Kita selalu bertemu dengan situasi begini:
1
Orang Malaysia. Warganegara. Usia emas.
Tidak tahu berbahasa Malaysia.
2
Warganegara. Anak pasca merdeka. Tidak
fasih berbahasa Malaysia.
3
Anak pasca merdeka tidak tahu menghormati adat dan agama kaum
yang lain.
4
Anak pasca merdeka menghina agama lain.
5
Anak pasca merdeka tidak tahu
batas-batas kebebasan bersuara.
Mereka yang berada dalam senarai 1 menjadi warganegara
dalam istilah jus soli. Kontrak sosial
selepas Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaannya pada 31 Ogos 1957.
Lihatlah Perlembagaan Malaysia untuk memahaminya. Senarai 2 hingga 5 terdiri
dari mereka yang bersekolah yang dinamakan sistem sekolah kebangsaan. Namanya
sekolah kebangsaan tetapi berbahasa pengantar bahasa Melayu, Cina dan Tamil.
Selepas sekolah kebangsaan terdapat pula sekolah menengah kebangsaan. Tetapi
masih ada pula sekolah etnik Cina. Pada peringkat IPT keterasingan berlaku.
Bahasa kebangsaan bukan lagi didokong. Banyak IPT swasta sama ada yang
dibangunkan oleh individu, parti politik atau syarikat gergasi menggunakan
bahasa Inggeris dalam modus operandinya.
Dalam sistem yang ada anak-anak warganegara belajar bahasa kebangsaan
hanya di sekolah kebangsaan dan sekolah menengah kebangsaan. Di sekolah
kebangsaan Cina dan Tamil, bahasa Kebangsaan hanya suatu subjek. Tidak
merentasi semua kurukulum.
Saya ingin ke negara seberang. Apabila Belanda
dikalahkan, Indonesia merdeka. Ketika panca sila diwujudkan rakyatnya di bawah
satu keterikatan bangsa. Apabila sang saka merah putih dikibarkan, seluruh
Indonesia menerima bahasa Indonesia sebagai bahasa kebangsaan. Siapapun mereka
di Indonesia berbahasa Indonesia. Hanya ada satu sekolah yang berbahasa
Indonesia. Nama menunjukkan etnik dan mungkin agama tetapi kesemua warganegara
berbahasa Indonesia. Pergeseran tetap berlaku tetapi dapat dikurangkan. Dapat
dipadam. Dapat ditiadakan. Antara rakyatnya yang berbagai latarbelakang ada
keupayaan untuk memahami antara satu sama lain. Bahasa menyatukan mereka. Tidak
perlu mengada-ngada. Tidak perlu banyak politiking. Yang dipentingkan ialah
masa hadapan negara dan warganya. Bukan survival politik semata-mata.
Penyata Barnes dengan
jelas mencadangkan hanya perlu ada satu jenis sekolah di Persekutuan Tanah
Melayu dan bahasa Melayu adalah bahasa pengantarnya. Ramai yang membantah. Laporan Fenn-Wu pula menyusul. Menyokong
cadangan Barnes. Datang pula Penyata
Razak selepas Perikatan (gabungan UMNO, MCA dan MIC) memenangi pilihanraya
pertama pada tahun 1955. Temponya berubah. Irama dan nadanya berubah. Penguasa
ketika itu menolak dan beransur. Cadangan Barnes diterima dengan pindaan.
Dijanjikan ianya akan dilaksanakan secara perlahan-lahan. Secara
berperingkat-peringkat. Masa beredar. Gagasan Barnes kekal sebagai laporan. Setelah
hampir 60 tahun semuanya mengecewakan. Kita berbeza sekolah. Kita berbeza
bahasa. Kita berbeza aspirasi. Cadangan supaya semua anak-anak kita berada
dalam satu sekolah kebangsaan dan menengah kebangsaan tinggal dalam sejarah.
Kekal dalam penyata dan laporan. Orang Putih melihat ke hadapan. Orang kita
melihat ke samping. Terlalu memikirkan orang di sebelah hingga lupa masa
hadapan yang sewajarnya dibina.
Sekarang kita menghadapi saat cemas. Sewaktu situasi
memihak kepada kita, kita lepaskan begitu sahaja. Sewaktu kita memiliki ruang,
kita isi dengan agenda lain. Sekarang masalah sosial antara kaum meningkat
negatifnya. Kita terlalu bertolak ansur kerana percaturan yang salah. Agenda
bernegara seharusnya diasingkan dari agenda berpolitik. Diasingkan dari agenda
sosial yang lain. Masa hadapan perlu dilihat dengan jelas. Tanpa syak wasangka.
