Monday, April 13, 2015
Cinta Lelaki Melayu
Apabila usia menjejak kemilau emas ramai lelaki Melayu
hilang serinya. Benarkah cinta itu datang hanya sekali? Datangnya semasa
berputik kasih dan sayang. Semasa mata bertentang mata ketika kelu lidah untuk
berbicara. Hanya bahasa tubuh yang memperlihatkan adanya pancaran cinta itu. Putik
bunga yang memekar wangi diandaikan segar
ke alam rumahtangga. Maka dari putik-putik cinta itu lahirnya zuriat berlapis
generasi. Dari anak, cucu dan mungkin cicit bagi yang panjang usianya. Malah
ada yang hingga lima generasi. Lelaki Melayu secara tradisinya sangat pasif
dalam bercinta. Walaupun cintanya kepada
pasangannya telah berputik dan mekar tetapi ia tidak dilihat membelainya hingga
ke akhir zaman. Ada sesuatu yang hilang dalam pandangan umum mengenai cinta
lelaki Melayu. Semakin dimamah usia maka semakin hilang sinar cinta pada
wajahnya. Yang tinggal berbaki hanyalah tanggungjawab, pengorbanan dan kerja
keras membereskan hal-hal rumahtangga. Dilihat tiada lagi kesyahduan cintanya.
Hilang seri paduan asmaranya. Barangkali tradisi dan budaya menjadikannya
begitu. Diwarisi dari generasi ke satu generasi berikutnya. Walaupun trend
semasa sudah banyak berubahnya namun hanya yang benar-benar melalui perubahan
budaya, membuat perubahan yang membelai cinta. Lelaki Melayu tradisi masih
dengan persepsi lama. Cinta diganti dengan tanggungjawab. Tanggungjawab itu
pula seolah-olahnya tamat apabila pengorbanan sudah tidak diperlukan lagi. Apabila
anak dan cucu dilihat sudah boleh
mengambil alih tugasnya membereskan keluarga.
Lelaki Melayu tidak seperti lelaki Barat atau lelaki
di negara lain yang kasih dan sayangnya abadi hingga ke akhir hayat. Ada yang
mengekalkan tradisi mengasihi pasangannya walaupun telah meninggal dunia.
Membina tugu. Menatap gambarnya. Mengumpul cebisan harta bendanya menjadi
sebuah muzium cinta di rumah yang usang. Yang telah sunyi dari cinta fizikal.
Seperti Shah Jahan mengabadikan cintanya kepada Mumtaz dengan membina Taj
Mahal. Ada juga yang menerbitkan memoir cinta abadi mereka. Agus Salim di
Indonesia semasa hayatnya tidak lekang berpimpin tangan dengan isterinya
walaupun mereka sangat lanjut usianya. Berapa ramai lelaki Melayu yang dapat
berbuat begitu. Tentunya sangat sedikit dan boleh dibilang dengan jari. Ada
sesuatu yang agak luar biasa tentang pasangan Melayu dan Islam. Mereka enggan
menunjukkan kasih sayang di hadapan publik. Malu dan sangat malu menunjukkan
realiti. Kepada mereka kasih sayang tidak perlu dipertontonkan kepada orang
lain. Ironisnya ramai lelaki Melayu mempamerkan kasih sayang yang luar biasa kepada
pasangan cintanya yang belum sah bersuami isteri. Yang belum halal. Yang belum
lagi menjadi mahram. Di jalanan mereka pastinya berpegangan tangan. Terlalu
romantik. Seperti sudah menjadi kebiasaan yang tiada apa-apa. Malangnya apabila
mereka menjadi sah bersuami isteri pegangan tangan itu terungkai. Malu dilihat
orang! Kebersamaan yang seperti terpaksa.
Apakah ada halangan agama menjadikan segalanya
dibataskan tanpa kecuali. Mungkin di khalayak umum kasih dan cinta itu dibatasi
malu dan adab sopan tetapi di belakang khalayak sifat itu terbawa-bawa.
