Menjelang Shawal begini ada rindu zaman berzaman. Datang menyapa rasa. Datang merisik zaman entah berantah yang telah lama rasanya berlalu. Teringat waktu petang memasang pelita yang berbaris di halaman rumah. Sendirian mendamaikan rasa. Tiada siapa untuk berkongsi gembira. Untuk berkongsi ria. Untuk berkongsi kebersamaan. Sendirian yang mencari damai bersama menjelangnya Shawal. Pelita dari tin susu, yang bersumbu satu, yang nyalanya meliang-liuk ditiup angin, yang minyaknya kerap bercampur air hujan. Sumbu basah itu dinyala juga pada petang esoknya. Sendirian lagi. Dan sendirian lagi. Sumbu tali guni berpintal itu juga dicucuh api. Memang payah nyalanya bila minyak tanah bercampur air. Namun minyaknya tetap juga menyalakan api.
Kami banyak bersendiri. Arwah datuk tidak pernah bertukar rutinnya. Jadual hidupnya tidak bertukar sejak saya mengenal bicara. Sejak saya kenal tua usianya. Hidupnya lebih banyak di masjid. Waktu demi waktu dia bersemadi mengabdi masa tuanya kepada Allah. Menghabiskan usia emasnya kerana Rabnya. Sebelum Subuh is sudah di masjid. Pulangnya selepas waktu duha. Sejam sebelum Zuhur ia sudah di masjid lagi. Pulang kira-kira pukul 2.00 petang. Kemudian sebelum 'Asar ia ke masjid lagi. Pulangnya mungkin selepas Isya'. Very predictable. Semua orang kampung menghormatinya. Sedikit gerun dengannya.
Arwah ibu sibuk dengan segala persiapan hari raya yang tidak seberapa. Seadanya. Adalah kuih muih tradisi. Kuih bangkit tidak dilupa. Paling kurang dua tin besar. Tahan hingga bulan Zulhijjah. Tidak berkulat. Tidak rosak. Rasanya tetap sama dari mula hingga akhir. Pakaian seadanya sahaja. Asalkan berganti baru. Kualiti dan jenama tidak pernah menjadi pertimbangan. Belum ada kegilaan itu. Di bandar mungkin trendnya sudah ada. Tidak di kampung.
Adik saya perempuan. Ia sibu dengan hal perempuan. Lebih banyak menolong ibu saya di dapur. Masa makan kami mungkin bercerita. Saya yang bersekolah banyak masa bercerita mengenai apa yang saya baca. Ibu dan adik banyak mendengar. Tidak banyak aktiviti di kampung untuk adik perempuan saya.
Oleh itu saya banyak masa bersndirian. Dua baris pelita yang berjarak menjadi tugas saya setiap menjelang raya. Yang jaraknya tidak pernah bersukat. Yang barisnya tidak pernah sekata. Diukur dengan mata dan rasa hati. Manalah sains dan teknologi kerana istilahnya belum menjamah telinga. Zaman itu yang jauh di pedalaman. Zaman yang hidup secukup ada, secukup rasa. Keindahan hanya pada hati, suasana dan persekitaran yang tidak banyak menuntut berlebihan. Cukuplah makan dan minum. Sandang dan pakai. Lena tidur dalam sejuk yang dibuai indah. Nyenyak tanpa banyak rasa gundah. Bersyukur dengan nikmat yang ada.
Itulah latihan berdikari saya. Hidup banyak menyendiri. Suatu kebebasan yang sukar dicari ganti. Menyatu dengan diri. Lepas menyendiri. Pelita itu sangat nostalgik. Saya cari sendiri tin-tin susu. Saya cari sendiri pokok atau buluh yang perlu dicacak berbaris. Tin-tin itu digantung pada tiang-tiang yang dicacak berbaris itu. Perit jari mencacak tiang pelita. Perit tangan menebangnya. Perit tangan memintal sumbu. Perit lengan kerana menggalas batang-batang tiang itu. Dibuat juga kerana ap lagi yang perlu dibuat. Teringin juga seperti rumah orang lain. Supaya tidak berbeza. Lagipun pelita itu penyuluh jalan. Menerang jalan dan laman rumah waktu malam. Lazimnya ramai yang bertandang menjelang raya. Bagi saya pelita itu menjadi renungan di kala malam. Cahaya samar untuk masa hadapan saya yang tidak dapat diramal.
