Falsafah adalah guiding factor dalam membina sesuatu bangsa. Mesti ada landasan kukuh yang dengannya warga sesebuah bangsa melestarikan kesinambungan generasinya. Falsafah memberikan panduan dan padanan untuk merealisasikan cita dan hasrat orang dewasa untuk anak cucu mereka. Usaha dan strateginya difikirkan dalam-dalam. Diperhalusi segala liku-likunya. Ditimbang dan ditilik baik dan buruknya. Yang terhasil ialah pandangan jauh suatu bangsa akan keperihalan generasi mereka akan datang. Suatu harapan yang mengatasi kebimbangan. Azam untuk memberikan yang terbaik. Untuk meninggalkan warisan terbaik bagi generasinya nanti.
Pendidikan bukan sekadar tulis baca. Bukan sekadar kira dan jumlah. Bukan sekadar berbaris dan berhimpun. Bukan sekadar datang dan pergi. Bukan sekadar menggalas beg-beg besar yang menyiksakan. Bukan sekadar duduk dan mendengar. Bukan sekadar mendengar cakap-cakap guru yang penuh dengan konsep yang kabur. Abstrak. Bukan sekadar berlari dan bermain. Bukan sekadar uji dan periksa. Apa maknanya markah banyak dan sedikit? Bagaimana untuk belajar lebih tinggi? Kerja apa yang nanti boleh dijawat? Setinggi mana harapan majikan? Harapan keluarga? Harapan negara? Harapan orang-orang dewasa yang ada di sekeliling?
Lalu digubal yang namanya falsafah. Tidak kiralah namanya yang selalu berubah. Hari ini Falsafah Pendidikan Negara. Esok Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Ringkas cerita Falsafah Pendidikan (FP). Belajar ada matlamat bagi individu. Ia ingin jadi pandai. Diukur dan dinilai pandainya. Ada tahap-tahap yang perlu didaki. Memanjat usia. Mematangkan pemikiran. Menjernihkan kefahaman. Meluweskan pandangan dan tindakan. Boleh memilih keutamaan. Boleh menentukan pilihan terbaik. Waras dan siuman. Sihat dan bertenaga. Produktif dan aktif. Proaktif dan berkehadapan.
Jika tanpa apa-apa matlamat, pendidikan menjadi lebuhraya yang tiada penghujung. Laut yang tidak bertepi. Langit yang tiada sempadan. FP memberikan stesen-stesen untuk dilabuhi. Destinasi untuk menamatkan pengembaraan ilmu. Mengaplikasi dan mentarbiahkan apa yang ada. Teknologi digarap kerana itu adalah the state of the art. Pendidikan bukan sama untuk semua orang. Bukan serupa untuk kebanyakan orang. Ada tahap-tahap yang dapat dicapai. Pendemokrasian pendidikan hanya membenarkan bahawa semua orang diberi peluang yang sama rata. Individu yang mencari kelebihan. Mencari yang lebih tinggi. Berada pada tahap yang lebih tinggi. Dalam kejar dan lari itu pasti ada yang tertinggal di belakang. Tidak mengapalah. Yang di hadapan berlarilah mengejar ufuk kejayaan. Pelangi-pelangi indah merentang zaman. Untuk bangsa gemilang.
Dalam pencarian yang terbaik itu individu tidak terlepas dari membawa bekal dirinya sendiri. Apa yang ada pada dirinya itu cukup besar ertinya. Tanpanya dia menghadapi kesukaran untuk melangkah jauh. Jasmani yang kuat tidak semestinya berotot sasa. Mengangkat berat hingga menjadi Mr. Universe. Tidak perlu jadi superman. Yang diperlukan ialah kekuatan fizikal yang namanya sihat walafiat. Boleh bergerak pantas menyaingi kepantasan dunia yang gerakannya semakin laju. Boleh bekerja tanpa gangguan kelesuan dan kepenatan. Tidak mudah menjadi layu. Burn out. Tenaganya tidak mengira jam dan waktu. Tidak mengira hari dan minggu. Tempoh kerjanya selama 40 tahun barangkali tanpa gangguan dan kekangan kesihatan. Ia dilihat sihat. Dilihat kuat. Dilihat kejap. Dilihat bersemangat. Jalannya pantas. Kerjanya cekatan.
Jasmani yang sihat perlu rehat yang mencukupi. Tidak perlu tidur yang memanjang. Cukup sekadar tidur lena yang menasabah lamanya. Lena itu yang penting. Alam sekitar memainkan peranan penting dalam memelihara kesihatan diri. Jauh dari pencemaran dan gangguan seperti kebisingan, suasana kelam kabut, debu yang menutup pandangan. Bau yang menutup rongga berfikir. Maka makanan juga sama pentingnya. Piramid makanan jarang diambil kira. Untuk sihat kenalah berkira dengan piramid itu. Makanan yang perlu dibanyakkan mesti menjadi pilihan. Gula mesti dikurang. Mesti. Terlalu banyak bencananya. Begitu juga garam. Daging dan makanan laut yang tinggi kolestrolnya. Kena jaga semuanya. Ia berangkai dan tidak boleh diabaikan. Di sekolah didik pelajar dengan piramid ini. Pasakkan dalam diri mereka besarnya faedah untuk menghindar penyakit fatal yang dinamakan lemah jantung, kencing manis, darah tinggi, sakit buah pinggang, barah. Begitu amalan kesihatan untuk menjauhkan AIDS, selsema burung, ebola dan penyakit-penyakit berjangkit yang lain. Ada yang kerana keturunan dan ada pula melalui persekitaran.