Tanpa kekangan-kekangan yang merugikan. Malaysia negara kita. Kita ingin kekal
aman di dalamnya. Maka tanggungjawab semua orang untuk membina suatu sistem
berkehidupan yang berpanjangan bentuknya. Kerana itu:
1
Kita perlu duduk lagi berkeliling meja
bulat.
2
Buang sentimen kaum.
3
Buang sentimen agama.
4
Buang sentimen politik.
5
Buang sentimen majoriti dan minoriti.
6
Bina bangsa Malaysia yang satu.
7
Terasnya satu.
8
Matlamatnya satu.
Memenangkan majoriti mengenepikan yang minoriti.
Memenangkan yang minoriti menjengkelkan yang majoriti. Kita buang persepsi itu.
1
Kita sayang Malaysia.
2
Kita hendak hidup lama termasuk anak dan
cucu kita.
3
Malaysia milik bersama. Kecuali yang
dilebihkan oleh perlembagaan. Dalam konteks peribumi.
4
Bina negara yang di dalamnya kita hidup
bersama tanpa takut. Tanpa tergugat.
Pemimpin-pemimpin politik mainkanlah peranan anda. Kita
harus membangunkan political will
yang menjurus mencari kekuatan bernegara. Kita tidak lagi boleh hanya fokus kepada
kekuatan politik. Tidak juga kepada kekuatan sesuatu kaum sahaja. World view kita hendaklah besar dan
cukup tinggi untuk merealisasikan Malaysia yang dicintai. World view kita hendaklah merentasi semua sempadan agama, kaum,
politik, demografi dan sebagainya. Kita tidak perlu banyak irony. Banyak paradigm.
Banyak paradox. Kita harus buang
semua hijab. Semua halangan. Semua kekangan. Jika kita biarkan keadaan yang ada
sekarang, kita akan tenggelam dalam sejarah. Gagal dalam kepelbagaian.
Kita harus kembali ke sekolah. Menyemak semula kurikulum
dan kokurikulum yang digunapakai. Menyemak semula silibus yang dijanjikan
merentasi semua subjek.
1
Sistem latihan keperguruan harus
diperbaiki. Lahirkan guru yang memiliki world
view dan bukan ethnic view
sahaja. Kita tidak ada isu survival. Semua rakyat dilindungi.
2
Guru berwawasan negara. Bukan kaum dan
bukan politik. Agama pula adalah teras masing-masing. Islam tetap agama
persekutuan.
3
Matapelajaran sivik diperkukuhkan lagi.
Topik perpaduan juga merentasi kurikulum.
4
Nisbah guru-pelajar harus dilihat
semula. Bukan kelas dan subjek sahaja yang diambilkira. Hal-hal kenegaraan juga
perlu dipertimbangkan dengan sewajarnya.
Guru mestilah berwajah guru, mendidik anak bangsa tanpa
mengira apapun perbezaan yang wujud. Pelajar-pelajar adalah anak warganegara
yang bakal kekal meneruskan legasi kita. Guru bertanggungjawab kepada generasi
selepasnya untuk jangka panjang. Bukan setahun dua. Guru bukan setakat makan
gaji. Ada tanggungjawab besar membangunkan warganegara yang bertanggungjawab. Mendidik
mengikut acuan negara ini. Bukan sahaja untuk sekarang bahkan juga penting
difikirkan untuk masa akan datang. Waktu yang menyaksikan nanti anak dan cucu
kita sudah terlalu ramai. Jika tidak disediakan mekanisma untuk memandaikan
mereka untuk bersosial dan berpolitik tentulah nanti kesemuanya akan hancur
luluh begitu sahaja. Masa sudah semakin suntuk. Maslahah umum mesti diutamakan.
Maslalah etnik diketepikan. Jika kita tidak kembali ke dasar semula kita akan
hanyut lagi. Janji untuk mewujudkan sekolah yang satu sudah terlalu lama. Janji
untuk mengagungkan hanya satu bahasa masih jauh dari sasaran.
Ke mana sebenarnya kita hendak dibawa? Jangan hanya lihat
warganegara muda menghina lagu Negaraku. Kita diam apabila warganegara muda
menghina agama lain. Kita sunyi melihat warganegara muda memainkan sentimen
perkauman. Kita hanya pejam mata melihat warganegara muda menghina institusi raja
yang sensitif kepada orang Melayu. Kembali kepada cara kita mendidik anak
bangsa kita. Kembali ke sekolah. Di situlah lubuk pendidikan. Kita serahkan
kembali kepada guru.