Banyak juga berjalan sejak akhir-akhir ini. Kebanyakannya atas urusan Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda yang DiPertuan Agung. Urusan rasmi universiti. Bila banyak berjalan luaslah pemandangan. Banyak yang dilihat. Dalam pada itu banyak juga yang dilihat. Diperhati. Direnung. Banyak kekurangan yang dilihit di sekeliling. Di persekitaran. Kadang-kadang tidak banyak berubahnya mentaliti orang kita. Sikapnya terhadap bebrapa perkara masih belum dapat diterima sebagai baik. Jauh dari keunggulan. Payah hendak berubah. Sukar untuk melakukan sesuatu yang baru. Barangkali tidak reaktif. Yang kita minta ialah sensitif. Yang lebih baik ialah proaktif. 55 tahun merdeka tidak banyak merubah sikap.
Bila saya banyak berjalan jauh, makan minum menjadi bebanan berat. Sukar mencari makanan Melayu yang disajikan dengan berkualiti. Yang disediakan dengan kualiti yang tinggi. Yang premisnya berkualiti. Yang persekitaran luarnya berkualiti. Yang layanannya berkualiti. Yang pramusajinya berkualiti. Yang pilihan menunya berkualiti. Hatta serba serbinya berkualiti. Ada kriteria yang sepatutnya diamalkan. Yang sepatutnya menjadi budaya dan darah daging. Saya menjadi lemas kerana banyak kriteria yang jarang dipatuhi. Kita masih menganggap semuanya lumrah. Itulah kita dan kekitaan kita. Malas juga menjadi orang yang cerewet. Malas menjadi orang yang banyak karenah. Banyak songel. Nanti kata orang kita sahaja yang betul.
Benar. Sampai juga terasa begitu. Kenapa dalam perniagaan makanan ramai orang yang tidak mengambil faham akan kriteria keperluannya yang wajar. Bahawa makanan bukan sebarang item. Bukan boleh diniagakan sebarangan. Kita bicarakan tentang aspek halal. Aspek suci. Aspek toyyibah. Aspek kesihatan. Aspek keselesaan. Aspek keyakinan. Aspek pahala dan dosa. Aspek ekonomi. Aspek Islam. Aspek darah daging. Aspek akhirat dan dunia. Aspek jati diri Islam. Aspek negara. Aspek bangsa. Dan……… banyak lagi. Senarainya panjang. Itupun jika kita peka dengan kebaikan dan yang positif. Jika kita berkhayal maka senarai itu sangat pendek. Senarai yang telah saya beri itupun sudah terlalu panjang. Berniaga kecil-kecilan apalah yang perlu terlalu serius untuk difikirkan. Itu bezanya antara kita. Pelanggan sekarang sudah semakin canggih. Bagi sesetengah mereka harga bukan isu. Yang lebih penting ialah isu-isu lain. Isu yang menjadi hiasan luaran kepada penyediaan makanan. Pelengkap. Kesempurnaan.
Semua orang Islam mengetahui istilah halal. Cuma barangkali ada orang yang tidak mengetahui sedalam-dalamnya aspek halal. Seorang ‘alim di Negeri Sembilan termuntah-muntah selepas memakan sayur hidangan keluarganya. Bila ditanya, anaknya yang bertugas pada hari itu sengaja tidak menyamak sayur yang dibeli dari pasar. Bayangkan. Sayur yang dibeli dari pasar perlu disamak. Kita mana tahu. Saya tidak tahu. Tuan tidak tahu. Yang kita nampak sayur itu bersih. Yang kita lihat sayur itu halal. Kelihatannya suci. Adakah bajanya halal? Adakah racun serangganya halal? Adakah tangan yang memetik sayur itu halal? Adakah tangan yang menimbang sayur itu halal? Itu belum yang mengikat. Yang mengangkat. Yang memunggah ke atas lori. Yang memunggah turun dari lori. Allahuakbar. Parah kita jika difikirkan. Bayangkan seorang peniaga makanan hanya mencelup sayur yang dibeli dari pasar. Dicencangnya sayur itu lalu ditabur dalam mee di kuali. Dihidangkan kepada kita yang menunggu berjam-jam. Tanggungjawab siapa. Kita yang makan perlu juga tahu. Yang berniaga juga sepatutnya lebih tahu. Pihak yang berwajib perlu juga memberi garis panduan. Prosedur. Senarai semak. Ini soal halal dan haram. Jangan, jangan dianggap ini soal remeh. Ia akan menyangkut hingga ke akhirat. Ini soal darah daging kita. Soal anak dan isteri kita. Ini soal generasi kita. Orang Islam seluruhnya. Sangat mengerikan jika difikirkan. Kita terlalu mengambil mudah. Makanan yang asalnya halal berubah statusnya kerana akal budi manusia yang tidak mengenal batas halal dan haram. Sama-sama kita fikirkan.
