Wednesday, March 6, 2013

Salam dari Amman Jordan: Bakti Yang Menjulang Generasi


Guru baru, hari baru, kerjaya baru, semangat baru. Sesuatu yang baru tentulah mengharukan. Itu belum lagi merobohkan benteng-benteng ketahanan air mata yang selalu cepat menderas keluar. Rasanya semua orang maklum pertama kali menerima tugas tentu payah hendak diceritakan. Gundahnya hati tidak dapat dicatatkan dengan tulisan. Tiada kalimah yang setara. Tiada ayat yang memenuhi maknanya. Akhirnya mungkin tiada sendu yang meredakan gelisah rawan yang meredam hati. Jauh atau dekat hanyalah jarak perjalanan. Hanya jarak masa. Jauh tetap jauh walaupun hanya beberapa jam perjalanan. Entahlah setelah berpisah dengan keluarga dalam jangkawaktu yang lama rasa ingin damai di bawah ketiak ibu masih panas membara. Rasa dekat dengan keluarga masih senak di perut. Rasa memijak setiap ruang rumah masih dirindui. Apatah lagi setelah berkelana jauh di IPT di negeri orang. Empat atau enam tahun yang terasa singkat tidak sama dengan anjakan dan tarikan untuk melepas daerah sendiri. Untuk merantau semula.
Barangkali ramai yang maklum. Masa inilah yang sukar menentukan masa hadapan. Anak-anak muda yang usianya baru melepasi  usia 20an mencuba sayap baru untuk diterbangkan. Ada yang bakal terbang jauh. Ada yang bakal terbang dekat. Semuanya seperti direntap keluar dari rumah untuk pindah ke rumah lain. Ke daerah lain. Ke negeri lain. Rasanya persediaan telah diberikan secukupnya. Apabila bersekolah di asrama dahulu bermakna langkah jauh itu telah diatur. Apabila ke matrikulasi atau tingkatan enam atau ke institusi selepas SPM maka langkah yang lebih jauh sudah diatur. Bukan diri yang mengatur. Allah telah menyusun penempatan diri yang sewajarnya. Ada manfaat yang Allah aturkan supaya khidmat diri mencambah merata. Supaya khidmat diri menjana manfaat yang besar dan gah. Supaya sumbangan yang ditabur bukan sahaja untuk waktu yang singkat. Bahkan ianya berpanjangan. Bersamanya akan dibawa pengalaman. Himpunan input-input baru yang mencanai minda.

Memanglah hajat hati ingin bertugas kembali ke rumah setiap hari. Bertugas di institusi di sebelah rumah. Di kampung sendiri. Di pekan sendiri. Di bandar sendiri. Kembalilah kepada realiti. Yang dekat itu tidak ada. Yang dekat untuk orang jauh. Yang jauh untuk diri sendiri. Terbanglah merantau menimba pengalaman untuk mengisi kekosongan yang banyak belum diisi. Setelah sarat dengan pengalaman nanti berjinak-jinak kembali mendekat. Bila kembali dekat sudah sarat membawa segala ramuan dan resepi menjadi petugas negara yang ampuh. Yang mantap. Yang berwibawa. Yang tinggi akal budinya payah disaingi.  Ketika itu kembalilah ke pangkuan persekitaran yang dekat. Membawa dari luar segala yang segar dan baru. Jika tidak pernah keluar takut hanya kejumudan yang melanda diri. Tidak ada kelebihan yang istimewa. Tidak ada kelainan yang boleh ditimba oleh orang lain. Seorang guru yang baik hendaklah boleh digurui. Pada dirinya banyak yang boleh dikongsi. Bukan setakat dilihat sahaja. Kehadirannya membahagiakan. Ajarannya melapangkan fikiran. Hujjahnya membetulkan kesilapan. Kaunselingnya melegakan. Motivasinya menyegarkan minda dan perasaan. 

Banyak yang ingin saya bantu untuk membangunkan minda. Seorang guru baru banyak langkahnya yang belum teratur. Bimbingan rasanya sudah tidak ada lagi. Apabila keluar dari IPT semuanya terserah kepada diri. Pintu banyak untuk dipilih. Jalan banyak untuk disusuri. Persinggahan banyak untuk mencabar diri. Yang  mana satu pilihan. Keluar dari rumah pula membawa pesanan-pesanan dari ayah dan ibu yang selalu terngiang-ngiang. Tidur malam entah mimpi apa yang sukar diingat. Ramai yang kecewa apabila ditugaskan jauh. Kenapa tidak yang berdekatan. Saya katakan begini. Siapa yang mengatur diri kita. Yang menentukan di mana kita berada sama ada sekarang, akan datang dan pada masa-masa yang  tidak kita ketahui. Allah yang merencanakan di mana kita berada. Di mana kita bertugas. Di mana kita berumahtangga. Di mana kita tua nanti. Di mana ajal kita. Tiada siapa tahu di mana kuburan kita. Allah menentukan segala-galanya. Allah yang megatur yang terbaik untuk kita. Dengan izinNya kita mendapat apa yang ada. Berada di tempat yang terpilih.  Andainya kita dapat menyorot ketentuan Allah ini kita akan maklum bahawasanya Allah memberikan kita anugerah yang sangat teristimewa. Apa yang kita ada tidak ada pada orang lain dan begitulah sebaliknya. Redha dan memaklumi anugerah Allah pastikan meredakan segala gejolak hati. Redha hingga melegakan segala kepayahan untuk bernafas.

