Baru terima berita
bahawa episod tahun 2011 akan berulang lagi. Rakyat Malaysia mungkin akan
dikeluarkan dari Mesir jika keadaan memerlukan. Sekarang sudah darurat. Peringkat
seterusnya tidak diketahui. Kami hanya membaca berita dari luar. Rasanya orang
di tanahair lebih mengetahui. Cuma biasanya berita yang sampai yang mungkin double-sided.
Atau sided.
Berita al-Jazeera mungkin lebih dipercayai. CNN, BBC atau yang lain kena lihat
arus dan arahnya. Sekarang internet sahaja yang dapat kami rujuk. Atau berita
dari anak-anak. Dunia tidaklah terputus langsung. Kemungkinan hari-hari
berikutnya hanya Allah Yang Maha mengetahui. Kami hanya berkeupayaan berdoa dan
mengharap yang terbaik. Ketika ini masih suasana hari raya. Masih ada yang
bercuti. Keadaan sekarang menjadikan cuti dan hari raya bercampur baur
natijahnya. Yang mana satu sebenarnya. Keutamaannya sudah tidak diketahui lagi.
Bagi rakyat asing seperti saya degup jantung semakin kencang. Hasrat hati dan
hasrat kerajaan mungkin berbeza.
Malam ini nampaknya
ramai pelajar Malaysia yang sudah berhimpun di rumah-rumah negeri masing-masing
untuk menunggu arahan kerajaan selanjutnya. Memang darurat jadinya. Degup jantung
saya makin meningkat. Banyak yang perlu difikirkan.
1
Keselamatan
diri dan isteri.
2
Status
pelajaran di sini.
3
Jalan
pulang yang belum diketahui.
Saya baru sebulan
di sini. Baru tamat mustawa thani. Kelas kedua. Cadangnya hendak
melanjutkan pelajaran hingga ke mustawa thaniya asyara. Kelas keduabelas. Hingga
lebih setahun. Dalam keadaan darurat seperti sekarang tidak ada ketentuan yang
pasti. Walau bagaimanapun kami perlu bersiap sedia untuk apa sahaja
kemungkinan. Darurat memerlukan persiapan mental, fizikal dan psikologi. Tidak ada
kecuali melainkan mengikut arus yang sewajarnya. Arahan adalah sesuatu yang
pasti dipatuhi. Negara melindungi semua rakyatnya. Rakyat pula tertakluk kepada
perlindungan itu. Serba salah jadinya. Hajat hati hendak belajar. Bila balik
berbagai pula kemungkinan lain akan berlaku. Apapun didoakan segalanya berjalan
dengan sebaiknya. Diri saya milik Allah. Keamanan milik Allah. Malapetaka ini ada
hikmah di sebaliknya. Atau yang didatangkan untuk menguji diri kita. Sejauh mana
iman kita. Setinggi mana kecintaan kita terhadap Allah yang mencipta kita.
Beberapa orang saya
hubungi. Masing-masing diminta bersedia. Menanti arahan yang tidak berapa
ditunggu. Jika dibenarkan rasanya mahu sahaja berdiam diri di sini. Menanti segalanya
reda sendiri. Surut dari ganasnya. Kendur dari kecuhnya. Menurun darjah panasnya.
Apabila keadaan kembali sejuk bolehlah dismbung semula apa-apa yang dihajatkan.
Dalam keadaan sekarang ini yang boleh dilakukan ialah tunggu dan lihat. Banyak mendengar.
Banyak menghidu sebarang kemungkinan. Hati-hati adalah kunci kepada keselamatan
diri. Tidak boleh lepas laku. Tidak boleh lepas cakap. Tidak boleh membebaskan
diri seperti biasa. Banyak batas-batas yang perlu dijaga. Yang perlu dikawal. Yang
perlu diambil hal. Sesuatu yang tidak dapat dijangka. Kesemuanya situasi yang
tidak menentu. Volatile.
Sesuatu yang sudah bermula panas payah padamnya. Di tanahair tentu kesemuanya
cemas. Melihat media tentu sekali mendebarkan. Seperti keseluruhan negara Mesir
ini dilanda musibah besar. Walaupun kejadian berlaku di tempat yang selektif
persepsi negatif tetap bersarang di hati anak-anak, saudara mara, sahabat
handai dan kenalan yang mengetahui.
