Wednesday, February 24, 2010

Masa Dulu-Dulu - Bahagian Kesebelas

Bila ada kenduri kendara di kampung, biasalah ada kumpulan rewang. (kadang-kadang dipanggil kendarat atau penanggah). Mereka bertungkus lumus untuk membantu tuan rumah dari mula hendak memulakan kenduri hinggalah kenduri selesai. Di kampung, rentetan peristiwa mungkin bermula sebulan sebelum majlis yang sebenar. Akan selesai mungkin seminggu selepas kenduri tamat. Itu cerita dulu-dulu. Sekarang keadaan sudah banyak berubah. Jiran-jiran dan saudara mara akan datang menolong mungkin seminggu sebelum. Selepasnya tuan rumah sahaja yang perlu selesaikan. Seperti kita juga, orang lain sibuk dengan dunia mereka yang tidak ada sudahnya.


Masa dulu-dulu, makan kenduri gunakan dulang. Nasi dan lauk pauknya dilonggok dalam dulang. Kami makan di mana sahaja ada ruang. Mungkin di balai yang disediakan. Atau di bawah pokok di keliling rumah pengantin. Tidak ada masalah. Tidak ada protokol. Semuanya orang kampung seperti saya. Semua senang dengan apa sahaja keadaan. Makan sedulang empat orang seronok sekali sekala. Bagi yang lelaki, dulang pertama mungkin tidak cukup. Perlu tambah nasi dan lauk. Maklumlah, seperti saya katakan dulu, anak kampung kuat kerja. Tentu kuat makan. Tetapi yang perempuan, makan beradat. Makan sedikit dianggap baik.

(Di Batu Pahat, makan menggunakan dulang masih diamalkan terutama bila diadakan majlis di masjid dan surau. Di sesetengah kampung, tradisi nasi ambang juga masih seperti dulu-dulu. Time stood still.)


Orang dulu jika hendak masuk meminang anak gadis orang, lama prosesnya. Si ibu kepada lelaki akan datang bertandang tanpa diundang. Saja berbual kosong. Tetapi mesti lama. Sempat minum, makan kuih, makan tengahari. Malah ada yang bermalam. Masa itulah tengok keliling rumah. Jika bersih dan teratur, anak dara tuan rumah boleh dijadikan menantu. Jahitan bajunya halus atau kasar. Jika halus tidak perlu diupah orang lain. Bakal menantu boleh diharap menjahit pakaian keluarga. Masakannya cukup masin, masam, manis, rampah dan sebagainya. Jika kena dengan selera, alamat emak mertua bahagia kekenyangan. Gerak lakunya, lembut atau kasar. Jika lembut, sejuk mata hati bila sudah menjadi mertua nanti. Adik beradik ramai atau tidak. Jika ramai seronok nanti. Berdozen-dozen cucu. Paling kurang satu pasukan bolasepak. Sihat atau tidak. Jika sihat, alhamdulillah.


Ini cerita makan. Anak dara perlu dilihat bukan sahaja sedikit makannya. Lebih istimewa suapannya kecil. Kalau suapannya besar, nanti dikatakan pelahap. Mulut tidak boleh dibuka lebar-lebar. Makan dengan empat jari. Jari telunjuk jangan gunakan. Kunyahnya lambat dan lama. Semasa mengunyah jangan buka mulut. Satu lagi, masa makan jangan berbunyi seperti itik makan. Jangan pula laju menyuap. Gelojoh kata orang.


Selepas basuh tangan, jangan kemas pinggan. Nanti tetamu terkilan. Baru hendak menambah lauk, sudah mula dikemas pula. Biarkan. Bila semua sudah selesai barulah dikemas pinggan mangkuk dan lauk pauk yang baki. Itulah prosedur orang kampung. Bukan seperti di restoran.


Berbalik kepada kenduri tadi, semua hidangan menggunakan dulang. Pengamatan saya menunjukkan, pembaziran banyak berlaku. Untuk makluman, semua hidangan diambil menggunakan tangan dan jari. Maka hidangan itu kesemuanya disentuh sana dan disentuh sini. Jari tangan baik untuk penghadhaman. Enzim di hujung jari memudahkan penghadhaman tersebut. Malangnya tidak semua hidangan yang tersentuh tangan tadi habis dimakan. Lalu tidak sesuai untuk dihidangkan kepada orang lain. Maka dituang ke dalam bekas yang nanti akan ada peminatnya yang akan membawa pulang. Pagi esoknya dimakan dengan roti. Terangkat juga dibuatnya. Kadang-kadang jadi rebutan. Jadi punca bermasam muka.