Emosi adalah suatu hal dalaman. Jasmani yang sihat banyak membantu menenangkan emosi. Pakar-pakar psikilogi mencari jalan untuk individu menjaga keharmonian emosinya. Emotional Quotient (EQ) diberi perhatian untuk membangunkan manusia yang tenang dan stabil. Yang berkeupayaan menghadapi tekanan dan terjahan. Gangguan masa dan deraan minda kerana beban belajar yang tidak mampu digalas. Bagi orang dewasa mungkin gagal menanangi kehidupan orang dewasa. Rumahtangga dan keluarga. Ditambah pula dengan masalah kerja dan kerjaya. Kasih sayang dikatakan antara strategi membina ketenangan. Mendamaikan jiwa. Memberikan erti yang tinggi kerana hidup menjadi lapang dan ringan. Guru harus banyak memberi kasih sayang tersebut. Mereka adalah ganti ibu bapa. The last bastion.
Keadilan juga memberi ketenangan. Bahawa pelajar diberi hak yang menjadi hak mereka. Segala tindakan yang hak menenangkan fikiran. Tidak terasa didiskriminasi. Yang benar adalah benar. Yang salah adalah salah. Pelajar masih muda untuk belajar. Guru yang memberikan itu kepada mereka. Didik dengan kasih sayang. Diberi keadilan layanan. Hatta hukuman yang diberi juga dimaklumkan sebab dan akibatnya. Biar mereka melihat secara adil. Bahawa keadilan adalah untuk maslahah umum. Bukan untuk kepentingan individu. Tidak ada orang yang terabai dari segi keadilan. Keadilan itu dirasa adil. Dilihat adil. Diterima adil. Emois yang terbina tenteram dan damai melahirkan individu yang ketahanan fizikal dan mentalnya pada tahap tinggi. Dapat diharap untuk menghadapi cabaran-cabaran hari muka yang tentunya tidak menentu dan volatile. Dia sepatutnya dibangunkan supaya can wriggle through any tight situation.
Kesempurnaan seseorang individu bergantung juga kepada kemantapan rohaninya. Dalaman dirinya perlu dibina dan dibangunkan supaya jiwanya penuh. Supaya rohnya kenyang. Supaya sanubarinya diisi dengan hal-hal yang menyangkut dengan iman, agama, akhlak dan disiplin diri yang kuat. Iman dan agama menjadi perisai untuk mendepani cabaran-cabaran akidah. Momokan asing. Dogma-dogma dan ism-ism yang memesongkan. Doktrin-doktrin yang mencemarkan. Kepercayaan-kepercayaan yang melarikan dari fitrah beragama. Merosakkan iman. Freedom dan human rights bukan pemutus ke arah kebahagian hakiki. Rohani yang damai itulah yang membahagiakan. Roh di dalam itulah yang perlu diisi. Diberi nafas. Diberi erti. Jasad hanya pakaian. Bila rohani sihat, maka jasad itu turut sihat. Pendidikan agama yang mencakup akidah, ibadah dan akhlak diharmonikan supaya manusia yang keluar dari sekolah adalah all-rounded. Pendidikan agama sepatutnya semakin diperhebatkan kerana cabaran globalisasi semakin mendesak. Pencemaran kebudayaan semakin mengganas. Langit semakin terbuka luas. Teknologi sudah tidak lagi memilih yang benar dan salah. Mereka yang rohaninya kebal sahaja yang berkeupayaan berhadapan dengan cabaran semasa dan cabaran akan datang. Rohani menyediakan fokus itu.
Intelek adalah aset penting individu yang tinggi nilainya. Mereka yang inteleknya tinggi semakin dicari dan dihambat. Yang mencari semakin ramai. Manusia semakin mabuk dengan kemajuan. Tetapi mereka tidak berhenti setakat yang ada. Banyak lagi cetusan intelek yang lebih membangunkan lagi intelek pada keseluruhannya. Setiap individu memiliki intelek. Ada yang mudah dibangunkan. Ada pula yang sukar dibangunkan. Keluarga banyak membantu. Sekolah perlu membantu. Tulis baca hanya asasnya. Bila kita pergi kepada matematik, kalkulus, fizik, algebra, trigonomerti, astronomi, kimia, genetik, pengklonan dan banyak lagi bidang tentulahlah individu yang terlibat bukan calang-calang inteleknya. Intelek perlu pula direncanakan. Berperingkat-peringkat. Dari tahap ke tahap. Berdasarkan usia dan kematangan. Sekolah menyediakan ruang dan peluang bagi pelajar membangunkan intelek mereka. Aktiviti akademik, ujikaji, penerokaan, hujjah dan berfikir membantu mereka ke arah mengembangkan lagi intelek mereka.
Maka atas dasar itu JERI yang ditunjangkan dalam FP itu perlu digarap untuk merealisasikan natijah yang diharap. Guru harus fokus untuk melahirkan insan-insan yang serba boleh tersebut. Prasarana di semua institut pendidikan facilitate ke arah itu. Harus dicipta budaya cintakan ilmu. Perpustakaan dan pusat sumber diperkasakan. Jangan jadikannya seperti perhentian yang merimaskan. Tidak ada yang baru untuk menarik hati dan perasaan. Jauh untuk membantu berfikir. Sekolah adalah gedung ilmu. Gurunya boleh digurui. Bukan sahaja menjadi guru kepada pelajar-pelajarnya bahkan juga menjadi guru kepada ibu bapa dan masayarakat sekelilingnya. Banyak perkongsian pintar yang dilimpahkan keluar dari dinding dan tembok sekolah. Mutiara-mutiara indah bergemerlapan yang memberi cahaya. Mudah-mudahan FP menyinar. Menerang dengan cahaya ilmu.