Pergi ke tempat baru dan asing tentu berbagai rasa yang ditanggap dan diduga. Rasa teruja memang tidak dapat dinafikan. Dada berdebar dan bergoncang kerana akan berhadapan dengan suasana baru. Harapan memang tinggi agar sampai di tempat yang menyenangkan. Biar penuh cabaran asalkan warganya ada sifat tolak ansur. Ada kesungguhan membantu. Ada keramahan untuk berbicara. Ada harapan membina kerjaya berjaya. Namun kebimbangan tetap mengetuk ragu. Ada sahaja kemungkinan yang tidak selari dengan apa yang di hati.
Yes! Tempat baru memang menuntut segala yang baru. Kau hanya seorang yang akan datang bertandang ke sekolah orang lain yang bilangannya ramai. Kau jadi orang baru. Guru baru. Cikgu baru. Mereka sudah bertapak di situ. Itu sekolah mereka. Itu ruang mereka. Mereka sudah berkampung sekian lama. Setiap ruang dan sudut dalam ingatan mereka. Ada rahsia dan bicara yang mesti dijaga. Ada rasa yang terpendam. Semuanya dari pengalaman yang mungkin berjela-jela.
Maka bila kau datang nanti, ada batas-batas yang perlu dijaga. Kendatipun ada ruang dan sudut yang perlu kau masuki, masuklah dengan izin. Sebagai orang baru, sekolah barumu nanti adalah rimba segala hal. Dari akademik kepada hal yang remeh temeh. Hatta rumput panjang sejengkal. Secebis sampah yang tidak dikutip. Langkahlah masuk dengan berhemah. Jangan sekali terpijak kaki orang. Jangan sekali tertindih jari orang. Jangan sekali tertolak tubuh orang. Jangan sekali tersentuh kepala orang. Barang orang, barang orang. Ruang orang, ruang orang. Lembutkanlah suara. Tundukkan kepala. Hidungmu arahnya ke bawah selalu.
Pada minggu-minggu awal, jangan ketawa terlalu kuat. Lain pula tanggapan guru lama. Keletah jangan terlalu bebas. Apa pula persepsi mereka. Berbicara biar berpada. Tindakan biarlah berpada. Tunggulah seminggu dua. Lihat dan pandang. Dengar dan rasa-rasa dahulu. Masuk kandang kerbau menguak. Masuk kandang kambing mengembek. When you are in Rome, do as the Roman do. Pada peringkat awal tiada siapa yang akan memberi ruang kepada kau. Itu lingkungan mereka. Kotak mereka. Kepompong mereka. Zon selesa mereka. Sarang mereka. Berhati-hatilah kerana ada sarang tebuan. Takut-takut terjolok runtuh menimpa kepala.
Pakaianpun berpada-pada dahulu. Pakai yang biasa-biasa sahaja. Lagipun gaji belum ada. Elakkan memakai yang anggun dan elegant. Takut ada yang bimbang lerekan mereka yang rambang. Kaum sejenismu mudah tersentuh nanti. Pakailah yang sangat bersesuaian. Yang Islam pakailah yang menutup aurat. Labuh dan longgar. Tiada lubang dan terbelah. Tidak jarang dan telus ke dalam.
Hidup sosialmu mesti dijaga. Guru tidak boleh mencacatcelakan hidup peribadinya. Semuanya mesti dijaga 24 jam. Dahimu sudah dicop sebagai guru. Semua mata memandang kau walau di mana sekalipun kau berada. Jika ada yang tidak kena maka namamu akan cemar di mata ibu bapa. Cemar di mata warga sekolah. Cemar di mata anak didikmu. Cemar dari segi pemerintah. Apapun yang kau lakukan buatlah dengan sebaiknya. Tidak melanggar syariat. Tidak melanggar adat.
Selama tiga tahun kau akan menjadi GSST. Kau akan lalui kursus induksi untuk dilantik ke jawatan tetap. Saya tidak ragu kebijaksanaanmu. Walau bagaimanapun kecemerlangan dalam apa juapun mesti diperolehi kerana implikasinya nanti pada masa hadapan. Dalam masa tiga tahun kau layak disahkan dalam jawatan. Maknanya dalam masa tiga tahun itu kau hendaklah keep a low profile. Buatlah kerja secemerlangnya. Mereka mahu melihat kemahiranmu membuat kerja. Tetapi, tetapi jangan banyak bercakap dan bercerita. Jangan banyak mencadang dan menggagas idea. Ingat, sarang tebuan tadi jangan dijolok. Jika ada rasa terkilan bisik-bisiklah kepada siapa yang dikira sudi mendengarnya. Biar orang lain dulu yang mengutarakan bicara. Kau, urungkan dulu keinginan untuk menonjol diri. Belum masanya. Nanti orang kata baru setahun jagung. Ubun-ubun masih lembut lagi. Pengalaman belum lama. Belum banyak. Hanya bila diminta idea. Silalah sumbang sehebatnya.