Dalam masa kenduri begini, kuih muih mesti disediakan oleh tuan rumah. Akan dihidangkan nanti kuih kasui, abuk-abuk, seri muka, belebat ubi, naga sari, belebat pisang, koci, keria, ondeh-ondeh, epok-epok, kuih lapis, apam dulang yang ditabur kelapa parut, bingka, kuih talam dan ada pula tapai pulut atau tapai ubi. Aduh banyaknya. Panjang senarainya. Waktu kecil, saya suka mengikut ibu saya. Kebetulan di rumahpun tiada sesiapa kecuali datuk saya. Kekenyangan perut dibuatnya. Semuanya terhidang. Capai sahaja dengan tangan. Bila kenyang bermain. Penat bermain, makan lagi. Lepas itu tidur. Tengah malam nanti, ibu akan kejutkan. Ada pula hidangan sup. Sup kepala dan kaki ayam. Bukan ada perencah Adabi ke, Mak Siti ke, Allagapa ke. Mana ada. Sup kosong. Bubuh air dan garam. Itupun sedapnya susah hendak diceritakan. Dalam keadaan mengantuk, mulut boleh dibuka, makanan dikunyah hingga kenyang. Sambung tidur lagi. Senang sungguh jadi anak. Ibu dan ayah berperang untuk hidup. Anak tahu ada sahaja.


Lazimnya di kampung pengantin perempuan akan membaca al-Quran dan rawi. Majlis khatam al-Quran sebegini diadakan pada malam sebelum majlis kenduri diadakan. Ramailah anak dara kampung yang datang meramaikan. Yang dari kampung sebelahpun diundang sama. Sambut menyambut dan bersahut-sahutan suara mereka. Anak-anak muda tertinjau-tinjau. Mana tahu ada yang berkenan di hati. Sampailah giliran pula. Saya kecil lagi. Bila saya di akhir remaja, kebiasaan itu mulai berkurangan. Sekarang semuanya sudah tiada. Mudah-mudahan blog ini menjadi rakaman sejarah masa dulu-dulu. Melihat adat yang sudah berganti dan ditiadakan kerana fungsinya dikesampingkan. Pelaku-pelaku masyarakat banyak pilihan lain yang lebih relevan dengan diri mereka masing-masing.


Ada pula yang menambah dengan acara potong jambul. Tetamu lelaki akan membaca rawi dan bermarhaban. Bayi didukung ahli keluarga untuk dipotong rambutnya di sana dan di sini ikut suka orang yang memotong. Biasanya orang tua-tuan atau mereka yang dihormati dalam kampung. Penghulu atau Tok Ketua tidak ketinggalan. Selepas itu hadirin dihadiahkan dengan bunga rampai. Ada pula bunga telur sebiji seorang. Bunga rampai diperbuat dari berbagai bunga yang dihiris-hiris nipis. Dicampur dengan daun pandan wangi. Direnjis pula dengan minyak wangi. Bunga rampai wangi di poket. Tetapi tidak tahan lama. Bila kering di poket, kenalah buang. Jika tidak berserabut bila dibasuh nanti.


Di kampung waktu itu bila ada kenduri kahwin, bunga telur adalah satu kemestian. Semua orang akan dipastikan mendapat sebiji seorang. Bagi keluarga terdekat akan mendapat lebih dari sebiji. Periuk besar akan digunakan untuk merebus telur. Untuk mengelakkan telur pecah kulitnya semasa direbus, ada yang mencampurkannya dengan kulit bawang. Pengalaman mereka begitu. Mungkin tidak saintifik.

Masa dulu-dulu, bunga telur buat sendiri. Berhari-hari dan ramai yang terlibat. Masa itulah bergurau senda, giat menggiat. Konsepnya gotong royong. Telur rebus bukan ada rasa apa-apa selain rasa telur. Rakan-rakan sebaya saya berebut-rebut hendakkan banyak. Sekarang di Batu Pahat telur direbus sebagai telur pindang yang berbagai-bagai ramuannya. Isinya menjadi cokelat kehitam-hitaman. Rasa herba, rempah dan masin kerana garam. Selepas banyak makan telur, majlis akan berbau "wangi" apabila ada yang meniupkan angin sepoi-sepoi bahasa. Semerbak. Tetapi tiada siapa yang akan mengaku. Lucu juga bila ingat.

