Jika kita hanya membaca berita, banyak fakta yang tidak tepat. Hatta media elektronik sekalipun sukar difahami. Gambar dan imej yang sepatutnya memberikan fakta dan kebenaran juga sukar dimengerti. Begitulah tentang Amerika. Secara umumnya orang melihat Amerika itu jahat. Banyak tindak tanduknya yang menyakitkan hati. Apatah lagi egonya sebagai polis dunia. Ada sahaja negara orang lain yang dianggap tidak betul. Negara orang lain dianggap sebagai sarang pengganas. Orang lain semuanya pengganas. Semjua dianggap ekstrimis. Fundamentalis. Dialah juara. Pengaman dunia. Benarkah realitinya begitu? Adakah orang Amerika itu super race? Bangsa yang terpilih – the chosen one? Seperti manusia lain di negara lain, orang Amerika itu adalah manusia biasa. Cacat celanya banyak. Never perfect.
Imej luarnya sahaja dilihat gagah. Menggerunkan. Itulah maksud persona. Hanya topeng-topeng yang menyembunyikan kebobrokan di dalam. Sebenarnya semua bangsa begitu. Hiasan mukanya sahaja yang nampak cantik. Bila berada di luar negara diperlihatkan yang indah-indah belaka. Di negaranya sendiri rakyatnya menderita tidak terkata. Hendak berkatapun terlalu banyak pitanya. Suara tidak kedengaran. Sekatan lepas sekatan. Yang dilihat hanya igauan-igauan ngeri. Muka yang berkerut. Kening yang herot. Gigi yang diketap kejap. Membakar jiwa dan raganya. Luluh hatinya. Remuk redamnya. Seperti di Amerika, rakyatnya belum terlepas dari konsep hamba yang telah dihapuskan oleh Abraham Lincoln dahulu. Yang gah adalah politiknya. Dasar luarnya. Di dalam negaranya ramai rakyatnya yang daif.
Ramai antara mereka tidak memiliki rumah sebagai keperluan asas. Mereka menjadi manusia jalanan – street people. Hidup secukup makan. Tidur di mana-mana ada sampah. Jadilah mereka sampah masyarakat. kadang-kadang dipanggil bum. Ramai yang mati bila winter. Sejuk yang membunuh kerana mereka tiada tempat perlindungan. Sesuatu yang sangat ironis. Real paradox. Kaya tetapi ada rakyatnya yang miskin. Yang papa. Yang kedana. Gelandangan tidak menentu. Itulah dunia kapitalis. Condong untuk kaya tanpa memperdulikan golongan yang memerlukan. Jika tidak kembali kepada Islam, itulah yang akhirnya akan terjadi. Bacalah sejarah bagaimana dalam zaman terkini negara seperti Greece boleh muflis. Bagaimana Iceland boleh muflis. Itu di Eropah. Dalam tahun 2010. Dalam abad ke-2. Bukan dongeng. Bukan fitnah. Bukan fiction. It is real. Memungkinkan ianya berlaku kepada negara lain yang sombong dan enggan kembali kepada Islam. Sistem apapun yang diamalkan terlalu banyak cacat celanya. Itulah kesombongan manusia. Selalu berpaling dari jalan lurus pimpinan Allah.
Namun dalam kezaliman hidup yang melampau di Amerika itu rakyatnya secara individu masih ramai yang tinggi darjat manusiawinya. Mereka sukakan kanak-kanak. Cuma tidak suka memelihara anak. Namun begitu banyak perkara yang disandarkan kepada kanak-kanak. Sewaktu saya hendak menduduki rumah sewa saya, saya memohon bekalan elektrik, telefon dan cable TV. Semua itu dipohon oleh orang yang hendak menyewa rumah. Bukan dipohon oleh tuan rumah. Telefon dan cable TV merupakan aksesori. Tetapi elektrik adalah necessity. Semua permohonan di atas cukup hanya dengan telefon sahaja. Langsung tidak perlu pergi ke pejabat. Tidak perlu mengisi borang. Tidak perlu beratur panjang. Nanti bilnya juga dibayar melalui pos. No stamp needed. Everything paid for. What a life. Bagaimana hidup boleh jadi semudah itu? Jawapannya senang juga. Mereka sudah ada sistem pusat. Semua maklumat boleh diakses di situ. Sebut nama, sebut nombor pengenalan semua maklumat peribadi ada di situ. Lari ke manapun boleh dikesan. Muncullah di mana. Tinggallah di mana. Sistem yang sedia ada dapat mengesan. Kita belum sampai ke tahap itu. Lama lagi agaknya. 50 tahun lagi mungkin. Itupun jika sikap kita betul ke arah itu.
Melalui telefon saya memohon bekalan elektrik.
“Hello. I’m moving to this address. I need electricity. When can I get it?”
