Wednesday, June 15, 2011
Wahai Isteri Yang Hamil
Suatu ketika dahulu kau mendengar suatu lafaz yang syahdu. Kau terima nikahnya seorang lelaki yang bergelar suami. Kata jurunikah, ketika itu menjeritlah segala syaitan dan iblis kerana tamat godaannya terhadapmu dan suami. Segala-galanya menjadi sah. Bukan itu sahaja, antaramu dan suami menjadi suatu yang hak. Memenuhi tuntutan antara satu sama lain. Semua yang terlarang dahulu menjadi halal belaka. Sudah tidak ada hijab antaramu berdua. Cuma sentiasalah beringat bahawa syaitan dan iblis tidak berhenti helahnya. Duhulu kerjanya membujukmu berdua supaya rapat dalam haram. Dalam terlarang. Sekarang usahanya ialah untuk memisah. Menjauh. Mendatangkan geseran walaupun atas perkara yang kecil. Remeh. Yang kadang-kadang tidak masuk akal. Itu kerja makhluk yang sudah diberi mandat untuk menggoda anak Adam hingga hari kiamat. Akal kita yang mampu menewaskannya. Iman kita yang menjadi benteng dari ganggugugatnya.
Keterikatanmu kepada ibu dan bapa sudah terlerai. Seorang suami menambat jiwa dan ragamu. Mudah-mudahan kau mendapat seorang suami yang sebaik-baiknya. Mafhum sebuah hadith: Sebaik-baik suami ialah yang baik terhadap isterinya. Walau apapun sekarang bukan waktu memilih. Sekarang ialah waktu menghadapi realiti. Impianmu mungkin bukan seperrti realiti yang di hadapanmu. Sekarang waktu menerima seadanya seorang suami. Tempat bergantung segala harapan di hari muka. Syurgamu di sisinya. Ingatlah, kepada suamimu syurganya ialah kepada ibu dan bapanya. Hubunganmu dengan ibu bapamu tidak terputus. Tetapi fokus kehidupanmu ialah suamimu. Mudah-mudahan ketaatanmu terhadap suami dibalas dengan syurga untukmu. Juga syurga untuk ibu dan bapamu. Besarnya impak taat kepada suami. Ibu bapa boleh masuk syurga. Itu janji Allah. Itu Janji Rasulullah.
Sekarang ini tiba masanya kehamilan yang diredhai mendatangimu. Kasih sayangmu dan suami dianugerahkan bakal pewaris yang didoakan membahagiakan ikatan kecintaan bersuami isteri. Zaman remajamu sudah berakhir. Zamanmu lepas bebas sudah lama berlalu. Zamanmu meneroka alam sekehendak hati sudah tidak ada lagi. Duniamu berlegar di sekeliling suami yang tercinta. Sekarang ini fizikalmu mengalami perubahan yang mungkin secara evolusi. Mungkin juga terlalu drastik. Kau berubah dalam banyak hal. Dari fizikal kepadalah emosi. Suamimu yang kasih tentu mengerti. Tetapi ini pengalaman pertamanya. Pengalaman yang mungkin jauh dari luar jangkanya. Dia tidak pernah melintas fikir bahawa isterinya yang dahulu terlalu comel sudah tidak ada lagi bekas-bekasnya. Senyum dan tawanya isteri sudah jarang dilihatnya. Yang banyak dilihat ialah payahnya. Seri di muka yang lama sudah tidak ada. Mungkin juga dirasa sedikit mengada-ngada. Al-maklumlah dia lelaki yang mustahil merasa apa yang kau rasa. Mungkin ada simpati kerana kasihnya. Tetapi tidak mungkin dia empati.
Bagi suami isteri yang berkerjaya keadaan ini tentulah lebih gawat. Kau dan suamimu letih lesu bila pulang ke rumah. Suamimu masih lagi dalam lingkungan bulan madunya. Percayalah seorang lelaki yan bernama suami sentiasa inginkan bulan madu yang abadi. Seorang isteri sepertimu tidak mampu berada lama dalam suasana itu. Benarlah, bulan madu itu hanya sementara. Kau sedang membawa madu itu bersamamu. Redha itu penting. Ketundukan kepada fitrah berumahtangga itu penting. Ia berlaku kepada semua isteri. Wanita yang dikasihi dan disayangi suaminya. Secara positifnya itulah keindahan yang nanti dimanifestasikan dalam rupa anak yang selalu dirindui. Wujudnya dari fantasi hingga realiti. Mimpi-mimpi yang menjadi kenyataan. Anak itu membesar memberikan seri dan warna dalam sebuah rumahtangga. Membesar mereka. Sampai masanya menghilang dari mata. Jauh entah di mana. Tetapi dihati kecilmu anak itu tetap akan bertahta. Selalu dirindu tiap ketika. Itu darah dagingnya. Air susumu yang membesarkannya. Belaianmu yang memperkasakannya.
