Tuan haji nak naik sama ke?
InsyaAllah.
Isteri tuan haji ikut sama?
InsyaAllah.
Pertanyaan yang sama diajukan kepada
isteri penulis. Jika penulis ditanya oleh peserta lelaki, isteri penulis pula ditanya
oleh peserta perempuan dan lelaki. Mungkin peserta lelaki lagi tinggi skeptikal
mereka. Tuan Haji Maulan dan Tuan Syed Ahmad juga turut menanyakan soalan yang
sama. Kesemua soalan itu kami anggap pertanyaan biasa. Tanpa apa-apa maksud. Kami
tidak merasa apa-apa seperti diskriminasi umpamanya. Mungkin mereka khuatirkan
kemampuan kami.
Makcik nak ikut sama ke?
InsyaAllah.
Rasanya pertanyaan itu banyak kali. Dari
orang yang berbeza. Mungkin untuk kepastian. Atau agak skeptikal. Penulis sendiri
tidak merasa apa-apa tentang itu. Jika mereka pergi, kami ikut pergi. Mereka daki.
Kami daki. Kebetulan kamilah yang berumur berbanding peserta yang lain. Paling muda
16 tahun. Berapa usia kami pula. Aduhai, perlu nyatakan juga ke? Jangan terkejut
penulis berusia 67 tahun setengah. Isteri penulis 63 tahun setengah. Ketika
sebelum pendakian tentu ramai yang tidak yakin dengan kesungguhan kami. Betul ke
orang tua ni? Petang sebelum pendakian kami berada di persimpangan jalan menuju
ke Bukit Tursina. Di situ tempat permakaman Nabi Harun a.s. Di situ juga tempat
Samiriy membuat patung lembu seperti tercatat dalam surah al-Baqarah. Al-Baqarah
itulah cerita mengenai lembu emas ciptaan Samiriy. Pengikut Nabi Musa a.s. yang
membawa sebahagian pengikut Nabi Musa a.s. menjadi kufur.
Peristiwa-peristiwa di sekitar tempat
itu yang membawa Nabi Musa ke puncak Bukit Tursina. Perintah Allah untuknya. Yang
juga dikenali Bukit Sinai. Ada pula yang memanggilnya Bukit Musa. Bukit yang
tertinggi di Sinai ini dihuni Nabi Musa a.s. selama 40 hari dan 40 malam. Bermunajat
sesunggunhnya di hadapan Allah S.W.T. Nabi
Musa a.s. pula adalah satu-satunya nabi yang boleh berdialog terus-menerus
dangan Allah tanpa sebarang perantaraan selain dari Nabi Muhammad s.a.w. Nabi
Musa a.s. berdialog di bumi. Rasulallajh s.a.w. pula berdialog dengan di langit
dalam peristiwa Isra’ dan Mi’raj. Lazimnya malaikat Jibril menjadi perantaraan
antara Allah dan nabi dan/atau rasul yang lain. Kepada manusia biasa 40 hari
dan 40 malam itu bukan sesuatu yang indah. Nanti penulis senaraikan sebabnya. Kepada
Nabi Musa a.s. tentulah keindahannya tidak dapat digambarkan oleh manusia biasa
seperti kita. Nabi Musa a.s. berada di puncak bukit bersama dengan Robbnya. Ya,
bersama dengan Robbnya. Apakah ada lagi yang lebih baik dari itu. Lebih indah
dari itu. Lebih syhadu dari itu. Lebih mengenal erti diri dari itu. Berada dekat
dengan Allah tentulah sesuatu yang teragung kisah mana-mana cinta. Cinta abadi
kepada Yang Khaliq. Apatah lagi cinta seorang Rasul kepada Robbnya. Allahuakbar.
Hari itu, Khamis malam Jumaat bermula
pada pukul 11.00 malam 13 Februari 2014. Puncak Bukit Tursina setinggi 2,248 meter itu dijejak pada
pukul 3.50 pagi Jumaat 14 Februari 2014. Bukan dua hari. Cuma sekitar empat jam
50 minit. itu dari Fox Camp. Dari pintu masuk sekitar 3 jam 50 minit. dalam jangka waktu biasa. Taklimat dan cerita yang penulis terima mengatakan pendakian secara
normal memakan masa empat jam. Terfikir juga berjalan kaki selama empat jam. Laratkah?
