Saturday, September 27, 2014

Bingkisan Dari Kaherah: Siapa Yang Tidak Rindu

Apakah kita tidak memiliki rindu. Hujan yang turun membasahi juga jiwa kita. Tetiba menjadi lara. Terkenang masa lalu yang sudah lama perginya. Kita hanya diingatkan lagi dan lagi oleh hujan yang rintiknya banyak dan lebat. Kita terus bernafas dengan rintik itu.


Setiap tahap kita bernafas banyak sandaran rindu yang bergema di hati. Berulit di minda. Berkisar di sanubari. Melonjak sebentar ke atas. Luruh kemudiannya ke bawah. Rasa rindu selalu pasang dan surut apabila masa untuk menggarapnya berubah mengikut musim. Lazimnya kita rindu apabila jauh. Namun begitu kita banyak rindu kerana terlalu lama. Kerana terlalu terpisah. Kerana terlalu lupa. Kerana terlalu sibuk dengan diri sendiri. Penantian juga suatu kerinduan yang di luar jangka. Entah bila temunya. Di mana jumpanya. Bagaimana suanya. Sewaktu muda kita banyak rindu kepada kekasih. Rawan mengenang buah hati yang jauh di mata. Memendam rasa yang tiada sudahnya. Air mata dicurah kerana rindu yang meredam jiwa. Rindu juga kepada ibu dan bapa. Kepada adik dan kakak. Dan abang-abang. Rindu kepada nenek dan datuk. Kepada saudara mara yang dahulunya selalu bersua muka.

Hujan menyejukkan. Panas pastinya hilang seketika. Basah dengan air dan percikan air. Dengan wap dan redup suasana. Mendung meliputi langit dari panas matahari. Untuk seketika keadaan menjadi redup, sayu, rawan dan menrindu.



Siapa yang tidak rindukan kampung halamannya. Biar bagaimana jauhnya di pendalaman ia tetap kampung kita. Tempat kita berlari mengejar burung. Memancing ikan. Memanjat pokok buah yang ranum-ranum belaka. Bersama sahabat berhari raya di kampung. Menikmati hindangan apabila ada kenduri kendara. Bagi penulis kesemuanya sudah jauh ditinggalkan sejarah. Apabila menoleh ke belakang kesemuanya itu sudah 60 tahun yang lalu. Jejak dan bekasnya sudah hampir tiada. Yang tinggal hanya kenangan lalu yang membarisi pengalaman silam yang indah. Diselang seli dengan asam garam dan pahit maung kehidupan di kampung yang serba tidak sempurna adanya. Alhamdulillah diizinkan Allah menjelajah bumiNya. Melihat sendiri tanda-tanda kebesarannya. Jika dahulunya semua itu hanya cerita yang sukar dipercaya sekarang kesemuanya menjadi pengalaman peribadi yang cukup mengujakan.

Berada di tempat-tempat yang berlainan memberikan impak kuat kepada pemerhatian dan perasaan. Kita diminta untuk mengerti bahawa itulah pengalaman. Itulah yang dapat dilihat dengan mata kasar dan mata hati. Dengan minat dan perasaan memahami. Yang sama mungkin tidak serupa. Yang serupa mungkin tidak sama. Setiap satunya memberikan kompleksiti yang berbeza. Memerhati sebenarnya memberikan kita peluang untuk menilai yang sebaiknya. Pengalaman mengajar kita untuk selalu rindu kepada yang kita suka. Kepada yang kita sayang. Kepada yang mesra dengan kita. Juga kepada yang dekat. Namun begitu ada sesuatu yang jarang berlaku. Kita mungkin rindu kepada sesuatu yang kita tidak suka. Sesuatu yang kita benci. Sesuatu yang selalu kita rasa mengganggu. Sesuatu yang selalunya kita hindarkan dari berlaku pertembungan.

