Jalanraya di bandar Matruh. Menghala ke tepi pantai utamanya.
Antara pelancong antarabangsa yang menziarahinya. Sementara berada di Mesir mereka mengambil peluang untuk berada di sini.
Laut terbentang luas di hadapan.
Jalanraya menuju ke pantai dihias indah menggamit pelancong.
Apabila kita berada di sesuatu tempat dalam jangka waktu yang lama kita merasakan bahawa itulah sahaja persekitaran yang paling baik untuk kita. Kita dengan sesuatu yang sudah terlalu biasa. Zon selesa yang sangat dimengerti. Islam banyak mengajar kita supaya banyak mengembara. Melihat dengan mata kasar dan dengan mata hati. Banyak kelainannya yang kita temui. Banyak budaya yang perlu difahami. Banyak tanda dan alamat yang hanya mata dan hati sahaja yang mengetahui. Yang penting kita menemui sesuatu yang baru. Banyak yang mengujakan. Banyak pengajaran. Banyak iktibar. Melihat dengan ilmu adalah lebih baik dari melihat hanya menjamu mata. Tanda-tanda kebesaran dinikmati untuk dimengerti bahawa kita terlalu kerdil untuk tidak mungkin banyak bersyukur. Setiap yang dilihat adalah dengan sendirinya sesuatu ciptaanNya yang hanya dari qudrat dan iradahnya.
Matruh seperti juga bandar-bandar pelancongan dan peranginan tepi pantai. Namun kerana letaknya di tepian Laut Mediterranean, pengunjungnya sangat ramai. Pantainya penuh sesak dengan manusia yang ingin menikmati musim panas sepuas-puasnya. Mandi dan menyelam bukan lagi dikira banyaknya. Pantai utama Matruh dilingkari bandar yang penuh dengan hotel-hotel yang tinggi. Mengadap ke laut luas. Air laut Mediterranean memukau juga. Selain dari kejernihannya, warnanya yang berlapis-lapis dari jernih ke hijau dan ke biru menimbulkan suatu kemanisan berada di sini. Penulis tidak dapat untik bermandi-manda. Sudah puas mandi di laut sewaktu tinggal selama enam tahun di Kuala Terengganu dahulu. Selalu juga ke Port Dickson dan Tanjung Bidara. Laut bukanlah lagi sesuatu yang luarbiasa. Cuma penulis menjejak Cleopetra. Menjejak bangsa yang berbagai di bumi anbia ini. Silih berganti di sepanjang pantai Laut Maditerranian. Yang juga dipanggil Laut Tengah. Atau Laut Putih.
Sewaktu masih di sekolah rendah dahulu penulis terbaca cerita-cerita yang berlatarelakangkan Timur Tengah. Pada awal-awal tahun 1950an dahulu sudah mengetahui nama-nama yang sekarang penulis jejaki.
Laut Merah.
Bukir Tursina.
Laut Maditerranean. Laut Tengah. Laut Putih.
Padang Pasir Sahara. (dari bahasa Arab ﺻﺤﺮاء bermakna padang pasir).
Kali pertama melihat dan menjejak kaki untuk merasa basahan air Laut Mediterranean tentulah sesuatu yang nostalgik berbanding ceritanya yang dibaca kira-kira 60 tahun dahulu. Ya, 60 tahun dahulu. Alhamdulillah, Allah memberi peluang dan ruang untuk sampai di sini. Menjejak sendiri kaki ini. Merenung dengan mata ini. Mendengar dengan telinga ini. Berdenyut dengan hati ini. Disedut udara nyaman yang mengasyikkan berzaman empayar demi empayar. Sesungguhnya kembara membawa manusia bukan tubuh badannya sahaja. Tetapi perasaan, naluri, gerakhati dan psikologinya. Tentu sahaja iklim dan suhu bukan kebiasaan kepada kita. Panasnya bukan kebiasaan kita. Sejuknya juga bukan kebiasaan kita. Namun begitu apabila tahap kesyukuran kita berada pada tempat yang tinggi maka segala-galanya menjadi mudah. Kesemuanya anugerah dari Allah Yang Maha Mengetahui. Mensyukuri nikmat itu sahaja sudah cukup mengujakan. Ramai orang lain yang hanya teringin. Untuk sampai di sini bukan sesuatu yang mudah. Bagi yang sudah sampai tentulah perlu diperbanyakkkan bersyukur.
