Dalam kehidupan kita banyak perkara yang pada
pendapat kita tidak dirancang. Banyak keadaan yang memerlukan kita memberi
sumbangan. Memberi bantuan. Menghulurkan tangan kepada yang memerlukan.
Bentuknya tidak pasti. Mungkin kewangan. Mungkin nasihat. Mungkin idea. Mungkin
juga sedikit pengalaman masa lalu untuk dikongsi oleh orang lain. Semasa kita
masih berkerjaya kita dituntut untuk menimba pengalaman. Seperti kata Piaget
kita bergerak dari yang mudah kepada yang sukar. Dari yang kita ketahui kepada
yang tidak kita ketahui. Dari yang kita yakini hinggalah kepada yang meragukan.
Tidak kurang juga yang mencabar. Bagi yang ingin memanjat tangga kejayaan,
pengalaman adalah mutiara yang perlu dikutip. Digilap. Digunapakai pada
bila-bila masa apabila keadaan memerlukan. Masanya tidak diketahui. Tempatnya
kita tidak maklum. Yang menjadi hakikat ialah keperluan menuntut kita
memberikan apa yang ada. Mungkin sedikit. Mungkin banyak. Mungkin tidak
seberapapun.
Allah merancangkan banyak untuk kita. Banyak masa
kita disediakan untuk suatu keadaan yang tidak kita ketahui masa dan tempatnya.
Apa-apa yang Allah galaskan kepada kita kesemuanya bersesuaian dengan diri
kita. Siapa kita. Untuk apa kita dipersiapkan sekian tahun yang panjang. Qada’
dan qadar kesemuanya menasabah. Tidak berat dan tidak menyulitkan. Kita yang
perlu menyediakan diri untuk memandang dengan pengamatan yang tajam. Bercakap
dengan teratur. Mendengar dengan teliti. Berfikir dengan wawasan yang jauh. Dengan
kewarasan yang wajar. Dari suatu tahap ke suatu tahap kita mendepani masalah
dan isu. Tidak pernah ada hentinya. Kerja kita adalah menyelesaikan masalah.
Kerja rutin adalah untuk orang biasa-biasa sahaja. Kerja-kerja yang
berulang-ulang tanpa perlu berfikir. Jejari bergerak tanpa perlu dilihat.
Tangan bergerak tanpa perlu prosedur yang dirujuk. Tetapi itu bukan pengalaman
yang serius. Tiada perlukan pemikiran kritis. Tiada keperluan untuk memerah
otak. Gunakan alat yang ada. Itu sahaja. Tanpa alat kesemua proses terhenti
begitu sahaja. Maka orang di atas yang perlu memandang ke bawah untuk
menyelesaikan hal-hal yang kadang-kadang terlalu mudah tetapi dilihat payah.
Hanya kerana tiada pengalaman.
Itu cerita semasa berkerjaya. Kursus tidak pernah
berhenti. Bengkel dihadiri tanpa cuti. Mesyuarat panjang jamnya. Malah
kadang-kadang tidak diketahui bila siang dan malamnya. Itulah bebanan kerana berkerjaya. Tekanan
yang bertimpa-timpa. Kebanyakan pengkerjaya selamat dari berbagai petaka. Berat
dipikul. Ringan dijinjing. Ocupation
hazard hanya suatu halangan yang datangnya bukan berkala. Ikut rezeki
masing-masing. Bukan tidak ada yang tumbang semasa bekerja. Bukan tidak ada
yang ajalnya tiba semasa bertugas. Kesemuanya ketentuan Allah belaka.
Masing-masing kita ada bahagian yang berbeza. Yang berlainan bentuknya.
Datangnya memberi rahmat. Memberi keindahan menjadi insan yang menjadi hamba
Allah. Cuba renung sebentar. Kesemua yang kita alami adalah keindahan yang
tersendiri. Mempelbagai dan memperkayakan uisa dan kedudukan kita. Status kita
sebagai siapa kita yang sebenarnya. Status kita menjadi unik jika kita
mengungguli pengalaman yang terhimpun menjadi suatu senarai yang bermanfaat.