Berada lama di negara orang tentu sekali rindu kepada tanahair tercinta. Pada masa yang sama sudah jatuh cinta pula dengan negara orang. Tidak kenal maka tidak ada cintanya. Kita kenal untuk mencintai. Wala bagaimanapun rindu tetap rindu. Tersangat rindu pada hujan yang lebatnya selalu membanjiri. Sudah terlalu rindu. Berhajat untuk bermain hujan bila kembali nanti. Ingin basah kuyup sambil merasa manisnya air hujan yang mengalir ke mulut. Mengusap muka dengan tangan yang juga rindukan air hujan. Ingin melihat derasnya air meluncur di atas tanah. Mencari laluan untuk masuk ke longkang. Laluan ke parit. Laluan ke sungai. Hujan itu rahmat. Air hujan itu menghidupkan. Membahagiakan kita dengan kehidupan hijau. Dengan haiwan ternakan. Dengan ikan dan hidupan air. Terasa ganjil kerana bertahun tidak melihat hujan lebat. Tidak mendengar jatuhan air di bumbung dan di kaca tingkap. Tidak melihat liang liuk pepohon yang ditimpa hujan lebat.

Aduhai, betapa sayunya merenung titisan air yang membasahi bumi. Menyejuk semangat haba membara pada ketika-ketikanya. Air dengan sifatnya yang menyejukkan keadaan. Begitupun titisan hujan mengundang rasa rindu rawan. Kesayuan yang tersendiri. Perasaan kembali mengimbas masa lalu yang telah berlalu. Telah pergi membawa masa yang fitrahnya berlalu menjadi sejarah. Kita hanya boleh rindu dan terus rindu.  Hanya dan hanya jika kita mengetahui bahawa yang kita rindu sentiasa ada di hati. Hadir setiap masa. Setiap ketika. Hanya jika kita mengetahui. Hanya dan hanya. Kesemuanya yang kita rindu pasti meninggalkan kita. Seperti muda kita yang hilang. Kecil kita yang entah di mana. Yang tidak pernah hilang ialah Allah. Kita bersamaNya. Dan Dia bersama kita. Selama-lamanya. Di setiap fasa alam yang kita lalui. Dari alam ruh hingga alam akhirat nanti.

Sementara masih bernafas kita banyak rindu pada yang lain selain rindu kepada Ilahi. Dari jauh kita rindu kepada ibu bapa yang sudah tua. Kepada mereka yang sudah banyak usianya. Yang lebih banyak umurnya. Apabila berjauhan kita terhalang dari banyak berbakti. Dari selalu berada di samping mereka. Dari memenuhi keperluan mereka. Paling menggusarkan apabila ada bibit-bibit takut bahawa kita akan kehilangan mereka. Kita akan mereka tinggalkan. Ketika itu kita kehilangan ibu yang mengandungkan kita. Yang menyusukan kita. Yang mendodoikan kita. Yang menyuapkan kita. Yang menyucikan kita. Yang memakaikan kita. Yang mendamaikan hati kita. Yang melindungi kita. Yang memicit sakit kita. Yang mengusap manja kita. Apakah itu bukan rindu? Di mana ayah jika bukan di kebun membanting tulangnya. Yang mencari nafkah untuk membesarkan kita. Di akan pergi juga. Fitrahnya begitu. Apabila sampai saatnya yang ditinggalkan hanya tiga. Anak yang soleh. Amal jariah. Ilmu yang bermanfaat. Kita hanya membawa amal yang kita kumpulkan semasa kita hidup. Mudah-mudahan banyak dan berkualiti tinggi.


Alhamdulillah sebagai seorang pendidik penulis bersandar kepada usaha untuk meninggalkan ilmu yang bermanfaat. Mendidik anak bangsa seikhlasnya. Memberi kebaikan kepada cara berfikir. Cara bertindak. Cara menyelesaikan masalah. Cara membuat keputusan. Cara memanfaatkan peluang dan keadaan. Memberi yang terbaik untuk semua yang seperlunya. Tidak ada apa yang dapat ditinggalkan selain dari kerinduan kerana meninggalkan. Menunggu beberapa bulan untuk kembali ke tanahair terasa sangat rindunya. Mata mula terbayang. Telinga mula mendengar. Deria mula bergetar rasa. Semoga rindu ini bukan redamnya sahaja. Insyaallah bertemu nanti. Kan ku pijak bumimu. Kan ku hirup udara nyamanmu.