Bicaranya terbatas kepada yang perlu. Tugasnya menyediakan bahan makanan dan
ubatan. Atau mungkin pakaian. Senyuman sangat mahal. Tawa juga seperti sengal
rahang di mulut. Gerak gerinya seperlu yang dituntut sahaja. Benarkah halangan
sosial membatasi kasih sayang. Mungkin ada suara-suara yang laser. Sudah lanjut
usia tidak sedarkan diri. Berlagak seperti tidak pernah tua. Kerana itu lelaki
Melayu membiasakan diri sebagai lelaki Melayu. Layu kasihnya. Layu sayangnya.
Layu layanannya. Layu ambil tahunya. Dekatnya ketika perlu. Jauhnya
diselalu-selalukan. Bicaranya hanya pada waktu-waktu. Segalanya layu bersama
lanjutnya usia.
Tidak ramai yang tahu. Tidak ramai yang maklum hati
budi seorang isteri yang dimamah usia. Perasaan halusnya yang terpendam. Yang
tertekan dalam gundah lama. Hasrat bersama yang selalu tertunda. Menunggu belai
dan usap. Sentuh dan picit. Apakah kulit berkedut sudah tiada lagi naluri cinta
dan sayang. Apakah keuzuran hanya layak untuk diabaikan. Layunya gemala hati
kerana terlalu lama hilang sentuhan indah sewaktu dahulu. Sewaktu sama-sama
segalanya sangat indah. Malam yang penuh gemerlapan bintang. Purnama yang penuh
menerangi hati. Hari-hari yang berlalu dengan insutan manja waktu. Sampai
masanya kesemua itu hilang jua. Pudar bak warna dimamah mentari. Layu bak bunga
yang gugur dari tampuknya. Masa telah berlalu. Hanya pasrah seorang isteri
Melayu. Namun begitu senerio ini merentas juga budaya, etnik dan bangsa. Ramai
beranggapan cinta dan kasih sayang hanya layak untuk yang muda. Yang lanjut
usia hanya layak untuk melihat. Menonton adegan-adegannya yang pernah dilalui sewaktu
masa muda dahulu.
Barangkali yang muda seeloknya mengambil iktibar.
Belajar dari pengalaman orang tua. Bahawa budaya boleh diubah seperlunya. Kasih
sayang perlu ditambah nilai setiap fasa kehidupan. Yang tua ialah usia. Tetapi
hati tetap segar muda jika dibelai mesra. Jika dibaja dengan kasih sayang yang
berpanjangan. Lelaki Melayu perlu banyak lagi belajarnya. Mengambil lagi ilmu
baru yang tiada dalam kamus hati lelaki Melayu sebelumnya. Hidup yang panjang
diperhias dengan keindahan taman-taman kasih yang baru. Yang menghidup segar
jiwa tua yang dihalang untuk layu. Sewaktu bersendirian dahulu seorang lelaki
perlukan Hawa di sisinya. Hawa itu kembali di sisinya sewaktu tuanya. Kekal
abadi semasa hayatnya. Yang diperlukan ialah kesedaran bahawa Adam dan Hawa tidak
pernah berpisah semasa hayat dan wafatnya. Kerana itu tiada sesalnya bersama
hingga akhir hayat selagi kudrat rasa cinta itu kekal ada. Ia tidak perlu
hilang kecuali disengajakan. Tidak perlu ketandusan kasih sayang kecuali
memaksa diri berbuat demikian.
Persepsi lelaki Melayu inilah yang perlu diubah.
Diberi nafas baru. Diperindahkan dengan hiasan cinta dan kasih sayang pasangan
lanjut usia. Kemilau emas tempawannya memancar menyilau anak cucu. Jadi suri
teladan yang berpanjangan. Semoga kesinambungannya bersama anak cucu yang
terkemudian. Sejarah cinta dan kasih sayang yang diulang-ulang indah sepanjang
zaman. Cerita realiti kehidupan seperti dongengan purba. Dipanjangkan dari satu
generasi ke generasi berikutnya. Tanpa keindahan berumahtangga seperti itu
sejarah keindahannya luput ditelan zaman yang berganti silamnya. Seandainya
waktu lama lagi bergantinya biarlah cinta dan kasih sayang lelaki Melayu
memanjang deretan cerita indah. Memagari bulan dan bintang yang terus-menerus
bergemerlapan. Kekurangan semakin banyak. Kudrat dan pancaindera terhakis
kerana usia. Namun di sebalik itu semua keindahan abadi masih utuh adanya.
Subscribe to:
Posts (Atom)