Wasalam. Jawab saya. Sayang kena timbang atas bawah, depan belakang. Kalau hendak kerja cepat inilah peluangnya. Walaupun pegi jauh akhirnya nanti boleh minta balik ke Semenanjung. Minta balik ke kampung. Sabah, Sarawak, Ulu Kelantan, Pengerang atau di Langkawi semuanya di Malaysia. Tempat yang menanti khidmat. Jika menolak tawaran ini nama sayang akan disenaraihitam. Orang di kementerian akan sentiasa ingat nama sayang sebagai orang yang pernah menolak. Kalau mereka lupa alhamdulillah. Sayang boleh terus dengan helah untuk menolak. Mungkin menyambung pelajaran. Atau mencari kerja lain sementara dapat mengelak arahan.  Tetapi kerja tetap yang sayang inginkan perlu difikirkan selepas tamat masanya berfikir panjang. Kalau hati sayang sudah bulat membuat pilihan, terserah pada sayang untuk membuat keputusan. Sayang mesti berani memprtahankannya. Sanggup pula menghadapi cabaran yang bakal mendatang tetapi tidak ada kepastiannya. Apa-apa keputusan yang sayang buat saya doakan yang terbaik. Semoga  Allah merestuainya. Saya menyokong. Yang penting pilihan yang sayang buat adalah yang terbaik untuk sayang. Pergilah jika itu yang terbaik. Tinggallah jika itu juga adalah yang terbaik.

Walau apapun posting adalah cabaran pertama seorang guru terlatih. Semangat juang yang mesti tinggi. Sekarang sayang bukan lagi milik abah dan emak. Bukan milik keluarga. Bukan milik orang-orang yang menyanyangi sayang. Sekarang sayang sudah jadi milik negara. Kerana itu negara diletak di hadapan. Negara yang telah memberikan yang terbaik untuk sayang. Keluarga tetap di hati tetapi harus ditinggalkan untuk sementara waktu. Khidmat negara disempurnakan  sambil sayang mengelek keluarga. Jika tidak negara kehilangan seorang bintang yang bakal menyinar pada masa hadapan. Kehilangan sumber kekuatan untuk membangkitkan semangat juang anak bangsa yang haus dahaga untuk membangun. Terbitkan sinar itu supaya ramai yang mendapat limpahannya.  Saya segar menerima redha sayang. InsyaAllah.... Saya akan cuba bekerja dengan hati yang ikhlas....supaya saya dapat manfaat. Pelajar pun dapat manfaat yang sama. Watanmu menunggu dengan penuh tangan terbuka. Datanglah sayang. Taburkan benih baktimu. Nanti akan dituai zaman sebagai natijah kejayaan gemilang.

Langkah pertama ini adalah langkah panjang. Langkah yang semakin jauh dari keluarga. Kerjaya bukan penamat perencanaan hidup. Banyak langkah lain yang menuruti nanti. Rumahtanga menunggu masa dan hari. Cukup bulan dan tahunnya akan nanti berijab qabul. Tinggallah lagi harapan yang sukar untuk kembali ke tempat pilihan. Bukan juga pilihan pasangan. Kerjaya yang berkembang tidak juga menentukan di mana destinsi sudahnya.  Selagi tugas diminta negara selagi itulah langkah perlu diatur. Di mana akhirnya tidak diketahui. Yang pentingnya ialah tugas dilaksanakan. Bakti ditabur. Semangat juang menyala dan menjulang.  Langkahlah dengan kaki kanan. Dalam perjalanan nanti akan dititip dan dikutip mutiara khidmat yang santai dan bergemerlapan. InsyaAllah.

