Thursday, November 27, 2014

Bingkisan Dari Kaherah: Berbicara Indah Semasa Temuduga



Terdapat perbezaan besar antara budaya orang Barat dengan budaya orang Timur. Apabila kita sampai di Rom jadilah seperti orang Rom. Di kandang kambing kita mengembik. Dalam proses temuduga umpamanya kita tidak boleh bersandar kepada pandangan orang Barat sahaja. Pun begitu kita tidak boleh 100% bersandar kepada pandangan orang Timur. Yang cantik ialah bersendikan orang Timur mungkin ada warna-warni antarabangsa. Oleh kerana dalam temuduga untuk jawatan di negara kita panelnya orang kita sendiri maka adat Timur lebih terserlah. Bercakap Inggeris dengan fasih tetapi menjaga adat Timur. Bercakap Arab dengan fasih tetapi menjaga adat orang Malaysia. Bercakap Jepun dengan fasih tetapi adat datuk dan nenek tidak dilupa. Kita tidak semudah itu menukar budaya turun-temurun. Budaya persekitaran kita. Umpamanya kita boleh bercakap berterus-terang tetapi dengan berhemah sebab kita berhadapan dengan orang kita sendiri yang dianggap autoriti dalam bidangnya. Autoriti dalam budayanya. Autoriti dalam masyarakatnya.

Pada adatnya dalam sebarang temuduga ada soalan lazim. Maksudnya soalan yang seolah-olah wajib. Soalannya biasa sahaja tetapi jawapannya harus memberikan gambaran yang istimewa tentang siapa diri calon yang sebenarnya. Jawapan yang diungkapkan secara sepontan mengandungi intipati cita-cita, memahami situasi, harapan masa hadapan, mengetahui tentang ekonomi, memahami tanggungjawab sosial, mengerti tentang agama, ada imbasan politik dan world viewnya melampaui fizikal dan perasaannya.

Kenapa encik memohon jawatan ini? Atau
Mengapa cik berminat memohon jawatan ini? Atau
Mengapa tuan tidak memohon jawatan lain?

Soalannya sangat mudah. Ringkas dan padat. Rasanya semua calon memahaminya. Tidak ada perangkap. Tidak ada double meaning. Soalan yang perlu dijawab satu hala. Nyatakan kenapa memohon. Kenapa berminat. Tunggu. Tunggu dahulu sebelum menjawab. Terlalu ramai calon yang menjawab biasa-biasa sahaja.

Saya suka jawatan ini.
Saya bercita-cita untuk menjawat jawatan ini.
Minat saya sejak dari kecil.

Ianya jawapan tetapi sekadar menjawab yang tersurat. Yang terungkap dan terucap.  Namun begitu jawapan tersebut hilang saripatinya. Tidak menjawab soalan yang tersirat. Yang lebih dasar. Cuba kita fikir sejenak. Apa lagi jawapan lain yang soalan itu perlukan. Anda sebagai calon terkapai-kapai di atas kerusi. Direnung oleh panel. Ditunggu jawapan yang luar biasa. Kepada mereka adakah antara calon yang lebih terkehadapan jalan fikirnya. Jawapan yang pada aras tinggi. Lebih global. Kematangan yang melebihi calon-calon lain. Mari kita nilai jawapan cadangan berikut:

1                    Terima kasih tuan/puan ….. Pertamanya jawatan yang saya pohon bersesuaian dengan kelayakan akademik yang saya miliki. Spesifikasi job yang tersenarai saya maklumi. Insyaallah saya berkeupayaan untuk menyempurnakan aktivuti yang diperlukan sekiranya saya berjaya menjawat jawatan tersebut.
2                    Saya harus berterus terang bahawa struktur gaji, elaun dan kemudahan yang diperuntukkan untuk jawatan ini bersesuaian dengan kelayakan yang saya miliki.
3                    Saya berkeyakinan menjalankan tanggungjawab agama dan sosial terhadap kedua ibu dan bapa saya. Juga tanggungjawab terhadap isteri/suami dan anak-anak saya apabila saya berumahtangga kelak. Pendapatan yang diperuntukan memberikan saya gambaran bahawa ianya mencukupi jika saya menggunakannya secara berhemah.
4                    Laluan kerjaya untuk jawatan ini sangat jelas dan luas. Kejayaan dalam kerjaya ini memungkinkan saya mejawat jawatan yang paling tinggi. Contoh: Untuk Pegawai Tadbir dan Diolomatik jawatan tertinggi dalam kerajaan ialah Ketua Setiausaha Negara. Pegawai Tadbir Negeri pula jawatan paling tinggi ialah Setiausaha Kerajaan negeri. Guru pula jawatan tertingginya Ketua Pengarah Pelajaran. Pegawai Tadbir Agama jawatan tertinggi ialah Mufti. Eksekutif syarikat jawatan tertinggi ialah Pengarah Urusan atau Pengurus Besar.
5                    Saya bercita-cita untuk berjaya dalam kerjaya ini dan insyaallah saya akan berusaha untuk menjadi …………

