Monday, April 1, 2013

Salam Dari Amman Jordan: Anak Muda Panjang Akalnya


Pendidikan menjadikan seseorang itu terdidik. Selalunya kita merujuk kepada bagaimana seseorang itu melepaskan diri dari kebiasaan yang kualitinya rendah kepada yang kualitinya lebih tinggi. Yang dituju ialah matlamat peringkat tinggi. Apabila berhadapan dengan situasi yang tertentu orang yang terdidik menerima pendidikan pastinya boleh melakukan anjakan yang apabila dilihat ada kelainan dari cara bertindak. Cara berhujjah. Cara bekerja. Cara menyusun agenda. Yang dapat dilihat ialah seorang yang boleh berhadapan dengan cabaran-cabaran yang besar atau kecil. Kepada mereka semuanya dilihat seperti positif. Yang senang sudah biasa. Yang susah ada cara mengatasinya berdasarkan pengalaman dan akal yang terbina. Lalu kita menilai akan akal budi yang diterjemahkan dalam output yang dapat dilihat. Dapat dirasa. Dapat dinikmati. Pengguna output pula merasa damai dan tenteram. Yang diterima ialah sesuatu yang menjadikan hidup orang lain lebih berkualiti tinggi. Sesungguhnya pendidikan menjadikan seseorang itu berada di atas landasan ilmu. Landasan kebijaksanaan. Ada kebestarian dalam menjalani hidup. Hidup profesional yang tinggi. Hidup sosial yang disenangi. Hidup berkeluarga pula penuh harmoni. 
Saya melihat kualiti itu ada pada anak-anak Malaysia tajaan Amanah Raya Malaysia (ARB) dan yang bergabung dengannya, yang mengikuti kursus peringkat ijazah di Universiti al-Azhar, di Kaherah, Mesir. Apabila saya merancang untuk menikahkan anak lelaki saya di Kaherah, saya hanya ingin menyelesaikan urusan nikah itu sahaja. Anak saya memberi banyak input. Antaranya dia ingin mengadakan majlis untuk rakan-rakannya di asrama ARB. Kira-kira 80 orang ramainya. Dia ingin menambah lagi beberapa orang rakan sekelasnya yang bukan tajaan ARB. Jumlahnya 150 orang. Bajetnya melebihi RM1,000. Kosnya seperti di Malaysia juga. Kebetulan besan saya dari Klang dapat hadir sama. Jadinya kami berkongsi kos. Alhamdulillah.  Saya jangkakan jamuan yang akan diadakan biasa-biasa sahaja. Maklumlah di negara orang. Jauh dari saudara mara dan sahabat handai. Seperti saya sebut selalu, kadang-kadang mimpi kita datang tanpa lelap mata. Tanpa tidur mimpi itu datang. Seperti mimpi, saya menerima kejutan akan persiapan yang mereka lalukan. Mereka turut sama ingin mejayakan majlis untuk rakan mereka. Sama yang lelaki atau yang perempuan sama sahaja. Masing-masing teruja untuk bersama.
Rupanya anak-anak tersebut merancangkan suatu majlis yang meriah meraikan anak saya dan isterinya. Mereka membahgai tugas. Berbagai-bagai jawatankuasa ditubuhkan. Mulanya anak saya ingin jamuan disediakan oleh katerer sahaja. Isteri saya ingin pula memasak sendiri kecuali nasi sahaja dibeli dari katerer. 30 ekor ayam masak merah, kari terung, acar campur (kobis ungu, tomato, timun dan lada gajah). Perahkan lemon. Nasi pula nasi tomato. Tetamu yang datang berselera sungguh mereka makan. Mereka benar-benar menjamu selera. Sebenarnya kami lebih banyak memerhati dan memantau sahaja. Kesemuanya diurus oleh anak-anak ARB. Majlis yang besar dan bermakna itu diusahakan kerana itulah kali pertama majlis seumpamanya diadakan di asrama ARB. Walaupun di asrama-asrama negeri biasa diadakan tetapi kerana majlis itu kali pertama diadakan di ARB kesemua penghuninya sangat teruja. Malah ada rakan anak saya dari asrama lain yang turut terlibat. Sementelahan pula mereka rapat antara satu sama lain. Belajar sekelas. Sama-sama merantau. Sama-sama membina aspirasi yang sama. Membina diri, agama dan bangsa. Negara sentiasa di sudut hati mereka.
