Waktu belajar saya di kampus dan di rumah lebih teratur. Walaupun rumah setinggan itu tidak berapa berupa, di situlah saya berempat beranak menjalani hidup seadanya. Orang kampung tetap hormat kerana saya cikgu. Mungkin ada wibawa yang saya bawa. Jiran tetangga tidak kurang sapanya. Hidup muafakat. Banyak bersama, sama ada di surau, di rumah orang kenduri kendara atau semasa berhari raya. Ramai yang masih ingat kebersamaan itu. Hingga sekarang.
Sebenatrnya hidup saya saban hari ke kampus. Tidak mengira sama ada hari kerja, hujung minggu atau semasa cuti penggal. Maaf, saya dulu di UM mengikut penggal. Setahun tiga penggal. Di hujung penggal ketiga barulah diadakan peperiksaan akhir. Periksa penggal tidak ada. Tugasan tidak ada. Projek tidak ada. Kuliah dan tutorial sahaja. Kedatanganpun tidak diambil kira. Mendaftar dan periksa. Itu sahaja yang penting.
Menyedari kudrat dan stamina yang kurang, saya menggandakan usaha untuk belajar. Setiap habis kuliah, jika ada masa terluang, saya ke perpustakaan. Dua tempat yang dituju. Pinjam buku Red Spot dan mencari rujukan lain di rak terbuka. Tambahkan kepada nota kuliah yang dicatat. Tampal mana-mana maklumat yang tertinggal. Mungkin menemui maklumat baru yang tidak disebut dalam bilik kuliah. Dari situlah nanti dibangunkan nota lengkap . Nota yang panjang dan memberikan perincian-perincian yang relevan. Yang memberikan makna yang lebih difahami. Yang boleh diingat bila diperlukan. Yang nanti lebih yakin untuk menghujjah soalan peperiksaan.
Ada masanya saya membuat perbincangan dengan rakan yang lain sehabis sahaja kuliah. Di situ saya mengharmonikan nota yang dicatat. Oleh kerana tiada modul, tiada nota bercetak dan sebagainya saya mencatat apa sahaja yang keluar dari mulut pensyarah dan apa sahaja yang ditulis di papan tulis. Sekarang apabila asya menjadi pensyarah, saya dapati pelajar banyak menunggu apa yang saya boleh beri mereka. Mereka tidak berupaya mencatat semua yang diungkapkan walaupun ungkapan pensyarah itu sebenarnya lebih penting dari nota yag sudah tersedia. Penerangan yang diberikan mengandungi perincian-perincian dan contoh-contoh yang melangkaui nota yang diberi atau disediakan. Satu antara ciri pelajar ialah mencari, meneroka, menyelidik dan menyingkap lembaran-lembaran ilmu. Merakamkan semua yang keluar dari mulut pensyarah adalah satu latihan ilmiah. Hatta lawak pensyarah kadang-kadang mengandungi fakta atau data penting dalam sesuatu topik atau subjek.
Hujung minggu yang didambakan. Saya bukan jenis yang suka merambu. Hingga sekarangpun saya bukan jenis yang suka keluar rumah. Bukan suka berpeleseran. Bukan mencari kawan di luar rumah. Damai saya di rumah. Banyak kerja yang boleh dibuat. Selain dari menonton TV, saya boleh membaca, menyiram pokok bunga, menyapu rumah dan menyapu laman, memasak, membasuh, vakum rumah, mengosok baju. Sekali sekala kena picit juga kaki isteri yang lengoh berjalan jauh. Berkeliling rumah dan luar rumah selain dari tugasnya di luar rumah. Siapa boleh buat itu semua jika bukan suami. Anak-anak jauh belaka. Cucu sesekali sahaja. Berganti-gantilah. I scratch your back, you scratch my back. Bila sudah tinggal berdua siapa lagi yang hendak diharap. Jika keharmonian itu tidak dibina, terjungkang jungkit jadinya rumahtangga. Semakin usia meningkat, lebih kuat pergantungan antara sata sama lain. Waktu-waktu terakhir sepasang insan yang berkasih sepanjang jalan. Mudah-mudahan kebersamaan yang mawaddah.
Kerana itu setelah menyelesaikan semua urusan rumah, isteri dan anak, maka saya ke kampus dengan Vespa saya. Hujung minggu, kampus biasanya lengang kerana masing-masing melepaskan penat lelah seminggu yang telah berlalu. Ramai yang santai menunggu hari Isnin berikutnya. Ketika itulah saya di kampus. Dari pagi hingga petang. Penat duduk saya berdiri, penat berdiri saya berjalan. Bila letih saya lelapkan mata di meja beralaskan lengan. Dua hari itu memang biasanya saya habiskan di kampus. Bilik-bilik kuliah atau tutorial tidak dikunci. Mana-mana pelajar yang ingin menggunakannya, bebas berbuat demikian. Tiada halangan. Maka membacalah saya. Saya mengingat. Saya menulis. Jika ada kapur saya menulis di papan tulis. Tulis dan padam. Itulah kerja saya. Jika tidak, saya gunakan kertas. Yang menjadi tumpuan tentulah segala formula yang diberi dan cara untuk membentuknya (derive). Berjela-jela panjang coretan berulang-ulang yang dibuat demi untuk diingat, dihafal dan untuk dipergunakan dalam menjawab soalan-soalan peperiksaan.