Bagi orang Jawa mereka memunjung kepada yang tua. (Punjungan adalah makanan yang dihantar kepada yang lebih tua seperti ibu bapa, datuk nenak, abang kaka, ibu saudara, guru, ketua kampung, imam atau siapa sahaja yang berkenan di hati). Hingga hari ini kebisaan ini masih ada. Punjung memunjung memuncak menjelang malam raya. Yang dipunjung akan membalas. Letih menyediakan makanan tetapi itulah keseronokan hidup bersaudara dan bermasyarakat. Silaturrahim. Mengeratkan perhubungan. Setahun hanya sekali menjelangnya. Dinanti penuh debar semalam 364 hari. Tahun berganti tahun begitulah tertibnya.
Kenangan lama begitu memeritkan mata. Menggenang air mata. Rindu. Rindu yang amat sangat zaman itu. Rindu yang menggamit cebisan-cebisan lama yang terpencar. Yang berselang seli dengan hiba. Gundah gelana kerana ceritanya banyak bersalut duka. Cerita-cerita lama yang meluka. Keterbatasan daya untuk membahagiakan diri. Mencari-cari di celah-celah kesempatan yang mana ada. Ada kalanya tidak baik mengingat yang lama. Banyak yang tidak seberapa. Tetapi jika tidak diingat yang lama itu, masakan ada yang baru. Masakan dapat dibanding dan dibeza. Masakan dapat dinilai tinggi dan rendahnya budi.
Malamnya bertarawaih di masjid. Ramai ketika itu. Rasa dijulang segala keindahan bergema doa imam yang disambut amin. Seluruh jemaah bersama sepenuh jiwa. Tidak ada yang kalut berbelah bicara. Tidak pernah kedengaran perbalahan. Tidak ada polimik. Tidak ada perdebatan. Tidak ada terdetik untuk berbeza. Tarawih itu hanya 20 rakaat yang diketahui. Tiada yang tamat awal. Tiada yang pulang awal. Tiada yang bising menegak hujjah. Jadinya semua jemaah penuh dengan keikhlasan. Tiada hasrat bercabang-cabang. Orang kampung penuh kecintaannya kepada agama. Kepada Allah dan RasulNya. Ibadat tanpa syarat. Tanpa ungkit-ungkit. Dilaksana dengan penuh tanggungjawab.Bila tamat setiap Fatihah, bergema masjid sekuat suara. Amiiiiiiin yang panjang sempena mad 'arid lisukun. Hukum tajwid bila huruf mad bersukun. Datang hukum baru ('arid) yang memanjangkan bacaan. Doa imam sentiasa dinanti-nanti. Selawat dilaung sekuat hati. kasihnya pada Rasulullah tidak pernah dibelahbagi. Doa di ahkir tarawih cukup indah didengar. Sebelumnya zikir yang syahdu memecah suara. Doanya pula bergema. Disambut amin yang memanjang. Sambut menyambut menyentuh rasa. Mencari indahnya ibadat. Hanya unuk Allah.
Selepas tarawih ada pula juadah menjamah selera. Entah buah, entah kuih, entah pengat dan air minum yang manis-manis buah. Orang dulu, orang Jawa di kampung jarang benar air minumnya manis semanis gula atau madu. Kebanyakannya manis-manis buah. Jarang yang kena kencing manis. Gula hanya satu keperluan bukan kebiasaan atau kemewahan. Secukup rasa untuk membujuk lidah dan mulut sahaja. Ramai jemaah tidak terus pulang. Yang dewasa bertadarus. Mengulang sejarah nuzulnya al-Quran. Mengulang amalan Rasulullah dan malaikat Jibril. Amalan pada sahabat, para solihin dan mereka yang bergelar ulama'.
Yang muda-muda bermain tabuh memecah sunyi malam. Berlawan-lawan dengan kampung sebelah menyebelah. Diketuk kentung (batang kayu yang dilubangkan dan digantung untuk diketuk bagi menandakan waktu solat. Diketuk juga jika ada kematian. Diketuk juga jika ada kecemasan). Berlekang lekung nyaring menembusi malam yang hening, sunyi, sejuk dan damai. Sedap benar di telinga saya waktu itu. Bunyi yang dinanti. Itulah Ramadhan. Malam-malam yang menghimpunkan penduduk kampung di masjid. Berjemaah beramai-ramai. Silaturrahim yang kental. Akrab dan kasih mengasihi. Kemungkinannya satu kampung adalah bersaudara belaka. Bersemenda belaka. Ikut manapun saudara sepusing juga.
