Tugas bapa yang terakhir kepada anak perempuannya ialah menikahkannya. Beruntunglah bapa yang berjaya menikahkan sendiri anak perempuannya itu. Kebanyakan orang mewakilkan kepada jurunikah untuk menikahkan anaknya. Sayang, tugas suci dan syahdu itu terlepas ke tangan orang lain. Tahniah kepada bapa yang berjaya menikahkan anaknya sendiri. Rasanya sukar digambarkan saat-saat syahdu itu. Menentang mata lelaki yang beberpa saat selepas itu menjadi suami anak perempuannya sendiri. Menjadi seorang lagi menantu lelaki. Lelaki yang neneruskan legasi keluarga. Menyambut tanggungjawab yang terakhir dari seorang bapa. Kepdanya disandarkan segala harapan untuk kelangsungan sebuah keluarga yang diharapkan semakin membesar dengan anak-anak yang soleh dan solehah. Aliran warisan keluarga yang meneruskan generasi demi generasi.
Menggenggam tangan seorang bakal menantu tentulah sukar diceritakan. Kamera hanya dapat menggambarkannya secara fizikal. Hanya apa yang dapat dilihat dengan mata kasar. Pegunan peristiwa yang terakam. Tiada siapa yang melihat telus dalaman dua manusia yang pertama kali bertemu kerana Allah. Seorang bapa berada dalam saat ingin memindahkan tanggungjawab melindungi seorng anak. Seorang lelaki yang dengan gagahnya ingin melindungi seorang wanita dari bapanya. Tergenggam erat dua tangan kanan. Yang seorang ingin menyerahkan. Yang seorang ingin menerima. Terlerailah suatau saat besar dalam hidup sepasang insan yang diijabkabulkan. Yang nantinya melayari hidup berumahtangga. Alam baru yang dinukilkan indah. Benar. Ia indah andai ada kesungguhan untuk mengindahkannya. Pelakunya yang mengindahkannya. Keindahan tidak datang dengan sendirinya.
Menjadi bapa selalu disalaherti. Dilihat tiada emosi. Dipandang tidak peka. Menjadi lelaki banyak cabarannya. Menjadi suami menapak menghadapi semua yang datang dalam apa sahaja bentuknya. Susah senang bersama. Sendu lelaki tiada dilihat. Beberapa hari saya tersayu sendiri. Selepas solat sebak datang sendiri. Kedewasaan dan ketuaan yang memanjat lama. Berada di atas usia yang semakin banyak. Anak-anak berada di bawah. Mereka berlaluan dan pergi seorang demi seorang. Yang ditinggal ialah perasaan. Kasih yang melekat di hati. Itulah agaknya saya selalu mencium anak-anak walaupun usia mereka telah menjangkaui puluhan tahun. Ayah berbeza dari ibu yang terlalu dekat hatinya. Yang selalu peka dengan apa sahaja yang di hati. Bapa hanya menyimpan di sudut hati. Jauh ke dalam dasar. Payah hendak timbul ke atas. Namun sudut hati itu selalu rapuh. Selalu cair kehibaan.
Melepaskan anak-anak menjadi fitrah. Setiap ayah menerima itu sebagai ketentuan. Bila ‘Aku nikah dan aku kahwinkan ....” bermakna suatu keredhaan hati menerima hakikat bahawa anak perempuannya sampai waktu diserahkan kepada lelaki yang menjadi suaminya. Yang menjadi menantu si ayah. Waktu sudah menentukan saatnya. Ketika sudah datang menjenguk perpisahan ruang. Dakapan tanggungjawab yang harus dileraikan. Ada lelaki yang bersedia mengambil tanggungjawab itu. Terima kasih seorang ayah kepada lelaki yang pemurah hatinya itu. Mengambil seorang anak perempuan dari ayahnya dengan kerana Allah. Adat dan resam hanya penyeri yang tidak mengganggu akidah. Adat kebiasaan sebagai gaya hidup sesuatu masyarakat setempat. Yang penting bukan amalan syaitan. Bukan amalan yang bertentangan dengan ketentuan Allah.
Sorang ayah hanya mampu berpesan buat bekal melangkah anak perempuannya. Bahawa ia sudah menjadi isteri orang. Menjadi anak orang. Mertua adalah bapa dan ibu yang menambah bilangan orang-orang yang perlu dikasihi dan disayangi. Seluruh hidupnya untuk lelaki yang bernama suami. Lelaki itulah yaang menentukan keindahan berumahtangga. Lelaki itulah yang membahagiakan kedua ibu bapanya. Lelaki itulah yang diharapkan menambah kebahagiaan seorang bapa dan ibu mertuanya. Kedamaian dan keharmonian yang harus dibina dalam hidup bersemenda. Mengindahkan perhubungan kekeluargaan. Suatu harapan dan doa yang perlu diusahakan. Kepada Allah jua dipanjatkan segala yang dihasratkan. Percayalah, ayah dan ibu sentiasa ada untuk ditagih kasih sayangnya. Untuk disandarkan nasihat dan tunjuk ajar. Untuk dipandang lama kerana sisa hidupnya semakin tiada.
Langkahkanlah kakimu menuju arah bahagia di dunia dan akhirat. Ingat Allah sentiasa kerana Dia yang menghidup dan mematikan kita. Darinya sahaja kita bermohon anugerah segala keselamatan. Menuju jalan lurus ke syurga. Terhindar dari panas azab seksa neraka. Anak-anakku, abah doakan kebahagiaan kamu kesemuanya. Carilah jalan kebaikan. Binalah kebahagiaan dari tarikh mula alam baru ini kau terokai. Melihat dan belajar sahaja hanya teori yang mungkin benar. Mengalami dengan penuh sabar adalah yang lebih baik. Semua jalan tidak ada yang lurus sentiasa. Ada belok-beloknya. Ada tinggi rendahnya. Namun semua jalan menyampaikan kita ke destinasi yang direncana. Masa dan ketika yang menentukan. Cara yang menentukan capaiannya. Ambillah iktibar dari orang lain. Orang-orang dahulu yang lebih lama hidup. Yang kata orang sudah lebih banyak makan garam. InsyaAllah Allah bersamamu.