Penuh satu bas Universiti Zarqa. Bas kecil. Coach. Dengan diiringi tiga orang pensyarah, kami seramai 17 orang pelajar antarabangsa menelusuri perjalanan selama kira-kira empat jam. Pelajar-pelajar dari Malaysia, Cina, Britain, Albania, Russia dan Turki sama-sama teruja untuk menyaksikan destinasi yang cukup gah di Jordan. Gah di dunia. Dilindungi oleh UNESCO, Bangsa-Bangsa Bersatu. Pukul 8.30 pagi, Rabu 24.2. 2013 mencatat sejarahnya yang tersendiri. Suhu kira-kira 15°C terasa hangat. Maklulah sudah agak biasa. Seperti biasa saya rakamkan apa-apa gambar yang mungkin di kiri bas. Saya duduk di sebelah kiri. Sebelum keluar dari bandaraya Amman tidak banyak yang dapat dirakamkan. Matahari memancar terik ke arah saya. Panas dan silau. Keluar dari Amman tidak banyak yang dapat dilihat. Padang pasir sahaja yang melaut. Luas. Cuma di Jordan padang pasirnya bukan seperti yang selalu kita gambarkan. Selalunya padang pasir terhampar luas, merata dengan pasir-pasir halus. Di Jordan negaranya berbukit bukau. Kawasan yang rata tidak banyak. Yang kelihatan jauh dan dekat ialah tanah berbukit-bukit. Banyak batu dari tanah. Seperti entry sebelum ini, batu-batan di Jordan berlapis-lapis bentuknya. Lankapnya begitu. Lapisan zaman yang jutaan tahun sejak dari asal kejadian bumi dan alam seluruhnya. Pepohon bukan hal yang dapat selalu dilihat. Rerumput ada yang baru mula menghijau. Yang selebihnya banyak patu yang berwarna batu. Rupanya seperti batu. Bentuknya batu.
Jalanraya di Jordan agak luas. Ada yang tiga lorong. Ada yang dua lorong. Lupa pula. Memandu di Jordan di sebelah kanan jalan. Pemandu di kiri kenderaan. Seperti di Eropah dan Amerika Syarikat. Kadang-kadang saya kagum sendiri. Jordan tidak sekaya Malaysia. Hasil utamanya ialah pelancongan. Namun begitu negaranya pesat membangun. Jalanraya berselirat. Banyak jejambat. Banyak jalan baru. Panjang. Menghubungi ke seluruh Jordan. Cuma saya berasa hairan. Tidak ada jalanraya yang sama dengan Malaysia. Jalanraya di mana-mana sekalipun kebanyakannya standard. Teknologinya sama. Yang tidak sama ialah pengurusannya. Ada yang cekap. Ada yang tidak. Ada yang menyediakannya untuk kemudahan rakyat. Ada yang menyediakannya untuk menyulitkan rakyat. Di Jordan jalanraya adalah untuk kemudahan rakyat. Buktinya? Tidak ada. Di Jordan tidak ada tol! Jalanrayanya bebas tol. Adoi! Pergilah ke mana sahaja tidak akan mengidam untuk menemui tol. Bawa kenderaan mengikut had laju yang ditentukan. Isi minyak bila habis. Jalanlah sejauh mana yang hendak dituju. Tol tidak ada. Tidak perlu wang tambahan untuk membayar tol.
Jalanraya adalah tanggungjawab pemerintah. Bukan untuk kesenangan rakyat sahaja yang difikirkan. Jalanraya sebagai penggerak ekonomi. Kelangsungan politik. Pertahanan. Pembangunan. Dan banyak lagi. Yang pentingnya jalanraya bukan semata-mata jalan perhubungan. Banyak yang tersirat di belakang pembinaan jalanraya yang ada. Seperti pengalaman saya di USA dahulu, jalanraya bukan milik siapa-siapa. Tidak ada individu yang memilikinya. Bukan milik pemerintah semata-mata. Ianya milik pengguna. Semua pengguna yang menggunakannya. Maka konsepnya ialah berkongsi jalanraya yang sama. Tidak perlu ada pengguna yang melebihi haknya. Melebihkan hak orang lain. Jalanlah mengikut hak yang ditentukan. Satu lorong sahaja. Lorong yang sesuai kelajuannya. Laju di lorong laju. Perlahan di lorong perlahan. Sederhana di lorong sederhana. Memandu perlulah dengan kelajuan yang seperlunya. Mematuhi had laju yang diwartakan. Pandulah dengan selesa.
