Tuesday, January 7, 2020

Wanita: Anak, Isteri dan Ibu




Siapa wanita? Kita seperti tahu tetapi mungkin tidak mendalam untuk memahami seorang yang bernama wanita.

Semasa menjadi janin dia dalam rahim seorang ibu, ia seseorang yang sangat sangat lemah. Tali pusatnya bersambung dengan ibunya. Saluran ia bernyawa, bernafas dan makan serta minum. Namun rahim ibu itu lembut, nyaman dan membolehkannya hidup selama sembilan bulan tanpa gangguan. Ia bahagia di dalamnya. Di alam rahim ibu itulah Allah membentuknya dari setetes air mani, menjadi segumpal darah, lalu menjadi segumpal daging, Allah membentuk tulang belulang, urat dan otot, kulit , deria, akal dan perasaan. Dari cecair janin itu membentuk seorang manusia yang bakal Allah sempurnakan bentuk dan sifatnya. Jadilah seorang wanita sempurna.

Selepas sembilan bulan ia dilahirkan oleh seorang ibu dengan susah payah. Dengan sakit pedih. Dengan separuh nyawa. Dengan rasa sakit yang tidak terhingga. Lahirnya dengan tangis yang memecah kesunyian. Tangis yang tersangat kuat. Tetapi tangis itu sangat membahagiakan. Tangis yang ditunggau saatnya oleh seorang ibu. Tangis itu halwa telinga yang tiada tolok bandingnya. Tangis itu isyarat bahawa anak itu hidup dan bernyawa. Anak yang sangat wajar disambut ke dunia yang penuh pancaroba. Alam dunia yang fana tetapi perlu dihuni sebelum sampai ke syurga. Kampung halaman yang diidam-idamkan. Dunia yang penuh cabaran ini  adalah dunia yang penuh ujian. Ujian untuk diri anak-anak dan ujian untuk ibu yang setengah mati tadinya.

Jadilah anak yang ditatang. Dirawat sebaik-baiknya. Dijaga dengan selamatnya. Dibesarkan dengan kasih sayang. Dibesarkan dengan penuh harap akan menjadi anak yang menghargai. Yang memancarkan kasih sayang kepada ibu yang setengah mati melahirkan. Yang sembilan bulan dikandung di rahim ibu itu. Anak itu menjadi cahaya mata. Menjadi cahaya hidup seorang ibu. Setiap masa di dalam pengawasan. Makan dan minumnya, sakit dan peningnya, sandang pakainya, baca dan tulisnya, belajar dan pandainya. Anak itu diasuh dengan penuh kesejahteraan. Dengan penuh erti kehidupan yang bakal ditempuh pada masa hadapan.

Membesarlah anak itu sebagai anak. Berkerjaya, berumahtangga dan beranak pinak. Malangnya pengalaman di dalam rahim ibu tidak ada yang diingat. Tiada siapa yang mengingatkan anak itu. Pengalamannya berumahtangga, mengandung dan bersalin dengan susah payah juga tidak mengajarnya untuk menginsafi siapa ibunya. Siapa wanita yang mengandungkannya. Siapa wanita yang melahirkannya. Siapa yang mengasuhnya. Siapa yang merawatnya. Begitulah lumrahnya anak akan lupa siapa ibunya. Siapa asal usul ibunya. Siapa ibunya sewaktu kecilnya. Sewaktu kanak-kanaknya. Sewaktu remajanya. Sewaktu mula keluar mengejar kerjayanya. Sewaktu memulakan penghidupan bersama pasangan masing-masing.

Menjadi dewasa tentunya mengajar banyak perkara. Tetapi apabila perasaan dan fikiran telah apla maka fokus hanya untuk diri sendiri. Asal usul sudah dilupakan. Dari mana datangnya anak itu tiada dipeduli lagi. Refleksi diri hanya melihat yang negatif. Yang tidak indah. Yang mendendam dalam perasaan. Lupa dan lupa siapa ibunya. Siapa dia asal usulnya. Jika itu persepsi diri yang dibina maka musnah segala harapan masa lalu yang indah-indah. Harapan untuk melihat anak-anak merasa kasih sayang terhadap ibunya. Ibu yang mengandungkannya. Ibunya yang melahirkannya. Ibu yang merawatnya. Ibu yang menunjuk ajar untuk menjadi manusia berkeluarga dan bermasyarakat. Runtuhlah segala istana harapan yang dulunya indah. Runtuhlah rasa rindu ibu melihat anak-anaknya menjadi ahli keluarga terindah.

Segala-galanya memusnahkan harapan indah yang sudah dibina. Amat mengguris hati dan perasaan. Pedih dan pedih menusuk jiwa. Hati mana yang mampu dimamah kekecewaan. Senerio itulah yang lumrah di akhir zaman. Anak-anak hilang peranannya. Semakin ramai ibu dan bapa di rumah orang-orang tua. Kasih sayang sudah hilang. Yang dilahirkan ialah rasa tidak suka. Rasa tidak kasih. Rasa tidak sayang. Rasa tidak selesa. Rasa tidak puas hati. Anak yang dikasihi menjadi musuh yang menyakitkan. Menjadi lawan yang tiada faedahnya dilawan dan ditentang. Hilang selera untuk membina semula kasih sayang yang tidak hargai.

Di manakah seroang bapa apabila seorang ibu rasa menderita sebegitu. Dalam membina keluarga bapa seolah-olah seorang yang pasif. Tetapi percayalah kesemua yang berlalu dalam genggaman fikirnya. Kesemuanya dalam garapan pandangannya. Bapa itu merasa hiba kerana anak-anak itu adalah benihnya. Darah dagingnya. DNAnya ada pada anak-anak itu. Ibu yang terluka itu adalah isterinya. Wanita itu adalah ibu kepada anak-anaknya. Wanita yang telah bersusah payah bersamanya. Yang mengandungkan anak-anaknya. Yang melahirkan anak-anaknya. Yang beberapa kali seperti terputus nyawanya. Wanita yang memberi mawaddah. Yang memberikannya kebahagiaan berumahtangga. Wanita yang terluka itu membebani perasaannya.  

Apakah episod akhir zaman ini berulang-ulang sejarahnya. Sejarah kemanusiaan yang telah Allah tentukan. Ibu dan bapa itu redha dengan ketentuan. Bukan rezekinya lagi berharap kepada keturunan yang mungkin tidak lagi memberi harapan. Cuma hatinya bertanya. Derhakakah anak-anaknya. Apakah tercium nanti bau syurga yang berada di bawah tapak kaki ibunya masing-masing. Allahuakbar. Bagaimana hati mereka boleh memaafkan anak-anak mereka yang lupa diri.