Seorang pembaca blog saya bertanya mengenai apa sebenarnya yang mesti dilakukan oleh seorang guru untuk memandaikan anak-anak didik mereka. Nasihat yang diterima semuanya berbentuk keras. Menggerunkan. Menunjuk kuasa kepada pelajar. Menjauhkan diri daripada mereka. Yang paling ditakuti ialah anak didik memijak kepala. Kebetulan saya pernah memainkan dua peranan. Menjadi pendisiplin dan menjadi kaunselor. Di sekolah menjadi HEM. Di universiti menjadi HEP. Ada masanya saya garang. Tetapi bukan menghina. Bukan mengherdik. Bukan mencela. Bukan memukul. Bukan menjengkelkan mereka. Saya ingin mendidik. Ada masanya saya berlembut. Saya usap hati mereka. Saya tusuk jiwa mereka. Saya hembus semangat mereka. Saya tunjukkan jalan baik untuk menuju kebaikan. Kejayaan. Keindahan hidup. Alhamdulillah saya melihat kejayaan mereka. Dari semasa ke semasa ada berita baik dari mereka. Saya bersyukur kerana itu.
Ramai orang menjadi guru atas alasan yang berbagai. Sangat beruntung pelajar-pelajar yang mendapat guru yang tulen – born teacher. Semua ajarannya menjadi. Semua asuhannya menjadi. Semua didikannya terlaksana. Walaupun tidak semua pelajarnya menjadi hebat tetapi kesemuanya mendapat sentuhan peribadi guru yang hebat. Terpancar pada mereka didikan yang memberi rasa puas. Kelemahan mereka mungkin intelek yang sukar dibangun. Yang lain boleh menjadi superb. Tingkah laku mereka cantik. Peribadi mereka indah. Semangat mereka tinggi. Kemahiran insaniah mereka unggul. Guru yang baik menerapkan segala yang baik kepada anak didik mereka. Itulah yang dikenang sepanjang hayat mereka. Guru itu terpahat di hati mereka. Walaupun mereka mungkin lupa kerana kesibukan menjadi dewasa dan tua, namun dalam hati mereka guru itu tetap menjadi teman.
Suatu kisah di sebalik dunia sana. Seorang guru membelek-belek suatu laporan 20 tahun terdahulu. Rumusan dalam laporan itu menyatakan bahawa kesemua 20 orang pelajar itu tidak mungkin berjaya dalam hidup mereka. Terlalu banyak kelemahan yang tidak mungkin diperbaiki. Tidak mungkin boleh diubah. They were fated to be losers. Teringin di hati guru itu untuk melihat sama ada prophecy itu benar atau tidak. Seorang demi seorang dari mereka dijejaki. Amat memeranjatkan. Kesemua 20 orang yang dikatakan tidak mungkin boleh beroleh kejayaan itu sebenarnya sangat berjaya by all standards. Mereka berjaya dalam kerjaya yang mereka pilih. Yang akademik menjadi academician yang cemerlang. Yang menjdi usahawan berjaya dalam bidangnya. Begitu juga yang lain-lain .
Apabila ditanya apa yang mendorong mereka untuk berjaya, jawapan mereka hampir serupa. There was this one teacher. She designed our success. Guru itu dikatakan menyedarkan mereka untuk bangun membina diri hingga berjaya. Menangkis cemuhan yang sudah bertahun-tahun mereka terima. Yang seperti itulah suratan takdir yang semestinya mereka terima. Tetapi guru wanita itu mengubah segala-galanya. Ufuk hidup mereka menjadi lebih luas. Lebih jauh. Lebih tinggi. Kejayaan yang akhirnya mereka capai. Siapakah guru itu? Apakah yang telah dibuatnya? Apa jasanya? Besar manakah yang telah dibuatnya? Guru yang membuat penyelidikan itu menjejaki pula guru tersebut. Apabila diajukan tentang apa yang telah dibuatnya, hanya satu jawapannya, “I love them all.” Ringkas dan padat. Bayangkan jika jawapan itu didengar oleh anak-anak didiknya yang sudah 20 tahun lebih dewasa! Tentu mereka terlontar dalam kasih sayang yang tidak terbalas. Tentu syahdu.
