Seorang sahabat telah dengan rela hati bersungguh-sungguh menguruskan pemergian ibunya menunaikan haji. Walaupun ibunya pergi menggunakan wangnya sendiri tetapi sahabat saya tadi bertungkus lumus membereskan segala urusannya. Segala persiapan, kenduri kendara hinggalah terbang si ibu tadi dari Lapanganterbang Senai, Johor Bahru. Pada kebanyakan orang tugas itu adalah biasa. Kepada Allah semua perbuatan itu sangat besar ganjarannya. Si ibu tadi juga merasakan begitu. Tentu doa si ibu melimpah ruah kepada sahabat saya tadi. Tentu rasa sayangnya bertambah-tambah kerana kasih sayang yang ditunjukkan oleh sahabat saya itu.
Sahabat saya itu tidak mengharapkan apa-apa. Dia hanya menjalankan tanggungjawabnya sahaja. Tidak lebih dari itu. Kebetulan ibunya sudah menjadi balu sejak beberapa tahun ini. Pada anak-anak diharapkan untuk membantu dalam urusan hidupnya. Kebetulan pula sahabat saya berkelapangan untuk membantu. Bukan wang ringgit. Yang dibantu ialah urusan teknikal seperti pemeriksaan perubatan. Pergi dan balik ke Lembaga Urusan Tabung Haji (LUTH). Bukanlah yang besar-besar urusan itu. Masa dan sedikit tenaga sahaja yang diperlukan. Alhamdulillah, semuanya beres. Ibunya selamat terbang ke Mekah.
Apa yang berlaku selepas pemergian ibunya menjadikan sahabat saya termenung panjang. Adiknya yang di Kuala Lumpur menemuinya. Adiknya ingin menjual sebidang tanah miliknya dan meminta sahabat saya untuk menguruskan penjualannya. Si adik meletakkan harga sebanyak RM185,000. Terpulang kepada sahabat saya untuk meletakkan seberapa harga yang dirasakan sesuai. Dengan takdir Allah ada pembeli yang bersetuju dengan harga RM240,000. Pembelinya datang memandu sebuah Mercedez. Secara bergurau sahabat saya menuding kereta itu sebagai sebahagian daripada sayarat bayaran. Tidak ada bantahan. Berminat benar pembeli itu. Bukan itu sahaja ditawarkan pula sebuah MPV. Dua buah kenderaan kesemuanya. Maknanya sahabat saya mendapat dua buah kereta secara percuma. Adiknya tetap mendapat RM185,000. Memang sahabat saya termenung panjang. Akhirnya dia berserah kepada Allah. Mungkin itu adalah balasanNya kerana keikhlasannya membantu ibunya.
Hendak menjadi cerita yang lebih manis, sewaktu mengadakan kenduri sempena pemergian ibunya ke Mekah, bekas peminat ibunya datang bertandang. Tuan haji itu sudah kematian isteri. Menduda juga. Semasa mudanya dia berminat untuk mengambil ibu sahabat saya sebagai isterinya. Malangnya ada orang lain yang lebih dahulu menyambarnya. Setelah masing-masing menjadi warga emas cinta datang lagi. Sesudah masing-masing bujang kembali rasa sayang berbunga semula. Ingatan lama itu bertaut kembali. Kasih datang kembali. Bertemu juga antara dua hati yang terpendam lama. Fail lama hanya ditutup sementara. Masih terbuka untuk diolah semula. Hasrat itu dinyatakan kepada sahabat saya. Tuan haji itu berminat untuk menjadikan ibu sahabat saya sebagai isterinya.
Menjadi orang tengahlah sahabat saya. Hati ibunya kembali berbunga. Kekasih lamanya mengimbau semula kenangan lama. Dua kekasih itu dilamun cinta juga jadinya. Anak cucu sudah tidak terkata apa-apa. Cinta tidak mengenal usia. Tidak mengenal kedut kulit di muka. Tidak mengenal gigi rongak sebatang dua. Tidak mengenal paras rupa. Tidak mengenal kedudukan dan taraf hidup. Tidak mengenal susah senang lagi. Hati mengembang. Cinta berbunga. Syahdu juga kata sahabat saya. Kalah orang muda bercinta. Si ibu meminta hantaran RM7,000 dan tujuh dulang hadiah. Kalah anak dara yang calang-calang dari keluarga biasa. Kerana cintanya kepada si balu idaman, semua permintaan itu dipenuhi. Mereka diijab Kabul. Diraikan ala kadar. Berjamu keluarga terdekat di sebuah restoran. Anak-beranak. Beberapa orang cucu. Kebahagiaan terpancar di wajah si ibu. Orang disayang dalam genggamannya sekarang. Terurai rasa terpendaman yang bersarang berpuluh tahun. Setelah beranak cucu baru hajat kesampaian. Itulah kerja Allah. Subhanallah. Jika jodoh tidak ke mana. Terima redha Allah. Hakikat yang membawa berkat.