Pagi semalam isteri
saya sepatutnya menduduki peperiksaannya. Dalam perjalanan pergi (kira-kira 15
minit perjalanan dari rumah) dilihatnya di kejauhan asap berkepul-kepul seperti
bangunan terbakar. Keadaan berasap dan berkabus. Matanya terasa pedih-pedih
sedikit. Sesampainya di kelasnya dia
diberitahu bahawa markas (institut) akan ditutup dan kelas dibatalkan hingga
diberitahu kelak. Dikatakan polis sedang melakukan gempuran. Dalam perjalanan
pulang menggigil lutut isteri saya. Ayat kursi tidak terlepas dari bibirnya. Takutnya
bukan kepalang. Saya yang di rumah tidak tahu apa-apa. Apabila dia sampai di
rumah kami buka TV. Aduhai itulah petaka yang kami lihat. Segala imej yang
grafik seperti tidak tergamak untuk ditonton mata. Dada sebak melanda. Hati sejuk
memikirkan angkara manusia. Sukar mempercayai ketergamakan manusia. Kejam yang
tiada batasnya. Manusia yang sadis melakukannya di tempat sunyi. Terlindung dari
mata ramai. Jika dalam keadaan terbuka membakar, menembak dan menggilis manusia
lain yang tidak sehaluan tentulah melampaui tahap sadis.
Setakat ini orang
melihat tangan Obama dan tangan Israel berada di atas orang-orang Mesir. Hari ini
Obama menafikan peranananya dalam serangan semalam. Dia melepaskan diri dari
bertanggungjawab. Masa hadapan Mesir bukan ditentukan oleh USA atau Eropah,
katanya. Ia ditentukan oleh orang Mesir sendiri. Banyak makna yang tersirat
tetapi saya berhenti setakat itu. Boleh dibincangkan dalam situasi lain yang
lebih santai. Yang menjadi masalah selalunya ialah warga asing. Apabila negara yang dipijak buminya bergolak,
warga asing perlu dikeluarkan secepat mungkin. Sebelum segalanya merebak. Sebelum
pintu keluar ditutup. Keselamatan warganegara dilindungi oleh negara. Warganegara
menjadi tanggungjawab negara. Sama ada perginya atas urusan kerajaan atau
urusan peribadi sudah tidak ada batas pemisah lagi. Yang penting selamat
dahulu. Ceritanya kemudian. Hari-hari yang menyusul ini sangat kritikal. Hujung
minggu pula. Tanpa rakan dan kenalan dunia terputus di sini. InsyaAllah
segalanya dipermudahkan Allah.
Kami tinggal menyewa
rumah di kejiranan yang agak aman. Hayyu Sabiq (Seven District) di Madinah Nasr
(Nasr City) antara kawasan yang lebih tersusun. Markaz Nil tempat saya belajar
hanya lima minit berjalan kaki. Kemudahan banyak di sini. Ramai pelajar Malaysia
berada di persekitaran Hayyu Sabiq ini. Mudah berkelompok sesama sendiri. Bila kaedaan
memerlukan boleh bantu membantu antara satu sama lain. Paling ramai rasanya pelajar
wanita. Ditambah pula dengan pelajar dari Thailand, Indonesia dan banyak negara
lain. Hayyu Sabiq menjadi antarabangsa dalam kelasnya yang tersendiri. Yang terasa
asing ialah sukarnya mendapatkan makanan Asia kegemaran rakyat Malaysia. Hingga
sekarang saya belum berjaya mendapatkan suun. Teringin lodeh suun tidak ada. Ingat
sambal goreng jawa suun juga tidak ada. Tempe juga belum jumpa. Tauhu lagilah
sukar didapati. Mungkin ada. Belum ditemui sahaja. Cili apa dan serai banyak. Ada
pelajar Malaysia yang menanamnya secara komersil di sini. Alhamdulillah.
Rasanya belum panas
tanah anbia ini dipijak. Belum hangat udara panasnya disedut. Belum luas datarnya
diteroka. Malamnya belum dipandang indah. Siangnya belum dilihat terang. Orangnya juga belum banyak disapa
mesra. Situasi mungkin memisahkan diri. Menjauh sebentar untuk datang kembali
kemudian. Untuk menjejak laluan yang sudah diteroka. Dilalui jalan yang sudah
nampak terangnya. Yang sudah diketahui hujungnya. Sudah disurat senang dan
susahnya. Masa sahaja yang diperlukan. Yang disusunatur supaya semuanya dicapai
mengikut peringkat. Apabila degup jantung semakin kencang mudah-mudahan malam
ini tidur kami lena. Esok ada berita yang lebih baik. Debar jantung mungkin tidak
terkawal selepas solat Jumaat esok. Lazimnya solat Jumaat menjadi penanda aras
suhu kepanasan. Tinggi atau rendah. Mudah-mudahan esok hujan atau turun salji
luar biasa. Mudah-mudahan sesejuknya salji. Biar hati sejuk dan beku asalkan
tidak kering dan keras.