Hari jadi selalu diraikan. Ada majlis besar-besaran. Setengahnya siuman. Setengahnya lupa kewarasan. Besar atau kecil selalu jadi ukuran. Hari jadi bagi yang sudah tiada sekadar hari untuk mengingat. Hari untuk mengenang jasa dan bakti. Hari untuk membakar semangat. Hari untuk megenal harga diri.
Bagi yang masih hidup banyak yang tidak disingkap. Banyak falsafah yang tidak terungkap. Banyak iktibar tersirat yang tidak diambilberat. Ramai orang gembira menyambut tarikh hari lahirnya. Tetapi ramai keliru tarikh yang sebenarnya. Kita Islam. Kita Muslim. Hari lahir kita bukan mengikut tahun masehi. Jika itu yang kita ikut maka setiap tahun kita tertinggal selama 11 hari. Sepuluh tahun kita tertinggal 110 hari. 20 tahun 220 hari. 50 tahun 550 hari. Dalam Islam usia kita lebih tua darai sebenarnya apa yang kita faham. Sekelurism yang memebelenggu hidup kita. Hidup umat Islam.
Dalam gembira kita menyambut hari lahir itu kita lupa hakikat. Dalam menerima ucap selamat kita terlindung dari memahami hakikat usia kita berkurangan. Kenapa orang gembira menerima ucap selamat hari lahir. Bukankah usia kita berlalu pergi. Bukankah kita semakin hampir didatangi ajal. Bukankah Izrail semakin hampir. Nama kita semakin timbul. Senarai itu semakin pendek.
Siapa sebenarnya yang memulakan proses melarikan kita dari hakikat ini. Kita selalu mengucapkan selamat panjang umur sedangkan hakikatnya umur kita semakin pendek. Waktu dan saatnya sudah ditentukan di Luah Mahfudz. Allah sahaja yang Maha Mengetahui. Izrail hanya menurut perintah. Perintah datang tiada diabai walau sedetikpun. Tepat setepatnya. Jitu. Precise. Tidak ada toleransi langsung. Ketentuan Allah yang sudah pasti dan memang dipastikan. Janji Allah tiada yang terabai. Manusia sahaja yang selalu alpa.
Kenapa orang gembira menyambut hari lahirnya sedangkan hakikatnya dia semakin tua. Semaikn tidak berupaya menandingi orang muda. Otot-otot yang semakin kendur dimamah usia. Kudrat yang lnutur sepanjanag masa. Dewasa yang semakin dewasa. Perjalanan hidup yang diteruskan selagi belum bertemu sang ajal. Rugilah bagi yang tidak merencana hidup hari tua. Malanglah bagi yang terlonta-lonta tanpa apa-apa. Hari lahir yang kita sangka bahagia itu sebenarnya petanda banyak nikmat yang ditarik Allah. Ditiadakan demi masa. Dikurangkan dan dinisbahkan.
Telah banyak yang Allah anugerahkan kepada kita. Usia adalah antara satu daripadanya. Lalu kehilangannya kenapa tidak ditangisi. Kenapa tidak diratapi. Kenapa tidak dinilai perinya. Dimuasabah bakti yang telah diberi. Kenapa tidak dikenal ke mana nanti sudahnya. Ke mana nanti perginya. Ke mana nanti singgahnya. Ke mana nanti semadinya. Budaya manusia yang selalau kita anuti bukan yang menjanjikan apa-apa. Hanya untuk keseronokan di dunia.
Kenapa tidak dimenungkan ruginya diri. Kenapa tidak difikirkan apa lagi yang boleh ditinggi budi. Kita berlari membawa usia tanpa mengetahui destinasi. Alangkah ruginya nanti bila tiba saatnya. Tiada yang hendak dihisab dan dinisbah. Kita telah tidak mengisi masa. Kita tidak menginsafi hakikat perginya usia. Dalam perkiraan kita tahun hadapan bertemu semula. Benarkah begitu. Atau ilusi semata-mata.
Hakikatnya ajal datang di mana-mana. Kullu makan, kullu zaman. Hari ini kita bersama, esoknya sudah tiada. Bersua pagi petangnya pergi. Malam makan bersama, paginya pergi sendirian. Hari ini ajal tidak dapat diagak-agak. Bukan untuk diramal. Ajal itu tiada mengira usia. Tiada mengira siapa. Datang ia datanglah ia. Ke manapun tiada tempat untuk berlindung. Sampai saatnya dia tiba juga. Izrail akan datang ikut fitrahnya. Mungkin datang dengan lemah lembut dan penuh kasih sayang. Atau datang sebagai algojo yang ingin merentap ganas nyawa yang ada. Roh kita yang seksa dirasa. Nyawa yang sangat kita kasihi ini. Nyawa yang selalu dipertahankan. Yang selalu jadi alasan dan helah. Beribadat nantilah bila tua. Sedanglan ajal itu datang semasa kita muda. Dalam masa enjoy tidak ada batasnya. Semasa enjoy tiada sempadannya.
Sambutlah hari lahir kita dengan wawsan usia yang masih tinggal berbaki. Tarikh itu sebenarnya mengingatkan kita untuk mengetahui bahawa kita semakin dekat. Tidak mungkin bertambah. Allah sahaja yang berhak. Saya tidak doakan panjang umur. Itu kerja Allah. Saya doakan supaya umur yang berbaki itu diberi barakah Allah. Itulah sisa-sisa peluang yang boleh dimanfaatkan. Yang boleh diolah menjadi berguna. Yang banyak amal berbanding dosa. Yang mengurang maksiat tetapi menambah pahala.
Hari lahir itu hanya tanda-tanda kekuasaan Allah. Pasti ada manfaatnya. Antaranya peringatan bahawa umur kita semakin pendek. Kita akan tinggalkan orang-orang yang kita sayangi. Juga orang-orang yang kita benci. Harta benda hanya menjadi pesaka. Hanya memenuhi wasiat dan faraid. Ilmu yang bemanfaat kekal memberi dividen di alam barzah. Hanya anak-anak yang soleh meringankan beban di alam barzah. Hanya amal jariah yang kekal manfaatnya.
Bersediakah kita meninggalkan ilmu yang bermanfaat. Bersediakah kita dengan anak-anak yang soleh. Bersediakah kita dengan pahala amal jariah. Keinsafan itulah yang seharusnya ada pada tarikh hari lahir kita. Bukan untuk memotong kek semata-mata. Potonglah kerana rezeki. Terlalu bergantung dengan adat dan ritual itu membimbangkan pula nanti. Takut terlebih-lebih jadi sesuatu yang mendekati khurafat. Mewajibkan kek itu ada, sudah mencuit akidah.
Mungkin lebih baik sujud syukur. Berzikir dan berdoa. Istigfar dan bertahmid. Kita ingat Allah yang menjadikan kita dari nanah dan nanti pulang ke tanah. Yang nanti menjadi makanan ulat dan cacing. Yang nanti sama ada diterangi cahaya iman atau digelapi dengan kehitaman dan seksaan. Sampai masanya kita menukar kepada yang hak. Ke mana kepatuhan kita jika bukan kepada Allah dan RasulNya.