Pengalaman sewaktu muda-muda dahulu banyaklah juga berjalan. Tetapi itu dahulu
sewaktu berumur 20an. Kaki masih lagi seperti spring. Sekarang hampir 68 tahun.
Tidak banyak terbayang bahawa perjalanan itu sebenarnya suatu pendakian. Berjalan
dan mendaki dua aktiviti fizikal yang berbeza. Berjalan sahaja sudah dianggap
fizikal. Yang ini mendaki. Tuntutan fizikalnya berganda-ganda. Penulis pula
tidak bimbang tentang isteri. Dia memang cergas dan kuat. Semangatnya selalu
mengatasi semangat penulis sendiri. Liat dan kental. Bila berjalan dia selalu
laju di hadapan. Bila ia mengatakan akan turut serta, penulis tidak khuatir
tentang azam dan kekuatan fizikalnya. Petang sebelum bertolak kami penuhi
dengan solat hajat dan doa penguat semangat. Doa memohon pertolongan Allah. Hanya
dengan izin Allah sahaja yang memungkinkan kami menjejak puncak Tursina.
Kerungsingan penulis hanya satu sahaja. Mampu
atau tidak menyaingi tenaga peserta yang muda-muda belaka. Kami pasang
strategi. Seberapa boleh berada di kelompok yang di bahagian tengah. Ada masanya
bertemu kelompk awal yang berhenti berehat. Tetapi alhamdulillah tidak pula
tercicir hingga bersama kelopmpok yang terakhir. Takut juga jika tercicir. Maklumat
terakhir yang penulis terima bahawa kelompok yang terakhir tiba di puncak pada
kira-kira pukl 6.00 pagi. Mereka sengaja berbuat begitu kerana tahu angin di
pucak bukit memang ganas kuatnya. Mungkin elok juga strategi begitu. Terelak dari
pasir dan batu yang beterbangan. Rupanya perjalanan malam banyak hikmahnya. Kami
tidak diperlihatkan ancaman pendakian seperti gaung yang curam. Lorong yang
mencacak tinggi. Batu dan pasir yang menyukarkan jejakan kaki. Tidak juga
melihat kerut dahi peserta menahan nafas. Menahan lenguh. Menahan kejang kaki.
Semasa taklimat ada pertanyaan jika ada
sesiapa yang mengidap penyakit tertentu hendaklah memberitahu secara berterus
terang supaya bantuan diberi apabila diperlukan. Dalam hati kecil penulis dan
isteri berkata, alhamdulillah kami tidak mengidap apa-apa kerumitan fizikal. Sama
ada luaran atau dalaman. InsyaAllah pendakian ini akan menjadi suatu sejarah
diri dan keluarga. Untuk memberi semangat kepada anak dan cucu serta warisan keluarga
pada masa akan datang. Bahawa datuk dan nenek mereka memiliki kesyahduan mereka
tersendiri. Sejarah itu yang selalu kami dambakan kepada mereka. Jika dahulu
kami rentasi benua, kami rentasi bahasa, kali ini kami daki sebuah bukit
bersejarah. Sejarah agung Nabi Musa a.s. Sejarah turunnya Kitab Taurah untuk
Bani Israel.
Bahagian pertama laluan pendakian agak
landai. Namun selepas sejam perjalanan pendakian semakin curam. Kami sudah mula
banyak berhenti. Melepaskan lelah. Mengambil nafas baru. Memantapkan kekuatan
hati. Meneguhkan semangat. Meluruskan otot yang kekejangan. Dan pastinya doa
yang tidak putus-putus. Ada beberapa hal yang menguatkan semangat kami berdua.
1
Untuk melihat kebesaran
Allah yang menjadikan segala-galanya.
2
Merasai pengalaman Nabi
Musa mendaki Bukit Tursina.