Pada siangnya seluruh kampung berbau harum. Sepanjang perjalanan dari baruh ke hujung kampung. Rentas dari kampung ke kampung. Bau harum itu ada di mana-mana. Itulah aroma kuih muih yang sedang dibakar. Diriuhkan oleh anak-anak kecil yang mengimpikan kuih raya. Yang ada hanya sekali dalam setahun. Yang enaknya tidak dapat dicerita. Yang dilihat dengan mata dan hidung kempas kempis. Yang berpuasa terkulat-kulat mengira waktu. Biskut dan kuih bangkit. Baulu aneka rupa. Bagi arwah ibu saya, baulu gulungnya amat istimewa. Jemnya dibuat dari kurma yang diwarna. Manisnya bercampur masin dan sedikit masam. Enaknya hingga berbulan-bulan. Tersangkut di bakul yang hampir dengan tungku tempat memasak. Di salai bila waktu memasak.
Bukan salai itu yang penting. Tetapi pertamanya mengelak kulat. Keduanya mengelak semut. Ketiganya menambah garing. Keempat sebagai pengawet. Semakin Shawal menjauh semakin sedap kuih-kuih itu dimakan. Selepas menoreh, pada waktu petang, bila tetamu datang paling tiada kuih bangkit yang dihidang jamu. Bila sampai di mulut luluh cair laju disedut ke dalam perut. Di tenggorok seperti tidak terasa. Entahlah sedapnya ketika itu sukar dicerita. lidah anak kampung yang belum cemar dengan KFC atau McDonald atau Kenny Rogers atau A & W. Belum cemar dengan Pizza Hut atau apa sahaja makanan segera dari Barat. Dari Amerika sebenarnya. Dari Yahudi yang selalu kita canangkan sebagai kaum dan bangsa yang kita cerca. Makanannya kita makan seperti orang kebulur. Terpikat hingga menggigit jari. Entahlah. Banyak paradoxnya. Fatamorgana hidup dahulu.
Hari raya disambut juga. Gembira dengan seadanya. Setiap rumah di kampung dikunjungi merata. Mereka bukan orang lain. Banyak keluarga dan saudara mara saya. Pertalian darah atau semenda. Saya pula sejak kecil banyak mendekati orang tua. Saya dapati banyak kebijaksanaan - wisdom. Memangpun saya banyak belajar menjadi dewasa dari mereka. Lagipun saya tidak ramai rakan sebaya. Dengan cara itu saya kenal semua orang kampung saya. Saya tahu siapa yang paling tua. Yang paling berada. Yang paling banyak kuih muihnya.
Saya beraya berjalan kaki dari masjid ke seluruh kampung. Sehari suntuk saya ziarah dari rumah ke rumah. Sebagai cucu Haji Rais (nama arwah datuk saya) saya dilayan baik. Semua orang menumpahkan hormatnya kepada saya. Seolah-olah saya mewakili datuk saya. Tidak pernah saya mencari duit raya. Ada juga seorang dua yang memberi duit. Bukan kebiasaan tetapi suatu exception. Lazimnya saya hanya minum dan makan kuih sepotong dua. Ada juga yang menawarkan ketupat dan sambal goreng. Ayam masak kicap atau masak merah. Serunding kelapa dan lodeh (Gulai lemak orang Jawa. Mengandungi kacang panjang, tempe, terung, suun dan mungkin tambahan-tambahan lain yang sesuai). Perut terasa seperti pecah. Membuncit diisi dengan beraneka makanan dan minuman.
Kanak-kanak tidak terasa letih. Berjalan sepanjang hari tidak pernah dipersoal. Tidak pernah kaki ini terhenti langkahnya. Hari raya tetap untuk bergembira. Untuk diria. Untuk melonjakkan diri ke tahap tertinggi dalam mencari bahagia. Itulah hari raya zaman saya. Zaman yang sudah lama berlalu. Hanya diingat untuk mengulang. Untuk kembali ke zaman itu. Yang sudah lama berlalu. Rindu dalam kenangan. Yang lama juga mendatang. Menjelma. Selamat berhari raya. Taqabbala Allahu minna wa minka. Taqabbal ya karim.