Semasa si ibu dalam ikatan pertunangan, sahabat saya dan isterinya diajak ke LUTH. Sampai di sana si ibu mendaftarkan sahabat saya dan isterinya untuk menjadi tetamu Allah. Dibiayai untuk menunaikan haji. Bertambah termenung sahabat saya. Ini kali kedua sesuatu di luar jangkaannya berlaku ke atas dirinya. Sekali lagi Allah memberi balasan kerana khidmatnya kepada ibunya. Dia hanya inginkan kebahagiaan untuk ibunya. Ingin ibunya merasakan nikmat hidup yang lebih lumayan semasa ada hayatnya. Sebagai anak dia hanya ingin membantu. Kasih sayang kepada kedua ibu bapa Allah balas dengan balasan yang tidak disangka-sangka. Datangnya dari segenap penjuru. Tidak diminta dan tidak diduga. Begitulah besarnya balasan Allah ke atas hambaNya yang berbakti kepada kedua orang tuanya. Keikhlasan yang penuh kerana ingin berbakti.
Islam memandang berat tugasan tersebut. Seorang anak dituntut supaya berbakti kepada kedua orang tuanya. Malangnya kita semua terlalu khususk dengan sekularism kita. Kita lupa tanggungjawab besar yang diamanahkan Allah kepada kita. Semasa kecil kita menjadi tanggungjawab kedua ibu bapa. Segala permintaan kita dipenuhi semampunya. Sakit pening kita dibelai dengan penuh kasih sayang. Segala kebajikan kita dijamin. Bila dewasa kita pula bertanggungjawab ke atas kedua ibu bapa kita. Banyak benar kesilapan kita sebagai orang Melayu. Kita meletakkan diri kita sebagai Melayu. Sepatutnya kita menjadi orang Islam yang sebenar. Bukan Melayu. Islam mendahului Melayu. Islam lebih utama dari Melayu. Mengutamakan Islam dari Melayu. Agama tidak mengenal bangsa. Jika kita menggariskan bangsa dalam agama samalah dengan orang Kristian. Akhirnya gerejapun berdasarkan warna kulit. Berdasarkan bangsa. Islam tidak begitu. Yang beriman kepada Allah itu satu. Yang menyembah Allah itu satu. Yang namanya Islam itu satu. Mereka bersaudara sebagai satu. Di sinilah kesilapan orang Melayu. Tuntutan untuk bertanggungjawab kepada kedua orang tua dipandang sepi. Tidak diambilkira dalam perancangan hidup. Tidak memberatkan yang dituntut. Perintah Allah diringan-ringankan.
Bagi mereka yang ramai anak pula, banyak benar iri hatinya. Allah tidak memandang saham secara purata. Berbakti kepada orang tua bukan seperti koperasi. Ada sumber modal yang ditentukan. Ada pembahagian keuntungan yang dijanjikan secara peratusan. Bukan dan bukan. Berbakti kepada orang tua bukan begitu. Sesiapa yang melebihkan orang tuanya dia mendapat balasan yang lebih baik dari Allah. Syaratnya ikhlas dan kerana Allah. Memenuhi perintah Allah. Patuh kepadaNya. Memelihara orang tua bukan pakai jadual. Bukan pakai gilir-gilir. Kesemua anak wajib berlumba-lumba menyukakan hati orang tuanya. Berbuat apa sahaja untuk membahagiakannya. Tanpa dalih. Tanpa alasan untuk mengelak. Sibuk bukan alasan. Tidak ada masa bukan alasan. Tidak sempat bukan alasan. Jauh juga bukan alasan. Gunakan semua kesempatan yang ada. Bila mereka tiada semua kesempatan itu terputus begitu sahaja. Jangan dinanti saat itu. Tiada gunanya lagi.
