Kehidupan sosial di kawasan setinggan tetap teratur dan berperaturan. Mereka ada ketua dan ada aktiviti bersama yang dijalankan. Kawasan setinggan hanya satu pentas hidup. Orang-orangnya normal belaka. Tiada yang luarbiasa. Mereka mencari kehidupan yang halal. Yang menyukarkan ialah rumah yang sesuai dengan bajet mereka.
Kehidupan harian tiada bezanya dengan mana-mana kampung atau taman perumahan. Aktiviti agama agak istimewa. Imamnya OKU. Dia buta. Imam inilah yang menjadi pemimpin bila solat di surau. Dia juga memimpin jika ada tahlil dan majlis doa yang lain. Di surau kampung itu selalu juga diadakan majlis membaca yasiin dan ceramah-ceramah agama. Banyak juga ustaz-ustaz ketika itu yang dipanggil berceramah. Pengurusan surau belum menjadi agenda saya waktu itu. Saya hanya menjadi makmum dan setinggan biasa. Tiada apa-apa jawatan.
Pak Din, imam kami, walaupun buta hidup seperti matanya melihat. Di sekeliling rumah dia menebas dan menajak, menyapu sampah dan sebagainya. Di dalam rumah dia biasa membasuh. Hatinya pula sangat terang. Jika dibacakan di hadapannya ayat-ayat al-Quran beberapa kali dia cepat ingat. Maka hafalannya kuat dan ingatannya juga sama kuat. Melekat dalam mindanya. Begitulah kelebihan dan kekurangan manusia. Sebenarnya semua orang ada cacat dan celanya. Kita baik dalam suatu aspek tetapi orang lain baik dalam aspek yang lain. Kelebihan kita kekurangan kepada orang lain. Kekurangan kita kelebihan pula kepada orang lain. Natijahnya kita harus bergantung antara satu sama lain. Pelengkap kepada kekurangan-kekurangan yang ada.
Saya kagum juga adengan seorang lain OKU di kampung itu. Buta juga orangnya. Kelebihannya ialah kepakaran mengurut. Berasal dari Parit Pinang Seribu, Muar. Katanya, neneknya sangat hebat mengurut. Dia belajar dari neneknya. Setahun saya berulang alik ke Ipoh. kaki dan lenguh-lenguh diayun kenderaan. Sesekali saya berutut dengannya. Paling akhir tempat urutannya ialah di punggung. Di pasti menekankan kedua ibu jara tangannya di kanan dan kiri punggung. Calang-calang orang menjerit kerana ib jari itu diputar menekan tepi lekukan punggung. Sakitnya? Jangan tanya. Jika nak rasa boleh cuba sendiri. Ramai rakan-rakan sekampung yang meleleh air mata menahan sakit. Sayang, selepas saya berhijrah ke Ipoh pada takhir tahun 1979, saya kehilangannya hingga sekarang. Selepas itu jenuh saya mencari tukang urut yang sebaiknya tetapi tidak berjumpa.
Kalau Pak Din menjadi imam di surau. Boleh mengamas rumah. Boleh membersihkan kawasan rumah. Tukang urut ini pula yang namanya Pak Leman, boleh membuat kerja yang sama. Pada waktu santai dia menganyam bakul lanjutan usahanya melalui Kementarian Kebajikan Masyarakat ketika itu. Yang istimewanya ialah apabila isterinya bersalin, dialah yang mengurut isterinya hingga habis pantang. Yang meamsak dia. Yang mengemas rumah dia. Yang urus anak dia juga. Mengurut orang tidak juga berhenti. Begitulah keistimewaan orang yang ada kemahiran yang tidak ada pada orang lain.
Perhubungan antara penduduk cukup akrab. Hampir semua saya kenal ketika itu. Sekarang ini hanya tinggal beberapa nama yang saya ingat. Yang lain kekal dalam lipatan ingatan. Apabila diadakan kenduri kendara kami biasa bercampur gaul. Bermesra dan bersilaturrahim. Orang sekampung tidak ada yang beza membeza. Fahaman politik belum wujud lagi. Bulat bak pembetung. Jika ada undangan yasiin dan tahlil saya mungkin mendapatnya dari atas motorsikal rakan sekampung yang beriringan dalam perjalanan atau yang sedang memotong saya. Sangat mudah. Tiada protokol. Tiada birokrasi. Mesej sampai. Tindakan, insyaAllah. Kadang-kadang jika terlalu berprotokol keadaan yang sangat senang menjadi sukar tidak menentu. Sepatutnya tugas kita ialah memudahkan. Hati senang. Perasaan tenang. Kurang kos. Kurang tekanan. Kurang masalah. Itu idealnya. Realiti itu yang menyukar kadang-kadang.
Pada hari raya suasananya meriah juga. Pada malam raya biasanya kami sudah menziarahi jiran sekampung. Kami tertakbir dan bertahmid dari sebuah rumah ke sebuah rumah. Dari selepas Isya' hingga pukul 3.00 pagi kami mungkin sudah menziarahi kebanyakan rumah di kawasan itu. Esoknya kami sambung di kawasan yang lain pula. Pada hari-hari yang lain kami ada agenda sendiri. Mungkin ke rumah saudara mara atau sahabat handai di tempat-tempat lain.
Dalam pemerhatian saya, penghuni kawasan setinggan adalah manusia normal. Mereka tiada bajet untuk memiliki atau menyewa rumah yang sesuai. Sekarang ini kita jarang mendengar tentang wujudnya rumah setinggan. Negara sudah menghampiri status maju. Ekonomi menjadi pemangkin kepada kemewahan. Walaupun kekayaan tidak merata kepada 0rang Melayu tetapi mereka sudah mampu memiliki rumah. Kerana itu rumah setinggan tidak diperlukan lagi. Jika ada sekali sekala rumah itu dibuat oleh pendatang.
Sudah 33 tahun ingatan lama ini datang kembali. Entah di mana kebanyakan mereka kesemuannya. Ada yang sudah meninggal. Masih ramai yang hidup. Yang pastinya mereka semua sudah berusia emas. Anak-anak mereka mungkin sudah mengeluarkan mereka dari lembah itu. Dari lurah itu. Dari jurang itu. Yang masih menetap di situ barangkali sudah melupakan kisah kepayahan lama. Yang dinikmati ialah keadaan semasa. Bebas dari kepayahan sewaktu terpaksa bercatu dan bergilir menadah air. Sewaktu terpaksa mengepam lampu untuk mendapat sedikit terangnya malam. Untuk bersembang seketika dua.
Kehidupan ini melalui fasa-fasa tertentu. Ada yang indah dan ada yang mahu dilupakan. Namun kesemua yang sudah dialami pasti masih ada untuk teringat kembali. Tidak perlu air mata kerana bukan derita fizikal atau mental. Sekadar payah sementara. Pengalaman tidak semuanya gemerlapan bak intan berlian. Dalam kacapun ada sinar. Pilihlah sinarnya dan bukan kacanya. Dalam hidup, kita banyak pilihan. Setiap masa kita dikehendaki membuat pilihan. Kita hendaklah belajar membuat pilihan. Pilihan yang kita buat bukan semestinya benar. Bila sudah dipilih hendaklah diterima seadanya. Itu mungkin anugerah Allah yang paling layak untuk kita. Wallahu 'alam.