Banyak juga pantang larang yang tidak tertulis. Jangan meminta itu dan ini kepada sekolah kerana bajetnya tiada. Sampai masanya nanti giliranmu membuat bajet. Kemukakanlah nanti apa idea yang sesuai dengan suasana. Tidak ramai yang boleh menerima hakikat bahawa perubahan itu perlu. Perlu dilakukan. Proaktif. Kerana itu kesabaran sangat perlu. Langkahkanlah kakimu dengan berhemah sekali.
Pengalaman saya begini. Bila ada yang banyak bicara, sila dengar. Tolong jangan disambut. Jangan dihujjah. Jangan ditambah. Jangan disokong. Dengar dan dengar sahaja. Jika ada yang mengumpat, hindarkan diri. Jika ada yang terlalu merapat, buatlah penilaian yang rasional supaya tidak terperangkap dengan situasi yang sukar dirungkai nanti. Al-maklumlah tempat baru. Banyak benda-benda baru yang sukar diramal. Banyak perkara unpredictable. You have to predict yourself. Do the probable and avoid the unprobable.
You are a new broom. Anda diharapkan sweeps clean. Namun begitu anda tidak bebas untuk menyapu apa sahaja. Nanti dikira anti-establishment. Menyongsong arus. Lagi ingatan saya supaya kau jangan menjolok sarang tebuan. Benar, kau akan diminta memperbaiki keadaan. Tetapi lihat dulu situasinya. Boleh atau tidak. Jika boleh apa kelebihannya. Jika tidak apakah mudaratnya. Pertimbangan waras dituntut supaya kau selalu berada di jalan selamat. Di tengah. Tidak dilihat memihak. Tidak menyebelah. Tidak pula mengabai. Never, never show off. They will avoid you for the rest of your career. Not exactly that you toe the line. Try to wriggle through tight situation. Be non partisan. Focus on yourself. You have a mission to be achieved. An endeavour to be accaomplished.
Bulan-bulan awal kau akan terasa perit kerana gaji belum nampak bayangnya. InsyaAllah sekolah perihatin tentang itu. Tetapi sekolah, mungkin PIBG, akan mendahulukan sedikit wang secukup makan, sewa rumah dan tambang ke sekolah. Tiga bulan barangkali. Selalu-selalulah jenguk muka ke pejabat. Berkawan dengan kerani. Mereka yang urus. Pengetua tandatangan sahaja. Oleh itu rancanglah pergerakan dan perbelanjaan. Hidup ini payah pada mulanya.
Maklumkan kepada ibu dan ayah supaya mereka bersabar. Tidak tertunggu-tunggu. Nantilah bila terima tunggakan, mereka akan menerima hasil pertama mengasuhmu. Mendidikmu. Menyekolahkanmu. Membesarkanmu. Mendewasakanmu. Mereka bukan mengharap sangat pemberian yang tidak seberapa. Yang penting mereka gembira dan doa mereka terus dipohon untuk kesejarteraamu. Untuk barakah hidupmu. Untuk barakah rezekimu. Sedikit yang mencukupi dan membahagiakan. Namun sebagai anak kau akan ada rasa tanggungjawab. Belikan mereka pakaian sehelai dua. Belanja makan sekali dua. Buah tangan sekadar mana yang ada.
Tiga atau empat bulan itu sukar untukmu kembali menatap wajah ibu yang selalu sayu. Wajah bapa yang selalu diam. Wajah kekasih yang selalu bimbang. Wajah tunang yang selalu rawan dengan rindu dendam. Aturlah hidup seadanya. Ongkos hidup dijimatkan. Sementelahan tiada yang membantu. Jika sudah ada suami yang berkedudukan, beruntunglah kau. Jika keluarga berada, bahagialah kau dengan bantuan mereka. Bagi yang tidak punya apa-apa, belajarlah mengurus diri. Bukalah semua aspek diri supaya dapat dibujuk untuk tidak membazir.
Bagi yang masih berbulan madu, pandai-pandailah mengatur pertemuan. Setiap pertemuan ongkosnya sangat tinggi relatif gaji yang belum diterima. Perpisahan mungkin lama. Tiga tahun. Tunggu hingga sudah disahkan dalam jawatan baru boleh mohon pindah. Itupun ikut giliran. Ikut seniority. Ikut kekosongan. Ikut keperluan. Sekali lagi kau akan tertakluk kepada ihsan negara. Kerananya mengurus diri, mengurus orang yang ditinggalkan, mengurus suasana dan situasi menuntut kebijaksanaan. Menuntut rasional akal. Budi bicara yang waras.
Mudah-mudahan langkah pertamamu nanti adalah langkah-langkah menuju puncak kerjaya yang membahagiakan. Puncak yang digarap dan dicapai. Mercu yang agung dan abadi. Kau akan selamanya duduk di situ hinggalah suatu waktu nanti bila kau turun tahta dan kembali menjadi rakyat biasa. Kembali menjadi orang biasa yang tidak terikat dengan waktu dan tempat. Sehingga tiba waktu itu kau tetap guru hingga hayatmu tiada. Selepas ketiadaanmu namamu masih terpahat lama dalam ingatan. Cikgu. Hidup dan matimu adalah cikgu. Segala tinggalanmu nanti adalah milik cikgu. Selamat berjuang.