Itu baru bahannya. Premis tempat penyediaan makanan jarang yang mencapai taraf A. Banyak kedai hanya mencapai taraf B. Itupun masih boleh dipertikai. Di negara maju saya mungkin lebih yakin dengan pentarafan mereka. Jika A memang first class. Tip top. The best you can go. Di sini banyak kelonggarannya. Kedai makan yang bertaraf B masih banyak cacat celanya. Tandasnya berbau. Tidak bersih sangat. Lubang jambannya comot. Lantai kedainya tidak cantik seperti cermin. Dinding kedainya comot. Iklan ditampal merata-rata. Hanya menyilaukan mata. Pinggan mangkuknya seperti berkarat. Plastik yang menyerap segala warna makanan. Sudu dan garpunya hitam. Cawannya berdaki dari luar hingga ke dalam. Mejanya berminyak. Melekit. Comot. Mengotorkan baju. Bila tersentuh siku terasa melekat. Kerusinya? Fulamak. Ada bekas tapak kaki anak-anak kecil. Orang kita kadang-kadang tidak peka. Cantiklah bawa anak-anak makan. Tetapi janganlah biarkan anak-anak memijak kerusi dengan kaki. Geli pelanggan lain hendak duduk. Samalah di pasaraya, anak-anak duduk dalam troli. Dengan kasut sekali. Kita kenalah peka. Pelanggan menggunakan troli untuk mengisi makanan. Buah, sayur, ikan dan apa sahaja makanan. Satu hal juga. Ibu bapa tidak ada kepekaan yang tinggi untuk sama-sama menjaga kebersihan. Mungkin anak terbuang air kecil. Mungkin ada yang terbuang air besar. Bila difikirkan, ngeri juga hendak menggunakan troli di pasaraya. Geli geleman jadinya.
Pakaian staf kedai makan bagaimana? Ini juga aspek yang selalu terabai. Sepatutnya mereka tidak boleh memakai selipar. Bila mereka berjalan, dari arah tumit akan naik percikan air ketika dia keluar dari tandas. Ketika lantai basah. Ketika hujan. Percikan yang naik ke seluar atau kain tidak nampak jijiknya. Bagaimana jika percikan itu naik sampai ke meja. Ke pinggan. Ke makanan. Pakailah kasut. Pakailah juga sarung kepala. Semua pengendali makanan di negara mana sekalipun mereka memakai tudung kepala. Mungkin topi. Bagi yang Islam tiada kompromi. Pakailah tudung. Wajib. Padankan pula dengan pakaian yang longgar. Makanan halal jika pramusajinya tidak menjaga adab makanan maka konsep halalan toyyibah itu akan terhakis. Hilang nilai Islamnya. Bila keluar masuk tandas basuhlah tangan dengan sabun khusus kerana staf kedai makan itu bertanggungjawab terhadap kebersihan dan kesucian makanan yang disajikan. Aspek kesihatan mesti diutamakan pula. Minta maaf, staf lelaki jangan sekali-kali merokok. Saya ulang jangan sekali-kali merokok. Jangan merokok ketika bertugas. Tangan kotor terkena air liur. Air liur yang toksik kerana rokok dibuktikan mengandungi banyak bahan beracun. Jika hendak mencemarkan diri, hanya untuk diri sendiri. Tolomg jangan cemarkan orang lain. Pelangganpun kenalah cari tempat yang bebas dari rokok. Saya cukup lemas dengan suasana yang penuh dengan asap rokok. Lemas hingga tidak boleh bernafas. Ibarat kata, janganlah bunuh diri sendiri. Dan janganlah bunuh orang lain yang ada di sekeliling. Apatah lagi mereka adalah orang-orang yang dikasihi kononnya. Tolonglah jangan bunuh mereka. Rasa-rasanya sudah ada pula bukti bahawa rokok mengandungi bahan dari babi. Ya dari babi. Sekarang ini banyak sangat bahan dari babi yang ditambah ke dalam makanan atau ubat-ubatan. Rokok satu daripadanya.