Di mana-mana ada tarikan pelancong, ramai sungguh yang menjejakkan kakinya. Banyak yang dipandang seperti tidak puas. Yang indah dirakam. Dialbumkan. Disebarkan. Ditatap balik puluhan tahun dari sekarang. Flashback itu memainkan peranannya yang tersendiri. Rakaman minda diperkukuh dengan rakaman kamera. Kamera merakamkan secara pegun. Tanpa perasaan apa-apa. Gembar memberikan imej untuk diceritakan oleh mereka yang mengambilnya. Oleh mereka yang berada di tempat itu. Pada titik masa itu. Cerita manusia itulah yang membarisi perasaannya. Catatan peribadinya. Pelakunya dan mungkin sebagai pelakonnya. Hanya mereka yang pernah berada dalam situasi yang sama dapat mencatatkan perasaannya. Mencatatkan keterujaannya. Cerita Laut Mediterranean bukan cerita kecil. Terlalu banyak pergolakan politik berada di dalamnya.
Bangsa Carthage pernah berada di sini.
Bangsa Greek membina empayarnya.
Bangsa Rom membina kegemilangannya.
Perancis, British, Itali dan Jerman pernah berada di sini.
Perlayaran Columbus dan Magellan mencetuskan rangsangan besar terbukanya Terusan Suez walaupun idea mengenainya pernah diutarakan pada zaman Umar al-Khattab menjadi Khalifah ke-dua dahulu.
Tentu sahaja sangat teruja berada di bumi anbia yang banyak sejarahnya. Sebelum ke Timur Tengah dahulu ada sahabat yang memberi pesanan. Selalu positif di bumi anbia. Paling baik banyak berdoa. Jangan sekali-kali negatif walaupun banyak yang kita lihat tidak menyenangkan hati. Apa-apa yang kurang elok serahkan sahaja kepada Allah Yang lebih Mengetahui. Mengambil sikap positif sebenarnya menjadikan kita lebih santai. Hati lebih sejuk. Perasaan lebih damai. Banyak hal yang di luar kuasa kita untuk mengubahnya. Anggaplah melihat itu suatu nikmat. Mengalaminya suatu nikmat yang lebih besar. Kegusaran kita hanya sementara kita berada dalam situasi itu. Situasi yang berlalu begitu sahaja. Just a passing situation. Tidak pernah berkekalan. Untuk dialami sementara sahaja. Untuk membezakan antara yang bersyukur dengan yang hanya banyak merungut. Kita tidak boleh mendidik orang lain sekelip mata begitu sahaja. Banyak masa yang diperlukan untuk membina budaya dan tamadun.
Pantai ini sebuah teluk yang indah. Membulat dari Laut Mediterranean. Airnya kelihatan berwarna antara biru muda dan biru laut.
Pagi hari sebegini (pukul (9,00 pagi) belum lagi ramai pengunjungnya. Banyak kawasan lapang.
Kerusi belum disewa. Ruang belum berpunya. Bagi yang ingin berenang puas tanpa banyak gangguan pelancong lain.
Peniaga juga belum membuka kedainya. Di hujung sana pelancong mungkin masih ramai yang lena di hotel masing-masing.
Jalanraya di tepi pantai ini masih lengang.
Penulis selalu terpesona dengan menara masjid yang tinggi dan berkembar. Di mana sekalipun di Mesir ini, masjid tetap ada. Di Matruh pula masjid-masjid besar berada di kawasan pantai. Berhibur tetapi tidak melupakan ibadat.
Sedikit demi sedikit pengunjung pantai mula datang. Tidak ada bezanya bahawa ini adalah di Mesir. Di tepi Laut Mediterranean.
Tidak lama lagi mereka akan memenuhi segala ceruk ruang yang ada di pantai ini, Di mana sekalipun pantai kelihatan serupa.
Lampu jalan menghiasi pemandang sepanjang pantai. Jik apandai menghias dan jika pandai merencanakan bajet keindahan dapat dicipta, Seni dapat diperaga.
Sebuah arca di tengah bandar Matruh.