Tuesday, August 27, 2013

Bingkisan Dari Kaherah: Evakuasi



Ahad 25 Ogos 2013. Sejarah yang menjadi sejarah. Pada pukul 6.00 pagi saya dan isteri sudah turun dari rumah. Berjalan mengheret beg ke hujung jalan. Menunggu Didi, anak seorang teman untuk membawa kami ke Rumah Johor di Hayyu Thamin. Perjalanan dengan teksi sejauh kira-kira 20 minit. Di Rumah Johor bertemu dengan tiga orang pelajar dari Syubro dan dua orang pelajar tahfiz lain dari sekitar Kaherah. Pada pukul 7.40 pagi kami bertolak ke lapanganterbang antarabangsa Kaherah bersama14 orang pelajar lelaki. 36 orang lagi pelajar perempuan Johor dari Rumah Johor di Rabaah. Jumlahnya 50 orang. Di lapanganterbang kami bertemulah pelajar dari negeri-negeri lain. Pukul 8.10 pagi, kami dari Rumah Johor yang pertama tiba. Kami disajikan dengan nasi goreng. Pukul 10.00 kami nikmati nasi goreng itu. Dalam menunggu itu kami bertemu dengan Tuan Haji Maulan, wakil khas Menteri Besar Johor yang mengendalikan kebajikan pelajar Johor di Mesir. Seorang yang saya kenali di Parit Raja sejak lebih 20 tahun yang lalu. Bertemu selalu ketika sarapan lontong. Bertemu pula dengan Ustaz Haji Shamsudin. Tuan Syed Ahmad seorang sukarelawan yang banyak membantu proses evakuasi. Begitu juga Firdaus dari Rumah Johor.

Sejak dari mula saya banyak berkomunikasi dengan Firdaus. Waktu hendak berhimpun di ARMA pada jadual awalnya. Kemudian penangguhan penerbangan berlaku pada hari Jumaat. Dan akhirnya urusan penerbangan pada hari Ahad 25 Ogos 2013. Tuan Syed Ahmad membantu dalam hal ini. Kebetulan rumah kami sebenarnya bersebelahan jalan sahaja. Dalam keadaan sibuk itulah kami berkenalan. Firdaus hanya saya kenali suaranya sahaja. Pada pagi 25 Ogos itulah baru saya kenali Firdaus. Syakirin tidak dapat saya temui. Tidak kenal yang mana satu. Di Rumah Johor ada pelajar yang menyediakan roti, biskut raya dan air teh. Terima kasih. Mampu sekadar minum sahaja. Belum mahu makan lagi. Perasaan belum damai memikirkan perjalanan pulang. Pada hari semalam, Sabtu 24 Ogos 2013 saya membeli roti juga. Ingin dijadikan sarapan pada pagi hari Ahad sebelum berangkat ke rumah Johor. Ingin dimakan bersama kaya buatan isteri saya. Kaya enak yang selalu saya makan bersamanya. Pagi itu tidak juga lalu untuk makan. Jika pada hari-hari sebelumnya roti dan kaya itu yang saya makan, pagi itu bukan selera saya rupanya. Bukan rezeki mulut, tekak dan perut saya. Saya memilih untuk tidak kenyang.

Maklumat dari Rumah Johor mengatakan bahawa sarapan pagi akan disediakan di lapanganterbang. Menyediakan makanan untuk ratusan orang pada satu-satu masa perlukan kecekapan dan kesabaran. Waktu perlu ada tolerance antara tercepat sedikit dengan terlewat sedikit.  Itu belum kawalan kualiti. Kita menghargai kesulitan yang dihadapi oleh krew pengurusan evakuasi. Saya hargai kesabaran mereka yang dievakuasi kerana menunggu sambil berlapar makanan yang sudah disediakan. Al-maklumlah setiap detail perlu melalui proses dan prosedur yang telah digarispandukan. Untuk menjamin keberlangsungannya. Menjamin kualiti dan menjamin proses itu sendiri. Selain dari penyediakan makanan diurus juga bagasi, dokumen  perjalanan. Diperingatkan dengan had berat, larangan membawa cecair dan benda-benda tajam yang boleh dijadikan senjata. Banyak prosedur keselamatan diambilkira. Banyak prosedur perjalanan antarabangsa yang perlu diberi keutamaan. Perlu difikirkan perundangannya. Jalan mudah dan jalan pintas yang boleh dibuat untuk melicinkan proses evakuasi itu sendiri.

Berjalan jauh bukan sesuatu yang asing bagi saya. Sudah biasa beralih negeri. Sekarang beralih negara. Namun malam tadi saya tidak nyenyak tidur. Mata sukar hendak lelap. Seperti anak-anak yang tidak tidur malam kerana esoknya keluarga akan berjalan jauh. Mungkin berkelah. Mungkin membuat lawatan. Gelisah di pembaringan tidak menentu. Terasa bahang musim panas pada ketika-ketikanya. Sejuk sebentar apabila angin menerah masuk melalui pintu yang dibuka. Terlalu banyak memusing badan. Ke kanan dan ke kiri. Tidak juga teringat orang jauh. Zaman itu sudah lama berlalu. Orang jauh sudah lama bersama. Sentiasa di samping. Sentiasa di hati dan di mata. Tiada pula peristiwa lalu. Tidak mengharap yang bukan-bukan. Hanya untuk kembali ke tanahair. Kembali ke pangkuan watan tercinta. Tanah tumpah darah. Tanah warisan generasi dan zaman. Untuk bertemu ayah bunda. Bertemu anak dan cucu. Adik beradik. Sahabat handai dan jiran-jiran sekeliling rumah. Menjengah cucu baru. Menanti kelahiran cucu ke-15 hingga ke-18. 28 Ogos 2013 insyaAllah seorang lagi cucu lelaki akan lahir memeriahkan suasana.  Cucu ke-15. Lelaki yang ke-10. InsyaAllah.