Dalam perjalanan, kami ditahan oleh polis. Saya tidak pasti apa yang berlaku. Kami tidak laju. Tidak ada apa-apa kesalahan nyata yang berlaku. Lama juga kami ditahan. Pemandu dan pensyarah pengiring terpaksa memberi keterangan yang panjang untuk menjelaskan keadaan. Bas adalah bas universiti. Tiada masalah. Penumpangnya pelajar universiti. Semua ada kad pelajar. Dokumen lengkap. Yang jadi masalahnya ialah dokumen tidak mencatatkan semua yang perlu dicatat. Terdapat pertukaran pelajar. Senarai dan bilangan pelajar tidak sama. Pelajar lebih ramai dari senarai yang disediakan. Lebih seorang sahaja. Masalahkah? Sepintas lalu kita kata tiada masalah. Seorang punya hal tidak jadi masalah. Itulah selalunya anggapan kita. Persepsi kita. Yang sedikit selalu diabaikan. Diambil mudah. Seorang pelajar tidak tersenarai namanya. Sekiranya berlaku apa-apa ditengah jalan, tiada bukti dokumen yang sahih bahawa dia bersama kami. Banyak pihak akan terlibat. Universiti, kedutaan negara masing-masing, keluarga di kampung dan banyak lagi formaliti yang pasti akan dharungi jika berlaku kesilapan teknikal di mana-mana sepanjang perjalanan itu. Perkara yang dianggap kecil boleh meledak ke seluruh dunia. Menjadi isu antarabangsa. Ceritanya yang hak menjadi tenggelam. Cerita lain yang mengekorinya akan berjela-jela tetapi tidak relevan. Oleh itu jangan abaikan hal yang kecil. Yang sedikit. Yang dikira tidak penting. Yang sedikit itulah yang mungkin menentukan hidup atau mati. Berjaya atau gagal.
Kisah ditahan polis baru seperdua perjalanan. Ada juga antara kami yang terpaksa ke balai polis tersebut untuk menyelesaikan hal-hal tabiie. Kembali meneruskan perjlanan. Masa sudah jam 11.00 pagi. Matahari memancar terik walaupun sebenarnya musim dingin belum tamat. Bila angin bertiup masih terasa sejuknya. Pancaran matahari sahaja yang terasa teriknya. Di kanan dan kiri jalanraya yang panjang yang lurus itu tetap setia dengan padang pasir yang berbukit-bukau. Udara di sekeliling panas. Suhu meningkat. Belum lagi seperti musim panas yang menggigit. Yang seperti melecurkan kulit bagi yang tidak biasa. Menghampiri bandar Petra kami diperlihatkan dengan tiga pokok kayu yang rendah dan rendang. Tidak berapa besar. Batangnya kira-kira dua atau tiga pemeluk besarnya. Usia pokok itu lebih 1,000 tahun. Aduhai pokok sekecil itu. Itulah hakikat di padang pasir. Air yang sedikit menghidupkan makhluk yang sepadan dengan air itu. Dari air yang sedikit itulah pokok itu hidupnya memanjang. Secara tabiienya pokok-pokok itu tidak pernah menyerap air melebihi dari keperluan. Tidak berebut. Tidak pernah ada pokok yang berperang berebut air. Kesemuanya memerlukan yang secukupnya sahaja. Sedikit sama-sama sedikit. Banyak sama-sama banyak. Makhluk seperti kita sahaja yang tidak habis-habis berebut rezeki Allah. Tidak cukup dengan haknya, inginkan pula hak orang lain. Cerita air ini sangat-sangat memualkan kadang-kadang. Penyelesaiannya senang. Berilah hak kepada yang berhak. Itu sahaja. Bantu orang lain untuk mendapat haknya. Kita ambil hak milik kita sahaja. Tanpa untung. Tanpa lebih. Tanpa menyusahkan orang lain. Apatah lagi rakyat.