Soalannya mengandungi lima patah perkataan sahaja. Enam termasuk tanda soal? Jawapannya melebihi 150 patah perkataan.  Soalan yang mudah tidak semestinya dijawab dengan mudah pula. Kadang-kadang soalan yang mudah perlukan jawapan yang berat. Yang sarat dengan harapan. Yang banyak mengandungi input menjana kekuatan diri. Kekuatan mental dan kekuatan psikologi. Berlatihlah untuk bercakap dengan lancar. Dengan suara yang penuh wibawa/autoriti. Terserlah keyakinan diri. Terungkap apa yang banyak dalam minda. Biasakan berfikir di luar kebiasaan. Di luar kotak biasa. Belajar melihat yang tersembunyi. Yang tersirat. Yang jarang dilihat oleh orang lain. Orang ingin melihat apa yang ada di dalam tubuh kita. Perasaan kita. Cara kita berfikir. Cara kita berhadapan dengan situasi yang berbagai. Cara kita membuat keputusan.

Sudah ribuan tahun kita menggunakan teori dan falsafah Atistotle dalam menyelesaikan masalah.

1                    Mengenalpasti masalah yang sebenar.
2                    Mengumpul data.
3                    Membuat hipotesis.
4                    Menjalankan ujikaji.
5                    Membuat pemerhatian.
6                    Membuat rumusan.

Mari kita ingat balik. Kita sangat biasa dengan proses di atas. Dari tingkatan satu hingga tingkatan lima. Di matrikulasi. Di Institut Pengajian Tinggi. Bagaimana realitinya. Ramai antara kita melakukan proses itu tanpa memahaminya. Tanpa mengerti kenapa perlu melakukan sedemikian. Sebenarnya itulah seharusnya proses yang perlu kita lakukan setiap kali kita berhadapan dengan masalah. Tetapi maaf, lain orang lain tahap kemahirannya semasa menyelesaikan masalah. Tahap akademik menentukan perbezaannya. Pengalaman menambah lagi perbezaan itu. Ini bermakna mereka yang memiliki kelayakan tinggi dan berpengalaman lebih santai cara mereka menyelesaikan masalah. Sudah ada gambaran awal. Maklumat yang diperlukan. Alat yang sesuai. Bila, kenapa dan bagaimana bukan soalan-soalan yang sukar. Malah kadang-kadang kepada mereka semuanya adalah rutin biasa sahaja.

Menghadiri temuduga bukan sesuatu yang sukar andainya kita mengetahui siapa kita. Apa yang diperlukan dari kita. Maka persiapan yang perlu kita lakukan hendaklah dibiasakan setiap hari. Umpamanya biasakan diri berpakaian kemas. Pamerkan perawakan yang beraura. Bina karisma bila berbicara. Bercakap dengan tenang. Berhujjah tanpa emosi. Memberi input baru dan segar. Berfikir yang bukan biasa-biasa. Butiran hujjah bernas. Logik. Menasabah. Boleh dilaksanakan. Boleh diterima sebagai sesuatu yang lain dari yang lain. Ramai antara kita yang masih terperangkap dengan  sangkaan luarbiasa.

Jika ada orang dalam, senang dapat kerja.

Yes and no. Yes jika calon memang luar biasa. Tanpa orang dalam sekalipun dia layak mendapat jawatan itu. Orang dalam wujud secara kebetulan. Bukan penentu. Calon berjaya mendapat jawatan itu sebab kelayakan akademiknya, kepetahannya menjawab soalan, mempamerkan akhlak yang menarik, ada pengalaman tambahan sama ada pengalaman semasa bersekolah atau pengalaman sebelum memohon jawatan tersebut. No jika calon sebenarnya sangat daif. Tidak menepati spesifikasi yang dinyatakan dalam iklan jawatan. Penulis kadang-kadang tidak dapat membantu apabila ibu bapa datang meminta nasihat bahawa anaknya akan menghadiri temuduga esok atau lusa atau minggu hadapan.

1                    Anak itu panjang rambutnya.
2                    Berpakaian tidak rapi.
3                    Rupa parasnya tidak terurus.
4                    Jalan, berdiri dan duduknya tidak berapa sopan.
5                    Bila ditanya tidak memberikan jawapan-jawapan yang sesuai.
6                    Cita-citanya tidak tinggi.


Sukar juga memberi nasihat apabila temuduga yang dimaksudkan ialah pagi esok. Terkebil-kebil penulis hendak memberikan jawapan yang sesuai. Namun begitu apabila calon itu memiliki sifat dan akhlak yang sesuai calon itu hanya perlukan sedikit sentuhan terakhir.

1                    Pakailah pakaian yang sesuai. Jika jawatan untuk pemegang ijazah calon perlu memakai blazer atau suit. Bertalileher.
2                    Perlu bercakap, menjawab atau berhujjah mengikut bahasa yang ditanya oleh panel penemuduga. Jika Inggeris jawab dalam bahasa Inggeris. Jika Arab jawablah dalam bahasa Arab. Jika Melayu jawablah dalam bahasa Melayu.

Nasihat penulis: Tolong jangan gunakan bahasa yang bercampur-campur kecuali istilah-istilah yang telah diterima ke dalam bahasa Melayu umpamanya.


Dengarnya sekarang musim calon menghadiri temuduga. Sila rujuk entry lain sebelum ini. Semoga berjaya hendaknya.