Pernah pergi ke sawah padi ketika pokok-pokoknya masih muda? Daunnya
meliuk-liuk seperti lalang. Hijau melaut. Saujana mata memandang. Tanahnya
landai. Hanya di kejauhan terlihat bukit dan bukau. Indah dan menyegarkan. Padi
bukannya lalang. Semakin menua semakin penuh berisi. Bagi kita padi sangat
besar manfaatnya. Sumber makanan ruji. Sumber kehidupan. Dengannya manusia
berfalsafah. Turun temurun manusia hidup dan menghidupkan. Dari Asia ke Afrika dan ke Amerika. Padi hidup dan
terus menghidupkan. Namun resmi padi tiada pada lalang. Lalang tidak pernah
berisi. Hanya tegak ketika tiada angin.
Mengikut tiupan angin ke situlah liuknya. Tunduknya kerana kuatnya angin.
Kemudian tegak kembali. Menanti angin dari arah lain. Sampai bilapun tiada
isinya.
Sampai ketikanya padi pasti berisi. Dari hijau hingga akhirnya
menguning. Bak emas di atas hamparan. Menguning emas. Lalu setiap tangkainya
memberat kerana bertambahnya isi. Tangkai-tangkai itu merundukkan pepohonnya.
Merunduk berisi. Menanti untuk dituai. Menjadi makanan enak dan kekal
menghidupkan. Runduklah padi dengan isinya. Runduklah ia umpama malu dengan
berat isinya. Menyimpan nilai diri yang berharga. Menjaga kemuliaan dirinya.
Harga diri yang yang tentunya tiada tukar ganti. Kerana itu kita lebih sukakan
padi dari lalang. Semakin berisi semakin merunduknya. Memegang berat isi yang
pastinya berguna. Berguna untuk manusia. Berguna untuk beburung. Berguna untuk
tanah dan kesuburannya.
Begitulah ibarat insan yang banyak ilmunya. Penuh dadanya. Luas
mindanya. Usianya yang semakin meningkat diisi dengan kebaikan ilmu. Maka
tunduknya semakin tunduk. Tawaduknya semakin terserlah. Rupanya seperti padi yang
merunduk. Semakin tinggi dan luas ilmunya semakin rendah runduknya. Lebih banyak
memandang ke bawah dari menandang selari atau memandang ke atas. Kerana ia
sedar semakin tinggi dan banyak ilmunya semakin berat tanggaungjawabnya.
Semakin banyak yang perlu dilakukan untuk menyampaikan dan berkongsi apa yang
dimilikinya. Kesemua yang dimiliki bukan untuk dirinya tetapi untuk semua orang
yang berada di sekelilingnya. Tiada untuk kebangaan diri. Tiada untuk
kepentingan diri.
Orang yang berisi dirinya selalu melihat ke dalam. Bahawa yang dilihat
berisi itu sebenarnya kosong. Dirinya yang dilihat penuh masih terasa terlalu
banyak kosongnya. Ilmu yang dimiliki tiada apa jika dibandingkan dengan orang
lain. Ia terlalu fakir berbanding dengan orang lain. Terlalu seni di hadapan
Allah. Terlalu kerdil. Mereka yang bijak pandai selalu merasa serba kekurangan.
Merasa tiada cukcup ilmu untuk menyampaikannya kepada orang lain. Terlalu hina
dina. Kerana itu dia banyak menundukkan kepala. Menundukkan pandangan. Kerana
padanya sangat malu kepada yang lebih mengetahui. Mereka yang lebih pandai.
Ramai lagi mereka yang lebih bijaksana berbanding dirinya.
Berilmu bukan untuk dipraga. Bukan untuk jadi dambaan. Bukan juga untuk
mencari kemewahan dengannya. Sebenarnya ilmu itu menjadi neraca untuk menimbang
diri sendiri. Melihat cacat cela diri sendiri. Melihat kekurangan syang sangat
banyak. Semakin banyak ilmu maka semakin kita melihat banyaknya kecacatan diri. Banyaknya salah
silap. Ketika kita melihat diri sendiri kita tidak mampu lagi melihat
kekurangan diri orang lain. Kita tidak mampu mencari-cari cacat cela orang
lain. Bukan juga merasa banyak kelebihan. Itulah resmi padi yang terus merunduk
kerana isinya semakin berat. Insan berilmu begitu juga resminya. Semakin banyak
menunduk. Memandang kelemahan diri. sedikit kesilapan yang hanya akan
menghinakan diri, maruah dan harga dirinya sendiri.
