Kadang-kadang
tersentap juga hati menjelang Ramadhan. Setiap tahun dikomersilkan. Orang kita
turut mabuk seperti ikan dalam lumpur. Ramadhan belum tiba tetapi pesta hari
raya sudah bermula. Di mana silapnya? Kita ingin menyambut Ramadhan atau
menjadikan Ramadhan sebagai syarat sahaja. Memenuhi tuntutan agama. Hati dan
seluruh jiwa raga kita hanya untuk hari raya rupanya. Sukar memahami dari mana datangnya keghairahan
untuk berhari raya. Sedangkan haru raya hanya sehari sahaja. Hanya pada Syawal
pertama sahaja. Syawal kedua hingga ketujuh bukankah puasa Syawal yang lebih
afdhal. Mana lebih utama, agama atau adat. Kita sudah terlalu lama tersasar
dari landasan yang benar. Banyak perayaan yang kita sangka berkerangka agama
tetapi sebenarnya lebih adat dari agama. Hanya di negara-negara di Tenggara
Asia melebihkan hari raya berbanding Ramadhannya sendiri. Di negara Arab,
Ramadhan dilebihkan dari Syawal. Keutamaannya begitu. Kita sahaja yang
melakukan melebihi keperluan. Kita semakin tidak menjaga tertib keutamaan
menjalankan ibadat dan beragama.
Kali pertama di
Mesir pengalaman Ramadahan sangat berbeza. Orang Malaysia sibuk memasang lampu
panjut menjelang hari raya. Semasa di Ipoh dahulu, menjelang hari raya terang
benderang kampung dan taman dengan lampu panjut. Ada pesta dan pertandingan.
Cuba kita tanya diri kita sendiri. Ke mana sebenarnya kita dibawa arus.
Kebijaksanaan atau pembaziran sumber. Tiada nas dan dalil yang menandakan lampu
panjut itu perlu. Di Johor pula orang sibuk dengan malam tujuh likur.
Disibukkan juga dengan memasang lampu minyak tanah. Dibuat dari buluh atau
pelita. Sekarang dijual secara komersil di pasaraya. Untuk apa lampu-lampu itu.
Cuba kita fikir secara rasional agama. Bukan rasional adat. Bukan rasional
kebiasaan. Jika terlalu jauh tersasar takut menyentuh akidah. Bahaya pada diri.
Dalam istilah agama menzalimi diri sendiri. Yang menerima akibat di akhirat
nanti diri yang membuatnya sendiri. Bukan orang lain. Sebab itu jika tidak tahu,
banyakkan bertanya. Belajar dari mereka yang arif. Jika sudah tahu, amalkan
berlandaskan agama.
Di Mesir Ramadhan
ditunggu sebelum datangnya. Cuma entah di mana silapnya mercun yang banyak
diletupkan. Bunga api yang dipancarkan. Tiada juga nas yang menyuruh begitu.
Sekali lagi adat menguasai pemikiran. Kegembiraan yang menyimpang dari
tuntutan. Ramadhan adalah sesuatu yang syahdu. Datangnya sekali dalam setahun.
Setiap perbuatan baik digandakan. Tentu juga setiap perbuatan yang sebaliknya
digandakan dosanya. Banyak perbuatan baik yang perlu dilaksanakan. Pilih sahaja
mana yang boleh dilaksanakan. Ada yang ringan. Ada yang berat. Jika larat buat
semua. Membaca al-Quran rasanya antara yang paling ringan. Syaratnya sudah
pandai membaca dengan lancar. Jika belum, elok juga belajar al-Quran dalam bulan
Ramadhan. Mulakan sesuatu yang selama ini terabai. Membaca merangkak-rangkak
banyak pahalanya. Setiap huruf yang dibaca ada pahalanya yang tersendiri.
Pahala belajar besar ganjarannya. Pastinya berganda-ganda kerana barakah
Ramadhan. Yang sudah pandai jangan leka. Banyakkan membaca. Tambah pula dengan
memahami maknanya. Tambah lagi dengan mengamalkan seperti makna yang difahami.
Selak seberapa banyak tafsir al-Quran. Selami pandangan dan pendapat yang
berbeza supaya al-Quran mantap difahami hingga ke dasarnya.