Di lapanganterbang bertemu dengan Tuan Haji Maulan, wakil khas YAB Menteri Besar Johor. Selalu didengar  namanya. Tidak pasti adakah orang yang sama. Bila bertentang mata baru pasti. Rupanya memang orang yang sama. Selalu bertemu di Parit Raja, Batu Pahat. Selalu bertemu waktu sarapan. Waktu makan lontong atau mee rebus. Lontong Parit Raja sangat sinonim. Pekat dan menyelerakan. Sudah tujuh bulan tidak memakannya. Tuan Haji Maulan masih imgat nama saya walau sudah lama tidak bertemu. Di Kaherah sahaja sudah lebih tiga tahun. Dalam banyak berlegar ada kejutan yang istimewa. Passport kami dikembalikan. Ada yang memeranjatkan. Ada kejutan untuk kami semua. Dalam setiap passport terselit sekeping wang kertas 20 junaih. Alhamdulillah. Duit raya dari kerajaan. Terima kasih PM. Ruang legar di lapanganterbang Kaherah agak sesak. Saya dapati melampaui kebiasaan. Kelihatan ramai rakyat asing yang meninggalkan Mesir. Rakyat Mesir sendiri keluar meninggalkan bahang politik yang melanda mereka semua. Mencari ketenangan. Membantu untuk mengurangkan risiko lain yang tidak diketahui. Hendak duduk selesa memang tidak boleh. Duduklah di mana-mana ruang yang boleh. Ramai yang hanya duduk di atas lantai. Lantai kosong. Tidak perlu difikirkan bersih atau kotornya. Yang penting tiada najis. Banyak bezanya antara najis dan kotor. Mungkin nanti di ruang lain kita sembangkan.

Penerbangan pada awalnya dijadualkan pada pukul 2.30 petang. Dari pukul 8.00 pagi di situ kami ada waktu selama lebih enam jam. Kerana ruang legar menjadi sempit tidak banyak yang dapat kami lakukan. Hendak berlegar-legar tidak boleh kerana ada taklimat atau arahan dari masa ke semasa. Semakan nama. Pembahagian stiker bernombor, pengembalian passport dan arahan berbaris mengimbas bagasi mengikut giliran dan proses check-in. Pengesahan perlepasan penerbangan. Pukul 4.30 petang. Dijadualkan tiba di KLIA pada pukul 9.00 pagi. Ada antara kami yang diperingatkan supaya bersedia sekiranya ada wartawan menanti kami setibanya kami di KLIA nanti.  Kami diminta menyusun kata. Beradab dengan yang membantu. Proses evakuasi itu banyak mudahnya kerana setiap point sudah diselaraskan dengan piha imigresen Mesir. Dengan piha keselamatan Mesir. Dengan pihak berwajib di Mesir. Melepasi imigresen hanyalah formality antarabangsa. Kami bersedia dengan dokumen-dokumen yang perlu jika diperlukan. Passport kami dicop semstinya. Tetapi tidak banyak beleknya. Tidak banyak telitinya. Senarai kami ada pada mereka. Berhimpun juga akhirnya di pintu keluar untuk menaiki shuttle hingga ke kapalterbang. Duduklah kami selama kira-kira tiga jam. Solat di surau yang disediakan.

Proses evakuasi menjadi lebih mudah kerana diurus dengan bersungguh-sungguh. Mengeluarkan warganegara dengan sewajarnya. Melepasi segala kesukaran sekiranya keadaan terlalu meruncing.

1         Tentunya di atas sekali Perdana Menteri. Seingat saya pada asalnya hanya kembali sukarela. Tidak ada urgency.
2         Duta dan staf kedutaan.
3         YBhg. Datuk Tajudin dan Majlis Keselamatan Negara.
4         Jabatan Penuntut Malaysia di Mesir – Education Malaysia Egypt (EME).
5         Tuan Haji Maulan yang mengambil berat kebajikan pelajar Johor.
6         Tuan Syed Ahmad yang banyak membantu rakyat Malaysia berevakuasi dari Mesir.

Kami disajikan dengan nasi goreng. Berlaukkan telur goreng. Biasalah dengan dua hiris timun. Saya tidak memikirkan kualiti dan kuantitinya. Ketika nasi itu mencecah bibir dan lidah saya terasa sangat lazatnya. Lidah saya.
1         Barangkali kerana percuma. Ada keikhlasan yang menyediakannya.
2         Terlalu lapar kerana bersarapan pada pukul 10.00 pagi.
3         Suasana kalut yang dinikmati sambil makan.
4         Mungkin tiada makanan lain selepas ini kecuali membeli makanan di lapanganterbang itu. Western atau makanan Arab. Kedua-duanya tidak begitu diminati. Harganya berganda dari di luar.
Saya tidak tahu selera orang lain. Air mineral dan air kotak juga terlalu enaknya membasahi tekak. Menghapus dahaga. Sejuk membahasi bahagian dalaman saya. Masih terasa lapar setelah menikmati nasi goreng kerana sukatannya secukup kenyang. Hendak makan di kedai keadaan tidak membenarkan kam untuk bersantai-santai. Keadaan tidaklah mencemaskan. Namun kami sentiasa bersedia menerima arahan semasa. Berada dalam kumpulan lebih memudahkan.


Bersambung ....