Bila orang kata
murah mungkin ada yang tidak percaya. Bila dikatakan percuma tentulah bertambah
lagi tidak percaya. Pada hakikatnya itulah realiti berada di bumi anbia.
Pengalaman yang sama di Amman dan di Kaherah. Kebetulan kedua-duanya berkaitan
dengan cili segar. Lada besar kata orang Johor. Ada yang merah dan ada yang
hijau. Di negara Arab warna ladanya ada tiga. Hijau kerana masih muda, merah
yang sudah masak dan warna kekuningan dalam dua versi warna. Kuning kekuningan
dan merah. Jika di Irbid tiga kilogram hanya 1JD atau sama dengan RM4.60.
Kira-kira RM1.50/kg. Di Kaherah rasanya lebih murah lagi kerana 2LE/kg. Sama
dengan RM0.88 sahaja sekilogram. Di Amman saya membeli kira-kira 10 biji lada.
Ditimbang tetapi pekedai mengatakan majanan
atau gratis (Indonesia) atau percuma. Beberapa hari lepas perkara yang sama
berlaku di Kaherah. Saya membeli lada merah kira-kira 350 gram. Atau 0.75LE.
Sampai dikaunter ianya tidak dikira. Percuma lagi.
Ada beberapa
implikasi tentang perniagaan di kalangan orang Arab. Orang Islam. Walaupun mereka
tidak semaju yang kita harapkan namun pertimbangan berat diutamakan.
1
Timbangan
dan sukatan tidak dikurangkan. Mesti dilebihkan. Cuba belek semula sejarah Nabi
Syuib. Kaum Madyan dimusnahkan oleh Allah kerana mereka suka mengurangkan
timbangan dan sukatan. Kerana itu saya dapati orang Arab melebihkan timbangan
apabila menjual. Melebihkan sukatan apabila perlu diukur atau disukat. Menyelamatkan
diri supaya tidak diazab seperti kaum Nabi Syuib. Bagaimana di Malaysia? Kadang-kadang
peniaga Islam menjadi tidak Islamik. Barang-barang sub-standard, harga dilambungkan. Jadi kemaruk dengan keuntungan
sedangkan akhirnya pengguna sedar tertipu. Perniagaan jadi menguncup selepas
itu.
2
Peniaga
di negara Arab ada konsep sedekahnya. Sedikit yang memadai. Cili yang hampir
setengah kilogram dikira banyak jika di Malaysia. Saya rasa bukan kebetulan. Dua
kali bukan kebetulan. Tentu ini amalan. Tidak terlalu berkira. Yang sedikit
diabaikan. Dikira tetapi tidak dimasukkan dalam jumlah yang perlu dibayar. Hanya
apabila kita semak bil kita dapati ada barang yang tidak dikira. Alhamdulillah.
Rezeki dari Allah.
Sekarang sudah
hampir hari raya. Menjelang hari yang selalunya dibesarkan oleh orang Islam di
negara-negara nusantara. Tidak di negara Arab. Saya tinggalkan Malaysia sebelum
pilihanraya. Selepas pilihanraya, datang pula Ramadhan. Sekarang menjelang hari
raya. Amalan yang sudah terbiasa ialah barang-barang naik harga selepas
pilihanraya. Kenapa? Tak tahu. Mengapa? Tak tahu. Wajarkah? Tak tahu. Semua orang
kena tanggung bebannya. Percuma? Mana ada. Jangan harap berlaku di Malaysia. Di
Batu Pahat, Johor rasanya cili besar sudah melebihi RM10 sekarang. Dua hari
menjelang hari raya pastinya harga meningkat lagi. Ada dua saranan:
1
Tanam
lada tiga bulan menjelang hari raya. Tanah banyak dan luas. Dalam pasu pun
boleh. Tanah di kampung apa kurangnya. Berhektar-hektar keliling rumah.
2
Ubah
menu makanan. Kurangkan cili. Atau ubah adat dari memasak atau memakan makanan
yang banyak cili dan bahan-bahan yang biasa.
3
Kena
ada satu gerakan yang boleh menggempur kebiasaan ini. Masak ala kadar. Bukan wajib.
Sunat sahaja. Tetapi jika hingga taksub, bahaya juga. Malah banyak juga berlaku
pembaziran. Pahala yang bertukar menjadi dosa.
Satu lagi yang tidak
dapat dipecahkan ialah kitaran perniagaan. Orang Islam Melayu tidak menguasai
pasaran sayur-sayuran. Hanya menempel restu orang lain. Kerana itu kita tidak
dapat mengawal keadaan. Kerakusan untuk menangguk keuntungan sangat tinggi. Kesempatan
kerana adat yang terlalu diikut rasa. Membinasakan tabungan sahaja. Membinasakan
ekonomi yang sedikit. Ekonomi yang sempit. Merugikan dalam jangka pendek dan
jangka panjang. Kita menang politik tetapi kalah habis dalam ekonomi. Ko. Knock out. Habis. Saya teringat cili
merah berharga RM20 pada tahun 1991. Di Ipoh hanya RM6. Sebabnya? Orang Ipoh
tidak menggila menggunakan cili merah. Mereka memasak menu lain. Tidak taksub
kepada cili merah. Orang Johor (maaf orang Jawa) seharusnya berubah paradigma. Kawal
kebiasaan supaya kebiasaan itu tidak dimanipulasi oleh orang lain. Anak-anak
yang balik kampung jangan pula menagih makanan tradisi yang mahal harganya
sekarang. Buang kebiasaan itu. Masak makanan lain yang lebih mudah.
