Friday, November 22, 2013

Bingkisan Dari Kaherah: Mencari Ahmad Ammar Yang Syahid




Rasanya penulis bukan bersendirian. Semasa hidupnya penulis tidak pernah kenal pemuda yang bernama Ahmad Ammar. Hanya setelah dia tiada beritanya dibaca. Gambarnya ditatap. Videonya diulang tonton. Namanya diulang sebut. Imej dirinya bermain di minda.  Sebaknya hati tiada siapa yang melihat. Debarnya yang menggoncang perasaan tiada siapa yang merasa. Penulis kira ramai pembaca yang merasai perasaan yang sama. Kita kehilangan seorang Ahmad Ammar yang besar namanya. Namanya yang ditinggalkan menyuburkan semangat manusia lain yang jauh dari negaranya. Jauh dari kampung halamannya. Jauh dari keluarganya. Jauh dari orang-orang yang pernah dekat darinya. Hatta rakan-rakannya. Hatta guru-gurunya. Hatta jiran tetangganya.


Apabila seorang insan disayangi Allah, maka malaikat menyayanginya. Maka manusia juga menyayanginya. Kita tidak tahu sayang Allah kecuali rohnya diangkat ke sisiNya. Kita tidak tahu sayang malaikat kerana kita tidak melihatnya. Tetapi Allah perlihatkan sayang Allah melalui manusia. Waktu matinya namanya menyegar. Namanya mewangi. Orang tidak kenal semasa hidupnya tetapi orang lain menjadi gempar ketika matinya. Mereka yang kenal belum tentu dapat bersama jenazahnya. Namum Allah memperlihatkan bagaimana jenazahnya disolatkan oleh ulamak. Diimamkan oleh imam yang hebat. Dikhutbahkan oleh ulamak yang terkenal. Air mata yang hadir berjurai-jurai membasahi namanya yang ditinggalkan. Mereka yang tidak kenal Ahmad Ammar menangis kerana gembira atas pemergiannya yang diredhai Allah. Gembira kerana Allah menyayanginya. Insan pilihan yang diaksihi Allah. Diambil rohnya ketika perjuangannya segar di hati manusia. Manfaat yang disebarkan melampaui taraf sosial. Melampaui tembok bangsa. Melampaui tembok politik negara. Menginsafkan yang tua, dirindui oleh yang dewasa. Menjadi penjana semangat kepada yang muda.


Allah Akbar. 1 Muharram 1435H. Pusaranya luarbiasa. Rakyat Turki sendiri tidak semudah itu dimakamkan di permakaman ternama yang dikhususkan untuk para sahabat Rasulullah saw. Para syahada’ yang perjuangan mereka tidak lagi tergambar besarnya di mata kita. Kita sendiri jarang mengingati mereka. Tidak tahu kewujudan mereka di bumi Turki. Bumi yang meramaikan anak-anak Nabi Nuh as. Bumi yang darinya melangsungkan ramainya anak keturunan Ham yang ke Afrika. Keturunan Yapith yang ke timur. Keturunan Sam yang kekal di Jazirah Arab dan ke Eropah. Keistimewaan Jenazah Ahmad Ammar sangat luarbiasa di Turki. Diberi penghormatan yang teristimewa. Jasadnya disemadikan di Perkuburan Eyub Sultan. Suatu tanah perkuburan yang menempatkan lebih 60 jasad para sahabat Rasulullah saw. Yang lebih istimewa ialah jasadnya bersebelahan Abu Ayub Al-Ansari, sahabat istimewa Rasulullah saw. Sesungguhnya manusia yang istimewa diberi keistimewaan yang sememangnya istimewa.