Penulis sudah bersara selama 12 tahun. Sudah melalui
transisi antara berkerjaya dan bersara. Perubahan yang dirancang. Yang
dijangka. Yang diambilkira sebagai suatu yang pasti. Allah memberikan peluang
untuk menyediakan diri supaya persaraan bukan suatu setback. Bukan kemurungan yang datang secara tiba-tiba. Bukan
menjangkakan ketidakseimbangan dalam kehidupan. Seharusnya transisi antara
berkerjaya dan bersara mestilah santai. Licin dan tidak mendebarkan. Hanya
mereka yang melalui proses bersara mengetahui dengan pasti bahawa transisi itu
bukan semua orang dapat melaluinya. Bukan semua orang dapat bertahan lama. Bukan
semua orang dapat selesa dengan keadaan. Percayalah, bahawa kesemuanya Allah
yang tentukan. Kita hanya menerima ketentuan itu. Kena banyak bersyukur. Kena
banyak berdoa. Kena banyak memohon ampun dariNya. Menerima dengan redha apa
sahaja yang didatangkan kepada kita kerana itulah yang paling baik untuk kita
mengikut ukuran Allah. Bukan ukuran kita. Ukuran manusia terlalu daif. Terlalu shelfish. Kita pentingkan diri kita
sendiri. Allah pula memberikan keadilan
yang sesuai dengan diri kita pada hakikatnya.
Kembara penulis bukan untuk diri sendiri. Selagi
bersama sesama yang memerlukan ada sahaja sumbangan yang perlu dihulur.
Siapapun tidak menjangka bahawa persaraan bukan penamat segala-galanya. Masih
banyak yang perlu dibuat. Kata orang agenda belum tamat. Perjuangan belum
selesai kata orang pamdai-pandai. Malah kadang-kadang hal dunia yang menggamit
keperluan diri. Begitulah apabila penulis berada di bumi anbia ini. Rupanya
Mesir memerlukan sumbangan. Kaherah menjengah pengalaman lama. Minggu lalu (hari
Selasa 12 November 2013) penulis berada di Kedutaan Besar Malaysia bersama
isteri dan beberapa orang pelajar Malaysia di Kaherah. Membantu mereka
meluruskan liku dan sudut yang dihadapi mereka sebagai pelajar. Hampir sehari
suntuk bersama Pengarah EME (Education Malaysia Egypt). Pada awal pagi diadakan
pertemuan di kedutaan. Kemudian pada tengaharinya dari kedutaan terus ke
Universiti Al-Azhar.
Berada di luar negara bukan suatu keistimewaan.
Bukan juga terpinggir. Kesemuanya terpulang kepada apa yang dapat kita
sumbangkan. Kita tidak boleh membawa ukuran kita apabila di tempat orang. Ada
budaya dan resamnya yang tersendiri. Hal-hal yang sudah mendarah daging kepada
orang lain tidak mudah dikikis. Tidak
mudah untuk melunturkannya. Benang yang dalam tepung jangan menyerakkan tepung
apabila ditarik benang itu. Kebiasaan di negara kita tidak biasa di negara
orang. Sistem kita yang terkehadapan tidak berada di negara ini. Rasanya tidak
ada IPT di Malaysia yang membebankan pelajar. Urusan pentadbiran mungkin ada
cacat celanya di sana sini tetapi itu hanya kecelaruan sementara. Tidak
berkekalan. Ada inovasi. Ada kreativiti. Ada inisiatif untuk berubah. Di negara
maju banyak hal yang dilihat terlalu sempurna. Cantik dipadang. Sedap didengar.
Itupun mereka masih mencari ruang untuk memperbaiki keadaan. Tidak kekal duduk
dalam zon selesa. Terus menjana idea baru. Menjual pendapat baru. Bila ada
peluang mengkomersilkan apa sahaja yang baru.
Alhamdulillah sumbangan yang sedikit memberi
manfaat. Mengubat sedikit kemurungan pelajar. Tanpa perancangan yang tertentu
rupanya penulis dan isteri mewakili ibu bapa yang berada di Malaysia. Mereka
tidak tahupun apa yang berlaku. Rombongan kami dilayan serapinya oleh Pengarah
EME. Datuk Prof Madya Dr. Hj. Su’aidi Dato’ Hj. Safei dan pembantunya melayan kami dengan sempurna.
Makan sawarna hingga kenyang. Tidak terdaya lagi menjamah donat. Kami ingin
dijamu makan nasi tetapi waktu terlalu awal. Restoran orang Mesir lewat dibuka.
Terima kasih banyak-banyak Datuk. Terima kasih EME dan Kedutaan Besar Malaysia
di Kaherah.