Lagi satu, jangan
berlumba-lumba membunuh diri pada hari raya ini. Selepas hari raya darah tinggi
meningkat. Gula dalam darah meningkat parasnya. Gaut menjadi-jadi. Demam melibatkan
ramai orang. Kesemuanya gara-gara memakan makanan yang tinggi lemaknya. Tinggi karbohidratnya.
Tinggi kolestrolnya. Tinggi gulanya. Itu belum mentega, minyak sapi, margerin,
krim, gula dan sebagainya. Belum lagi penaik, pengawet, pewarna, perasa dan entah
apa lagi yang dipaksa masuk ke dalam perut. Sesak sampai ke dada. Banyak makanan
adalah dalam konsep sedekah. Ramai yang memberi makanan percuma. Masalahnya masing-masing
cuba membunuh satu sama lain. Mungkin kita cuba lebih santai. Makan apa yang
ada. Sayur masak air. Atau celur sahaja. Jantung pisang banyak. Pucuk paku
banyak. Pusuk ubi banyak. Pucuk manis banyak. Kangkung banyak. Bayam banyak. Keliling
rumah dan keliling kampung penuh dengan sayur. Tumbu-tumbuhan yang boleh
dijadikan sayur. Kurangkan kelapa dan minyak. Pelihara ayam sebanyak-banyaknya.
Ayam kampung mahal dijual. Dimakan lebih berperisa. Cuma jangan dilepaskan
begitu sahaja. Dikawal dan diberi makan secara berkala. Seperti ayam komersil. Supaya
ayam itu tidak makan yang bukan-bukan.
Saya ingin kembali
memilih. Ramadhan atau hari raya. Jika kita memilih Ramadhan maka hari raya
menjadi event yang kita kesampingkan.
Subdued. Maksudnya kita tetap beraya
tetapi ala kadar persediaannya. Beraya kerana telah berjaya tamat menjalani Ramadhan.
Makan ala kadar. Pakaian ala kadar. Persediaan lain ala kadar juga. Sukar sungguh
hendak membuang kebiasaan ini. Yang penting ibadat. Takbir, tahmid dan tahlil. Yang
penting ibadat. Ibadat. Ibadat. Kegilaan berhari raya dengan berlebih-lebihan wajar
dikurangkan. Disederhanakan. Cuba fikirkan habis-habis. Semasak-masaknya. Sedalam-dalamnya.
Sewaras-warasnya. Kita orang Islam sentiasa dalam kerugian. Kita beli berbagai
persiapan, orang lain yang untung. Bukan orang kita. Kita beli berbagai
pakaian. Orang lain yang untung. Kita bergaya sakan. Orang lain yang untung. Orang
kita hanya mendapat serpihan dari keuntungan besar yang dikaut oleh orang lain.
Kenapa kita tidak muasabah diri supaya kita berkira dengan keadaan yang seperlunya.
Orang Islam Melayu
tidak menyedari bahawa mereka banyak menyumbang kepada kenaikan harga
barang-barang.
1
Kita
tidak kisah harga barang meningkat. Dah nak
naik macam mana. Terlalu berserah. Ada mekanisma yang boleh menurunkan harga. Bincanglah
dengan mereka yang arif. Jangan ikut lurus bendul sahaja.
2
Adat
kita terlau terikat sehingga tidak mahu mengubah kebiasaan. Tiap kali musim
perayaan harga barang mesti naik. Jika tidak membeli tidak ada orang Melayu
yang sakit atau hingga meninggal dunia. Tidak seronok. Seronok hanya perasaan. Seksa
poket tiada siapa yang ambil peduli. Wang tabungan bocor tiada siapa yang
peduli. Tahun ini pula bonus hanya setakat RM500. Jika kebisaan tidak diubah,
RM500 hanya cukup untuk membeli beberapa kilogram daging dan ayam.
Sampai masanya kita
meneliti semula diri kita. Kembalikan yang hak. Berbelanja yang hak. Membeli yang
hak. Yang perlu sahaja. Yang kerananya kita kebulur jika tidak ada. Kesihatan terganggu
jika tidak ada. Tenaga pupus jika tidak ada. Yang perlu dan perlu sahaja. Kita yang
boleh mengubanya. Jangan harap pada orang lain. Paling tidak baik ialah marah
pada orang lain. Kita yang perlu mengubahnya. Bukan orang lain.