3
Mengalami sendiri
hebatnya cubaan Allah kepada sesiapa yang berada di puncak bukit ciptaanNya. Cubaan
kepada Nabi Musa selama 40 hari 40 malam tentulah 40 berkali ganda dari yang bakal
kami lalui.
4
Mengambil iktibar
kebaikan sesuatu kesukaran.
5
Merasa keindahan suatu
kejayaan.
6
Mencipta sejarah untuk
diri sendiri.
Melepasi separuh perjalanan sudah cukup
mengazabkan fizikal. Setiap langkah bererti mengangkat kaki. Untuk mengangkat
kaki semakin banyak deraan fizikal yang perlu ditanggung. Tetapi yang
menanggung bukan kaki itu. Bukan lutut yang bersamanya. Bukan tapak kaki yang
menjejaknya. Yang menanggungnya ialah hati. Minda dan perasaan. Setiap kali
memandang ke atas kami bertanya dalam hati, di mana sudahnya. Di mana
puncaknya. Di mana akhirnya. Pada suatu ketika kami mula gayat. Terasa pening
sedikit. Mungkin pengaruh altitud. Semakin tinggi semakin sukar bernafas. Kami sedut
udara dalam-dalam. Penuhkan dada dengan nafas sebanyak-banyaknya. Pam dengan
semangat baru yang melebihi kekuatannya. Berdoalah kami sepuas-puasnya. Rupanya
isteri penulis banyak tangisnya pada ketika-ketika tertentu. Apabila hati
diterjah kerana Allah memberi peluang sedemikian ini. Walaupun terasa terlalu azab
melangkahkan kakinya namun menangis juga kerana Allah mengizinkan pendakian
ini. Bersyukur dengan nikmat yang sedikit itu. Menangis mensyukuri kebesaran
Allah. Penulis cuba menghalangnya daripada banyak bercakap kerana banyak juga tenaga
diperlukan untuk bercakap. Banyak bercakap menjadikan lebih banyak tercungapnya.
Selalunya isteri penulis berjalan di
hadapan. Penulis membantunya dengan semangat dari belakang. Sesekali dia
menoleh ke belakang. Melihat apabila saya agak jauh di belakang. Boleh bang? Tanyanya
dengan nada sayu. InsyaAllah, jawab penulis. Begitulah dari masa ke semasa. Sayu
di malam yang penuh syahdu itu. Sepasang warga emas yang sedang memenuhi usianya. Bersama
mendaki ketika senja menjelang. Suatu manifestasi diri untuk mencari kekuatan
yang lebih bermakna dalam kehidupan yang fana ini.
Gambar-gambar di bawah selepas pukul 12.00 tengah malam. Tarikhnya sudah bermula 14 Februari 2014. Dari Fox Camp sudah sejam perjalanan. Dari sinilah ukuran masa diambil untuk sampai di puncak Bukit Tursina.
Berhimpun sebelum mendengar taklimat untuk memulakan pendakian. Petang tadi ramai yang bertanya sama ada kami turut ikut mendaki.
Berada semasa taklimat ini untuk memenuhi jawapan kepada semua pertanyaan sebelumnya. Sedang bermenung memikirkan cabaran yang bakal dilalui. Ya Allah, beri kami kekuatan.
Tiba di permulaan pendakian.
Di laluan yang memerlukan setiap peserta melalui pemeriksaan keselamatan oleh pihak berkuasa Mesir. Sebelum mendaki nampak ceria. Belum tahu lagi pendakian sukar yang akan ditempuhi.
Di kanan sekali Lokman, peserta termuda berusia 16 tahun. Bagi anak-anak muda seperti ini tenaga mereka belum terpakai lagi. Masih segar bugar. Mendaki bukan sesuatu yang sukar.
Apa agaknya cerita mereka sebelum mendaki.
Masing-masing ada agenda yang perlu diselesaikan sendiri.
Masih di tempat yang sama. Agaknya merenung tuju perjalanan.
Antara peserta yang bergambar beramai-ramai.