Wednesday, November 24, 2010

Meninggalkan Kekasih Allah

Musim haji tahun ini sudahpun berakhir. Mulalah jemaah yang di sana bersesak-sesak untuk pulang ke tanah air. Masa 45 hari tidak terasa pula bagi yang menunggu. Yang di sana kalau boleh tak nak balik. Seronok memanjang. Makan tanggung. Kerja hanya ibadah sahaja. Dari pagi hingga malam.

Ada hal-hal yang melarikan saya dari bercerita tentang haji. Saya ingin bersama bekas-bekas pelajar saya bersibuk-sibuk untuk mula bertugas. Penempatan guru baru. Kata orang putih posting. Sengaja hendak memainkan perasaan mereka. Yalah pergi meningggalkan rumah untuk bekerja tidak sama dengan meninggalkan rumah untuk pergi belajar. Waktu belajar jadualnya tetap. Bila cuti tetap balik. Bila bekerja cuti ada. Tetapi kemungkinan balik tidak ada jaminan. Nanti ada kursus dalam cuti. Ada aktiviti yang melibatkan pelajar. Kursus dalaman. Kursus luar. Banyak yang tidak tersenarai.

Baiklah. Saya bawakan lintas langsung dari Madinah. Hari-hari terakhir saya di sana. Berada di bumi Madinah sangat mendamaikan. Rasulullah berada di situ. Baginda hidup dalam sanubari setiap muslim. Lelaki atau perempuan. Selawat dan salam tidak lekang dari bibir. Begitulah yang dapat dilihat di Raudhah, Bukit Uhud, masjid Quba', makam Baqi’ dan lain-lain tempat yang banyak sejarahnya.

Ibadah haji menuntut kekuatan fizikal kerana kebanyakan rukun dan wajibnya adalah aktiviti fizikal. Tawaf, sai, wukuf dan melontar. Berjalan dan mendaki. Naik tangga turun tangga. Lif ada tetapi al-maklumlah. Bila ramai, banyak masalah penggunaannya. Jalan kaki lebih cepat. Sebenarnya ada helah (trick) yang boleh dipelajari. Mungkin tidak sesuai di blog ini.

Beribadat ini semestinya dalam keadaan santai dan berlapang dada. Hati kita ria. Semangat teruja. Setiap waktu ingin yang terbaik. Jika di Madinah, Raudhah yang menjadi tumpuan. Jika hendak dikira, Madinah sangat jauh dari Makkah. Tetapi menjadi suatu kemestian untuk ke sana bagi mereka yang menunaikan haji. Rasulullah pernah bersabda, sesiapa yag menunaikan haji dan tidak pula menziarahi Baginda di Madinah maka orang itu dikira sombong.

Suatu pagi sewaktu saya membaca al-Quran datang seorang jemaah berbangsa Cina. Saya lihat rupa parasnya dan gaya berpakaiannya. Dia datang kepada semua orang yang ada dalam masjid itu. Pada pukul 8 pagi memang tidak ramai orang. Yang menyejukkan hati saya ialah dia memegang seberkas wang kertas. Setiap orang yang ditemuainya diberikan sekeping wang itu. Saya tidak tahu berapa nilai sebenar wang itu. Saya sambut dengan senyum juga. Saya simpan dalam poket. Selepas 12 tahun saya tidak dapat untuk mempastikan di mana saya simpan wang itu. Iktibar yang saya hendak sampaikan ialah memberi itu jika dengan senang dan ikhlas besar ertinya kepada yang menerima. Bukan nilai intrinsik atau ekstrinsiknya tetapi yang lebih penting ialah psikologinya. Tautan kasih mesra dan silatul rahim yang dibina. Nanti apabila sampai di Makkah ada cerita yang hampir sama.

Sampailah saatnya kini untuk saya dan yang lain meninggalkan Madinah untuk menuju Makkah. Selepas subuh pagi yang ke sembilan di Madinah kami naiki bas menuju Makkah. Bumi Madinah sangat datar. Rata seratanya. Sayup memandang ufuk di sekeliling saya. Dan, dan bangunan yang paling tinggi di Madinah ialah menara Masjid Nabawi. Menaranya menjulang langit. Dari arah mana sekalipun menara itu dapat dilihat.

