Monday, January 9, 2023

KWSP Untuk Masa Tua

Bagi pesara, KWSP sudah berlalu. Sewaktu bersara dahulu adalah beberapa ribu. Tidak banyak kerana dalam sistem pencen kerajaan. Bagi anda yang mencarum dalam sistem KWSP kenalah berbanyak ingat bahawa caruman setiap bulan yang anda buat adalah untuk hari tua. Hari pencen. Hari ketika sudah tidak bekerja lagi. Ketika sumber pendapatan tetap bulanan sudah tidak ada lagi. Jika anda beringat tentang hari tua seharusnya jangan keluarkan wang simpanan KWSP anda. Bila sudah tua dan sudah bersara, tiada siapa yang akan bantu anda. Kecuali ada anak-anak yang berjaya dan ada harta untuk jaminan masa tua. Apabila kerajaan mengizinkan pencarum mengeluarkan simpanannya, anda kehilangan yang berikut: 1. Simpanan anda berkurangan dengan jumlah yang anda keluarkan. Maka yang tinggal sangat berkurangan jika anda berjawatan biasa dan berpendapatan rendah. (Mereka yang bergaji besar tidak mengeluarkan simpanan mereka). Pengeluaran simpanan KWSP dikhususkan untuk mereka yang berpendapatan kecil dan tidak memiliki simpanan lain. 2. Wang yang dikeluarkan tidak akan mungkin ditambah lagi sebanyak yang dikeluarkan. Yang kurang tetap kurang dan tidak akan kembali seperti asal. 3. Walaupun kerajaan mengizinkan simpanan anda dikeluarkan, wang yang dikeluarkan itu adalah wang anda untuk hari tua anda. Bukan wang kerajaan. Nota: Kerajaan yang mengizinkan anda mengeluarkan wang anda tidak semestinya kerajaan yang baik. Mungkin perasaan anda tertipu kerananya. Kerajaan yang sama mungkin tidak ada lagi ketika anda bersara dan tidak boleh lagi membantu anda. Kerajaan yang tidak mengizinkan anda mengeluarkan simpanan KWSP anda bukan bermakna tidak baik. Kerajaan ini kesihan kepada masa tua anda. Mungkin ada cara lain yang lebih menjamin masa tua anda. Persediaan masa tua: 1. Sudah ada rumah sebelum bersara. Usahakan walau apa pun saiznya. Ikut kemampuan anda masing-masing. 2. Berusaha menyimpan dengan berdikit-dikit. 3. Banyak bersedekah terutama pada waktu Subuh. In syaa Allah jika tidak kaya harta Allah beri rezeki anak yang bijak pandai, cukup makan, gembira dan bahagia serta kesihatan untuk semua ahli keluarga anda. 4. Jika ada peluang, ada kudrat, ada bantuan buatlah kerja tambahan. Contohnya berniaga kecil-kecilan, menjadi guru al-Quran dan sebagainya. Allahua'lam.