Tanggungjawab anak juga untuk mendidik anak-anak mereka supaya melangsungkan urutan bakti itu. Melestarikan tuntutan Allah itu. Islam menggariskan dengan jelas tuntutan berbakti kepada orang tua. Ibu bapa dituntut mendidik anak dengan kasih sayang. Tetapi tidak ada suatu tuntutanpun yang menyatakan bahawa orang tua harus berbakti kepada anak cucu apabila ibu bapa itu sudah tua. Itulah kesilapan yang saya lihat. Masyarakat Melayu menyongsang suruhan Allah. Ramai yang melupakan ibu bapa. Mereka melebihkan anak dan cucu. Jangan lupa sunntullah. Jika kita mengubahnya maka balasan Allah akan menjadi azab kepada kita. Mana mungkin ibu bapa berbakti kepada anak. Ada pula berbakti kepada cucu-cucunya. Malah ada yang lebih teruk lagi. Ibu bapa berbakti kepada cicit-cicitnya. Terbalik. Songsang. Terlungkup. Islam tidak pernah mengajar begitu. Tidak ada.
Azab itu sudah semakin membarah. Terlalu ramai anak-anak mengabaikan orang tua masing-masing. Setiap anak mengharap yang lain untuk menguruskan kedua ibu bapa. Bukan berlumba-lumba. Serah kepada seorang, maka adik atau kakak atau abang itulah yang tanggung. Susah payahnya. Makan minumnya. Ubat-ubatannya. Keselesaannya. Pada hakikatnya kedua orang tua itu ternanti-nanti anak-anak yang lain. Ditelefon tidak datang. Ditanya tidak ada jawapan. Sampai ke tua ibu bapa ingatkan anak. Sampai nyanyok ibu bapa ingatkan anak. Sewaktu sakit ibu bapa lagilah ingatkan anak-anaknya. Memutuskan tali itu akan nanti dibalas oleh anak-anak. Allah tidak lupa. Ibu bapa juga tidak lupa. Anak-anak yang selalu lupa. Balasan Allah sangat mengazabkan. Balasan dunia sudah cukup azab. Balasan di akhirat lebihlah lagi gandaan azabnya. Catatan Allah tidak pernah terpadam.
Di sinilah kita melatih anak-anak kita supaya ingatkan induknya. Ingatkan datuk dan nenek mereka. Ziarahi mereka. Tanya keperluan mereka. Beri mereka sedikit kebahagiaan. Bertandang ke rumah datuk dan nenek dijadikan agenda hidup. Kepada kedua orang tua dijadikan rutin. Ditandang mereka suka. Diziarahi mereka bahagia. Menatap muka mereka sama besar pahalanya seperti memandang Kaabah. Bukan kena bayaran. Percuma sahaja. Pahala besar yang dapatnya percuma. Kontan. Jika ke Mekah tentulah terpaksa membayar ribuan ringgit untuk menatap Kaabah. Tidak perlu semua itu. Hari-hari boleh menatap Kaabah dalam rupa dan bentuk kedua ibu dan bapa kita. Saya sangat takut dalam hal ini. Jika kita mengabaikan tuntutan untuk membahagiakan kedua ibu bapa ini diabaikan nanti bila sampai masanya anak cucu kita mengabaikan kita.
Anak-anak belajar dari kita. Mereka lakukan kerana mencontohi kita. Jika sekarang kita melebihkan anak cucu kita maka nanti mereka juga melebihkan anak cucu mereka. Urutan bakti kepada orang tua itu diterbalikkan. Kita yang memulakannya. Anak-anak meneruskan apa yang kita buat. Sekarang mereka melihat. Nanti mereka mengamalkannya. Kita yang merana kerana melawan perintah Allah. Betapa siksanya jiwa ibu bapa yang berada di rumah orang-orang tua. Di pusat jagaan warga emas. Mereka ada anak. Mereka ada cucu dan cicit. Mereka terabai kerana dahulunya mereka mengabaikan tanggungjawab yang diperintahkan oleh Allah.
Marilah sama-sama kita kembali kepada mentaati perintah Allah. Allah tidak menzalimi hamba-hambaNya. Syaratnya patuhi segala perintahnya. Laksanakan apa yang disuruh. Jangan engkar. Jangan mencipta hukum hakam sendiri. Jangan terbawa-bawa dengan sikap Melayu. Islam tidak memandang bangsa. Yang dinilai ialah iman. Yang dilihat ialah taqwa. Yang membantu nanti ialah amal ibadat. Perbetulkan semua kesilapan yang lalu. Selagi masih ada waktu, perbetulkanlah. Jangan memusuhi orang tua. Mereka tidak memihak kepada anak-anak. Jika berlakupun anggap itu kesilapan mereka. Kita tidak boleh melakukan kesilapan yang sama. Kita mampu mengubahnya dengan izin Allah.