Thursday, May 16, 2013

Salam Dari Amman Jordan: Darah Warisan Yang Mengalir


Menjadi guru bukanlah profesion yang senang. Memandaikan anak-anak sendiri sangatlah banyak cabarannya. Inikan pula memandaikan anak-anak warganegara yang lain. Namun darah guru yang mengalir tidak tumpah ke tempat lain. Mengalir deras dalam tubuh anak-anak saya. Dari sembilan orang anak, tiga darinya sudah menjadi guru dalam kategori masing-masing. Yang sulung di sekolah menengah. Yang kedua di IPTS. Yang ketiga d politeknik. Yang lain memilih berbagai bidang profesional. Dua lagi yang belum berkerjaya. Pilihan mereka belum ada riaknya lagi. Dalam mendidik anak rasanya bahasa memainkan peranan penting. Menguasai bahasa menjadi medium hidup yang pastinya berjangka panjang. Memanglah bahasa lazimnya untuk berlisan. Berbicara dengan ungkapan dan perkataan. Bunyi-bunyi yang difahami oleh orang-orang yang di persekitaran. Walaupun begitu bahasa itu perlu disaring untuk mendapatkan inti patinya. Untuk digunakan sarinya. Bahasa yang keluar mengalir antara dua bibir tidak semudah meludah atau meneguk air. Dikeluarkan dengan berencana. Dibunyikan dengan irama. Didengarkan kepada orang supaya menjadi perantara.
Dalam mengejar kejayaan akdemik bahasa juga yang perlu diberi perhatian. Bahasa bukan selalunya lurus dan tegak. Bahasa sains ada lenggoknya yang tersendiri berbanding dengan matematik. Begitulah juga kesusteraan yang menuntut kemahiran berbahasa yang sangat tinggi. Maka susunan bahasa diperlukan untuk menyampaikan hasrat dan keinginan. Untuk memerintah dan mengarah. Untuk meminta dan memohon. Untuk menyelesaikan sesuatu yang perlu diluruskan. Yang perlu diuraikan. Yang perlukan keputusan yang menyelesaikan kekusutan masa dan diri. Urusan dan pentadbiran. Politk dan agama. Soasial dan budaya. Bahasa yang dikuasai memainkan peranannya yang tersendiri. Memberikan impak membaca dan berfikir. Merenung dan merencana. Mengubah paradigma dan membuang mitos yang mungkin tiada harganya. Kerana itu menguasai bahasa menjadi suatu keperluan kepada mereka yang kerjanya menggunakan bahasa. Siapapun kita tanpa bahasa yang betul dan baik impak tugas kita menjadi cair. Menjadi tiada sambutannya. Maksaud menjadi tidak sampai. Banyak yang tergantung tanpa tindak balas dari mereka yang kita jangka akan menyahut bahasa dan maksudnya itu.
Kebetulan saya pernah menjadi guru bahasa Melayu di sekolah menengah. Di poltenik dan di univrsiti saya menggunakan bahasa akademik. Gabungan pelbagai disiplin ilmu dari bahasa, geografi, pendidikan, ekonomi dan perniagaan serta agama mengizinkan saya menganyam bahasa dengan kepelbagaiannya. Maka anak-anak saya dibesarkan dengan kepelbagaian mereka masing-masing. Saya tatap perbezaan mereka. Saya senaraikan keunikan masing-masing. Bakat-bakat yang terlihat dan terpendam. Bila mereka dewasa maka mereka menyerlahkan kepelbagaian itu. Masing-masing manyerlahkan kelebihan masing-masing. Namun ada yang mengikat mereka. Bahasa. Yang menjadi guru tentulah terikat dengan bahasa. Menggunakan bahasa semaksimum mungkin. Untuk memberi impak kepada pemikiran dan pekerjaan. Yang menjadi jurutera juga perlu menguasai bahasa kerana bidang kerja itu perlukan bahasa teknikal bagi proses dan penambahbaikan sistem. Disampaikan kepada peers dan petugas-petugas di bawah. Laporan perlu dibuat bagi yang akan, yang sedang dan yang telah disempurnakan. Bahasa dan bahasa juga yang diperlukan. Bagi yang menjadi peguam tentu sahaja bahasa memetahkan bicara. Sedikit lencongan menjadi hujjah yang jika tidak dikuasai memudaratkan perbicaraan. Yang kalah menjadi menang. Yang menang menjadi kalah. Maka dalam apa bidang sekalipun bahasa memainkan peranannya yang tersendiri. Bahasa menunjukkan bangsa. Bahasa menunjukkan budi bicra. Di situlah juga terhimpun akhlak yang mulia. Maka lihatlah bahasa kita, anak-anak kita, keluarga kita kerana bahasa itu lambang kita. Lambang keluarga kita. Lambang bangsa kita. Malah lambang agama kita.
