Tuesday, August 6, 2013

Bingkisan Dari Kaherah: Ilmu Yang Mengangkat Fikir



Apa tanda orang yang banyak belajar. Yang sudah belajar. Yang belajarnya tinggi. Sukar hendak diukur hanya dengan melihat sahaja. Mata selalunya terpedaya dengan apa yang dilihat. Hanya bila kita bersama baru dapat diperhati letaknya perkara. Kadang-kadang banyak ketidakselarian antara pandai dan berilmu. Antara tahu tetapi tidak beramal. Antara berilmu tetapi tidak tahu bagaimana untuk menggunakannya. Malang sekali jika ilmu hanya untuk mengisi hati dan perasaan. Tidak dimanfaatkan untuk kegunaan umum yang memberi manfaat kepada orang di sekeliling. Kita selalu terpempan berhadapan dengan orang jenis ini. Psikologinya sukar diramal. Perasaannya sukar diduga. Kehendaknya tidak dapat dijangka. Yang kita lihat pada dirinya terhimpun sifat ambivert yang timbul tenggelam. Tidak tahu bila timbulnya. Tidak tahu bila tenggelamnya. Pengalaman juga tidak banyak mengubah paradigma dirinya supaya selari dengan himpunan pangamalan-pengalaman itu.

Dalam situasi pertama ini terlihat orang besar yang penuh pengalaman. Pendidikannya tinggi di IPT. Dari ijazah bacelor ke ijazah master dan akhirnya ke doktorat. PhD senangnya. Apa yang berlaku kadang-kadang orang jenis ini terlalu berada di awang-awangan. Terlalu tinggi hingga dia tidak dapat turun semula ke bawah. Tidak melihat dari dekat semua yang di bawah.  Yang di sebalik sinar air. Di sebalik rimbunan pepohon. Di sebalik tembok. Di sebalik dinding. Apatah lagi yang di sebalik hati. Tindakannya tidak menjejak tanah. Tergesa-gesa tanpa maklumat benar. Tanpa penyelidikan yang wajar. Tanpa bertanya kepada yang arif. Maka terlihatlah ketidakdewasaan. Ketidakmatangan. Ketidakprofesionalismnya. Orang di sekeliling hanya mampu geleng kepada. Tidak menyangka bahawa orang yang diberi gelaran pandai, tidak sepandai gelaran itu.

Dalam situasi kedua kita melihat orang yang tidak tinggi ilmu dan pelajarannya. IPT tidak pernah dijejak kecuali membuat lawatan ke dalamnya. Atau mungkin anaknya. Atau mungkin juga menghantar anak-anak saudaranya. Namun begitu pada dirinya ada sifat matang, dewasa dan profesional. Saya teringat suatu kisah seorang profesor wanita di Indonesia yang berkahwin dengan supirnya sendiri. Drebar. Apabila ditanya jawapannya sangat mudah. Setiap kali dia berhadapan dengan maslalah supirnya itulah yang memberi idea untuk menyelesaikannya. Seorang profesor yang begitu tinggi ilmunya gagal merealisasi kepandaiannya. Seorang drebar yang tidak setinggi mana ilmunya mengatasi kepandaian seorang profesor. Maksudnya orang biasa boleh jadi pandai kerana deria yang dimiliki dimanfaatkan. Digunapakai untuk dirinya dan orang-orang di sekelilingnya. apabila tinggi tidak menjejak tanah maka tanah tidak memberi erti yang wajar. Orang di tanah melihat tinggi dan mengerti setinggi mana. Dia tidak mampu mengangkat dirinya. Namun dia tahu erti tinggi itu banyak lamanya. Banyak susahnya. Setiap masa dia berjejak di bumi.