Dapat tuan bayangkan. Rindu saya kepada Rasulullah selama 8 hari masih belum hilang. Rindu yang terpendam selama lebih 50 tahun. Kekasih Allah paling agung. Seluruh makhluk kasih kepadanya. Pagi itu Baginda saya tinggalkan. Selepas subuh saya ziarah wida’. Saya belum merasa apa-apa. Berjalan keluar dari masjidpun tidak merasa apa-apa. Ziarah itu saya kira lumrah. Datang menyapa, balik berpamit. Adab ziarah. Tetapi oleh kerana yang diziarahi itu Rasulullah maka perasaan untuk selalu dekat itu membuak-buak. Sukar untuk meleraikan diri. Ingin selalu di situ. Menghabis waktu.

Bila bas bergerak, baru saya terasa sesuatu yang menerpa perasaan. Tersentak dengan realiti. Saya tidak akan dapat ke masjid itu lagi. Kena datang dalam program ziarah yang lain. Bagi jemaah haji there is no point of return. Yang meninggalkan Madinah tidak dibenarkan sama sekali untuk kembali. Kecuali datang dalam program umrah. Kesesakan yang melampau menciptakan sistem itu. Semuanya perjalanan sehala sahaja. Jalan ke Madinah sehala. Jalan ke Makkah juga sehala. Barulah saya sedar betapa berharganya waktu-waktu di Madinah itu. Untuk kembali lagi entah tahun bila. Bukannya dekat. Beribu-ribu kilometer. Berjam-jam di kapalterbang. Ongkosnya banyak pula.

Termangu saya jadinya. Kebetulan bas bergerak perlahan melintasi jalan-jalan yang berhampiran masjid. Yang Allah. Ketika itu terlalu deras airmata mengalir. Saya tidak dapat membendungnya lagi. Sya lambai dan lambai masjid itu. Ya Rasulullah. Aku pergi dulu wahai kekasih Allah. Ya habibullah. Ya sofwatullah. Aduhai! Sesaknya dada. Longlai seluruh tubuh. Ya Allah izinkan aku untuk kembali lagi ya Allah. Allah. Sukar benar untuk mengungkapkan kata-kata. Tiada yang setara dengannya. Hakikat yang hakiki masjid Nabawi saya tinggalkan. Rasulullah saya tinggalkan. Abu bakar dan Umar saya tinggalkan. Makam Baqi’ juga ditinggalkan. Tanah damai itu tidak dapat dihuni lama. Jadual hanya beberapa hari yang mengujakan.

Mata saya tidak dapat saya alih untuk memandang yang lain. Mula-mula memandang masjid dan bangunannya. Warna dan bentuknya. Kilauan cahaya pagi yang mencerahinya. Keheningan yang saya kocakkan dalam hati saya. Perasaan saya. Semakin lama semakin kecil. Hati dan perasaan saya semakin sayu yang sangat-sangat. Luluh rasanya. Hiba-sehibanya. Saya tidak tahu jemaah lain. Saya hanya dengan diri saya sendiri. Cepatnya masa berlalu. Lapan hari yang terlalu singkat. Hanya airmata sahaja mengganti rasa. Mengganti sayu. Mengganti hiba yang terlampau amat. Dalam hati Allah sahaja yang tahu.

Pada ketika-ketikanya perjalanan bas laju juga. Tetapi menara masjid itu tidak hilang-hilang dari pandangan. Saya toleh berulang-ulang. Ingin saya redakan perasaan. Tetapi bila terpandang menara, tercurah kembali airmata. Bermainlah saya dengan perasaan. Selamat tinggal wahai kekasih Allah. InsyaAllah aku akan kembali menziarahimu. Menara masjid Nabawi sangat istimewa. Setakat dua atau tiga kilometer masih dapat dilihat. Tidak ada yang menyekat pandangan. Saya pandang sepuas-puasnya. Takut-takut itulah kali pertama dna terakhir saya melihatnya. Selamat tiggal Rasulullah. InsyaAllah nanti aku kembali lagi.