Anak-anak didik adalah anak-anak yang perlukan kasih sayang. Learning through love. Belajar menjadi lebih mudah jika ada besamanya kasih sayang. Yang bijak dikasihi. Yang nakal disayangi. Yang IQnya rendah sekalipun diberi kasih sayang yang tidak berbelah bagi. Percayalah. Yakinlah. Anak-anak didik dapat melihat telus ke lubuk hati kita. Mereka melihat dalaman kita. Mereka tahu setakat mana keikhlasan kita. Ketulusan kita. Segala niat yang baik akan sampai juga ke lubuk hati mereka. Pancarkan segala kebaikan untuk memenangi hati mereka. Mereka lembut apabila dilayan dengan lembut. Tetapi bukan lembut tanpa arah. Bukan bersifat mengalah. Bukan berundur hingga mereka mengasak menjadi ganas. Berlembut dengan mereka dengan hujjah. Dengan kata-kata semangat. Dengan ungkapan-ungkapan besar. Dengan cerita-cerita kejayaan. Beri mereka gambaran indah menjadi manusia berguna dalam aspek apa sekalipun. Realiti dan fantasi mesti selari. Jangan berikan mereka ilusi.
Anak didik menjadi keras bila mereka dididik secara keras. Tidak semestinya mereka menjadi berjaya dengan berakhlak mulia jika mereka terdidik dengan keras. Kemahiran insaniah mereka akan terselindung di sebalik kekerasan. Kegarangan. Tidak dipancarkan kemanusiaan yang diharapkan. Keindahan tidak dilihat. Seni pada diri mereka hilang. Aesthetic value pada diri mereka tidak dapat dibangunkan. Ingatlah manusia ini dibangunkan kerana kemanusiaannya. Ia dikehendaki berinteraksi dengan manusia lain. Hidup berkomuniti. No man is an island. Jika anak didik tidak dibangunkan dengan sewajarnya maka mereka mencapah menjadi manusia yang tidak serasi dengan alam sekelilingnya. Lari dari keperluan bermasayarakat. Lari membina hidup tanpa erti kepada orang lain.
Terpulanglah kepada guru. Guru yang bukan berkerjaya sebagai guru memilih jalan-jalan mudah yang dalam jangkapanjang memusnahkan masa hadapan anak-anak didiknya. Oleh yang demikian mendidik mestilah berlandaskan dasar yang telah ditentukan. Strategi yang telah digariskan. Falsafah yang telah dibangunkan. Tentu sahaja mengaplikaasikan psikologi sama ada yang dipelajari atau yang telah diamati. Belajar dari pengalaman guru lain yang positif. Belajar dari guru-guru yang berjaya. Belajar dari ibu bapa yang anak-anaknya siuman. Sopan. Berakhlak mulia. Pilih apa sahaja cara yang difikirkan memberi kejayaan positif. Tangan guru mencorakkan kanvas masa hadapan anak-anak didik mereka. Lukisan indah tidak terpapar jika guru yang menjadi pelukis gagal melukisnya.
Yang perlu diingat ialah anak didik menjadi berjaya dalam akademik. Cantik akhlaknya. Positif dan bermotivasi diri. Self motivated. Berkembang menjadi manusia yang lebih baik. Berjaya dalam kerjaya. Menjadi warganegara cemerlang. Guru tentu maklum yang perlu dibangunkan ialah intelek, rohani, emosi dan jasmaninya. Beri mereka ketrampilan yang cekatan. Yang cekap. Yang robust dalam hidup. Memandang ke hadapan untuk mensejahterakan dirinya. Untuk mensejahterakan keluarganya. Untuk mensejahterakan masyarakatnya. Untuk mensejahterakan umatnya. Guru hendaklah menjadi guru. Tidak benar jika guru menjadi sebarangan orang. Apatah lagi menjadi sang algojo yang hanya tahu menghukum tetapi tidak mampu membentuk. Di bahu guru letaknya tanggunggjawab membina negara. Membina warganegaranya. Guru adalah pencorak zaman. Dirgahayu wahai guru.