“Ok sir. Your particulars please.” Jenuhlah saya memberikan nama. Siap dengan ejaannya sekali. Nombor pengenalan saya. Di sana dipanggil social security number. Bukan nombor kad pengenalan. Diberi oleh Imegresen. Alamat rumah dan nombor telefon. Bila siap saya menerima jawapan rutin.
“Thank you sir. We’ll fix it tomorrow.”
“Pardon me. I need it now. I’ve small kids you know.”
“Ok then. I’ll do whatever I can.”
“Thank you very much.”
Sejam dua kemudian pastinya bekalan elektrik akan disambung. With immediate effect. Sebabnya? Because of small kids. Begitulah mulianya kemanusiaan mereka. Apapun tidak akan dilewatkan. Tidak dilengah-lengahkan. Jika dan jika berlaku mudarat kepada kanak-kanak kecil, jenuh nanti naik turun mahkamah. Ibu bapa boleh menuntut pampasan yang jumlahnya berjuta ringgit. Pampasan kerana mengabaikan kebajikan kanak-kanak. Tiada siapa yang berani mengambuil risiko itu di US.
Di Heathrow Airport, London saya dan keluarga mendapat penghormatan yang hampir serupa. Saya bimbang bagasi yang kami bawa melewati berat yang dibenarkan. Seorang hanya 30kg. Tujuh orang banyak juga. Tetapi barang yang kami bawa melepasi timbangan itu. Oleh itu banyak beg sandang yang kami elakkan dari ditimbang. Takut sangat melebihi yang dibenarkan. Sewaktu check-in petugas menggesa kami meletakkan semua beg sandang yang kami bawa. Timbangan yang menyekat sudah tidak diambilkira lagi. Semuanya kerana kanak-kanak. Begitulah tamadun yang berbeza. Di negara maju kanak-kanak, wanita dan orang-orang tua selalu mendapat keutamaan. Jika kita amati itu sebenarnya falsafah dan prinsip Islam. Adab Islam. Kanak-kanak, wanita dan orang tua adalah mereka yang perlu diberi keutamaan. Yang perlu dilindungi. Yang perlu dibantu. Di negara kita tamadunnya belum terbentuk. Tenggelam timbul. Penghormatan kepada kanak-kanak, wanita dan orang tua selalu tidak terlaksana. Hanya dalam pilihanraya sahaja bibit kemanusiaan itu tinggi tahapnya. Pada waktu lain semuanya ranap ke bumi. Entahlah, pendidikan masih gagal mengangkat martabat bangsa.
Bekalan air tidak pernah putus. Air adalah keperluan asas yang sangat asas di sana. Walaupun rumah tidak disewa, bekalan air tetap ada. Air kosnya sangat murah. Real bare necessity. Elektrik juga keperluan asas tetapi ada nilai yang berbeza. Rumah yang tidak berpenghuni mungkin boleh berlaku kebakaran. Litar pintas yang tidak dapat dikesan. Sebab itu bekalannya diputuskan apabila penghuninya meninggalkan rumah sewa itu. Atau ketika berpindah ke tempat lain. Elektrik bukan sahaja untuk menerangi. Bukan sahaja untuk sumber hiburan. Ianya asas penting untuk menghidupkan alat pemanas dalam musim winter. Tanpa alat pemanas itu tiada manusia yang boleh duduk dalam kesejukan. Kanak-kanak yang ketahanan dirinya sangat rendah besar kemungkinannya mudah mati.
Barangkali kita ke arah itu. Dalam program sekarang ini kita menekankan modal insan. Cuma kita harapkan ianya dilaksanakan secara menyeluruh. Seluruh aspek kemanusiaan. Memanifestasikan yang terunggul. Mendepani yang sempurna. Menlingkari semua yang perlu diketengahkan. Langsung mencari yang terpahat di hati. Yang mendambakan kesempurnaan jua. Di US, kanak-kanak diberi layanan istimewa. Kehadirannya ditatang bagai minyak yang penuh. Tetapi itulah manusia. Banyak ronanya. Banyak ragamnya. Banyak karenahnya. Dalam pada sayangkan anak dan kanak-kanak itu, ramai juga yang hilang pertimbangan. Penderaan anak di mana-mana. Pembunuhan di mana-mana. Penghamilan kanak-kanak ada di mana-mana. Pada satu pihak mereka memuliakan kanak-kanak. Pada pihak yang lain kanak-kanak tidak ada nilai manusianya. Diperlakukan tanpa harga.
Masyarakat dunia sudah lari dari landasannya. Dalam mengejar kemajuan dan kehebatan, masih ramai yang terdampar di perlimbangan. Masih bergelumang dengan keaiban. Masih tidak dapat lari dari kejahilan melampau. Benih-benih yang dilambak merata-rata. Janin-janin yang dibuang sesuka-suka. Bayi-bayi yang dihurung melata-lata. Kanak-kanak yang dicampak tanpa ada harga. Nilai kemanusiaan sudah tidak ada. Beringatlah. Kita semua akan kembali kepadaNya.