Wednesday, August 15, 2012

Munjung: Tradisi Jawa Yang Perlukan Sentuhan Inovasi


Sebagai anak Jawa penilis dibesarkan dengan budayanya yang rencam. Ianya mencakup dari Islam hingga kadang-kadang yang berbentuk animisma. Cumanya lama-kelamaan, ilmu dan pentarbiahan banyak mengubah persepsi orang Jawa terhadap budayanya. Di kampung-kampung yang jauh di pedalaman amalan tradisi masih mendominasi keadaaan. Di banadar-bandar pula keadaan sudah berubah, mungkin 360ยบ. Banyak yang sudah ditinggalkan oleh orang bandar. Jika diamati orang Jawa lazimnya menghormati mereka yang lebih tua. Menghormati saudara tua. Menghormati orang-orang yang dianggap ketua. Atau lebih tinggi kedudukannya. Ini dilihat melalui tutur kata. Dengan orang-orang yang dihormati mereka menggunakan bahasa halus. Atau bahasa keraton. Bahasa istana. Lembut, sopan dan intonasi pengucapannya mengasyikkan.

Kita membahasakan orang kedua sebagai kamu, mu, awak, kue, lu atau anda. Dalam bahasa halus Jawa orang kedua disebut sampian. Orang banjar juga menggunakan istilah yang hampir sama. Tetapi s-nya dihilangkan menjadi ampian sahaja. Dalam istilah  yang lain disebut andika. Itu  dari segi bahasa pertuturan. Orang-orang yang lebih rendah tarafnya sama ada dari segi pangkat atau usia tidak sebarangan melintas di hadapan orang tua atau di hadapan majlis. Jika perlu dilakukan maka mereka lazimnya berjalan sambil menunduk, tangan kanan dibuka dan ditunjukkan ke bawah. Tanda memohon hormat untuk tumpang lalu. Apabila orang dewasa berbual anak-anak semuanya menjauh. Tidak boleh “menguping” atau mendengar-dengar perbualan orang dewasa.  Lama juga penulis memikirkan akan hal ini. Rupanya orang dewasa bila bertemu isi perbualan mereka menyentuh (maaf) tentang mengumpat orang lain. Membawang. Ada masanya tentang sesuatu rahsia. Atau mungkin juga ada cerita-cerita lain yang tidak layak didengar oleh anak-anak.

Tentang makanan orang Jawa sangat peka. Kehadiran tetamu tanpa mengira siapa mereka pasti dijamu dengan makan berat. Tanpa mengira waktu. Sampai sahaja di rumah anak dara atau suri rumah sempat menanak nasi, mengukur kelapa, memetik sayur di sekeliling rumah, menggoreng telur atau ikan masin. Dalam seronok berbual hidangan  pun siap. Makanlah tamu sebelum pulang. Adat orang Jawa jika tamu tidak makan atau tidak ada makanan terasa ralat yang memanjang. Malu. Dan kadang-kadang terasa aib. Perut tetamu mesti diisi sebelum mereka pulang. Itupun tidak boleh lama. Kadang-kadang 45 minit sudah terlalu lama. Jika anak dara yang menyiapkannya sesingkat waktu maka kelayakan untuk berumahtangga sudah boleh diperakui. Masin, masam dan  manis pada masakan dan makanan adalah penilaian yang paling mudah. Jika tamu berselera makan, rasanya bakal mertua apatah lagi. Bakal menantu yang boleh diharap menjaga kesihatan keluarga. Menjaga perut mertua.

Cerita menghormati orang tua atau orang berkedudukan tidak habis di situ sahaja. Apabila tiba musim perayaan seperti ‘Eid al-Fitri atau Eid al-Adha yang muda pasti menghantar makanan atau juadah istimewa kepada mereka. Dalam tradisi Jawa istilahnya ialah munjung. Menghantar makanan kepada mereka yang disayangi dan dihormati. Lazimnya kepada kedua ibu dan bapa. Datuk dan nenek. Bapa saudara. Ketua kampung. Pak Lurah. Ustaz dan ustazah. Atau guru. Menu istimewanya tidak lari dari ketupat, sayur lodeh, ayam (kari atau semur – masak kicap) dan serunding. Ada kemungkinan rendang dan sambal sate (sambal kacang). Ada juga yang menyertakan lepat. Beras pulut yang dibungkus daun kelapa muda yang diistilahkan sebagai janur. Ketupat Jawa berisi nasi yang diisi dalam anyaman janur. Ada ketupat sate. Ada ketupat bawang. Saiz ketupat bergantung kepada lebar janur. Jika lebar, besarlah ketupatnya. Jika kecil, kecillah ketupatnya.

Lodeh khusus untuk sayur orang Jawa. Bahan utamanya tidak lari dari kacang panjang, tempe, suun, tauhu kering. Mungkin ditambah sengkuang dan terung. Gulai lemak agak pekat. Gulai cair mengurangkan kualiti. Ayam masak kari dan semur paling popular. Ada juga ayam yang diungkep. Ayam yang diperap dengan halia, kunyit, ketumbar atau rempah. Memasaknya dengan memasukkan ke dalam kuali atau periuk yang diisi dengan minyak. Ianya seperti digoreng tetapi kuali  atau periuk itu ditutup rapat. Apabila daging ayam sudah lembut dan masak, tudungnya dibuka. Proses mengeringkannya berlaku. Ayam yang cukup masak terasa garing dan serapan bumbunya sempurna. Enaknya cukup memukau. Cubalah bagi yang berhajat.  Punjungan dikira sempurna. Berderet-deret mangkuk tingkat digunakan untuk menghantar ke rumah-rumah yang tersenarai. Sekarang orang menggunakan plastik atau bekas-bekas plastik. Mangkuk tingkat sudah seperti tidak praktikal lagi. Payah membawanya. Malas membasuhnya. Hendak menyimpannya lagilah satu hal.