Lazimnya mereka yang tinggi ilmunya selalu kembali kepada dirinya.
Kekurangan yang ada pada dirinya dimanifestasikan dengan cara berakhlak mulia.
Berlemah lembut. Beralas apabila memberi nasihat. Berhemah apabila membuat
teguran. Ia tidak melihat bahawa orang lain banyak salahnya. Ia melihat
dirinyalah yang banyak salahnya. Dirinyalah yang banyak kekurangan dalam serba
serbi. Kurang ilmu. Lemah pula ilmunya. Tidak berani memperakui kelebihannya.
Maka ia melihat dirinyalah yang lemah. Dirinyalah yang banyak berbuat kesilapan
dan kesalahan. Dirinyalah yang perlu banyak belajar. Perlu menambah pengalaman.
Perlu mendapat bimbingan dari orang lain. Bak padi ia terus-menerus merunduk.
Yang menuainya sahaja yang mengerti bahawa runduknya padi penuh dengan isi.
Kelebihan diri bukan dilihat oleh yang empunya diri. Orang di sekeliling
yang melihatnya. Cuma mata kita selalu terpana dengan yang gah. Yang mempamer
keghairahan. Yang kelihatan memancarkan kilauan-kilauan untuk dilihat. Pada
hakikatnya intan tidak selalu berkilau tanpa diasah. Tanpa dicanai. Tanpa
dimanfaatkan. Intan itu banyak di sekeliling kita. Hanya kita yang selalu
melihat ianya kusam dan tidak berharga. Dalam salutan debu dan kekusaman itulah
terpendamnya kilauan intan. Pancaran cahaya yang mangasyikkan. Yang menjadi
idaman orang lain.
Andai padi menjadi idaman. Kuningnya memberi harapan kepada umat
sejagat. Padi sebagai padi hanya untuk beburung dan serangga lainnya. Tetapi
padi yang membenih menjadi warisan berzaman. Beras yang terhasil megenyangkan.
Generasi demi generasi hidup yang lestari mengikut zaman. Begitulah mereka yang
berilmu merealisasikan suatu pancaran harapan yang tinggi. Menerangi yang gelap
dan suram. Menunjuk jalan yang samar. Menghasilkan sinergi yang luar dari
biasa. Ia berusaha memanfaatkan apa yang ada. Menyampaikan walau sedikit. Walau
sedikit, kata Rasulallah. Maka dalam menyampaikan yang sedikit itu, hanya
kebaikan yang dituntut. Hanya ingin memberikan yang terbaik untuk orang lain.
Bahawa mereka yang terbaik ialah mereka yang memberi manfaat kepada orang lain
tanpa berkilas pada kebaikan diri. Bukan untuk kepentingan diri.
Dalam keadaan sekarang ini banyak cabaran hidup. Ilmu semakin mahal
untuk dicari. Semakin payah dapatnya. Untuk itu banyak pula kita digalakkan
untuk menginfaqkan ilmu. Buat amal jariah. Sesuatu yang bakal ditinggalkan
apabila kita tiada nanti. Menjadi warisan kepada generasi akan datang. Sebagai
yang hidup itulah sahaja yang kebanyakan dari kita mampu menyumbangnya. Mampu
untuk menyampaikan kepda orang lain walau sedikit. Semampunya dan seadanya.
Walau bagaimanapun untuk menambah sumbangan maka perlulah kita banyak berkorban
untuk menambah ilmu. Belajar menghadapi cabaran dan kekangan. Mengunjurkan diri
dengan jadual pencarian yang terlalu banyak dan semakin banyak apabila dicari.
Berjinak-jinak dengan ilmu tiada menjadikan kita cacat dan cela.
Sesungguhnya Allah telah membezakan antara merek ayang berilmu dengan mereka
yang tidak berilmu. Tanpa ilmu kita menjdai orang yang biasa-biasa sahaja.
Dengan ilmu, Allah meningkatkan darjat kita. Apabila kita menambahkan ilmu maka
darjat kita diangkat Allah semakin tinggi dan semakin tinggi. Namun demikian
tanggungjawab kita juga bertambah. Semakin berat untuk berkongsi ilmu tersebut.
Objektifnya ialah untuk memanfaatkan peluang. Pada masa yang sama untuk
menyumbang manfaat kepada orang lain. Pada hakikatnya menyedari kekurangan diri
adalah suatu keberuntungan kerana dengannya kita akan terus mencari dan mencari
untuk menambahkan kepada nilai diri yang selalu rendah. Merasa fakir berbanding
dengan orang lain.