Apabila kita berada di dalam kepompong kita sendiri,
kita merasakan bahawa kesemua yang berada dalam persekitaran kita adalah yang
terbaik. Kita rasa damai. Kita rasa tenteram. Kita rasa selamat. Kita rasa aman.
Kita rasa bahagia. Kita rasa segala-galanya adalah kita. Lalu kita berimaginasi
bahawa kitalah manusia yang paling istimewa. Segala-galanya tersedia. Apatah lagi
apabila kita hanya memandang ke atas. Kita lupa memandang ke hadapan, ke
belakang, ke sisi dan ke bawah. Kita mungkin lupa di bawah ada yang kita pijak.
Belum tentu ianya kukuh dan bertahan lama. Mungkin sesuatu yang sangat rapuh. Kita
lupa memandang ke belakang. Bahawa banyak kesilapan dan kecelaruan yang kita
tinggalkan. Kita lupa memandang ke sisi yang situasinya mungkin lebih baik dari
situasi kita sendiri. Begitu juga hadapan kita yang tidak diamati, mungkin
jalannya penuh berliku. Banyak halangan. Banyak cabaran. Di atas sana yang kita
dongak juga mungkin mendung dan hujan. Mungkin petir dan guruh. Apabila kita
lupa diri banyak musibah yang bakal menimpa. Dari yang zahir hinggalah yang
tersirat.
Begitulah Allah menggalakkan kita melihat sekeliling. Melihat
tanda-tanda kebesaranNya. Dengannya kita menginsafi betapa kecilnya kita. Betapa
kerdilnya kita. Betapa tidak signifikannya kita sebagai manusia yang menjadi
sebahagian dari tersangat banyaknya makhluk yang Allah ciptakan. Kita selalu
teralpa sehingga beranggapan bahawa kita masih akan hidup lama. Masih punya
masa yang panjang untuk berbuat banyak perkara. Sedangkan hidup ini ketentuan
Allah. Usia kita Allah yang tentukan. Sakit kita tidak diketahui jenis dan
masanya. Mati dan ajal kita tiada siapa yang tahu melainkan Allah. Mati bukan
kerana tua. Mati bukan kerana sakit. Mati bukan ketentuan manusia. Allah yang
menentukan segala-galanya. Andainya kita lupa semua ini kita menjadi manusia
yang lupa. Menganggap banyak yang boleh kita lakukan lagi. Ingatlah bahawa di
sana nanti kita akan ditanya Allah akan apa yang telah kita lakukan. Apakah kebaikan
melebihi kejahatan. Apakah pahala melebihi dosa. Apakah kita dalam redha Allah
selamanya. Apakah kita menyanyangi sesama insan dan makhluk lain. Atau apakah
kita menganiaya sesama makhluk.
Sesungguhnya kesemua yang kita lakukan tercatat tanpa
kecuali. Kesemuanya tercatat mengikut sekuennya. Terakam untuk kita lihat
semula paparannya nanti. Cacatan para malaikat lebih komprehensif. Lebih terperinci.
Lebih lengkap selengkapnya. Tiada yang lebih dan tiada yang kurang. Malah yang
dosa dikatakan banyak yang dikurangkan. Yang pahala Allah tokok tambah demi
kasih sayangNya kepada kita. Kita malu sebenarnya apabila catatan amal kita dipaparkan
kepada kita. Terlalu lengkap. Tiada yang menganiaya kita kecuali perbuatan kita
sendiri. Kecuaian kita sendiri. Kita sendiri yang menzalimi diri kita. Kerana itu
kita dikehendaki muasabah diri. Menginsafi kesalahan dan kesilapan diri. Bertaubat
sebanyak mungkin. Terlalu banyak kesilapan kita sehingga kita tidak dapat
mengiranya. Istigfar, amal kebaikan, mematuhi perintah Allah dan menjauhi
laranganNya supaya kita terhalang dari menambah dosa. Dapat pula menambah
kebajikan diri. Mencari redha Allah.