Salam dari Amman Jordan: Riadah Islamiah

Dalam Falsafah Pendidikan kita, disenaraikan perkara-perkara penting yang dipertanggungjawabkan kepada guru untuk menjayakannya. Guru sebagai orang yang paling dekat dengan murid atau pelajar paling layak melaksanakan tugas itu. The person on the spot. Selalu disebut tentang pembinaan Jasmani yang sihat. Disertai pula dengan Emosi yang stabil. Manusia pula memiliki Rohani yang perlu diisi setiap masa. Satu lagi elemen yang dipercayai perlu difikirkan ialah Intelek. JERI.  Empat elemen ini tidak mencukupi untuk membentuk seorang insan yang serba boleh dalam zamannya yang semakin mencabar ini. Maka ia perlukan elemen spiritual, sosial dan elemen-elemen lain yang berkaitan dengan kehidupan manusia sama ada untuk peribadinya atau untuk masyarakat sekelilingnya. Maka kita selalu bercakap tentang IQ (Intelligence Quotient), EQ (Emotional Quotient), SQ (Social Quotient), SpQ (Spiritual Quotient), RQ (Religious Quotient) dan banyak lagi Q yang diperlukan oleh seorang bakal warganegara.  Andainya semua warganegara dilengkapkan dengan semua kecerdasan yang perlu, negara tentu menjadi negara yang dipenuhi oleh manusia yang bijaksana. Bijak mengendali diri seperti yang diharapkan. Menjadi warganegara yang berakhlak mulia. Menyumbang kepada kesejahteraan negara dan manusia.
Sekolah dan pendidikan sangat sinonim dalam sistem pendidikan kita.  Sistem pendidikan ini dikendalikan hampir sepenuhnya oleh pemerintah. Ia menjadi alat kawalan dan pada masa yang sama memenuhi aspirasi negara. Memenuhi keperluan untuk membangunkan negara. Dari usia tiga hingga melebihi 20 tahun sistem persekolahan dikendalikan oleh pemerintah. Hanya beberapa peratus sahaja yang dikendalikan oleh pihak swasta. Walaupun jumlahnya semakin bertambah tetapi sistem pendidikan milik kerajaan jauh menguasainya. Bukan satu kementerian malah dua kementerian. Kementerian lain yang tradisinya bukan berteraskan pendidikan juga terlibat membangunkan sistem pendidikan dan latihannya sendiri. Sama ada persaingan ini sihat atau tidak bergantung kepada natijah keseluruhannya kepada negara. Bukan kepada individu. Mereka yang berkelayakan adalah sumber yang menjana kemajuan, pembangunan dan kelangsungan bernegara. Kementerian Kesihatan ada sekolah kejururawatannya sendiri. Begitu juga dengan Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Kementerian Sains dan Teknologi.
Sekolah dan agama barangkali bukan sesuatu yang asing kepada kita. Semakin banyak sekolah yang berterasakan agama dibina semakin melimpah ruah permintaannya. Ramai ibu bapa mendapati anak-anak lulusan sekolah agama yang lebih mudah dibentuk. Akhlaknya lebih boleh dikawal. Kelulusan mereka juga cemerlang dari segi akademik. Ramai antara  kita mungkin tidak pernah memikirkan bahawa matapelajaran di semua jenis sekolah selalunya kosong dan kering. Maksud saya sistem kita, mengajar teori. Ekperimen di makmal tidak memberikan sentuhan hidup kepada pelajar. Mereka tenggelam dengan buku dan ujikaji. Realiti kehidupan tidak dapat disegerakkan untuk mengimbangi ketidaktahuan pelajar. Mereka tahu teori tetapi tidak memahami realiti. Atau apabila berhadapan dengan situasi sebenar mereka tenggelam punca. Tidak tahu prosedur dan tidak tahu menyelesaikan permasalahan yang kecil. Apatah lagi yang besar. sekolah hanya untuk lulus peperiksaan yang dipaksakan kepada mereka. Ramai orang yang kita kata pandai tetapi fikirannya mengikut buku sahaja. Kreativiti atau innovasi mungkin tidak mencapai tahap yang diperlukan.
Pendidikan jasmani adalah antara bukti yang cukup relevan. Semua pelajar dilatih dengan pendidkan jasmani sejak dari tadika hinggalah ke tingkatan lima. Selama 15 tahun mereka dididik untuk menjaga jasmani. Untuk menjaga kesihatan diri sendiri. Malangnya apabila mereka keluar dari sekolah semuanya ditinggalkan di sekolah. Amalan pendidikan jasmani tidak dibawa dalam kehidupan. Tidak menjadi budaya kesihatan. Akibatnya ramai warganegara yang perlukan nasihat  kesihatan. Perlukan kaunseling. Banyak pula program  kesihatan anjuran kerajaan atau badan bukan kerajaan. Diadakan program senaman di waktu petang dan hujung minggu. Tidak ramai yang menjadikan ilmu yang dipelajari di sekolah menjadi amalan hidup sihat. Ramai orang kita yang obes. Itu belum yang mengalami gangguan kesihatan yang fatal. Mungkin sistem pendidikan kita perlu dilihat semula. Falsafah pendidikan yang sedia ada belum cukup untuk membendung gejala sosial di kalangan remaja. Malah kadang-kadang gejala sosial mendominasi kalangan orang dewasa yang diharapkan menjadi contoh teladan.  Di mana silapnya sukar dikenalpasti. Yang pasti kecacatan berlaku dalam masyarakat. Lulusan sekolah kita tidak seperti yang diharapkan. Tidak seperti yang disekolahkan.