Seorang pemuda yang merantau jauh dari kampung halamannya menempa nama yang tidak pernah terlintas oleh orang lain. Usia 20 memperlihatkan kehebatan sumbangannnya kepada manusia lain. Tangan yang mengusung jenazahnya terlalu banyak. Bersilih ganti ingin bersamanya. Kebersamaam yang terakhir bagi keberadaannya di dunia yang terlalu fana ini. Sentuhan tangan yang begitu banyak ke keranda jenazahnya tidak lagi terbilang. Air mata dan genangannya mengiring sepanjang perjalanan terakhirnya. Yang hadir di permakanannya terlalu ramainya. Seorang pemuda yang dikasihi Allah melampaui seorang ternama. Melampaui seorang yang kehebatannya telah diwar-warkan. Mereka yang tidak mengenalinya ingin bersamanya pada kali terakhir perjalanannya menemui Yang Khaliq. Allah Rabbul Jalil yang menantinya. Hati siapa yang tidak sebak mengiringi perjalanannya ke alam barzah. Meninggalkan kesemuanya yang fana di dunia ini. Meninggalkan segala-galanya yang dikasihinya. Tetapi sewaktu hidupnya dia tidak mengimpikan balasan. Dia hanya ingin berbakti dengan kudrat yang ada. Dengan masa yang ada. Dengan ruang dan peluang yang ada. Ke mana kaki dilangkah ada jasa yang ditinggalkan. Di mana dia berada ada orang yang lain yang menerima manfaat kehadirannya. Dia mencipta kehebatan. Dia membina kemanusiaan yang tidak ada tolok bandingnya. Hanya pada usia 20 tahun.


 Penulis teringat seorang lagi Ammar pada zaman sahabat. Pada waktu Islam mula didakwahkan di Kota Mekah. Imannya menyubur kuat. Akidahnya tinggi mengawan. Mengharap hanya kepada Yang Maha Kuasa. Didampinginya agama yang menolak anutan datuk neneknya. Berbagai halangan dan cabaran kaum Quraisy dihadapinya. Kedua ibu dan bapanya diseksa dan dibunuh dengan kejam oleh kaum musyrikin. Pembunuhan itu pula di hadapan matanya sendiri. Ditatap dengan kedua matanya sendiri. Dihadap sendiri. Ibu dan bapanya yang dikasihi dibunuh tanpa belas kasihan. Namun imannya tidak goncang. Barangkali ada persamaan antara keluarga Yasir bapa Ammar dengan keluarga Tuang Haji Ahmad Azam. Keluarga adalah tonggak yang menegakkan anak-anak ke jalan yang diredhai Allah. Memberi manfaat kepada manusia. Benarlah bagaimana acuan begitulah kuihnya. Acuan keluarga Yasir dan keluarga Tuan Haji Ahmad Azam menatijahkan anak lelaki yang tinggi perjuangannya. 


Zaman kini seperti menghadirkan suatu keganjilan apabila kita dimaklumkan adanya seorang pejuang yang syahid. Kita selalu hanya tergambar syuhada’ yang gugur  di medan perang. Kita lupa bahawa medan perjuangan terlalu banyak selain dari berperang. Sebagai ibu dan bapa kita selalu lupa untuk melahirkan pejuang sehebat Ahmad Ammar. Kita selalu berjangka pendek. Wawasan kita tidak jauh. Kita melahirkan anak-anak hanya untuk berkerjaya. Hidup senang di dunia. Kita lupa ada kehidupan yang lebih lumayan dari hanya berkerjaya. Keluarga Tuan Haji Ahmad Azam telah berusaha ke arah itu. Hasilnya sangat mengujakan. Satu-satunya anak lelakinya diangkat Allah setinggi itu. Anak lelaki tunggal yang selalunya diletakkan sepenuh harapan. Allah memberikan rezeki syuhada’ pada anaknya. Ahmad Ammar tidak akan hilang dari ingatan. Tidak akan dilupakan oleh bakal pejuang yang lain. Penulis sangat yakin Ahmad Ammar terus hidup bagi seluruh keturunan Tuan Haji Ahmad Azam.


