

Panduan ini hanya ringkas sahaja. Perlu juga bertanya secara peribadi dengan orang-orang yang mahir tentang protokal dan etiket. Lihat cara-cara orang besar atau peemimpin mempamerkan diri mereka. Berlatih untuk meningkatkan imej diri. Yang lain serahkan kepada Allah. InsyaAllah.