Seminggu sebelum majlis, ramai orang lelaki yang sibuk membuat bangsal memasak dan balai untuk para jemputan makan. Pinggan mangkuk akan diangkut dari rumah yang menyimpannya. Lazimnya di rumah ketua Jawatankuasa Pinggan Mangkuk. Ahli sahaja yang boleh meminjam dengan percuma. Mereka yang bukan ahli, perlu membayar sewa. Pengangkutan hanya dengan basikal. Jalanraya belum wujud. Kereta atau lori belum boleh sampai di kampung.

Waktu yang paling sibuk ialah petang dan malam menjelang majlis kenduri itu. Hari itu mungkin lembu disembelih. Maaf di Johor tidak ada kerbau sebab tidak ada sawah. Begitu juga ayam. Kumpulan-kumpulan penanggah (ahli rewang/kendarat) akan melapah lembu, menyiang ayam, mengupas kentang, bawang merah-kecil-putih, halia, nanas, terung, timun dan keperluan-keperluan yang lain. Jika kita lihat senerionya ketika itu, memang ramai yang terlibat. Kadang-kadang hingga 40 atau 50 orang. Sebab itu di Kelantan dipanggil "bikwah" atau big work - kenduri besar, kata orang putih.

Semua yang bertugas amat seronok dan bangga. Jika tidak dijemput, sangat terkilan. Seolah-olah tuan rumah tidak ingatkan mereka. Tidak sayang lagi. Di kampung yang lelaki akan disediakan rokok sekotak seorang dan tuala muka good morning sehelai seorang. Rokok dihisap sebagai simbol kelelakian mereka, tuala pula untuk mengelap peluh. Rokok tidak terhad kepada orang dewasa. Kanak-kanakpun diberi juga. Tidak hairan anak-anak kampung merokok. Ada yang mengajar. Orang-orang dewasa yang tidak memikir atau tidak mengetahui risiko dan implikasinya. Rokok terselit di celah bibir, mulut bercakap, tangan rancak bekerja.

Saya dapati masih ada lagi senario tersebut di kampung. Ada kelainannya. Beberapa aspek telah diubahsuai mengikut peredaran zaman. Suasananya berubah sebab yang terlibat hanya orang tua-tua. Yang muda sibuk dengan alam mereka sendiri. Kasihan yang sudah beruban, yang sudah agak rabun, yang sudah mengheret kaki, yang tangannya sudah tidak sempurna psikomotornya, yang semput kerana gendut perutnya, yang sudah jongang atau rompong. Ke mana pergi anak-anak muda ya? Soalan cepu emas.

Orang yang sama akan bertugas hingga majlis selesaai petang esoknya. Mereka semua jiran tetangga, kawan sekampung, saudara mara yang jauh dan yang dekat. Masa inilah bertemu sanak saudara. Tetapi mereka tidak berbual begitu sahaja. Mereka membuat berbagai kerja mengikut kumpulan. Pada masa bekerja itulah mereka bersembang. Maklum lama tidak berjumpa. Sekarang sudah tidak perlu lagi. Perhubungan mudah. Telefon ada. Sms bila-bila masa sahaja. Yang pandai komputer lagilah. Macam-macam cara boleh dijadikan alat perhubungan.

Waktu rewang petang-petang begini, orang perempuan akan menyediakan hidangan. Sebelum Maghrib semua orang yang hadir akan diberi makan. Makanan paling sedap akan dinikmati pada petang ini. Petang rewang. Petang sehari sebelum majlis kenduri diadakan. Lauk pauknya cukup mudah. Nasi putih, ikan masin kering, sambal tumis dan sayur. Mungkin gulai nangka atau gulai umbut atau gulai meranti atau gulai rebung atau gulai pisang kapas muda atau gulai labu dan pucuknya atau gulai pucuk manis dan labu atau gulai daun ubi atau gulai kacang panjang dan labu atau batang keladi masak asam. Kadang-kadang disediakan juga sambal goreng. (ada ceritanya dalam pos yang lalu). Makan ketika itu memang sedap. Badan penat, kawan makan ramai pula. Memang berselera. Tambahlah berapa pingganpun. Lauk tidak pernah habis.

Esoknya, hari majlis yang sebenar. Paling meriah. Jika tidak hujan, bertambahlah meriahnya.



........ Tunggu sambunganya ......