Bekerja Tanpa Mengira Ruang dan Masa

Apa bezanya antara tua, pesara dan warga emas? Sukar juga membezakannya. Senonim dengan istilah tersebut ialah berehat, membebaskan diri dengan kesibukan dan keriuhan, akan berulit dengan cucu dan tenang santai tanpa rutin yang menyesakkan, merimaskan dan tanpa stress. Namun bagi mereka yang biasa sibuk dan hidup dengan rutin, bersara ketika tua perlu diisi untuk memenuhi yang berikut: 1. Kekal cergas fizikal dan mental. 2. Kekal cerdas minda dan kebiaksanaan. 3. Kekal cerdas emosi. 4. Kekal daya ingatan. 5. Kekal dengan aktiviti amal. 6. Terlibat dengan aktiviti agama. 7. Terlibat dengan aktiviti sosial. 8. Terlibat dengan aktiviti ekonomi yang tiada risiko atau yang rendah risiko. 9. Cergas bergerak dan lincah dengan berbagai aktiviti bermanfaat. Aktiviti yang terancang selepas bersara: 1. Merealisasikan aktiviti tertunda. 2. Kembali melaksanakan hasrat hati yang terpendam. 3. Merealisasikan potensi diri yang dipendam. 4. Meramaikan rakan baru. 5. Membanyakkan aktiviti baru. 6. Menjaga kesihatan. 7. Berkongsi pengalaman: kejayaan dan kegagalan. Seperkara lagi yang selalu tidak boleh diabaikan ialah belajar lagi. Apa sahaja yang memberi manfaat diri dan orang di sekeliling. Mungkin ilmu baru atau kemahiran baru. Dengan dinamika diri, aliran pencarian ilmu tidak terhenti dan terhalang. Minda terbuka untuk meneroka dunia baru yang bersiri dan menanggapi kelainan-kelainan yang Allah izinkan. Mencari, mencuba dan berusaha banyak sangat ganjarannya. Alhamdulillah diberi rezeki kesihatan, idea baru, dibantu rakan baru atau bergabung dengan rakan baru. Pastinya terlahir sinergi yang di luar jangkaan diri sendiri dengan izin Allah. Masa tua tidak boleh dijadikan alasan untuk berehat memanjang. Sisa-sisa usia yang berbaki perlu dimanfaatkan hingga ke hujung usia. Tinggalkanlah sebagai warisan ilmu dan kemahiran yang bermanfaat, idea yang panjang natijahnya, contoh teladan yang menjadi ikutan. In syaa Allah pengakhiran diri kita diperbanyakkan manfaatnya.

Struktur Pengajaran dan Pembelajaran

Kepada semua orang Islam, al-Quran adalah wahyu yang menjadi pendakap seluruh kehidupan orang Islam. Al-Quran menjadi fardu ain iaitu wajib ke atas semua individu Muslim dan Muslimah. Tidak ada alasan dan tidak ada apa dalih sekalipun. Alhamdulillh bagi mereka yang sudah boleh membaca dengan lancar. Alhamdulillah bagi mereka yang sedang mempelajarnya. Bagi yang belum, sila segerakan selagi masih ada usia yang berbaki. Bila hendak mula mempelajari al-Quran? Untuk orang dewasa dan remaja boleh mulakan pada bila-bila masa saja. Bagaimana dengan kanak-kanak? Bila masa terbaik mereka perlu mula mempelajari al-Quran? Usia 2 hingga 6 tahun Mulakan seawal usia 2 tahun dengan juzuk am seperti Fatihah dan surah-surah yang pendek. Khatamkan juzuk am atau juzuk ke-30. Mahir dan hafal untuk dibaca ketika solat. Lakukan: 1. Semasa berada dalam kereta/kenderaan. Sama ada ketika berjalan- jalan, pergi dan balik dari sekolah, berjalan jauh (balik kampung). 2. Setiap malam apabila berkumpul seluruh ahli keluarga. Pada hujung minggu. Pada cuti sekolah. Cuba usahakan supaya anak-anak khatam al-Quran pada usia 6 tahun. Sebelum mereka memulakan usia persekolahan pada usia 7 tahun. Sewaktu di sekolah kebangsaan carikan guru supaya mereka boleh menghafal al-Quran. Larangan 1. Jangan ajar lebih awal kecuali ا ب ت dan ayat-ayat al-Quran. Satu dua tiga, a b c dan one two three ajar kemudian. Tetapi pada usia sebelum memulakan persekolahan 2. Mesti istiqamah/konsisten setiap hari supaya menjadi kebiasaan dan gaya hidup berteraskan al-Quran. In syaa Allah

