Setiap perjalanan memberikan impaknya yang tersendiri. Terlalu banyak yang dilihat. Itupun jika mata kita ingin melihat. Merenung apa yang terpampang di hadapan mata. Yang besar tersergam. Yang memang sejak azali ada di situ. Kadang-kadang kita terlepas pandang banyak hal yang sangat dekat dengan diri kita. Kita nampak yang jauh tetapi mengabaikan yang dekat. Malangnya keadaan. Yang dekat selalu dianggap terlalu biasa. Tidak perlu difikirkan lagi. Biarkan begitu. Begitulah bila di negara orang terlalu banyak yang menyegarkan. Mendamaikan mata. Seperti membahagiakan. Pada hal di tempat kita sendiri, di sekeliling kita banyak yang boleh diolah. Di sinilah perlunya kreativiti. Sekurang-kurangnya inovasi. Merubah yang biasa menjadi luar biasa. Yang layu disegarkan. Ya yang pudar digilap. Yang kusam dilihat semula fungsinya. Maknanya semua yang ada di sekeliling kita adalah sumber inspirasi. Tidak perlu pilih-pilih. Yang ada memang semuanya ada nikmatnya tersendiri. Ada manfaatnya. Tetap ada impaknya. Perhati dan teliti. Fikir dan pandang ke hadapan.
Anak-anak perempuan saya menikmati alam asing waktu itu. Menyeberang ke Canada tiada bezanya dengan berada di US. Suasananya serupa sahaja. Dilihat sentiasa meriah. Gambar ini dirakam di sempadan Canada-US. Summer 1985.
Perjalanan ke Canada membuka mata saya. Selain melalui padang rumput yang menghijau saya juga melihat ladang jagung yang melaut lusnya. Dengan buahnya yang berjanggut-janggut. Bertingkat-tingkat dari satu tahap ke satu tahap yang dari bawah ke atas. Besar-besar pula saiznya. Jagung di US bukan untuk direbus seperti di pasar malam. Bukan untuk dibakar dan dibubuh mentega atau majerin. Ladang yang beribu-ribu hektar itu tentu tidak dapat dihabiskan buahnya. Walaupun berjuta orang yang memakannya. Jagung-jagung itu dijadikan fodder. Makanan lembu. Ditinkan dalam maize soup, corn in syrup dan berbagai lagi. Banyak benar gunanya jagung-jagung itu. Termasuklah aiskrim, minyak masak, jus, kuih muih dan banyak lagi.
Hutan sudah tidak ada lagi. Ratusan tahun the move to the west telah merakuskan the early settlers menebang dan menebas. Balak tidak cukup-cukup. Ladang sebesar-besarnya dibuka. The Great Plain menjadi nadi bertani. Dahulunya tempat itu menjadi hunting ground untuk orang Red Indian. Mereka berkuda memburu bison yang besar dan banyak dagingnya. Semuanya tinggal sejarah. The melting pot of Americans merubah lanskap bumi besar itu. Lalu berkuranglah oksigen. Berlakulah penipisan ozon. Ironisnya negara-negara di Khatulistiwa yang didesak supaya menjaga hutan. Perabot kita dipulaukan. Banyak resolusi antarabangsa memaksa kita menjaga hutan. Memulihara hutan. Menanam pokok. Menjaga alam sekitar. Semuanya dipindahkan kepada kita. Lain makan nangka lain yang kena getahnya. Mudah untuk mereka pointing fingers. Blaming others. Semangat menjajah minda masih ada pada mereka. Negara yang lemah seolah-olah semuanya salah. Mereka sahaja yang benar. Ingin selalu menang. Jadi juara tanpa pertandingan.
