Wednesday, May 7, 2014

Bingkisan Dari Kaherah: Megusap Wajah Kesayangan


Dahulu sebelum terikat banyak bebasnya yang tidak mengikat. Hanya diri sendiri yang perlu faham tanggungjawab. Sejak ada orang di samping segala-galanya berubah. Diri ini sedar bahawa ini adalah pilihan hati. Ingin menamatkan zaman bujang. Telah diambil perkiraan bahawa telah sampai masanya untuk bersama seseorang. Telah lamapun dikenali. Sudah dikenal hati nuraninya. Dia terpilih dari ramai yang berbaris untuk dipilih. Tidak semua kriteria ada pada dirinya. Namun kriteria penting ada pada dirinya. Orangnya tidak cantik tetapi masih mampu ditoleh untuk kali kedua. Tidak kaya tetapi cukup makan dan pakai. Tidak dari keluarga ternama tetapi diri ini tahu ia datang dari keluarga baik-baik, sihat dan lurus perjalanan keluarganya. Yang penting dia memahami selok belok agama. Tahu beribadat dengan sebaiknya. Menjaga hukum halal dan haramnya. Boleh mengajar yang tidak tahu. Benarlah antara empat kriteria, pilihlah agama kerana cantik di dalam adalah segala-galanya. Dirinya dekat kepada Allah. Kita lebih dekat kepada Allah. Sokong-menyokong yang membawa tegaknya binaan rumahrangga yang diredhai.

Menghadirkan orang di samping bukan semudah memilih buah. Pilih yang segar. Pilih yang besar. Pilih yang tiada cacat celanya. Pilih yang harum baunya. Jika boleh pilih yang murah tetapi kualitinya sangat terjamin. Mana ada insan seperti itu yang mudah dipilih. Zahirnya selalu dilihat menarik kerana kita hanya mampu dan berkesempatan memandangnya dari jauh. Sukar menyelami hati budi insan yang bukan mahram. Yang ajnabi. Tekaan mungkin banyak betulnya. Namun tidak pernah 100%. Kiranya tidak, sipi-sipipun jadilah. Yang penting ada peluang untuk bersama membina sesuatu yang abadi sepanjang zaman. Mengharungi susah dan senang bersama. Jatuh dan bangun bersama. Sakit dan sihat bersama. Yakin bahawa bahtera yang banyak olengnya dapat dikemudi hingga ke pantai bahagia. Menambat pantai yang putih bersih. Yang menebar kebebasan berlari dan berlari. Tepian pantai yang indahnya memanjang jauh di hujung tanjung. Harapan yang tiada sudahnya.

Kita telah memilih seseorang yang kita sandarkan harapan. Pada dirinya tidak ada kesempurnaan yang sempurna. Cukup untuk dirindu. Cukup untuk disayang. Cukup untuk membahagiakan sebahagia yang mampu dicipta dalam keterbatasan waktu bersama. Lalu berjalanlah waktu tanpa henti. Siang dan malam yang berganti merubah lanskap diri dan pasangan. Rumah yang semakin riuh. Tangganya semakin ramai yang naik dan turun. Tidak ada yang berubah kasihnya. Sayangnya yang semakin mengikat. Waktu-waktu yang berlalu mengalirkan kelangsungan warisan. Keluarga yang membesar dengan cucu cicit dan datuk nenek. Menelusuri gambar-gambar lama seperti baru semalam yang ditinggalkan. Banyak yang menggamit keindahan mengenang. Banyak juga lucu dan tawanya. Pada cermin yang dilihat hanya mainan mata. Gigi yang sudah banyak tiadanya. Mata yang banyak tidak nampaknya. Telingan yang banyak tidak dengarnya. Selera sudah terbuang kecurnya. Lidah sudah lupa msin dan manisnya.

Selalu diurut sendi yang meregang. Otot yang kendurnya entah bila. Jalan sudah menapak lambat kerana keringnya tenaga menua. Bercakap entah yang apa-apa. Dalam diam masih ada seseorang yang selalu bersama. Menemani diri hingga ke hujung usia. Kehadiran yang diiring bersama. Sentuhan deria rasa yang masih hangat menambat hati. Bahtera masih tertambat di pantai. Pasir masih memutih. Ombak yang menghempas pantai bagai irama yang tiada terpisah. Datang juga semarak kasih yang mewangi. Warna-warna bahagia yang tidak hilang dari hati. Yang meresap jauh ke dalam sanubari. Dalam usia yang hilang gunanya kebersamaan masih utuh digenggam erat tiada melepasnya. Bukankah bara api telah dilalui. Lautan telah direnangi. Di angkasa telah terbang bersama. Ke mana lagi jika tidak melabuhkan kasih dan sayang yang berbaki.

Suatu kebahagiaan untuk mereka yang panjang sayang dan cintanya. Apabila kita toleh ke kanan dan ke kiri situasi sebegitu semakin sukar dilihat. Mengapakah kebahagiaan hanya selama berbulan madu. Terlalu cair manisnya. Terlalu bersadur madu yang dikecap. Banyak racun yang bersarang. Kasih sukar ditambat. Sayang sukar diikat. Bahagia sukar dibina. Terlalu banyak bahtera yang ingin dikemudi. Terlalu banyak pantai tempat berlari. Terlalu mengejar bintang yang ribu tetapi meninggalkan bulan yang satu. Apabila hidup terikat menjadi sangkar menjerat maka kahidupan berumahtangga sukar bernafas. Ikatan yang dihadirkan rupanya menjerat dan menjerut. Tidak ada nafas untuk mencipta stamina cinta. Tiada wadah sayang. Hilang nur kasih yang dahulunya terang. Luntur hanya sekejap masa.

Diri tidak perlu terlalu mengejar bayangan. Mimpi bukan tentu betulnya. Angan-angan selalu memang kosong. Mencari yang tiada tentu sukar. Meninggalkan yang sudah ada tentu zalim namanya. Mengabaikan yang hak tentu mendatangkan murka Allah. Pilihan yang sukar dibuat dahulu diketepikan kerana percikan godaan syaitan. Terlupa dengan janji untuk sehidup dan semati. Carilah jalan kembali sebelum tersesat jauh. Berundurlah mencari cinta yang tersisih. Dambakan lagi sayang yang terbuang. Hadirkan semangat membara mengharungi semua yang menghalang. Pegang semula perisai melindung dari serangan. Pakai semula baju besi untuk terus berjuang mengekal rumahtangga. Tentu banyak sayangnya jika masjid runtuh tanpa jemaah. Padang rosak tanpa permainan. Gelanggang jongkang jungkit tanpa dapat menari.

Kembalilah ke dasar hakiki. Bersama untuk ke akhir hayat. Bersama untuk meramaikan umat Muhammad. Membina keagungan agama. Berjihad untuk membahagiakan pasangan dan anak cucu yang bakal lahir. Buang ke tepi ego yang memamah cinta. Buang falsafah diri yang menggigit sayang. Rumahtangga dibina untuk dua orang dan bukan untuk bersendiri-sendiri. Zaman bujang yang sendiri bebas dahulu diharmonikan dengan keperluan untuk berdua. Membuang kebiasaan yang tidak ada lagi tempatnya. Sesuatu yang baru semestinya digubah indah dengan warna sayang dan cinta yang baru. Hangatnya memanjang hingga ke akhir zaman. Ramai mereka yang di sekeliling senyum senang. Tumpang bahagia sekadar cukup menyaksi. Teruskan mengusap wajah kesayanganmu. Hatimu dan hatinya bertaut kasih. Dianyam bak sutera yang lembut membalut setia.