Lazimnya saya berada dalam bilik itu terus menerus. Keluar untuk solat sahaja. Atau ke bilik air. Makan dan minum? Tidak menjadi masalah kerana saya membawa bekal dari rumah. Di sinilah peranan isteri saya. Sumbangan dan dedikasinya kepada suami. Pengorbanannya yang tidak habis-habis. Mengikut ke mana sahaja saya berada. Ke bukit dan lurah. Denai dan simpang. isteri saya memahami masalah. Kami sama-sama maklum kekurangan kami. Wang ringgit tidak banyak untuk dikongsi. Kasih sayang sahaja yang ada.
Bekal saya selalunya nasi goreng. Saya teringat kembali sewaktu kecil dahulu. Saya bawa nasi sejuk berlaukkan sambal atau ikan kering masin. Air tidak pernah dibawa. Rupanya kitaran itu berukang semula. Bentuk, tempat dan masanya sahaja yang berbeza. Cuma upih dan daun pisang sudah tidak ada lagi. Zaman berubah. Saya bawa nasi dengan bekas plastik. Air minum tentulah bukan lagi air hujan. Saya bawa bekas air teh-O atau kopi-O yang diminum berjimat supaya tahan santak ke petang. Maka belajarlah saya di situ. Di bilik itu. Menulislah saya. Mencatatlah saya. Duduk, berdiri dan berjalan melonggar otot dan urat. Terlelap bila penat. Demi kelayakan akademik. Demi sekeping ijazah. Mengejar sekeping kertas yang menjadi passport untuk melonjakkan diri pada waktu-waktu hadapan.
Begitulah kerja saya. Aktiviti saya. Setiap hari berusaha memahami kulih harian. Tutorial harian. Hujung minggu adalah untuk mengulangkaji pelajaran seminggu. Selesaikan semuanya supaya minggu hadapannya bermula dengan sesuatu yang baru. Yang sudah difahami, perlu diulang. Perlu diingat. Cuti penggal pula adalah masa untuk menulangkaji pelajaran sepenggal yang sudah berlalu. Begitulah rutinnya setiap masa. Jika tidak begitu usahanya, barangkali sukar juga mencapai kejayaan dalam peperiksaan kecuali dengan izin Allah jua.
Pada waktu malam saya belajar juga. Sewaktu isteri dan anak-anak sudah tidur saya masih berjaga. Ada masanya duduk. Ada masanya tiarap. Macam dulu-dulu di kampung. Sebelum ada meja. Di rumah setinggan selama tiga tahun saya tidak ada meja. Walaupun suasana malam kondusif untuk belajar, masalah besar saya ialah lampu. Orang sekarang sukar memahami kesukaran orang dahulu. Masa-masa yang dilalui penuh ranjau dan rintang. Yang menegak dan yang melintang. Yang roboh dan tumbang. Lampu untuk penerang. Tidak ada pilihan kecuali lampu pam minyak tanah. Untuk menghidupkannya perlu dibakar supaya pamnya panas. Untuk menjadikan minyak tanah sebagai gas. Pamlah sekuat hati untuk memberi tekanan agar gas itu naik membakarmentol sutera yang terpasang. Teranglah untuk beberapa ketika. Nanti lampu itu akan suram perlahan-lahan. Perlu dipam semula. Begitulah berulang-ulang. Entah berapa kali perlu diulang sebelum saya tidur sekitar pukul 1.00 pagi.
Siang hari di rumah setinggan memanglah panas. Kur semangat. Memang panas. Atapnya zing. Rendah pula. Namun malamnya sangat damai. Sejuk, sunyi dan begitu kondusif. Hanya kedengaran cengkrik. Bunyi katak sahut menyahut jika ada air bertakung kerana hari hujan. Elektrik tidak ada. Jadinya TV atau radio jarang dimiliki. Bukan suatu keperluan. Di luar senarai penting. Tiada keutamaannya.
Dalam cuti panjang, hampir empat bulan lamanya, saya mencari kerja untuk menambah pendapatan. Saya pernah bekerja di Arkib Negara di Petaling Jaya dahulu. Elaunnya RM150.00 sebulan. Kerjanya ringan, Menaip senarai dokumen yang bertimbun-timbun banyaknya. Ramai juga rakan yang bekerja di situ.
Saya masih mengulangi Bandar Sunway dan Sungai Way. Ada rakan yang masih kekal rapat. Selalu diingat dan dikunjungi. Pengajaran di rumah setinggan. Walaupun mungkin ada yang mengambil kesempatan, namun rata-rata penghuni rumah dan kawasan setinggan adalah orang-orang yang perlukan rumah tetapi tidak mampu membelinya dengan pendapatan yang ada. Mereka hidup sedanya demi untuk membesarkan anak-anak.
Kehidupan ini berputar mengikut rentak, qada' dan qadarnya. Kita hanya pelakon-pelakon. Watak kita penting atau tidak bukan perkiraannya. Setiap orang melakonkan skrip yang disediakan untuknya. Hanya mencari keredhaan Allah jua.