Tuesday, April 27, 2021

Huru Hara Apakah Ini?

 

 

Suatu Subuh imam membaca surah ‘Abasa. Apabila tiba pada ayat ayat 34 hingga ayat 37 Allah menggambarkan huru hara hari kiamat. Hari kehancuran dan kemusnahan pada hakikatnya.

“Pada hari itu manusia lari daripada saudaranya. Dan daripada ibu dan bapanya. Dan daripada isteri/suami dan anak-anaknya. Setiap orang daripada mereka pada hari itu mempunyai urusan yang tidak berhenti.”

Itu gambaran menjelang kiamat. Manusia memikirkan urusan dirinya nafsi-nafsi. Masing-masing memikirkan nasib diri kerana pasti akan mati. Setiap yang hidup akan pasti mati. Pasti akan mengadap Allah. Pasti diadili dengan seadil-adilnya. Pasti akan menerima pembalasan sesuai dengan amalan yang dilakukannya semasa hidup. 

Dalam keadaan sekarang ini kita sedang menghadapi raptai huru hara itu. Covid 19 memisahkan ibu dan ayah. Ada yang terpisah dengan isteri dan suami. Terpisah dengan anak cucu. Terpisah dengan adik beradik. Terpisah dengan saudara mara. Terpisah dengan sahabat handai. Sebelum berlakunya pandemic Covid 19, tiada siapa terfikir ketentuan Allah akan datangnya. Berapa ramai antara kita yang menyibukkan diri dengan dunia masing-masing. Ramai yang sibuk hingga lupa menjengah ibu dan bapa. Menziarahi adik beradik dan saudara mara.

Sekarang baru terasa betapa jarak benar-benar terpisah jauh. Masa tersangat mahal herganya. Peluang tidak datang berkali-kali. Kesempatan perlu ditunggu dengan hiba hati. Kita terlalu ambil mudah dengan keadaan. Qada’ dan Qadar’ Allah terlalu mudah kita fikirkan. Kita tenggelam dalam dunia kita sendiri. Dunia yang kita bina sendiri. Terasing jauh. Terasing lama. Melengahkan peluang. Tidak merancang mendekatkan diri kepada ibu dan bapa. Tidak rapat dengan keluarga.

Sekarang kita merasa banyak kehilangan. Sukar bertemu. Merentas negeri tidak diizinkan. Yang kita rasa kezaliman pemerintah. Kesemuanya kita salahkan manusia di sekeliling kita. Mari kita renung dalam-dalam.  Bukankah ini ketentuan Allah? Peringatan demi peringatan telah diberikan. Panduan demi panduan telah digariskan. Nasihat berulang kali Allah berikan dalam al-Quran. Didikan Allah dan RasulNya terlalulah banyak. Kita ambil mudah dan pada kebanyakan masa kita abaikan.

Kini sampai masanya Allah menurunkan ujian huru-hara demi huru-hara.  Jika sakit tiada lagi peluang diziarahi. Tiada peluang menziarahi. Yang meninggal di hospital tidak dapat dilihat lagi wajah dan jasadnya. Tidak dapat menghampiri kuburnya. Tidak dapat memandikan. Tidak dapat mengkapankan. Tidak dapat mensolatkan. Tidak dapat menguburkannya. Tidak cucupkah ini menjadi sesuatu yang menginsafkan?

 

Selama ini kerap mana kita menatap wajah ibu dan bapa.

Berapa kerapa bercerita dan bersembang.

Berapa kerapa makan sedulang atau semeja.

Berapa lama berhimpun bersama.

Apabila pandemik ini berlaku kesemuanya tidak mudah lagi. Bukan hal keluarga sahaja yang menghadapi ujian. Ramai yang hilang pekerjaan. Yang hilang pendapatan. Yang jadi gelandangan. Yang jadi muflis. Yang hilang perniagaan. Yang hilang rumah, kenderaan dan tanah lading. Hilang peluang menyuap makanan enak di meja dan di restoran. Hilang nikmat melancong yang banyak tersekat kerana sekatan pergerakan atau sekatan ekonomi keluarga atau sekatan kerana rasa takutkan pandemik ini. Hanya dengan makhluk  yang amat seni, Allah uji kita semua dengan amat seru.

Bila kali terakhir kira ziarahi  ibu dan bapa kita. Bila kali terakhir kita berkumpul dengan adik-beradik. Dengan anak-cucu. Dengan sahabat-handai. Tentu terasa kehilangan semua itu. Masing-masing terpisah jauh apabila duduk berlainan negeri.  Malah yang berlainan daerah mungkin juga tidak dapat bertemu. Mungkin hanya sekejap sahaja. Tidak boleh berlama-lama. Itu pun menjaga SOP yang tidak boleh dipandang sepi. Dipatuhi sebagai cegahan dan kawalan. Yang difikirkan lebih baik dari merawat yang tentunya meyukarkan.

Mari kita menginsafi diri bahawa ujian Allah pasti datang pada bila-bila masa.

Ujian keimanan kita ini sangat berat. Kita perlu semak diri kita setiap masa.

Banyak berdoa untuk mendapat keampunan dan keringan daripada Allah.

Banyak berdoa supaya ujian Allah ini tidak lebih berat lagi.

Tambahkan amal kebajikan dan tinggalkan maksiat dalam bentuk apa sekalipun.

Allahumma aamin. Ya Allah kami serahkan diri kami, hidup kami dan mati kami kepadaMu ya Allah.