Kembali Memelihara Ayam

Apa masalah orang Malaysia? Orang macam saya, macam kita dan macam Melayu. Setelah Merdeka, kita semua hendak senang yang paling senang. Apabila hendak makan kita beranggapan semuanya terhidang depan mata. Beras dari mana? Beras yang ditanam dan dibendang di Malaysia tidak mencukupi untuk keperluan rakyat. Lalu kita import dari Thailand, India, Pakistan, Kampucia dan berbagai negara lain. Kenpa dari dulu lagi kita tidak menambah bendang dan padi? Kenapa import? Tak ada yang bising dan memberi kata-kata negatif dalam hal import beras ini. Sekarang selepas Covid 19, kita kekurangan ayam dan telur. Tentunya dari segi pengurusan ada tiga pendekatan tindakan: 1. Tindakan strategik. 2. Tindakan taktikal dan 3. Tindakan pertengahan. Tindakan strategik memerlukan perancangan dan pelaksanaan jangka panjang. Mungkin lima hingga 10 tahun. Masalahnya kita hendak makan ayam dan telur hari ini. Bukan esok atau lusa. Maka import adalah tindakan yang paling munasabah. Tetapi carilah sumber yang paling cepat dan paling murah. Bukan asal dapat import sahaja. Jangan aniayakan rakyat. Buat tindakan yang bersesuaian tetapi jangan ambil kesempatan mengaut keuntungan berlebihan. Pihak-pihak yang berwajib perlu memantau keadaan. Walau bagaimanapun tindakan strategik perlu dilakukan segera mulai hari ini. Jangan berdalih dan jangan bertangguh lagi. Di silah orang kita, orang Melayu memainkan peranan ekonomi dan bukan peranan politik. Buat dan jangan banyak cakap, terlepas cakap atau terlajak cakap. Kata orang putih walk the talk. Di kampung banyak tanah terbiar. Rencanakan supaya orang kampung boleh terlibat memelihara ayam telur dan ayam daging. Ahli Parlimen, ADUN, ketua kampung bimbinglah rakyat di bawah supaya aktif dengan aktiviti ekonomi dan bukan hanya menunggu habuan daripada orang atas sahaja. Projek seperti ini sekurang-kurangnya untuk keperluan sendiri selain untuk komersil. Cubalah. Usaha dengan usaha. Bukan dengan sedap berkata-kata sahaja. Kita letih apabila terlalu ramai yang mencemuh, meremehkan dan memperkecilkan usaha import dalam jangka pendek. Makan telur dan ayam dulu sebelum bekerja keras untuk memelihara ayam telur dan ayam daging. Atau ada cadangan lain? Silakan.