Apabila kita keluar dari kepompong kita, kita melihat
dari luar. Betapa kepompong kita adalah terlalu sempit. Bukan yang terbaik. Bukan
tempat yang paling membahagiakan. Jika kita insafi keadaan itu akan banyak
kebaikannya. Kita akan berusaha untuk memperbaiki keadaan. Menambahbaik apa
yang ada. Mencari yang lebih baik. Membuat perubahan yang bersesuaian. Beruntunglah
mereka yang berkeupayaan keluar dari kepompongnya. Melihat dunia dengan perspektif
yang berbeza. Membawa pulang sesuatu yang menambah manfaat diri dan orang lain
di sekelilingnya. Dari luar kita melihat:
1
Kebaikan yang ada di negara kita. Pada diri kita. Pada
persekitaran kita.
2
Keburukan yang ada di negara kita. Hal-hal negatif
yang menyalahi agama, politik, undang, akhlak, sosial dan berbagai lagi.
3
Kekuatan kita. Kekayaan kita. Kelebihan kita.
4
Kelemahan yang ada. Yang diwarisi dan yang sengaja
dicipta.
5
Bahaya dan ancaman terhadap politik, ekonomi, sistem
hidup, eko-sistem, sosial dan kehidupan, agama dan berbagai lagi.
6
Kelemahan orang kita melihat sesuatu. Hanya dari
beberapa sudut yang sempit. Kita jarang melihat sesuatu secara lateral. Ke dalam
dan melebar.
7
Kelemahan kita melihat hanya dalam jangka pendek. Melupakan
yang jangka panjang. Yang strategik. Yang kritikal.
Sebagai pemerhati, kadang-kadang kita lemas sendiri. Bagaimana
hendak memulihkan keadaan. Keadaan semakin kacau. Banjir dan panas sudah tidak
diambil iktibar. Kesusahan dan kemelaratan sudah tidak memberi pengajaran. Kebejatan
dan kejahatan sudah tidak dapat dikawal. Kematian sudah tiada harga. Harta benda
menjadi rebutan setiapa masa. Yang menang hanya sementara. Hidupnya tidak lama
juga. Yang kalah tidak juga melarat hingga papa kedana. Matinya sama sahaja. Hanya
kain kapan berwarna putih. Beberapa lapis membaluti tubuh keras kaku kerana ruhnya
sudah tiada. Kain itu pula hanya bertahan untuk beberapa hari. Atau beberapa
minggu. Kita selalu lupa ada antara mereka yang kain kapannya tidak pernah
rosak selama-lamanya. Terus berkualiti mendakap jasad yang terus-terusan
tersenyum. Kerana banyak amalnya. Kerana hidupnya dalam redha Allah. Jauh dari
umpat keji. Jauh dari fitnah. Jauh dari menganiaya orang lain.
Atas akan turun ke bawah juga. Diturunkan apabila
sampai masanya. Tidak ada yang berkekalan hanya di atas sahaja. Fitrah manusia
berada di atas dan kemudian turun ke bawah juga. Ke dalam tanah kerana di situ
asal kita. Yang tinggi menjadi datar. Menjadi rendah tanpa ukuran lagi. Sampai masanya
kita semua mengadap Yang Maha Mencipta. Ketika itu sudah tiada tinggi. Sudah hilang
besar. Kaya tidak berguna jika tidak dimanfaatkan kerana Allah. Jika tidak
berbakti kerana Allah. Jika tiada infaqnya kerana Allah. Lihatlah ke dalam diri
kita. Lihat sedalam-dalamnya. Banyak cacat-cela yang akan terlihat. Kemudian kita
kembali ke dalam untuk memperbaiki keadaan sebelum terlambat. Selagi masih ada
masa terluang. Selagi nyawa masih ada di badan. Sesungguhnya kepada setiap
orang masa sudah terlalu suntuk. Sudah terlalu dekat pengakhirannya. Langkah-langkah
kita hanya menuju ke arah yang sama. Meninggalkan dunia ini yang penuh dengan
fitnahnya. Allahuakbar! Semoga kita semua dalam peliharaan Allah. Insyaallah.
Aamin.