Apabila saya jejakkan kaki saya di ARB  saya terkejut kerana mereka menyediakan ruang khas seperti pelamin. Terpempan juga saya sebentar. Tujuh kali saya menikahkan anak belum pernah saya mengadakan pelamin dan majlis bersanding. Isteri saya berbisik, kalau orang kampung nampak gambar-gambar majlis ini nanti tentu ramai yang heboh. Hanya anak ketujuh saya yang bersanding di rumah isterinya. Yang lain hanya duduk bersama untuk majlis jamuan sahaja. Saya tertanya-tanya sendirian. Betulkah anak-anak ini ingin mengadakan majlis bersanding. Begitulah persispan yang dapat dilihat. Ada jawapannya. Nanti dulu. Pada hari Khamis, sehari sebelum majlis, mereka mengadakan raptai. Siap dengan juruacara lelaki dan perempuan. Ada tayangan video. Paluan kompang Johor. Bunga manggar. Dayang-dayang membawa dulang hadiah untuk pengantin perempuan. Kesemuanya melebihi jangkaan. Saya katakan kepada mereka, sudah tujuh kali saya mengadakan majlis walimah tetapi kali kelapan ini baru ada kompang. Dari mana mereka mendapat kompang agaknya. Dari asrama pelajar negeri Johor, kata mereka. Pasukan yang menyediakan ruang latar seperti pelamin bekerja hingga siap pada malam Jumaat itu. Ada yang berminat ke arah itu. Seperti Mak Andam pula jadinya bakal ustazah yang seorang ini.
Pagi Jumaat jamuan disiapkan. Sebelum tengahari semuanya siap belaka. Apabila nasi siap dihantar, lengkaplah semua hidangan yang dirancang. Siap dengan kuih muih. Biasalah minuman tentunya air sirap. Tetapi air sirap Mesir yang bercampur sedikit strawberry. Sedap pula rasanya. Manisnya cukup. Malam itu jamuan diadakan dengan meriah sekali. Sebelum majlis bermula juruacara bermonolog. Pelamin ni untuk bersanding ke apa? Jika bersanding seperti tidak syarie pula. Dia mendapatkan kepastian dari rakannya. Rupanya ruang itu disediakan untuk tujuan bergambar sahaja. Pasangan pengantin dan rakan-rakan mereka. Anak-anak ini sudah memikirkan yang hak dan bukan hak. Majlis itu difikirkan dari sudut syarienya. Bukan suka-suka. Bukan main langgar sahaja. Seperti yang selalu berlaku ramai anak muda melakukan sesuatu tanpa ilmu. Bila ditegur baru bertindak tidak melakukannya. Anak-anak yang brilmu, lebih bertanya dahulu. Difikirkan dahulu. Dipastikan yang dilakukan ada keharusan untuk melakukannya. Kerana itu banyak berfikir banyak mengelakkan dari melakukan hal-hal yang bukan hak. Bukan syarie. Bukan pembaziran.
Setelah majlis membaca doa dan bacaan al-Quran, didakan tayangan video yang menghadirkan pertemuan dua hati kedua-dua mempelai. Rakaman sejarah dari kecil hingga ke jinjang pernikahan memberikan gambaran kesekufuan antara pasangan. Ada perbezaan dan persamaan. Yang hadir terhibur dengan ramakan sejarah diri kedua-duanya. Kadang-kadang kita kenal ramai orang. Namun sejarah diri mereka tidak kita ketahui. Mungkin sekadar cebisan-cebisannya sahaja. Secara pastinya tidak kita ketahui. Membuka lembaran sejarah diri mungkin ada baiknya. Dari situ terbuka hijab diri yang tersembunyi. Kita kenal dari dekat bagaimana seseorang itu terbentuk peribadinya. Ada ciri dan trait yang membantu untuk difahami. Apabila bergaul dengannya kita dapat menjaga batas yang boleh dan batas yang tidak boleh. Latarbelakang sejarah menjadi penting untuk sama-sama menjadi seiring. Tidak dianggap bahawa semua orang adalah sama. Yang dilihat bukan sahaja jasad fizikalnya. Banyak lagi yang tersingkap menyerlahkan kejayaan, cita-cita, usaha dan harapannya. Kerana itu tugas kita bukan sahaja mendampinginya. Sebaliknya dan sebaiknya kita membantu merealisasikan hasrat hidupnya. Membuka laluan untuk membuang yang menghalang.
Dalam mana-mana majlis yang besar untuk seseorang individu, sesi bergambar paling meriah. Dari satu sesi ke satu sesi yang lain. Semua ingin gambar mereka dirakamkan. Mudah-mudahan giliran diri pula menyungsung. Ada juga yang melucukan dalam sesi bergambar tersebut. Ramai yang tidak berani memegang jambak bunga pengantin. Sesetengahnya seperti fobia. Takut benar bertemu jodoh sesegera masa. Seorang dua sahaja yang bersedia memegang jambak bunga dengan selamba. Riuhlah rakan-rakan yang lain. Ala kuli hal, terima kasih banyak-banyak kepada anak-anak ARB yang bersedia meraikan rakan mereka sendiri mendirikan rumahtangga. Semoga segala bakat kepimpinan yang ada terus digilap untuk nanti dijadikan bekal apabila menjawat kedudukan penting pada tahun-tahun mendatang. Bakti dari anak-anak semua semoga menyemarakkan usaha membina generasi agama yang lebih berwibawa. Landasan syarie yang terbina perlu dikembangkan supaya semua tindakan berlandaskan agama. Menjaga batas-batas yang diredhai dan diberkati Allah. InsyaAllah.