Jagung bukan satu-satunya tanaman yang diusahakan secara meluas. Banyak lagi tanaman buah-buahan. Ladang oren, epal, apricot, pear, anggor dan buah-buahan lain memagari jalanraya. Awal summer itu kesemuanya mula berbuah. Belum ada yang masak. Sebulan dua lagi barangkali akan riuh rendahlah semua vineyard dengan pemetik buah. Dengan lori yang mengangkutnya. Dengan jentera pemetiknya. Hasil tuaiannya akan menjadi abundant. Melimpah ruah. Nanti akan ada pesta memijak anggur untuk dijadikan wine jusnya. Akan banyak cedar dari buah epal. Apple pie ada di sana sini. Kek oren dan berbagai lagi. Kemeriahan musim panas yang mendekati akhirnya. Memasuki musim fall tentu segalanya dinanti penuh debar. Pesta-pestaan yang menghibur. Muzik di mana-mana. Siang malam didengar. Siang yang lebih panjang dari malam menggilakan penduduknya. Agama bukan isu. Bukan cara hidup. Bukan penentu kebahagiaan. Bukan lagi pertimbangan kesejahteraan fizikal dan minda. Hedonism memanjang. Cuma bagi mereka paras siumannya tetap tinggi. Pemimpin dan bijak laksananya tetap unggul. Dalam mereka membangunkan industri perkilangan mereka tidak pernah lupa tentang pertanian. Tentang makanan yang mengenyangkan perut. Yang memberi kehidupan. Berbeza benar dengan kita. Semuanya ke kilang. Tanah menjadi terbiar dan terpinggir. Kosong. Makanan kita import. Pertukaran wang negara yang begitu banyak. Dari dahulu hingga sekarang kita masih tidak mahu belajar. Makanan adalah nadi hidup. Bukan sesuatu yang sampingan. Bukan yang kurang nilainya.
Hari itu kami menyeberang sempadan Canada-US. Negara yang dipisahkan dengan politik. Bukan ada tembok batu seperti the Berlin Wall dahulu. Sempadan selalunya hanya aliran sungai. Air yang selalu dicincang tidak putus menjadi pemisah antara dua negara. Antara dua keluarga. Antara dua rumpun bangsa. Menjejak kaki di Canada serupa juga seperti berada di mana-mana. Tanah adalah bumi Allah. Tanah juga. Mungkin teksturnya berbeza. Kandungan nutriennya berbeza. Kerana iklimnya berbeza jenis pokok yang ditanam berbeza. Suhu memang berbeza. Cahaya mataharinya berbeza. Bagi mereka yang tidak pernah sampai di negara berhawa sederhana cerita-cerita seperti ini mungkin sekadar cerita. Realitinya tidak pernah menusuk ke qalbu. Hanya yang mengalaminya sahaja selalu rindu. Sesuatu yang membekas di hati. Sesuatu yang tidak kekal abadi. Melaluinya sudah cukup membahagiakan. Bukan hanya melihat gambar. Bukan hanya melihat video atau filem. Membaca, melihat dan menonton tidak memberikan apa-apa impak yang nyata. Masa yang telah lama berlalu itu masih mencair hati saya. Masa ada rasa sayu meninggalkannya. Masih terus rindu mengimbau-imbau.
Berada di sana merasakan kesegaran udaranya. Sejuk dan panas udaranya. Naik dan turun suhunya. Iklimnya yang nyata sederhana tetapi panasnya seperti di sini. Sejuknya sahaja yang terlalu mencengkam. Yang selalu ingin dielakkan. Tetapi snow selalu menggamit memori tersendiri. Snowballs dan snowman. Hamparannya yang memutih. Selalunya waktu malam turunnya. Paginya sudah terhampar untuk dipandang penuh hening. Damai di hati. Panas sewaktu fall juga mengujakan. Dedaun yang menguning dan memerah akhirnya gugur berderaian. Melambak di perdu pokok. Memenuhi tanah dan lapangan. Meninggalkan ranting, dahan dan batang yang kosong tanpa daun. Kosong menanti sejuk musim winter. Nanti diganti dengan bebunga musim bunga yang pasti memeriahkan. Bunyi unggas nan berkicau riang menandakan bahawa sejuk akan hilang. Panas menjelang.
Itulah cebisan-cebisan pengalaman hidup. Alhamdulillah rezeki Allah. Saya kongsikan cerita ini untuk sama-sama menikmati alam yang luas terbentang ini. Bahawa semuanya silih berganti. Memberikan makna dan rona. Hidup ini dinamik. Tidak ada yang statik. Kita kena bergerak dan segerak. Mencari diri kita yang sebenar. Siapa kita yang diciptakan untuk memenuhi bumi Allah ini. Menjadi khalifaah seperti yang Allah rencanakan. Berada di bahagian bumi yang berlainan memberikan pengalaman yang selalu mengujakan. Banyak yang belum pernah dilihat. Banyak yang mistri. Banyak yang mencabar kehadiran. Kali pertama berada di sekeliling suasan seperti itu sukar untuk menggambarkan rasa di hati. Sesudah meninggalkannya selama 25 tahun masih terasa kesegarannya. Andainya dapat diulang lagi dan lagi. Semuanya akan diulit bukan dengan mimpi tetapi dibelai dengan realiti. Hidup ini bukan mati. Hati ini bukan sunyi. Rindu serindunya. Tanah yang jauh ditinggalkan. Hanya sekadar pengalaman. Lintsan masa yang sudah lama menghilang.