Dalam hal punjung-memunjung ini penulis mengira perlu ada  sentuhan inovasi. Apa yang dilihat ialah suatu hal yang akur kepada adat. Ada sentuhan hormat pada yang tua. Tetapi ada pula unsur pembaziran yang tidak ketara. Bayangkan sepasang suami isteri yang mencecah usia 80 hingga 90 tahun menerima punjungan sebanyak 20. 20 orang menghantar punjungan. Pasangan warga intan itu hanya mampu melihat tanpa selera. Tanpa kecur air liur. Tanpa ada selera untuk  mencuba. Punjungan itu hanya disusun dan dipandang begitu sahaja. Yang dimakan masakan sendiri juga. Sesuai dengan lidah dan tekak sendiri. Bukan itu sahaja, pasangan yang terlalu tua itu berusaha memasak juga semua juadah yang perlu untuk membalas punjungan yang datang dari berbagai penjuru itu. Membalas budi. Tidak mungkin mangkuk tingkat dipulangkan kosong. Terasa bersalah juga. Malangkan. Punjungan kepada yang tua tidak makan. Yang tua pula membalas punjungan. Penat dan meletihkan. Hormat  yang akhirnya menjadi pembaziran. Bagi pasangan yang ramai anak cucu boleh juga dihidangkan pada Hari Raya. Bagi yang berkeluarga kecil maka makanan yang ada pastinya menjamu ayam dan itik.

Mungkin kita harus membuat penilaian semula. Memunjung diberi nafas baru. Dibangunkan sistem baru. Oleh kerana memunjung adalah kepada yang tua kenapa tidak punjungan itu diubah waktunya. Disesuaikan menunya. Susun jadual supaya punjungan dimulakan dari hari pertama Ramadhan. Dengannya yang tua dapat makan percuma setiap hari. Kenalpasti makanan kegemaran mereka. Masakan yang sesuai dengan minat dan selera. Anak-anak pastinya tahu apa kegemaran ibu dan ayah mereka. Jangan berikan yang lain dari itu. Membazir sahaja.  Rajinlah memunjung semasa orang tua masih sihat. Semasa masih ada selera. Semasa masih boleh kecur air liur. Semasa gigi mereka masih kuat menggigit makanan. Semasa tekak mereka masih menerima apa saja makanan. Semassa perut mereka boleh menerima makanan kegemaran mereka.

Jangan tunggu Hari Raya. Jangan tunggu sewaktu mereka tua. Jangan tunggu semasa mereka sakit. Ketika itu semuanya menjadi tepu. Apapun yang menyelerakan menumpulkan selera. Fokus kepada makanan sudah tidak relevan lagi. Sesuap dua makan sudah memadai. Seteguk dua air sudah menghilangkan dahaga. Ingatan kepada orang tua biarlah memanjang. Isriqamah. Bila-bila ada kelapangan. Dijadualkan supaya tidak terlupa. Bawa makanan sambail mebawa anak cucu. Orang tua ceria melihat anak cucunya makan dan minum. Mereka akan terangsang untuk turut berselera. Masakan air tangan anak cucu juga memberi rasa selera kepada datuk dan nenek. Makanan dan minuman yang dibuat khusus dapat dirasa. Dapat dijamah. Dapat dinikmati. Punjungan pada Hari Raya hanya menghormati punjungan. Tidak disentuh. Tidak  dijamah. Anak cucu seronok memunjung. Suatu tanggungjawab yang terlaksana. Malangnya orang tua hanya mampu terkebil-kebil melihat deretan makanan yang terhidang di semua sudut dapur rumah. Meja makan tepu ke birainya. Tungku penuh dengan semua periuk. Mangkuk dan besen juga penuh.

Kasihan orang tua. Malangnya mereka sudah melepasi zaman enak untuk makan. Selera yang tidak  patah. Itu dahulu sewaktu senang. Sewaktu muda. Sewaktu tidak ada kemampuan untuk menikmati kesemua yang diidamkan. Bila tua semua disuakan kepada mereka. Selera sudah patah. Ayuhlah kita fikirkan bersama. Kekalkan menghormati yang tua. Jaga perhubungan dengan mereka. Hantarlah punjungan. Jadualnya diubahsuai. Semoga punjungan dapat dimakan. Dinikmati kelazatannya. Dapat  diingat anak mana. Cucu mana. Jiran  mana. Tahun hadapan kita mulakan? InsyaAllah.

2 comments:

  1. Cadangan yang baik, Tuan Haji. Ada benarnya kerana seringkali berlaku lambakan makanan pada hari raya pertama. Akhirnya, berlaku pembaziran sekiranya tuan rumah hanya tinggal berdua.

    Insya Allah, akan dipanjang-panjangkan cadangan ini.

    ReplyDelete
  2. Sila sebarkan. Mudah-Mudahan ada manfaatnya.

    ReplyDelete