Kemahiran berbahasa menerap kepada anak-anak saya. Ada yang berbakat menulis. Kebetulan isteri saya banyak urus tadbirnya mengurus rumah dan anak-anak. Mereka membesar dengan kepelbagaian pengalaman. Keluarga besar seperti saya (sembilan orang anak) memerlukan seorang isteri yang inovatif dan kreatif. Bukan untuk dirinya sendiri tetapi untuk memberikan yang terbaik kepada anak-anak. Sekarang barangkali untuk cucu-cucu yang 13 orang. Sedang menunggu beberapa orang lagi yang dijangka beberapa bulan lagi. Anak-anak yang melalui dakapan dan susuannya membesar dengan banyak pengalaman yang dihimpunkan dari hari pertama hingga mereka melangkah keluar dari rumah. Berkerjaya atau mendirikan rumahtangga. Ibu mereka yang pernah melepaskan sentuhan hati dan tangannya. Di rumah anak-anak ada sahaja yang disentuhnya. Susunaturnya, kekemasan, ketidakcukupan peralatan, kebersihannnya dan pelbagai lagi. Kadang-kadang sebelum menziarahi cucu-cucu, kami beri isyarat masa dan harinya. Maka jehuhlah cucu-cucu berkemas untuk dipersembahkan kepada neneknya. Datangnya memeriksa setiap sudut dan ruang. Jika ada yang tidak kena siap dengan syarahan panjang.
Ada masanya kami buat serang hendap. Tiba-tiba muncul di hadapan pintu rumah anak. Terbeliak mata cucu-cucu. Hendak menelan air liur terasa payah kepada mereka. Apatah lagi apabila rumah mereka bersepah. Tiada kemasnya. Banyak kotornya. Berlongok pakaian. Peralatan makan minum yang tidak terurus. Banyak, banyak kelam kabutnya mereka terkejar tidak tahu yang mana hendak dibuat dahulu. Ada yang ke dapur. Ada yang ke bilik tidur. Ada yang ke ruang belajar. Itu belum lagi yang mencapai penyapu untuk menyapu di luar rumah. Belum lagi yang menyusun kasut. Bila kesemuanya sudah selesai barulah diberi panduan. Mengemas rumah bukan tunggu nenek datang. Rumah mesti tip-top sepanjang masa. Setiap ruang rumah ada fungsinya. Tidak boleh difungsikan dengan fungsi yang bukan hakiki. Bilik tidur bukan tempat makan. Ruang belajar bukan tempat bermain. Apabila semua ruang diberi haknya maka untuk menyusunaturnya kembali menjadi mudah. Mengemas menjadi mudah. Rasa kelam kabut tidak mungkin terjadi kerana yang hendak diurus tidak seberapa.
Photo: Blog mengemas rumah sekarang dah dibukukan! Boleh didapati di pesta buku pwtc, mph, popular dan stormreaders. Harga hanya rm20. Dapatkan naskhah anda segera. :)
Buku ini berharga RM20 senaskhah. Kertas cantik. Boleh didapati di kedai buku Popular dan MPH seluruh negara. Tataplah. InsyaAllah ada sumber ilham darinya.
Apabila anak kedua saya memulakan blog siri mengemas rumah, adik-adik yang lain menyambang sedaya yang ada. Ibu mereka menjadi pengkritik yang palin tegar. Akhirnya blog itu menjadi popular juga. Lahirlah senaskhah buah tangan yang comel diberi nama Mudahnya Mengemas Rumah. Buku terbitan Telaga Biru ini anak-anak saya dedikasikan kepada ibu mereka. Kami takut juga jika banyak yang tidak mencapai kualiti isteri saya. Alhamdulilah buku itu diberi sentuhan yang sangat profesional dari segi penerbitannya. Terkedu juga isteri saya menatapnya. Biasalah dari kacamata sumber inspirsi buku itu ada yang masih perlu ditambahbaik. Mungkin dalam edisi kedua nanti ada sentuhan-sentuhan lain. Mungkin juga ada sirinya yang lain dalam perancangan. Kami sentiasa memberi ruamg untuk anak-anak mencabar diri mereka. Cari yang tersembunyi. Keluarkan dan sebarkan. Hadiahkan kepada dunia. Saya teringat bahawa apabila kita tiada ada beberapa perkara yang kita tinggalkan dan besasr impaknya. Pertama anak-anak yang soleh dan solehah. Kedua ilmu yang bermanfaat. Ketiga sedeqah yang berpanjangan manfaatnya. InsyaAllah buku Mudahnya Mengemas Rumah akan menjadi ilmu yang berpanjangan.