Siapa duda dan siapa balu? Duda hidup
membujang. Bercerai hidup atau bercerai mati. Statusnya bujang. Tua atau muda
hanya membilang usia. Realitinya dia lelaki yang eligable, available dan
kemungkinan besar viable. Yang muda mungkin masih kecil anak-anaknya.
Sementara yang sudah menjadi warga emas sudah ramai cucunya. Sebagai lelaki,
duda memiliki sifat memerlukan teman. Mencari rusuk kirinya yang hilang apabila
berseorangan. Ketika bujang kembali (setelah ketiadaan isteri) ramai yang tidak
betah hidup berseorangan tanpa seorang wanita yang mengurus kehidupannya. Sudah
lama berpasangan. Makan dan minumnya.
Kemas dan siapnya rumah. Tidur dan baringnya. Pakai dan sandangnya. Duda muda
pula mencari ibu untuk anak-anaknya yang masih kecil. Yang memerlukan kasih
sayang seorang ibu. Kerana lazimnya lelaki keluar rumah, maka sukar mengurus
kerja dan rumahtangga sekaligus. Kerana itu duda muda sangat perlukan pembantu
yang intim dengannya. Bukan pembantu profesional. Seorang pembantu bernama
isteri. Bergelar ibu kepada anak-anaknya. Memberi ruang kepada anak-anak untuk
mengecap anugerah ibu kepada mereka.
Duda yang kematian isteri tidak banyak bezanya
dengan duda yang bercerai hidup. Yang namanya lelaki selalu rindunya pada
wanita tidak pernah surut. Ingin intim menuai masa tua yang santai. Nostalgik akan
masa muda yang sudah lama berlalu. Romantik bak Romeo dan Juliet yang tidak
mengenal usia. Pasangan lelaki dan wanita bak irama dan lagu kata P. Ramlee. Terpisah
tiada. Ketiadaan wanita di samping suatu kekosongan yang mahu diisi. Melanjutkan
perjalanan berumahtangga walaupun silih berganti pasangan. Begitulah fitrah
manusia dan kemanusiaannya. Hidup berpasangan memenuhi tuntutan sunnatullah. Kembara
hidup berkeluarga hingga sampai ke syurga. Pelayaran rumahtangga yang perlukan
kekuatan fizikal dan mental. Maka pasangan menjadi sumber kekuatan untuk
meneruskan hidup yang berbaki usia.
Balu pula berbeza dengan janda. Balu kematian
suami. Janda bercerai dengan suaminya. Antara keduanya balu dan janda tiada
banyak bezanya. Janda mungkin banyak
marah dari redha kerana dicerai suami. Walaupun kadang-kadang itu yang
melegakan tetapi implikasinya seorang janda berhadapan dengan berbagai reaksi.
Yang belum ada anak lebih aman dari yang sudah beranak banyak. Lelaki yang
tidak bertanggungjawab melepaskan kesemuanya kepada jandanya. Semasa menjadi
suami semua beban ditanggung isteri. Sesudah menduda ia bebaskan dirinya dari
bertanggungjawab. Jika bekas suami bertanggungjawab, perceraian hanya
perpisahan tetapi tanggungjawab anak dan jandanya masih dalam tanggungannya.
Kedua-duanya lebih aman dari berperang perasaan. Tanggungjawab tetap menjadi
beban bersama. Mencari suami sekadar suami sangat mudah. Mencari suami yang penuh
bertanggungjawab dalam apa jua keadaan sangatlah sukar. Sewaktu menjadi suami
penuh bertanggungjawab. Sewaktu berpisah masih kekal penuh bertanggungjawab.
Perceraian dikira jalan terbaik kerana keharmonian rumahtangga tidak tercapai.
Berpisah dengan penuh tanggungjawab.
Balu yang ramai anaknya berhadapan dengan
pelbagai situasi. Baik dan buruk. Positif dan negatif. Walaupun pesaka si suami
berlonggok-longgok, balu tetap kalut berhadapan dengan situasi semasa. Yang
difikirkan ialah masa hadapan tanpa seorang lelaki bernama suami. Yang telah
pergi terlebih dahulu kerana Allah sayang padanya. Cerita lazim orang Melayu
sangat sinonim. Janda atau balu muda banyak sukarnya. Mata wanita lain banyak
yang juling memandang mereka. Semuanya waspada takut suami terjebak kasih
dengan mereka. Semuanya takut jika terpaksa pula membantu mengurus mereka. Anak-anak
masih kecil. Saudara mara mungkin jauh. Tetapi sebagai ahli masyarakat yang
perihatin wajar ibu tinggal tanpa mengira statusnya, diberi bantaun yang
mewajarkan ia meneruskan hidup bersama anak-anak yang masih kecil umpamanya. Biarkan
mereka membawang sesuka hati. Jika boleh janganlah bawang itu
dibanyak-banyakkan.
Duda dan balu atau janda biarlah mereka mencari
pasangan lain. Cepat atau lambat adalah ketentuan Allah. Jodoh mereka. Barangkali
ramai yang tidak senang jika mereka berkahwin semula. Terlalu baru pasangan
mereka pergi. Tidak perlu tergesa-gesa mencari pengganti. Orang lain hanya
melihat. Hanya memandang. Hanya dari jauh. Mereka yang menanggung beban
perasaan tiada siapa yang tahu. Ada duda kekal menduda. Ada yang berkawhin juga
akhirnya . Mencari bahagia yang baharu. Ada juga balu kekal ke akhir hayat. Ada
yang segera menikah. Masaing-masing ada sebab yang kukuh untuk apa sahaja
tindakan yang mereka lakukan. Kita yang melihat wajar mendoakan mereka. Biar mereka
bahagia. Hidup harmoni. Asas keharmonian masyarakat.
No comments:
Post a Comment