Maknanya Ramadhan
ditunggu dan disambut dengan persediaan mental orang beragama. Bukan orang
beradat. Datangnya setahun hanya sekali. Perginya selepas sebulan. Bilangan
harinya tidak penting. 29 hari atau 30 hari adalah ketentuan Allah. Ramadahan berdasarkan
kitaran bulan (qamar) bukan matahari (syams). Bila nampak atau dikira wujud
anak bulan Ramadahan maka esoknya berpuasalah kita. Apabila kelihatan atau
dikira wujud anak bulan Syawal maka berharirayalah kita. Hari raya bukan
penamat segala-galanya yang namanya ibadat. Amalan baik. Walaupun pada bulan
Ramadahan pahalanya berganda, selepas Ramadahan pahalanya tetap ada. Ikhlas
yang penting. Bila mula puasa dan bila mula hari raya ditentukan oleh
pemerintah. Kita rakyat wajib taat kerana kita tidak mahir ilmu falak. Anak
bulan di tempat kita tidak dapat dilihat dengan mata kasar. Selalu terlindung
dek awan. Maka kita sandarkan kepada pemerintah untuk membuat keputusan. Bagi
yang mahir dalam ilmu falak mungkin boleh membuat keputusan sendiri tetapi tidak
boleh dikongsi atau dipindahkan kepada orang lain. Khusus untuk dirimya sahaja.
Individu seperti raja atau sultan sahaja yang boleh memberi perintah.
Hiasan malam sukar
dilihat di awal Ramadhan. Kita di Malaysia berhias untuk menyambut hari raya.
Bukan Ramadhan. Di Mesir sebelum Ramadhan lagi sudah sibuk memasang lampu
lup-lap. Lampu warna warni. Lampu gantung seperti tanglung bertulis Allah dan
sebagainya. Pada waktu malam kelihatan semua jalan terang benderang dengan
lampu jalan dan lampu-lampu tambahan. Orang Arab pula suka bersiar pada waktu
malam. Selepas solat tarawih mereka berjaga hingga waktu sahur dan solat Subuh.
Selepas Subuh baru mereka keletihan. Subuh pula kira-kira pukul 3.30 pagi.
Maknanya mereka ada masa untuk tidur selama 4 jam sebelum pergi kerja pada pukul
7.30 pagi esoknya. Pada malam bulan Ramadhan meriah dengan berbagai aktiviti.
Lebih meriah dari bulan-bulan sebelumnya. Mereka suka menghidupkan malam. Pukul
12.00 tengah malam kanak-kanak masih lagi berkeriau. Masih bising. Kenderaan
menderu dari hujun ke hujung jalan.
Saya kurang arif
dari mana datangnya budaya mercun. Di negara kita apabila menjelang hari raya
ada sahaja mata yang buta. Ada tangan dan jari yang putus. Ada telinga yang
rabit. Tidak pernah serik-serik. Mungkin elok jika mereka yang sukakan mercun
dan bunga api ini kita letakkan di sebuah stadium. Longgokkan di hadapan mereka
10,000 lori besar yang sarat dengan mercun dan bunga api. Paksa mereka letupkan
kesemuanya satu persatu sepanjang minggu. Makan minum di situ. Solat di situ.
Biar badan dan pakaian mereka berbau belerang.
Biar telinga mereka bingit. Biar tangan mereka pijar meletupkan mercun .
Biar mata mereka berpinar memandang cahaya bunga api. Apabila kita kaji
kesemuanya itu adalah kegilaan mereka yang tidak mengetahui. Yang tidak arif
membuat penilaian. Yang terhijab dari melihat yang hak. Kesemuanya adalah
sumber kelekaan. Pembaziran wang ringgit. Pembaziran masa. Perbuatan sementara
yang mungkin merenjatkan pertumbuhan akal. Melakukan sesuatu yang tiada nilai
agama atau kebijaksanaan tentulah menumpulkan pemikiran yang waras.
Suasana Ramadhan
perlu dipenuhi dengan ibadat. Melakukan kebaikan dalam berbagai bentuknya. Banyak
pilihan yang mendatangkan pahala. Jangan biarkan diri hanyut tanpa pemikiran
yang menjangkau jauh ke hadapan. Ke akhirat. Bukan sekadar sebulan apabila
tamat Ramadhan. Rendang dan ketupat hanya juadah. Bukan kewajipan. Tiada
wajibnya. Pahalanya ada kerana menjamu orang lain. Tetapi, tetapi bukan sesuatu
yang dianggap wajib. Wajibnya tiada.
Terlalu banyak kegilaan hari raya yang bukan hak. Bagi orang Johor
umpamanya, lodeh bukan wajib. Sediakanlah ala kadar. Kacang panjang jangan
diwajibkan. Penjual sayur juga yang berganda untungnya. Tauhu dan taugeh juga
bukan wajib. Sediakan sekadar perlu. Terlalu beria-ia seolah-olahnya berdosa
jika tidak disediakan. Ibadat yang mesti dibezakan dari adat. Nilai kembali
antara Ramadhan dan Syawal. Ramadhan sebulan lamanya. Syawal hanya sehari. Mana
lebih besar. Memanglah orang Melayu menyambut Syawal hingga sebulan. Ada yang
hingga tiga bulan. Rasanya sudah keterlaluan. Cukup-cukuplah beraya. Nilai
semula Ramadhan kita. Ramadahan dan Syawal dalam nisbahnya 30:1. Sepatutnya kita
rayakan Ramadhan 30 kali ganda dari berhari raya. Boleh kita fikirkan semula?