Pemimpin Perlu Diangkat

Siapakah yang menentukan yang terbaik antara kita? Antara pemimpin apatah lagi. Setiap kita dinilai setiap masa. Terutamanya yang dalam radar masyarakat. Yang ada tugas kepemimpinan. Cuma jangan lupa penilai kita yang hakiki adalah Allah. Kesemuanya Allah yang tentukan. Dan perlu kita ingat kesemuanya ada permulaan dan pengakhiran yang tersendiri. Bagi manusia, yang sentiasa hebat adalah para Rasul dan Nabi. Sentiasa konsisten. Tidak manusia biasa seperti kita. Kita tidak boleh hebat. Hanya mungkin Allah beri kita sedikit kelebihan berbanding orang lain. Setiap pemimpin hebat pada zaman masing-masing. Kehebatan itu akan pudar mengikut masanya. Apabila masa tamat, berilah peluang pemimpin lain menjalankan tanggungjawabnya. Setiap pemimpin Allah bekalkan dengan kelebihan dan kelainan yang tidak ada pada orang lain. Sewajarnya: 1. Lepaskan diri kita dari terikat dengan zaman yang sudah berlalu. Zaman kita sudah ditamatkan Allah. 2. Beri peluang kepada orang lain. Sama ada ia lebih berjaya atau lebih gagal adalah urusan Allah. Kita tidak boleh ambil alih apa yang Allah telah tentukan. Maka: 1. Elak dari merasa kita adalah yang lebih baik atau merasa kita sahaja yang terbaik atau kita merasa kita sahaja yang baik. Jangan lupa Allah adalah Yang Maha segala-galanya. 2. Semua kejayaan kita jika diungkit hilang manfaatnya. Bangga diri tidak ada impaknya. Orang akan hilang rasa hormat. 3. Jangan perkecilkan orang lain kerana ia adalah makhluk ciptaan Allah. Memperkecilkan makhluk dikira menghina manusia yang Allah jadikan sebagai ciptaan terbaik berbanding makhluk lain. Apa yang perlu kita lakukan? 1. Bantu beri idea terbaik untuk umat. 2. Beri cadangan sama ada secara individu atau secara berkumpulan. Boleh bersemuka atau surat-menyurat atau email dan berbagai lagi medsos yang lain. 3. Melalui MP atau ADUN. 4. Idea terbuka melalui fb, twitter, instagram, whatsapp dan yang seumpamanya. Tolonglah jangan: 1. Merendah-rendahkan pemimpin bukan pilihan hati kita. Kita pun tidak ada kelayakan untuk jawatan itu. Allah tidak memberi peluang itu kepada kita. 2. Sebagai rakyat kita perlu membantu bukan merosakkan. 3. Kembalikan kepada Allah supaya Allah memberi kita pemimpin yang terbaik sesuai dengan keperluan dan zaman kita ini. Jika dapat yang paling baik itu adalah kelebihan yang Allah tentukan untuk kita semua. 4. Jika kita ingin pemimpin yang sangat baik maka kita sebagai rakyat terbanyak hendaklah belajar dan memiliki sifat dan ciri-ciri kepimpinan yang kita rencanakan. Supaya dengannya kita boleh memilih pemimpin yang terbaik dari kalangan kita semua. Pemimpin adalah cerminan diri kita semua sebab pemimpin itu datang dari kalangan kita. Jika kita teruk mungkin pemimpin kita lebih teruk dari kita. Andainya kita semua adalah kalangan orang baik-baik maka pemimpin kita mungkin lebih baik dari kita dengan izin Allah. Oleh yang demikian, mulai saat ini pandanglah diri kita dahulu sebelum kita mencari kelemahan dan kekurangan pemimpin kita. Allahua'lam.

Perayaan Tahun Baru Menjajah Minda

Bila bercerita berkait tahun baru, adakah minda kita masih terjajah dengan terlalu mendalam sehingga sukar mencari jalan keluar menuju jalan fikir yang Islamik? Kepada orang Barat tahun baru adalah rentetan beberapa peristiwa yang melibatkan: Perayaan Krismas Menutup akaun bisnes Sambutan tahun baru. Begitulah mereka merayakan tahun baru yang kepada mereka di dalamnya ada kegembiraan duniawi. Kita mungkin tidak arif bahawa Krismas kepada mereka menjadi acara peribadi? Bukan lagi agenda keluarga kecil atau keluarga besar seperti kita. Menutup akaun akhir tahun adalah kejayaan peribadi pemilik bisnes bukan keluarga. Hanya tahun baru diraikan bersama. Tentu sahaja ironis berbanding dengan amalan Yang Islamik. Orang Barat: Berazam setahun sekali Munasabah diri setahun sekali Bayar cukai setahun sekali Banyak lagi yang disempurnakan setahun sekali. Tetapi bukan kita yang beragama Islam. Ada perkara yang kita lakukan setahun sekali seperti menunaikan ibadah haji. Zakat apabila cukup haul. Kita banyak melakukan aktiviti yang berbentuk mingguan, harian dan setiap masa. 1. Zikir setiap masa. 2. Solat fardhu dan solat sunat setiap waktunya. 3. Sedekah, derma atau infaq setiap hari dan masa. 4. Munasabah diri setiap malam atau setiap masa. 5. Berazam memperbaiki diri setiap masa. 6. Berpuasa berselang hari atau pada hari Isnin dan Khamis. 7. Berhari raya setiap hari Jumaat. 8. Umrah setiap hari dan waktu bagi mereka yang berada di Makkah. 9. Berbuat baik tanpa mengira masa. 10. Membaca al-Quran setiap masa. Oleh yang demikian masihkah kita terikat dengan sambutan tahun baru atau memilih menyambut hari baru yang pengisiannya lebih baik dari semalam?