Pokok di atas dan di bawah berusia lebih 1,000 tahun. Tidak tinggi dan tidak besar seperti pokok-pokok di negara kita. Kita biasa melihat pokok yang tinggi dan besar. Seperti tidak percaya pokok itu berusia lebih 1,000 tahun. Namun itulah hakikatnya. Yang kita lihat bukan semuanya yang kita faham. Mata kita hanya menyorot apa yang kita yakini. Bukan yang hak.
Di sepanjang jalan hanya hamparan padang pasir yang saujana mata memandang. Seperti tiada tepinya. Pasir dan batu. Yang ini di bahagian yang benar padang pasir. Di bahagian lain kebanyakannya bukit-bukau atau gunung-ganang. Batu besar dan kecil. Pada tempat yang ada air ada pokok yang tumbuh. Pokok melata atau pokok yang meninggi. Air sumber kehidupan.
Setelah empat jam perjalanan sampailah kami di Petra. Dari jauh kami dimaklumkan bahawa kawasan yang bergunung-ganang itulah letaknya Petra. Sukar hendak menceritakannya menggunakan perkataan. Mata lebih memaklumi. Tulisan tidak menyampaikan maksud yang diperlukan. Yang dilihat ialah gunung-ganang yang berbeza bentukny adari kawasan lain di Jordan. Batu-batuny aberbungkah-bungkah besar. Nampak halus bulat dari jauh. Warnanya ada hitam. Ada merah. Ada putih. Berbagai warna. Keseluruhan gunung-ganang itu istimewa bentuknya. Mencabar keterujaan kami. Gamitan yang sangat kuat. Di kawasan tempat meletak kenderaan semua ruang sudah dipenuhi dengan kenderaan yang membawa pelancong. Bas-bas pelancongan berderet-deret sebanyak-banyaknya. Maknanya beribu-ribu orang sudah berada di lokasi ajaib Petra. Ramai yang bergegas memenuhi desakan tabiie. Bertanya sana dan bertanya sini. Ada yang mencari dari satu arah. Ada yang dari arah lain. Menuju ke tampat yang sama. Visitors service centre. Masing-masing lega terlepas dari sedikit seksa menahan rasa. Kami berhimpun di hadapan pintu masuk ke Petra. Pensyarah membeli tiket masuk untuk setiap orang. Ingin tahu berapa tiketnya? Pengsan nanti. Sebelum bertolak kami diingatkan supaya membawa kad pelajar. Saya ingatkan bergurau bahawa sesiapa yang tidak membawa kad dikenakan 50JD. Kira-kira RM220 seorang. Pelancong asing dikenakan 50JD seorang. Kami pelajar hanya 1JD sahaja. RM4.20. satu pengajaran yang sangat berharga. Maknanya menjadi warganeara sebuah negara mesti ada keistimewaannya. Menikmati hak milik negara sendiri dengan bayaran yang minima. Token. Pelancong perlulah membayar lebih banyak kerana risiko pencemaran atau kehilangan aritifak umpamanya perlu dijangka. Perlu diambilkira.
Setiap hari sekurang-kurangnya 2,000 orang pelancong mengunjungi Petra. 2000 x 50JD = 100,000JD x 365 (setahun) = 36.5juta JD x RM4.20 = RM153,300,000. Itu hasil dari Petra sahaja. Itupun kiraan minimum. Manusia tidak putus-putus bertali-arus keluar dan masuk. Di pintu keluar dan masuk kawalannya ketat juga. Polis pelancong ada di mana-mana. Petra menjadi khazanah negara Jordan yang dijaga rapi. Sejarah negara. Sejarah dunia. Sejarah manusia. Cerita ini baru sampai di sini dulu. Banyak lagi menanti selepas ini. Cukup banyak. Nantikan episodnya.