Thursday, December 27, 2012

Pendidikan Yang Santai


Sebagai pendidik bertahun-tahun saya sesak nafas. Anak-anak saya pastinya menjadi mangsa keadaan. Pada tahun 1993 saya hadiri satu konvensyen pendidikan negara di Genting Highlands. Antara cadangan yang dikemukakan ialah supaya murid-murid sekolah tidak dibebankan dengan berat beg dan buku. Ramai anak-anak kecil yang mengendung beg. Pada masa yang sama mereka mengheret beg lain. Tangan mereka ada dua tetapi yang mereka bawa beg, botol air, bekas bekal makanan. Rasanya tidak adil membebankan anak-anak kecil secara fizikal dan secara mental. Sistem kita jadi begitu. Dari sekolah rendah hingglah ke IPT anak Malaysia tidak terlepas dai bebanan. Kadang-kadang saya terasa mungkin semua ini ada impaknya pada psikologi anak-anak. Anak-anak muda jadi panas. Banyak memberontak hatinya.

Sistem pendidikan di Malaysia masih tersekat di tahap itu. Terlalu banyak subjek untuk dipelajari. Belajar sebenarnya perlu santai dalam serius. Seperti menyanyi. Belajar seperti menyanyi. Setiap fakta ada warnanya. Setiap subje ada lagunya. Jika diikut kata Jean Piaget belajar tentulah dari senang kepada susah. Malangnya yang senang selalu disusahkan. Anak-anak payah menerima asas sesuatu subjek. Maka yang sukar bertambahlah sukarnya. Belajar menjadi azab kepada pelajar-pelajar yang average. Sederhana.  Pelajar yang bestari tiada masalah. Mereka boleh terus maju kerana intelek mereka terbina. Anak-anak yang bertahap rendah mengalami sindrom menolak input. Menolak menjadi pandai. Ukuran pandai yang terlalu elastik. Lulus peperiksaan atau mampu berdikari. Yang mana satu pilihan.

Di Seneca College of Applied Technology, Toronto, Canada saya lihat keadaan sangat berbeza. Pelajar hanya mendaftar untuk empat atau lima subjek sahaja. Kursus-kursus diploma yang diikuti dengan lebih santai. Mereka banyak masa membuat penyelidikan. Membuat rujukan. Lebih banyak di perpustakaan. Tugasan akademik yang lebih menyeluruh. Sewaktu saya mengikuti kursus Master saya diPittsburgh dulu, saya hanya mendaftar untuk tiga atau empat subjek sahaja. Tiada siapa yang dibebankan untuk belajar. Yang banyak ialah tugasan. Perbincangan mengukutinya di dalam kelas. Minda banyak diasak dengan hal-hal semasa. Diajak berfikir. Mencari sesuatu yang baru. Yang membawa kepada lebih kesejagatan ilmu. Bukan setakat bekerja dan berkerjaya.

Di sekolah pelajar kita mengkuti banyak subjek setiap hari. Tiada pengkhususan. Anak-anak terasa penat. Lesu dengan aktiviti yang membebankan kanak-kanak. Masa senggang yang terlalu sedikit. Semuanya memberat dan menjadi berat. Di politeknik atau IPT yang lain senarionya sama. Jika boleh pelajar diberikan tujuh hingga lapan subjek. Mungkin kerana itu ada juga pelajar yang terlibat dengan palagiat. Tiada masa untuk membuat rujukan yang intensif. Peperiksaan menjadi suatu seksa yang memeritkan. Berminggu-minggu tidak habis lagi. Kadang-kadang pelajar bertukar menjadi zombi. Berserabut seperti tidak terurus. Apabila bekerja mereka dikehendaki melakukan semua perkara. Jack of all trades. Sukar mengkhusus dan bidang-bidang tertentu. Majikan perlukan pekerja yang tahu semua perkara. Menyelesaikan semua masalah.

