Kesempatan ini saya ingin mengucapkan berbanyak terima kasih dari lubuk hati saya. Saya dengan rasa rendah diri sangat menghargai semua ucap selamat yang tertera. Yang saya terima. Yang indah-indah belaka. Semua doa yang membesarkan Allah. Semoga Allah sahaja yang akan membalasnya.
Angka mengingati tarikh lahir semakin banyak. Saban tahun kita diperingatkan. Diingatkan. Diingati. Didoakan. Ada orang dipestakan. Berdentum dentam nyanyi dan muzik bertingkah. Ada tarian. Yang lain pula hingga ada minum-minum dan tarian. Halal haram hilang entah ke mana. Tentu sahaja mengingati hari lahir adalah sesuatu yang cemas. Sesuatu yang bukan untuk dirayakan. Diriwayatkan suatu pertemuan antara Nabi Yaakub dengan Malakat al-maut. Nabi Yaakub bertanya sama ada kedatangannya kerana ziarah atau untuk mencabut nyawa. Izrail menjawab bahawa kedatangannya adalah ziarah. Di akhir pertemuan itu Nabi Yaakub meminta jasa baik Izrail supaya memaklumkan kepadanya jika telah sampai ajal Nabi Yaakub nanti. Izrail setuju dengan permintaan Nabi Yaakub itu.
Masa berlalu. Ratusan tahun yang panjang. Orang dahulu kala usianya panjang-panjang belaka. Ada yang melebihi 1,000 tahun. Sebab itu kata pujangga cinta 1,000 tahun ku nanti jua. Bukan sekarang. Tiada harapan walaupun 100 tahun. 60 tahun sudah dikira alhamdulillah. Sampailah ketikanya Izrail kembali mendatangi Nabi Yaakub. Seperti dahulu juga Nabi Yaakub bertanya tentang tujuan Izrail menemuinya. Untuk ziarah atau untuk mencabut nyawanya. Kali ini Izrail menyatakan bahawa kedatangannya adalah untuk mencabut nyawa Nabi Yaakub. Terkejut Nabi Yaakub. Lalu dikatakan kepada Izrail kenapa tiada makluman awal tentang ajalnya. Bukankah sudah diperteguh janji tentang hal itu. Izrail menjawab bahawa sudah tiga kali peringatan besar dibuat kepada Nabi Yaakub. Ramai orang mungkin diperingatkan berkali-kali. Lebih banyak dari tiga kali.
Kata Izrail peringatan pertama terletak di atas kepada. Bukankah rambutmu sudah putih. Benar kata Nabi Yaakub. Itulah peringatan pertama. Kebanyakan orang yang mencapai usia dewasa mengalami berubahnya warna rambut. Uban. Ya! Uban. Kita rasa biasa sahaja apabila sudah beruban. Sebenarnya itulah tanda bahawa ajal kita semakin hampir. Inai tidak dapat melambatkan ajal itu. Tukarlah warna apapun ajal tetap datang pada waktu dan ketikanya. Tanda kedua menyusul kemudian. Mungkin seiring dengan kedatangan uban. Namun logiknya ia datang selepas uban. Kekuatan fizikal kita semakin susut. Menyusut sehingga semua yang fizikal tidak lagi menampakkan sebarang kekuatan. Disembunyikan serapi mana sekalipun, kelemahan fizikal yang dialami tidak dapat dibendung dari dilihat. Mata kita semakin kabur. Ingatan kita semakin berkurangan. Kekuatan semakin menurun. Selera makan semakin hilang.
Kulit di badan semakin kendur. Kegebuan yang dahulu sudah menipis, kulit yang licin menjadi kasar. Menggerutu. Tidka enak walaupun diusap sendiri. Hanya selalu direnung untuk mengingat kembali masa-masa yang sudah lama berlalu. Dulu kulit itu lembut. Dirasa halus. Dipamer dengan rasa megujakan. Kedut-kedut tua menjelang. Kering kontang kulit itu dari segala seri. Jadi kusam. Menanggalkan sel-sel mati yang berdebu-debu. Akhirnya peringatan yang paling hampir dengan maut. Ajal hanya di ambang pintu. Sudah tidak ada aktiviti kesihatan yang diperlukan. Makanan kesihatan yang tidka dapat mengembalikan kegebuan. Apabila badan sudah tidak dapat ditegakkan lagi sudah sangat dekat ajal yang sudah ditentukan Allah. Tunggu sahajalah. Datangnya pada bila-bila waktu. Tidak lambat dan tidak cepat. Tepat tanpa sebarang perubahan.
Begitulah yang saya rasa. 66 tahun mengingati hari lahir bukan sesuatu yang biasa-biasa lagi. Tahun hadapan belum tentu lagi ada yang menghadiahkan ucapan itu. Semakin banyak angka itu semakin dekat kita kepada pertemuan yang telah dijanjikan. Usia kita telah ada angkanya. Semakin banyak bermakna semakin kurang bakinya. Telah diprogram sejak dari alam roh lagi. Mudah-mudahan kita diberikan kekuatan untuk menghadapinya. Tentunya dengan bekal yang sebanyak-banyaknya. Kita perlu ada fixed deposit. Akaun pelaboran yang berbagai bentuknya.dividen yang ingin dikecapi di akhirat. Tanpa pelaboran kita pergi tanpa dividen. Tanpa keuntungan. Modalpun tiada. Beruntunglah mereka yang fixed depositnya besar dan tinggi nilainya. Kata orang, yang berimpak tinggi. Jihad yang tidak putus-putus. Mencari syahid. Mncari redha Allah.
Sambutlah hari jadi dengan keinsafan. Semakin banyak angka itu semakin hampir dengan tarikh luput guna kita di dunia. Ingatlah uban, kurangnya kekuatan fizikal dan bongkok badan adalah tanda-tanda yang sangat dekat. Semua orang perlu menantinya dengan penuh debar. Penuh cemas. Ketentuannya datang tanpa diuar-uarkan. Hanya yang punya diri dan Izrail saaja yang maklum. Bagi mereka yang merasa dekat dengan Allah, ajalnya mungkin diketahui beberapa waktu sebelum sampainya. Ada yang mengetahui seminggu sebelum saatnya. Ada yanbg mengetahuinya beberapa beberapa minggu sebelumnya. Mereka yang alim sahaja diberi Allah kelebihan untuk mengetahuinya. Kebanyakan dari kita tidak tahu bila saatnya. Arwah datuk saya memaklumkan tarikh ajalnya seminggu sebelum datangnya. Cukup seminggu. Harinhy atepat. Khamis malam Jumaat. Saatnya tidak diberitahu. Saya tidak dapat menatapnya walaupun cuba berjaga sepanjang malam. Semua orang akan merasainya. Saatnya sahaja tidak diketahui ketepatannya.
Terima kasih atas segala ucap selamat yang saya terima. Semakin tahun semakin berat. Ingatan semua orang terhadap saya sangat menginsafkan. Ianya menjadi berat seberatnya. Dalam ingatan itu ada ingatan lain yang mesti saya ingat. Diingat atau tidak ia pasti datang juga. Fitrah bagi yang hidup. InsyaAllah usia yang berbaki akan saya manfaatkan. Kepada Allah saya berserah. Saya memohon redhaNya.