Pendidikan kokurikulum merupakan suatu alternatif dalam membantu memenuhi sistem kurikulum akademik. Berbagai aktiviti sukan, pasukan beruniform dan kelab yang disediakan kepada pelajar rasanya hanya memenuhi keperluan negara, keperluan kementerian, keperluan jabatan pendidikan negeri, keperluan pejabat pendidikan daerah dan keperluan sekolah. Rasanya tidak ada kurikulum yang dibuka mengikut keperluan pelajar. Sebab itu semua pelajar dibangunkan mengikut acuan orang dewasa. Bukan mengikut potensi sebenar seorang pelajar. Kelainan-kelainan yang ada pada diri pelajar tidak diambilkira. Diabaikan kerana dianggap tidak penting. Tidak relevan kepada guru dan sekolah. Cuba tuan dan puan lihat anak-anak sendiri. Mereka dibentuk mengikut acuan kita. Mengikut acuan negara. Yang kita lihat ialah anak-anak yang stereotaip. Yang sama sahaja cara berfikirnya. Tingkahlakunya. Cita-citanya. Harapannya. Semuanya dididik supaya sama. Supaya senang diurus. Barangkali ini adalah suatu kesilapan besar yang akan kita tanggung pada suatu masa hadapan nanti. Kita harus juga membina warganegara yang memiliki kelainan. Suatu masa nanti orang ingin melihat apa kelainan yang ada pada kita bukan apa yang sama pada semua orang. Pada semua negara. Kita akan kecewa apabila kita kehilangan faktor kelebihan. Advantage factor.  Negara seperti US memiliki faktor ini. Mereka sanggup membiayai apa sahaja penyelidikan yang berlainan dari kebiasaan.
Mari kita lihat kembali matapelajaran pendidikan agama di sekolah-sekolah. Apabila matapelajaran ini tidak banyak berubah dari dulu sistem penyamaiannya maka kita dapati peratusan yang taatkan agama seperti semakin menurun. Ramai anak muda yang tidak tahu agama. Tidak mengamalkan agama. Agama menjadi asing kepada mereka.  Asas agama ialah al-Quran. Masalah besar dalam hal ini. Orang takut mempelajari al-Quran. Takut salah baca. Persepsi yang tunggang terbalik. Apabila kita tahu kita tidak berapa pandai membaca al-Quran kita wajib belajar untuk membetulkannya. Wajib mencari guru untuk membantu. Lari dari takut salah baca tentulah dikira berdosa. Menjauhkan diri dari agama. Solat pula tidak istiqamah. Puasa tidak dihayati. Zakat, sedekah dan derma bukan lagi amalan pemurah. Ibadat haji tentulah sesuatu yang terlalu asing. Tidak semua orang menunaikan haji. Sekarang pula giliran menunggu berpuluh tahun.  Sekiranya, sekiranya teknologi didatangkan ke selolah mungkin pelajaran agama menjadi lebih segar. Di setiap sekolah ada ruang yang meletkkan replika Masjid al-Haram dan Masjid Nabawiy. Dari pelajaran ibadat haji dan umrah itulah diterapkan semua jenis pendidikan agama.
Riadah kita hanya fizikal. Menekankan jasmaniah. Kita tidak gabungkan rohaniah dan emosi dalam konteks riadah. Riadah agama perlu difikirkan sebagai alternatif kepada sistem penyampaian matapelajaran agama yang sedia ada sekarang. Ibadat perlu lebih banyak praktikalnya. Lebih banyak aktiviti fizikalnya. Teori digabungkan dengan amali. Teori sahaja terlalu tradisi. Di sekolah perlu ada persekitaran agama. Bacaan al-Quran melintasi seluruh kawasan sekolah. Bunyinya perlahan sekadar memenuhi suasana. Biar ada ketenangan. Pada waktu solat ada guru atau ustaz atau ustazah yang bersama beribadat. Solat berjemaah. Ada kelas al-Quran atau hadith. Beri ruang kepada pelajar membuat kajian. Mencari sumber agama. Bentangkan kepada kelas. Buat aktiviti agama yang praktikal. Segerakkan aktiviti dengan ibu bapa. Bersama Persatuan Ibu Bapa Guru. Saya percaya banyak permasalahan di sekolah yang akan dapat disurutkan. Ketenangan akan dapat dicapai. Anak-anak soleh dan solehah dapat dilahirkan. Impian saya untuk generasi ulul albab. InsyaAllah.