Kami singgah di sini sewaktu sudah Maghrib. Nampak gelap sedikit gambar-gambar yang diambil. Tempat ini juga cukup besar dengan sejarahnya. Di tempat inilah Nabi Musa dan kaumnya berehat setelah berjaya menyeberangi Laut Merah. Cuba kita bayangkan dalam kotak pemikiran kita. Pada suatu ketika suatu kaum yang ramai bilangannya menyeberangi Laut Merah. Mereka berlumba-lumbaan. Berjalan tergesa-gesa. Dalam takut dan debar hati. Cemas yang bersilih ganti. Di belakang mereka Firaun dan tenteranya yang ramai dan lengkap dengan senjata. Sekiranya tentera Firaun berjaya mengejar Nabi Musa dan kaumnya pastinya ramai yang terkorban. Firaun ingin menghapuskan Bani Israel ketika itu.
Ketika sampai di tepi pantai Laut Merah tentulah Bani Israel ketakutan yang amat sangat, Di hadapan mereka air dan laut yang luas. Tidak mungkin termampu menyeberanginya. Seolah-olah maut sudah sampai pada saatnya. Di belakang mereka pula ialah Firaun dan tenteranya. Menanti ketibaan mereka bererti mati juga kemungkinannya jika sudah sampai ajal. Fikiran logik kita tentu merumuskan bahawa pilihan sudah tidak ada. Ketika dalam keadaan sepert inilah kita selalunya terperangkap dalam permainan syaitan. Kita hilang punca. Hanya berteriak ketakutan sedangkan pertolongan masih ada lagi. Harapan masih ada lagi. Kita masih ada Allah. Seperti kata Rasulallah kepada Abu Bakar: Jangat takut, Allah bersama kita. Dialognya dalam Bahasa Arab lebih menusuk. Intonasi suaranya memujuk. Harapannya memuncak. Itulah dialog Gua Thur. Gua terkenal dalam sejarah penghijrahan Nabi.
Orang yang beriman tidak boleh putus harap. Kita masih ada Allah. Allah sentiasa membantu mereka yang beriman kepadaNya. Nabi Musa diperintahkan memukulkan tongkatnya ke tebinv Laut Merah. Kun fayakun. Terbelahlah Laut Merah. Terjadi laluan yang boleh dilalui. Air memisahkan dirinya seolah-olah dibina tembok menghalangnya dari bercantum. Ada yang mentafsirkan bahawa belahan itu sebanyajk 12 iaitu untuk 12 suku Bani Israel menggunakan setiap satunya secara berasingan. Mengasingkan suku dan pada masa yang sama mempercepatkan larian. Sampailah mereka di seberang Laut Merah. Apabila mereka menoleh ke belakang kuasa Allag terjadi. Air laut yang tadinya terasing bercantum semula. Allah Maha Berkuasa. Lemas Firaun dan bala tenteranya. Janji Allah itu benar. Hingga sekarang jasad Firaun masih boleh dilihat. Manusia biasa yang memiliki sedikit kekuasaan lalu menyombong dan mendakwa dirinya Tuhan. Dunia pinjaman yang tidak kekal selamanya.
Tiba di pantai yang selamat Nabi Musa dan kaumnya berkampung di situ. Lega dari ancaman yang menggerunkan sebentar tadi. Sumber air digali dari beberapa perigi. Dikatakan terdapat lapan perigi di situ. Tiga masih boleh dilihat. Yang lainnya sudah ditelan zaman. Setiap hari tempat ini penuh dengan pelancong dari berbagai bangsa dan dari berbagai agama. Carita Nabi Musa bukan hanya cerita Islam tetapi juga cerita Kristian dan Yahudi. Juga cerita manusia yang menentang kezaliman.
Tempat ini dikenali sebagai Kolam Nabi Musa.
Mega masih ada lagi. Tetapi sudah gelap. Raman senja yang dingin ketika itu. Musim dingin di penghujungnya.
Ada yang menyampaikan taklimat.
Berlatarbelakangkan Laut Merah. Ufuknya jingga. Persekitarannya kelam menjelang malam.
Kenang-kenangan berdua. Tempat ini sejarah bagi kami.
Antara kolam yang masih ada. Tiga kesemuanya. Lima yang lain telah luput tempoh gunanya. Mungkin sudah tertimbus.
Sebelum meneruskan perjalanan bergambar dahulu sebagai kenang-kenangan. Bagi penulis dan isteri rasanya tiada kali kedua untuk sampai di tempat ini. Di Selatan Sinai. Awal dan terakhir. Allah izinkan kami berada di sini. Menjejak RasulNya yang bernama Musa. Rasul dalam kumpulan Ulul 'Azmi.