Paling menyeksakan ialah layanan pramusaji. Lambat mengambil tempahan. Akhlak lemah lembut tidak dijaga. Bekerja seperti terpaksa. Angin selalu tidak baik. Majikan tidak peka dengan keperluan pelanggan. Mereka hendak makan. Tetapi perlu segera. Keperluan pelanggan perlu diutamakan. Keselesaan pelanggan perlu diutamakan. Kesegeraan perlu diutamakan. Dari mula pelanggan memberhentikan kereta atau kenderaan, sudah ada pramusaji yang menunggu untuk member layanan terbaik. Muka manis. Lemah lembut. Senyum. Ucap salam. Terima kasih kerana singgah. Apa khabar? Tarikkan kerusi. Lap meja walaupun meja sudah bersih. Perhatikan kerusi bersih. Jika tidak cukup meja dan kerusi kerana pelaggan ramai cepat-cepat berikhtiar untuk mencantumkan meja. Tambah kerusi dan sebagainya. Layan pelanggan seperti tetamu istimewa. Layanan yang sebegitu menjadi tarikan. Kena bayar lebih sedikitpun tidak menjadi hal. Senangkan hati pelanggan. Nanti cerita kebaikan itu akan tersebar jauh. Mereka kan datang berulang-ulang kerana kebaikan itu. Jangan biarkan pelanggan termangu-mangu tanpa layanan. Seolah-olahnya apabila mereka sampai, terkam mereka seberapa segera. Penuhi apa sahaja pertanyaan. Pramusaji kena tahu setiap makanan yang disediakan. Jika boleh dengan apa perencahnya sekali. Pelanggan ingin tahu. Ada setengah dari mereka yang alah dengan sesuatu. Walaupun penyediaan makanan standard di kedai itu, tanya pelanggan akan keperluan-keperluan khusus mereka. Mungkin alah dengan sesuatu makanan. Semalam saya singgah di sebuah kedai makan. Lebih 10 minit kami menunggu. Pramusaji berulang-alik. Hanya memandang tetapi tidak datang mendekat. Cukup 10 minit saya dan isteri tinggalkan kedai itu. Kami tidak rugi apa-apa. Mereka hilang sekurang-kurangnya RM10. Janji kami ialah, mungkin kami tidak akan menjejak lagi ke kedai itu. Banyak lagi kedai lain.
Pelanggan yang singgah bukan untuk santai-santai. Benar, ada yang begitu. Kebanyakannya tidak. Ramai orang yang sibuk. Banyak urusan yang perlu dibuat. Yang perlu dikejar. Menghambat masa selalu. Mereka ini perlukan layanan segera. Sesudah diambil tempahan, penyediaan makanan perlu pula disegerakan. Secepat yang terdaya. Jangalah ketika itu baru hendak mencari sayur. Baru hendak memotong bawang. Baru hendak membersihkan serai. Baru hendak membeli kicap. Baru hendak menuang gula. Buka sahaja kedai semua bahan dan ramuan dan segala-gala keperluan disediakan lebih awal. Ambil inisiatif untuk melakukannya. Ingatlah, pelanggan mahu segera. Mahu cepat. Mereka bukan jenis yang menunggu kedai. Meramaikan suasana. Mereka perlu makan segera. Perlu meninggalkan kedai itu segera. Tugas banyak menanti. Oleh itu latihlah staf untuk memberi perhatian kepada pelanggan. Perhatian kelas pertama. Jangan, jangan abaikan walau apapun karenahnya. Mereka sanggup membayar kerana layanan baik. Kerana karenah mereka dipenuhi. Menafikan, bermakna itulah sekali dia datang. Wangnya yang banyak akan diberikan kepada peniaga yang memnuhi kehendak dan keperluan khususnya.
Akhirnnya jangan lupa membersihkan sisa makanan. Jika banyak sisa makanan di meja tolonglah jangan sapu dan buang ke lantai. Itu sisa makanan. Orang ‘alim cukup marah jika kita memijak makanan. Bukan itu sahaja, nanti melekat pula di kasut. Lantai jadi kotor, comot, cemar dan tidak kemas. Tidak cantik. Mungkin juga boleh menjijikkan. Lagipun lalat dan langau akan datang. Menghurung dan mengganggu. Menjijikkan pula. Itu belum semut dan segala yang merayap. Buang sisa makanan dengan mengutipnya ke dalam pinggan bekas makanan pelanggan. Masukkan ke dalam bekas untuk dikumpulkan. Jangan buang ke dalam longkang. Parit dan longkang keliling kedai mesti dibersihkan. Mesti. Sangat perlu dibuat begitu supaya persekitaran bebas dari kotoran. Dari bau-bauan yang menyakitkan hidung. Yang kadang-kadang hingga melemaskan.
Pendek kata berniaga bukan semudah hanya menjual dan membeli. Bukan semudah bertukar wang ringgit. Bukan sekadar masak dan makan. Ambil berat hal-hal yang berkait dengan penyediaan makanan. Ia berkait dengan halalan toyyyibah. Kesuciannya. Aspek kesihatannya. Alam sekitarnya. Begitu juga aspek-aspek kemuliaan makanan. Penyediaannya. Tanggungjawabnya. InsyaAllah jika makanan itu diniagakan kerana Allah, Allah akan memberi balasan yang terbaik. Baik untuk peniaga. Baik untuk pelanggan. Mudah-mudahan begitu.