Pandanglah kehamilanmu. Renunglah dalam-dalam. Di dalam sana janinmu sedang dibina Allah jisim-jisim yang nanti menjadikannya manusia sempurna. Ditunggu saat kelahirannya. Tangis dan tawanya akan sentiasa menghiburkan. Sunyi tanpa dua bunyi suara itu. Percayalah. Saya telah melaluinya. Kekosongan yang telah diisi tetapi kemudiannya kosong semula. Anak dalam rahimmu itu akan hanya lalu sementara di bawah penjagaanmu. Dia ada tugas besar untuk ummahnya. Untuk agamanya. Untuk Allah yang menciptanya. Berdoalah selalu sesempurnanya. Doa ibu selalunya sangat makbul. Allah sangat mendengar doa ibu. Banyak yang perlu didoakan. Senaraikan sepanjang-panjangnya. Mintalah yang terbaik. Rupa parasnya. Kesihatan fizikalnya. Keselamatannya di dunia dan di akhirat. Kejayaannya di dunia dan akhirat. Keupayaannya. Kekayaannya. Kebaikan hatinya. Adab santunya. Kasih sayangnya kepadamu dan suami. Taatnya kepadamu dan suami. Jasa dan baktinya kepada ummah. Imannya. Akidahnya. Akhlaknya. Ya, semuanya mesti didoakan untuknya.
Bila hendak berdoa? Setiap masa khususnya dalam masa sebelum empat bulan yang pertama. Mungkin dalam 12 minggu yang pertama. Sebelum roh ditiupkan ke jasadnya. Sebelum disempurnakan ajal dan mautnya. Rezekinya. Diari hidupnya. Kesudahan kehidupannya. Sebelum segala-galanya Allah tentukan. Sebelum ia diberi nyawa. Sebelum jantungnya berfungsi. Sebelum ada kesempurnaan kepada tubuh badannya. Ulang dan ulanglah. Dia bakal mewarisi segala yang telah ditinggalkan oleh Rasulullah. Bila lahirnya nanti insyaAllah menjadi pejuang Islam. Mewarisi sifat Abu Bakar yang mulia hatinya. Mewarisi Umar yang sangat tegas melaksanakan perintah agama. Hingga syaitan tidak berani dekat kepadanya. Mewarisi Uthman yang terkenal dengan waraknya. Mewarisi ‘Ali yang menjadi gedung ilmu. Yang beraninya bukan calang-calang. Jika wanita jadilah seperti Khadijah yang dicintai Rasulullah hingga kewafatannya. Seperti ‘Aisyah yang pintar dan mengerti. Atau seperti Rabi’atul Adawiyyah yang cukup tinggi ilmu agamanya.
Mungkin dan mungkin. Ada perkara-perkara yang menjadikanmu lain dari dahulu. Hanya suamimu yang perasan. Muasabahlah diri. Fikirkan kebajikannya yang sudah mula agak terabai. Kesejahteraannya yang sudah kau biarkan. Banyak amalan baik yang sudah tidak lagi termampu kau lakukan. Kepayahanmu sudah semakin memberat. Namun, namun dari dalam sudut hati kecilmu berilah sedikit pengertian. Banyak hasratnya yang terhalang kerana cintanya kepadamu. Karana kasihnya. Hatinya sebagai seorang lelaki yang bernama suami tentu tidak dapat kau selami semaumu. Banyak yang tidak terungkap olehnya. Yang tidak mungkin terucap secara terancang. Lihat dan pandanglah matanya. Amatilah tutur katanya. Perhatilah bahasa tubuhnya. Kehamilanmu juga mengubah segala-galanya kepada dirinya. Dia kehilangan juga seri wajahnya. Rupanya dia juga menanggung perasaan yang berat. Situasai yang diterima dengan rela tanpa syarat. Tetapi berat.
Dia tentu berusaha memberikan yang terbaik untukmu. Tentu sahaja dia meluangkan masa untukmu. Percayalah dia berusaha bersungguh-sungguh untuk membahagiakanmu. Tetapi masanya hanya ada 24 jam. Tanganya hanya ada dua. Tugasnya pelbagai. Dia diperlukan oleh ramai orang. Namun, namun begitu hatinya hanya satu. Jantunghatinya hanya satu. Hadirkanlah dirimu untuknya. Belajarlah untuk membuang kebiasaan terlalu meminta. Terlalu mendesak. Terlalu bertanya. Terlalu ingin tahu. Terlalu cemburu lagilah tidak boleh. Berikan perhatian bukan curiga. Sedikit curiga tetapi tidak dibesar-besarkan. Matamu tentu dapat mengesan perubahan. Perasaanmu tentu dapat melihat kelainan. Akalmu tentu dapat melihat kebenaran. Percayalah kepada indermu. Bukan nafsumu.
Solat dan zikirmu tambahkanlah. Perbanyakkanlah. Gandakanlah. Usahalah untuk tahajud bila terjaga malam. Biasalah ibu yang hamil kerap terjaga malam. Ambil kesempatan untuk sekurang-kurang dua rekaat. Bentangkanlah kesmu kepada Allah Rabbul Jalil. Mintalah semahumu. InsyaAllah doamu makbul. InsyaAllah.
Subscribe to:
Posts (Atom)