Pemergian Ahmad Ammar seharusnya menjana lebih banyak usaha untuk melahirkan lebih ramai lagi anak-anak muda sehebat Ahmad Ammar. Anak-anak muda seangkatan sepertinya tidak dilahirkan terus menjadi hebat secara automatik. Ia melalui didikan dan asuhan. Ada sentuhan ibu bapa yang perihatin. Yang memandang jauh ke hadapan untuk melestarikan kehadiran anak-anak yang perjuangannya untuk Allah dan kerana Allah. Ibu bapa berperanan besar untuk melahirkan anak-anak yang hebat agamanya. Hebat perjuangan dakwahnya. Peranan ibu bapa sangat besar untuk mencorakkan masa hadapan anak-anaknya. Masa hadapan harapan keluarganya. Perlu ada agenda yang matang. Agenda yang hebat. Agenda yang membawa anak-anak merentas sebarang halangan demi agama dan kelangsungannya. Demi Allah Yang Maha Pencipta.


Seorang Ahmad Ammar telah menunjukkan jalan yang perlu dituruti oleh ramai lagi bakal-bakal terciptanya Ahmad Ammar yang lain. Yang semangatnya membakar perjuangan agama. Perjuangan kerana Allah dan RasulNya. Kita tidak membiarkan semangat Ahmad Ammar yang ditinggalkan diabaikan sebegitu sahaja. Perlu ada yang mengusahakan untukk memperbanyakkan dokumentari mengenai allahyarham. Dokumentari yang memperincikan asuhan dan sentuhan hebat Tuan Haji Ahmad Azam. Kejayaannya membangun seorang anak lelaki sehebat Ahmad Ammar. Perlu ada suatu sudut di mana-mana yang menempatkan sejarah Ahmad Ammar. Sejarah yang menjadi gamitan anak-anak muda lain supaya membina kehebatan seperti Ahmad Ammar. Dalam zaman teknologi yang penuh fitnah ini kesedaran tinggi perlu dideduktikkan dari kepergian Ahmaad Ammar.


Semangat seperti yang dilakarkan oleh allahyarham Ahmad Ammar bukan semestinya untuk orang muda sepertinya sahaja. Orang dewasa juga perlu mengambil semangatnya supaya usia bukan penghalang. Tua bukan penamat untuk menjadi seperti Ahmad Ammar. Banyak kelekaan yang mengekang kita. Banyak kealpaan yang menyungkup kita. Ruang lingkup kita telah lama disempitkan. Banyak yang terhijab dari pandangan mata kasar kita. Mata kita teralih memilih yang lain. Yang bukan hak. Yang bukan hakiki. Yang lumrahnya biasa. Barangkali antara hijab yang sangat besar ialah hedonism. Hidup berhibur hanya untuk memuaskan diri. Mencari kepuasan sementara. Dunia apabila dikejar semakin menjauh. Semakin sukar dikejar. Semakin sedikit yang dikecap. Barangsiapa mengejar akhirat sangat cepat dekatnya. Sangat banyak himpunannya. Sangat membahagiakan kesudahanannya. Allahu Akbar.



Penulis ingin berpesan kepada seluruh keturunannya supaya membentuk semangat Ahmad Ammar. Semangat Bilal. Semangat Ammar bin Yasir. Semangat pejuang-pejuang terdahulu yang namanya terpahat indah menebari zaman. Hidup perlu banyak perjuangan. Perlu banyak yang dikongsikan dengan orang lain. Perlu mencari apa sahaja yang bermanfaat untuk dicurahkan kepada orang lain. Kita hanya mampu mencari yang sedikit. Kepada orang lain ia kelihatan banyak. Cucu-cucu atuk semua, hidup bukan sekadar bersenang-senang. Banyak yang perlu dilaksanakan. Pelru banyak yang diusahakan. Perjuangan ke jalan Allah sebenarnya banyak senang dari susahnya. Yang penting ialah pengertian bahawa akhirat adalah lebih lumayan dari dunia. Akhirat adalah hakiki. Dunia hanya kilauan dan banyak ilusinya.