Keadaan seperti itu tidak berlaku di Barat. Banyak pengkhususan. Pekerja menjadi lebih kreatif. Lebih produktif. Lebih ke hadapan. Banyak masa untuk meningkatkan diri. Mengemaskan kemahiran. Kita selalu mempromosikan diri sebagai terbaik. Di Asia kita tidaklah setinggi mana. Kita tidak per;u banyak bercakap. Menyenangkan hati sendiri. Banyak lagi yang oerlu dilaksanakan. Wawasan 2020 bukan angka. Bukan dua angka kosong. Ia manifestasi suatu hasrat membina yang tiggi, besar, hebat dan bermartabat. Pendidikan bukan kosmetik. Ia mestilah suatu realiti. Membina bangsa bertamadun yang sekurang-kurangnya untuk berdikari. Mandiri. Boleh melompat jauh. Melonjak tinggi. Mendepang jauh. Mengepak awan.

Ke mana kita semua akan dibawa. Toleh ke Jepun, mereka di hadapan. Tinjau ke Singapura, mereka sudah sayup jauh. Lihat ke Korea Selatan, sayup mengawan. Malah Cina sudah menjadi terlalu tinggi dan jauh. Di hadapan, di atas dan di kejauhan. Semuanya mengufuk sukar dilihat lagi. Sewajarnya kita tidak berhenti berfikir. Tidak meracau seorang diri. Tidak mempamer kelamahan. Banyakkan merancang. Rencanakan yang lebih baik. Garap yang lebih tinggi. Gapai yang lebih besar. Ia perlukan komitmen yang sangat tinggi. Fikirkanlah jarak kita tertinggal. Kerja kita ialah merapatkan jurang. Menyaingi pencapaian orang lain. Dalam jangkapanjang kita mendahului orang lain. Mungkin objektif kita tidak terlalu tinggi. Tidak selamanya kita berada di belakang atau di bawah. Anak-anak kita mesti boeh berlari memintas orang lain. Prasarananya perlu lebih baik. Yang terbaik di mana-mana.

Industri kita masih banyak yang labour intensive dan bukan capital intensive. Buruh menjadi semakin mahal. Negara lain menawarkan buruh yang semakin murah kerana produktiviti yang semakin meningkat. Teknologis kita belum begitu ramai. Industri dan IPT perlu berganding dan berkolaborasi untuk meramaikan mereka. Sekarang kedudukannya lebih top-heavy. Jurutera ramai tetapi juruteknik tidak bertambah selari. Jurutera mungkin tidak memiliki kemahiran teknikal yang diperlukan. Mereka lebih banyak menjadi eksekutif. Pegurus dan pentadbir. Di Canada jurutera diperlukan memiliki kemahiran. Walaupun mereka sudah memiliki ijazah kejuruteraan mereka kembali ke politeknik atau kolej komuniti untuk mendapatkan kemahiran itu. Tanpa kemahiran sukar bagi mereka mendapat pekerjaan. Majikan akan beri arahan, “Go back to school. Learn the skill that we need.”

Satu hal lagi, di Malaysia ilmu distatikkan. Maksud saya terlalu ramai orang berpuashati hanya dengan mendapat ijazah pertama sahaja. Ijazah Master dan PhD dipandang sepi kerana tidak ramai orang memebri nilai kecuali di IPT. Jika kepimpinan peringkat tinggi semua bentuk pengurusan dan pentadbiran dibudayakan supaya memiliki kelayakan akademik yang tinggi rasanya ada perlumbaan untuk memperbaiki diri. Pengalaman akademik banyak mengajar seseorang pemimpin. Gaya dan tindakannya tentu lebih berwawasan kerana yang selalu dilaluinya ialah ujian, peperiksaan dan penilaian. Setiap tindakannya tentulah dengan latarbelakang yang sahih, fakta yang boleh dipercayaai, wawasan ke hadapan yang lebih terang. Namun begitu pendidikan seharusnya dalam bentuk yang lebih santai, berwarna dan berirama lagu indah membelai cita-cita dan azam untuk berbakti kepada Allah. InsyaAllah.