Kita sebenarnya bukan apa yang orang lihat pada sosok tubuh badan sahaja. Orang melihat kita dan membuat penilaian sesuai dengan siapa kita sebenarnya. Cuba muasabah diri mengenai perkara ini:

1        Penampilan diri adalah yang selalu dipandang pertama. Dicintai dan mungkin digilai pada kali pertama dilihat atau ditemui.
2        Wajah adalah yang kedua dipandang dengan kedua mata. Orang jatuh cinta mungkin kerana mata. Hidung. Bibir. Pipi. Bentuk tubuh. Lenggok tubuh. Mimik muka. Kemasan rambut. Cara berpakaian.
3        Cara berjalan. Cara duduk. Cara berjabat salam.
4        Suara. Parau. Bergetar. Romantik. Tagas. Berirama. Intonasinya bersesuaian. Merdu. Bergema.
5        Bahasa yang digunakan beristilah. Perkataan-perkataan yang sesuai tepatnya. Bombastik tetapi dimengerti.
6        Susunan ayat yang memukau. Berirama. Kejelasan suara.
7        Renungan mata. Ruang bicara yang melibatkan semua orang.
8        Topik yang digarap secara profesional. Ada keluasan. Ada kedalaman. Kaya dengan contoh dan pengalaman-pengalaman orang lain yang dikutip dari berbagai sumber sekunder. Tetapi dipersembahkan seolah-olahnya itu adalah pengalaman primer.
9        Lontaran kata-katan yang datang dari hati dan perasaan. Bukan emosi tanpa erti. Dilihat meyakinkan. Didengar banyak dalilnya. Diamati banyak benarnya.

Manusia dilihat zahirnya dengan mata kasar. Dilihat dalamannya dengan mata hati. Ilmu berguna untuk melihat dalaman manusia. Keikhlasanannya. Kebersihan hatinya. Ketulusannya. Besar harapannya. Berbagai lagi yang melibatkan psikologi dan emosi. Kita sebenarnya lebih selesa bersama dengan orang yang tenang. Luas pandangannya. Terbuka menerima yang sama dan yang berbeza atau tidak. Perbezaan pendapat selalu diraikan. Diterima sebagai kelainan. Emosi selalu diterbataskan. Dikekang. Dikawal. Yang dilahirkan ialah senyum yang menawan. Sukanya senyum. Tidak sukanya juga senyum. Wajahnya bersih. Tiada riak-riak negatif. Cebik atau kerut dahi. Apabila kita berinteraksi dengan orang lain jangan sekali-kali zahirkan perasaan menolak. Mimik wajahnya menunjukkan segala-galanya. Risau orang sekeliling melihatnya. Di hadapan orang lain banyak hal yang perlu disembunyikan. Terutamanya perasaan kita. Menyatakan perasaan dengan terang-terangan boleh menakutkan orang lain. Ramai yang akan menarik diri dari kerap berinteraksi dengan kita. Mereka menjauh.

Banyak sifat manusia yang sama. Dalam pada itu terlalu banyak yang berbeza. Perasaan hatinya. Kehendaknya. Harapannya. Kesukaaannya. Sensitivitinya. Mengenali psikologi yang ada pada orang lain membantu kita untuk lebih santai. Terelak dari hal-hal yang sensitif dari dibicarakan. Dari diperdebatkan. Ada orang suka berdebat walaupun mengenai hal-hal yang sangat kecil. Yang tidak sesuai didebatkan. Apatah lagi jika debatnya dicondongkan untuk kemenangannya. Bias. Orang jadi keliru. Ada watak yang menyenangkan orang lain. Ada juga wataknya yang menggerunkan. Pada waktu-waktunya orang lain berada dalam kebingungan. Elok jika ramai orang yang mahir psikologi. Memahami dir sendiri dan pada masa yang sama memahami diri orang lain. Ada kesesuaian yang diatur supaya keharmonian antara hati dapat dipelihara.


Belajarlah setinggi mana. Turun ke bawah kerana kita dari bawah. Tambahlah ilmu sebanyak mana. Kepada orang lain ialah mengertinya. Keselarian antara berbagai tahap dan peribadi manusia yang berlainan. No man is an island. Kita tidak hidup terpencil. Manusia lain adalah sebahagian dari pentingnya kehidupan kita. Jangan menafikan pentingnya orang lain terutama mereka yang dekat hatinya dengan kita. Yang dekat darahnya dengan kita. Yang dekat zahirnya dengan persekitaran kita. Jika kita lebih perihatin maka kita lebih tenang sebenarnya melayan hati kita sendiri. Jangan selalu terlalu mengharap orang memberi. Jangan ungkit bila memberi. Bukalah tangan untuk menerima apa sahaja yang baik. Orang lain berusaha juga untuk membahagiakan kita semua. Caranya sahaja berlainan.